Quantcast
Channel: .
Viewing all 95 articles
Browse latest View live

Ziarah Makam Lama 5 - Misteri Batu Nisan Acheh Di Pulau Juar

$
0
0
Selepas melakukan perjalanan ziarah ke beberapa makam lama di sekitar daerah kecil Kampung Gajah beberapa hari sebelumnya, saya kini merangka sebuah lagi perjalanan terbaru. Kali ini saya tidak lagi bersendirian. Saya membawa adik bongsu yang bernama Ahmad Hidayat untuk menemani. Cuma yang merisaukan saya ialah kondisi motosikal buruk saya yang sudah berusia 24 tahun. Harap-haraplah perjalanan kali ini tidak akan membawa sebarang masalah. 

Kami bergerak dari rumah pada jam 11 pagi. Dari Bidor kami singgah sebentar di Teluk Intan untuk mengisi perut disamping menyelesaikan beberapa perkara penting. Terasa berselera kami berdua menikmati hidangan nasi kandar di Restoran Nasi Lambai di persisir Sungai Perak yang amat terkenal di Teluk Intan. Sesekali bila pulang ke Sememenanjung dan berkunjung ke Teluk Intan memang saya tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati nasi kandar di restoran ini. Terus terang saya katakan bahawa saya memang "penagih" tegar nasi kandarnya !

Nasi kandar Restoran Nasi Lambai Teluk Intan

Usai sahaja menikmati makan tengah hari, saya dan Hidayat bergegas menunaikan solat Zohor di masjid Sultan Idris II Teluk Intan. Nama masjid ini diambil bersempena dengan nama Almarhum Sultan Idris al-Mutawakkil Alallahi Shah ibni al-Marhum Sultan Iskandar Shah Kadasallah iaitu sultan pemerintah negeri Perak Darul Ridzuan yang ke-33. Saya gemar singgah bersolat dan berehat di masjid ini jika berkunjung ke Teluk Intan. Suasananya sejuk dan mendamaikan hati hingga terkadang saya terlelap sebentar disini. Tidak tahu pula mengapa saya berperasaan sedemikian. Namun masjid ini memang punya tarikannya yang tersendiri pada diri saya.

Masjid Sultan Idris II Teluk Intan

Selepas bersolat, kami berdua mula bergerak ke Kampung Gajah. Saya berdoa didalam hati agar hujan tidak turun sepanjang perjalanan ini. Keyakinan saya terhadap motosikal buruk saya agak tinggi walaupun kondisi enjinnya tidak lah begitu baik. Berbekalkan keyakinan dan harapan, saya menyerahkan segalanya kepada Allah SWT. Perjalanan begitu lancar walaupun kami tidak menunggang motorsikal dengan laju. Sepanjang perjalanan saya akan menceritakan kepada Hidayat tempat-tempat menarik atau kawasan yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Sekurang-kurangnya dapat menyemai minatnya  terhadap sejarah keluarga dan negeri nya sendiri Perak Darul Ridzuan.

Hampir sejam memandu motosikal kami mula memasuki daerah Perak Tengah. Sasaran saya kali ini ialah untuk ke Kampung Pulau Juar. Saya tidak menghadapai masalah untuk mencari kampung ini kerana ianya terletak di kiri jalan menuju ke pekan Kampung Gajah dari arah Teluk Intan. Masyarakat tempatan dengan loghat Perak yang pekat memanggil nama kampung ini dengan sebutan Kampung Pulo Juor atau Kampung Pulo Juoy. Saya rasa pasti ada diantara pembaca blog ini yang masih mengingati kartunis Boy P.J yang popular menerusi siri kartun "Malaysia Meriah" di majalah Gila-Gila pada sekitar tahun 90an. Jika tidak silap saya di sinilah beliau dibesarkan dan singkatan P.J pada namanya samarannya adalah merujuk kepada kampung Pulau Juar ini.

Kartunis Boy P.J
( kredit : http://rozaneem.blogspot.com untuk gambar )

Saya meminta Hidayat membantu mencari simpang masuk ke Sekolah Kebangsaan Pulau Juar kerana sekolah berkenaan merupakan pintu masuk kepada makam dua orang sultan pemerintah negeri Perak. Akhirnya kami menjumpai simpang berkenaan. Sekolah berkenaan terletak agak terkedalam sedikit dari jalan utama. Ketika sampai pintu pagarnya tertutup. Barulah saya teringat ini musim cuti sekolah. Saya menjenguk ke pondok pengawal keselamatan. Syukur pengawal keselamatannya masih ada. Selepas memberikan salam, saya memaklumkan tujuan kehadiran saya. Tanpa paksaan beliau menunjukkan arah ke makam dua orang sultan berkenaan. 


Pintu masuk ke Sekolah Kebangsaan Pulau Juar

Terdapat papan tanda yang menunjukkan arah makam. Kawasan makam ini rasanya terletak di atas tanah persendirian. Makam yang akan kami kunjungi pada kali ini ialah makam Almarhum Sultan Abdullah Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Abdul Malik iaitu sultan pemerintah Perak yang ke-20 dan makam Almarhum Sultan Jaafar Muaddzam Shah iaitu sultan pemerintah Perak yang ke-23. Namun sesuatu pasti ialah kami melalui keadaan yang sukar untuk sampai ke kawasan banggunan kepuk makam kerana keadaan kawasannya yang agak bersemak tebal. Namun itu tidak mematahkan hajat kami untuk berziarah.

Bergambar di hadapan papan tanda menuju ke makam

Keadaan lorong menuju ke kawasan 
banggunan kepuk makam

Akhirnya banggunan kepuk makam semakin hampir

Syukur setelah hampir sepuluh minit menempoh jalan yang bersemak samun akhirnya kami sampai ke kawasan bangunan makam. Persekitarannya kelihatan tidak berjaga. Lalang-lalang liar dan semak samun menghiasi pemandangan kami. Namun keadaan bangunan kepuk makamnya jauh lebih baik jika dibandingkan dengan beberapa makam yang saya ziarahi sebelum ini. Yang menariknya papan tanda keterangan makam yang disediakan oleh pihak Muzium Negara masih jelas dan terang tulisannya. Secara tidak langsung fakta dan cerita berkenaan dengan kedua-dua Almarhum sultan ini dapat diketahui oleh pengunjung yang berziarah.

Makam pertama yang kami ziarahi ialah makam Almarhum Sultan Abdullah Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah. Baginda merupakan sultan Perak yang ke-20 dan memerintah dari tahun 1825 hingga  ke tahun 1830. Sebenarnya, baginda mangkat di Teluk Kepayang dan dimakamkan disana. Namun makamnya telah dipindahkan ke Kampung Pulau Juar ini ( tempat sekarang ) setelah makamnya hampir terjatuh ke sungai akibat hakisan. Baginda bergelar Marhum Khaliullah. Mungkin itu jugalah sebabnya makam baginda agak rendah jika dibandingkan dengan kepuk makam milik Armarhum Sultan Jaafar Muaddzam Shah di sebelah yang juga merupakan anakanda saudara baginda.

Papan tanda makam

Sultan Abdullah Muadzam Shah ini merupakan kekanda kepada Raja Kechil Tengah Ahmad yang batu tanda makamnya di Kampung Pulau Besar telah saya ulas dalam siri ziarah yang lepas. Baginda bertanggungjawab melantik adindanya Raja Ahmad menjawat jawatan Raja Kechil Tengah. Semasa pemerintahan baginda jugalah Sungai Bernam telah dijadikan sebagai sempadan semulajadi antara negeri Perak dan Selangor. 

Batu nisan makam Almarhum 
Sultan Abdullah Muadzam Shah


Saya tercari-cari juga maklumat berkaitan dengan zuriat baginda yang menjadi raja bergelar negeri Perak namun kelihatannya tidak ada. Mungkinkah baginda tiada berputera ? .... hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. Terdapat juga makam kaum kerabat baginda yang terletak didalam satu kepuk makam yang sama. Namun tidak pula tergerak hati saya untuk mengambil gambarnya. Itulah yang menjadi kekesalan saya sehingga ke hari ini. Namun tidak mengapa kerana saya berjanji suatu hari nanti saya akan datang berziarah semula ke makam ini.

Tulisan pada batu nisan makam

Kepuk makam bersebelahan pula ialah milik sultan Perak ke-23 iaitu Almarhum Sultan Jaafar Safiuddin Muadzam Shah Ibni Almarhum Raja Kechil Tengah Ahmad. Baginda memerintah Perak bermula dari tahun 1857 sehingga tahun 1865. Baginda diangkat menjadi sultan selepas kemangkatan Sultan Abdullah Muhammad Shah I ( marhum Durian Sebatang ). Namun sesuatu yang pasti sememangnya telah berlaku perselisihan faham antara baginda dengan Sultan Abdullah Muhammad Shah I. Pada pendapat saya, bermula dari krisis inilah perebutan takhta kesultanan Perak mula berlaku dan ia berlanjutan sehinggalah membawa kepada penjajahan Inggeris di negeri Perak.

Papan tanda makam

Dalam tempoh 8 tahun pemerintahan baginda, negeri Perak berada dalam keadaan huru hara akibat dari pecahnya Perang Larut pertama ( 1861 - 1863 ) dan Perang Larut Kedua ( 1865 ) antara kongsi gelap Hai San dan Geee Hin bagi merebut kawasan perlombongan bijih timah. Daerah Larut pada ketika itu ditadbir oleh Tengku Menteri Ngah Ibrahim Ibni Long Jaafar. Perang Larut pertama berjaya diamankan secara baik oleh baginda dan Tengku Menteri Ngah Ibrahim. Namun pada perang Larut kedua ternyata baginda dan Tengku Menteri Ngah Ibrahim tidak mampu mengamankan keadaan. Dengan takdir Allah SWT ketika berlakunya huru hara ini baginda mangkat di Durian Sebatang pada tahun 1865 dan dimakamkan di Kampung Pulau Juar seperti yang terlihat pada hari ini. Baginda bergelar "marhum wali Allah".

Makam Almarhum Sultan Jaafar Safiuddin
Muadzam Shah

Baginda dikurniakan 2 orang putera dan 3 orang puteri hasil dari perkahwinan baginda dengan Wan Mahtra Binti Laksamana Tok Bongkok. Salah seorang puteranya dilantik menjadi Sultan Perak ke-26 dengan gelar Sultan Abdullah Muhammad Shah II. Sultan Abdullah Muhammad Shah II inilah yang telah dibuang ke Pulau   Seychelles akibat dari pembunuhan residen Inggeris Perak yang pertama JWW Birch laknat. Manakala putera keduanya ialah Raja Musa dan pernah dilantik menjadi Raja Muda Perak semasa pemerintahan Sultan Idris Murshidul Adzam Shah ( Sultan Perak Ke-28 ). Anakanda Raja Muda Musa ini pula telah menaiki takhta kesultanan Perak dengan gelar Sultan Abdul Aziz Al-Mutasim Billah Shah ( sultan Perak ke-31).

Sultan Abdullah Muhammad Shah II 
( Sultan Perak ke - 26 )


Raja Di-Hilir Perak sekarang iaitu DYAM Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa merupakan penerus kepada warisan baginda dalam carta hieraki raja bergelar kesultanan Perak. Ini menunjukkan legasi Sultan Jaafar Safiuddin Muadzam Shah masih mempunyai penerusnya walaupun sudah hampir 150 tahun kemangkatannya. 

Raja Di-Hlir Perak DYAM Raja Jaafar Ibni Raja Muda Musa
dan Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani

Ketika mengelilingi kawasan kepuk makam, Hidayat memberitahu saya tentang sebatang batu nisan yang cantik dan berbeza dengan nisan-nisan lain yang terdapat di dalam kawasan makam ini. Setelah meneliti bentuk batu nisan tersebut barulah saya tahu ia adalah sepasang batu nisan Acheh. Peliknya hanya makam ini sahaja yang benisan Acheh. Mungkin batu nisan ini adalah untuk makam permaisuri baginda.Sayangnya salah satu dari nisan Acheh ini telah patah hujungnya. Saya membuat sedikit rujukan internet berkenaan batu nisan Acheh yang terdapat di Malaysia. Tahun kemangkatan Sultan Jaafar Safiuddin Muadzam Shah ialah pada tahun 1863, ini bermakna batu nisan jenis Acheh masih lagi  digunapakai di Tanah Melayu sebelum tahun 1900. Tidak mustahil juga, sudah ada tukang pembuat batu nisan Acheh di Tanah Melayu ketika itu dan bukannya ia dibuat di tanah Acheh. Namun itu hanyalah sekadar telahan sahaja.

Nisan Acheh yang patah hujungnya.

Dalam kunjungan ziarah saya ke makam-makam lama sebelum ini, saya tidak menjumpai batu nisan Acheh. Inilah kali pertama saya tersua dengan keindahan dan keunikan batu nisan Acheh di Perak. Ada yang menyatakan hanya golongan bangsawan dan individu yang mempunyai darah Acheh sahaja yang layak menggunakan batu nisan jenis ini. Saya tidak pasti kesahihannya namun jika diteliti dari corak, bentuk serta ukiran yang terdapat pada batu nisan jenis Acheh ini, sudah pasti pemiliknya bukan sembarangan orang.

Saya tidak berlama-lama di kedua buah makam ini. Saya perlu mengejar masa untuk menziarahi ke seberapa  banyak makam sultan pemerintah Perak yang mampu kami ziarah di sekitar daerah Perak Tengah. Saya berpesan kepada Hidayat untuk menyedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada kedua-dua roh baginda. Semasa keluar dari banggunan makam secara tiba-tiba saya terfikir sendiri ..... adakah ada rahsia di sebalik gelar muadzam shah yang menjadi milik kedua-dua sultan ini ? hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui.



Sewaktu mengambil motosikal di pondok pengawal Sekolah Kebangsaan Kampung Juar, saya disapa oleh pengawal keselamatan berkenaan. Ketawa besar saya apabila saya ditanya oleh beliau adakah saya ini seorang kerabat diraja ? ...... jawapan saya mudah .... saya hanya seorang peminat sejarah negeri Perak dan saya menghormati kedaulatan Sultan pemerintah negeri tempat saya dilahirkan. Tersenyum beliau dengan jawapan saya. 

Selepas mengucapkan selamat jalan kepadanya, saya dan Hidayat meneruskan perjalanan menghala ke pekan Kampung Gajah. Suasana petang yang terik membuatkan kami begitu dahaga. Singgah sebentar membeli minuman di sebuah kedai runcit milik seorang penduduk kampung. Selepas melepasi pekan Kampung Gajah yang tenang, kami membelok masuk ke simpang untuk menuju Kampung Jawa ( tidak jauh dari simpang jalan menuju ke FELCRA Seberang Perak ). Saya yakin saya akan terjumpa sesuatu di sana !


Bersambung











Prolog Mengenang Suatu Masa Yang Telah Berlalu

$
0
0

Inilah Hidup Saya



Inilah hidup saya ... nuansanya seringkali berubah dalam pelbagai irama dan episod yang tidak pernah saya duga. Melalui setiap perjalanan hidup dengan pelbagai kisah manis, gelap dan sebagainya memberikan saya sejuta satu makna yang tidak ternilai harganya. Inilah yang mendewasakan saya sehingga terlihat seperti hari hari ini. Bila memandang diri di cerminan, saya tahu saya kini sudah menjauh meninggalkan alam kenangan saya yang silam, dan ia tidak akan dicapai lagi sampai bila-bila.

Benar juga kata pujangga... masa seringkali mencuri setiap saat indah yang pernah kita lalui, namun masa juga seringkali mengembalikan setiap kenangan itu walaupun dalam bentuk yang jauh berubah.

Bila membelek semula gambar-gambar lama, terasa seperti baru semalam sahaja saya meninggalkan alam remaja saya. Zaman remaja saya bukanlah suatu yang boleh dibanggakan dengan cerita-cerita yang indah. Dahulu saya adalah anak remaja yang bertarung dengan nasib dan keringat. Hidup didalam keluarga yang berpendapatan rendah tidak memungkinkan saya menikmati kesenangan dan kemewahan. Inilah yang menjadikan saya lebih awal menempuh alam pekerjaan. Sedari usia 10 tahun lagi saya sudah mula bergelar ‘buruh kanak-kanak’ …. Dan sehingga kini sudah berbagai-bagai pekerjaan sudah saya lakukan namun saya tidak pernah menyesal.

Saya merasakan bahawa segala pengalaman dan kenangan saya dialam pekerjaan sejak dari zaman remaja saya begitu unik dan penuh dengan warna-warni. Elok rasanya saya kongsikan cebisan-cebisan kenangan itu sebagai satu wadah bacaan untuk sesiapa sahaja yang sudi membacanya di blog perkongsian ini. Siapa tahu apa yang pernah dilalui oleh saya turut juga pernah dirasai oleh sesiapa sahaja di luar sana.

InsyaAllah beberapa siri catatan dengan judul “MENGENANG SUATU MASA YANG TELAH BERLALU” akan saya siarkan untuk tatapan kita bersama di blog ini. Bukan mahu membuka pekung di dada cuma harapannya satu supaya kita tahu bahawa hidup tidak semudah seperti kita jangkakan.

 Inilah cerita saya dan apa yang pernah saya lalui …. Sekadar berkongsi cerita bahawa hidup adalah sebuah perjuangan.


SELAMAT MEMBACA



Mengenang Suatu Masa Yang Telah Berlalu 1

$
0
0

Menjadi Kedi Di Kelab Golf Batang Padang

Logo Kelab Golf Batang Padang

Rumah saya di Bidor terletak tidak jauh dari Kelab Golf Batang Padang ( KGBP ). Sedari kecil lagi saya sudah terbiasa melihat abang-abang sepupu dan rakan-rakan mereka pergi ke padang golf berkenaan untuk menjadi kedi. Ketika itu bekerja sebagai kedi hanya dilakukan pada sebelah petang dan pada hujung minggu. Bagi anak-anak muda sekitar Bidor dalam lingkungan usia 12 hingga 20 tahun, menjadi kedi merupakan satu kerja yang sangat lumayan. Jika kena pada masanya, seorang kedi boleh mendapat bayaran sehingga RM25 sehari. Ketika itu jumlah berkenaan sudah cukup lumayan bagi kami.

Gambar Hiasan menunjukkan
seorang kedi dan pemain golf

Mulanya saya memang tidak mahu menjadi kedi. Namun saya selalu juga ke padang golf berkenaan untuk bermain-main. Jika tidak pun sekadar berjalan-jalan bersama teman di waktu petang. Tidak terlintas dihati ini untuk menjadi kedi. Tambahan pula cerita-cerita pembulian yang sering dilakukan oleh kedi senior kepada kedi junior memang menakutkan diri saya. Maklumlah ketika itu saya masih bersekolah rendah.


Hinggalah pada suatu petang, saya dipelawa oleh seorang teman untuk mengikutinya mengambil upah mengutip bola golf di padang latihan kelab golf berkenaan. Anehnya, saya menerima pelawaannya itu tanpa sebarang bantahan. Itulah kali pertama saya merasakan seronoknya mendapat upah. Masih saya ingat lagi upah pertama yang saya terima ialah RM2.50. Seronok rasanya mendapat duit. Namun saya tidak menceritakan hal saya mengutip bola golf ini kepada emak dan ayah. Perasaan bimbang dimarahi begitu bersarang di hati.


Esoknya saya ke padang golf semula dan seperti semalam saya pulang dengan RM2.50 juga. Lama kelamaan saya mula merasa seronok mengambil upah mengutip bola golf ini. Namun kadangkala saya juga pulang hampa kerana tiada pemain golf yang mahukan khidmat mengutip bola dari saya dan teman-teman. Selain itu, persaingan juga agak sengit antara kami. Masing-masing berebut-rebut menawarkan khidmat mengutip bola. Seingat saya, jumlah upah paling tinggi yang pernah saya terima ialah sebanyak RM5. Berbunga-bunga perasaan hati ini apabila melihat not bewarna hijau diserahkan kepada saya. Terasa begitu lumayan nilai RM5 pada diri saya ketika itu.


Membuli

Saya terus mengambil upah mengutip bola golf sehingga ke darjah enam. Ayah dan emak juga lama-kelamaan tidak begitu kisah dengan kegiatan saya itu. Cuma mereka berharap agar saya tidak leka dalam pelajaran. Saya juga tidak takut dibuli kerana padang latihan di padang golf berkenaan terletak agak jauh dari rumah kedi. Tambahan pula, kedi-kedi senior kurang berminat untuk mengambil upah mengutip bola golf kerana upahnya begitu kecil dan tidak setimpal dengan kudrat yang tercurah.

Rasanya pada pertengahan tahun 1996, sepupu saya yang dipanggil Awie mengajak saya untuk menjadi kedi. Beliau sudah setahun menjadi kedi sedangkan usianya pada ketika itu baru menginjak 11 tahun. Agaknya beliau kasihan melihat saya hanya mendapat upah yang kecil sewaktu mengutip bola golf. Mulanya agak gentar juga hati saya namun setelah dipujuk beberapa kali akhirnya saya mengalah walaupun hakikatnya saya harus bersedia untuk dibuli !


Satu set golf dan troli

Pada mulanya agak kekok juga menjadi kedi. Dengan usia yang masih muda dan bentuk badan yang kecil saya hanya mampu menarik troli beg golf yang sangat berat. Pada ketika itu saya terdaftar sebagai kedi gred C di kelab golf berkenaan. Penyelia kedi pada ketika itu ialah seorang tua yang dipanggil Pak Ali. Agaknya memang nasib menyebelahi diri saya, Pak Ali ini walaupun garang namun agak baik dengan saya. Dengan sendirinya saya dipanggil dengan gelaran “anak angkat” Pak Ali. Berbekalkan gelaran itulah saya selamat dari menjadi mangsa buli. Hehehehe. Namun sesuatu yang pasti ialah saya selamat kerana saya dilindungi oleh abang-abang sepupu saya yang sememangnya tidak akan membiarkan saya diusik sewenang-wenangnya.


Menjadi kedi merupakan pekerjaan yang nampak seperti mudah namun memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Lumrahlah jika dimarah, dimaki dan dihina oleh si pemain golf dengan kata-kata yang tidak sedap didengar. Namun sepanjang kehidupan saya sebagai seorang kedi, hanya bangsa kita sendiri yang kerap mengherdik dan memaki anak bangsa sendiri dengan semahunya hati. Agaknya mereka merasakan diri mereka terlalu hebat dan besar apabila bemain golf ini. Kami budak-budak kedi tidak pernah ambil pusing hal caci maki ini walaupun hati bagai bernanah diperlakukan sedemikian rupa. Memang kami sedar taraf kami dan mereka bagai langit dan bumi.

Saya pernah mengalami satu kejadian dimana sewaktu menjadi kedi kepada Encik A, sarung tangan yang baru dibeli oleh beliau untuk bermain golf telah tercicir. Hal ini tidak disedari sehinggalah keesokan harinya barulah beliau tersedar yang sarung tangan barunya telah tiada lagi. Kebetulan pula sepupu saya telah menjumpai sarung tangan berkenaan dan memaklumkan kepada saya untuk memulangkannya kepada Encik A itu tadi.

Ditampar dan dihina

Sayangnya, Encik A telah bertindak lebih awal dengan menyatakan saya telah mencuri sarung tangannya. Sampai suatu ketika beliau telah menampar muka saya dengan begitu marah malah melemparkan kata-kata cacian yang menghina keluarga saya. Allah SWT sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu.  Saya terus pulang ke rumah tanpa menceritakan kejadian itu kepada keluarga. Akhirnya sarung tangan itu dipulangkan oleh sepupu saya 2 jam selepas kejadian saya ditampar dan menceritakan kepada Encik A hal yang sebenar. Perkara  ini menimbulkan rasa kesal pada Encik A. Beliau ada berjumpa saya untuk meminta maaf dan bagi seorang anak kampung yang punya maruah diri, saya hanya tersenyum tanpa berkata sepatah kepadanya. Hal itu saya diamkan sahaja dan tinggal sebagai sebuah kenangan yang pahit.


Rupanya kisah ini masih belum berakhir, beberapa tahun yang lepas saya terserempak dengan Encik A di sebuah pasar minggu bersama isterinya. Beliau sudah agak berumur dan berjalan menggunakan tongkat. Saya memandangnya dari jauh dan pandangan kami bertemu. Saya menegurnya dan memperkenalkan diri sebagai kedi yang pernah ditamparnya dahulu. Terkejut isterinya melihat air mata Encik A mengalir deras dari pipi selepas bertemu dengan saya. Benar, selepas melihat keadaanya saya terus memaafkan segala perbuatannya kepada diri saya dahulu. Namun sebelum berlalu sempat saya titipkan kepada sebagai akhir segala krisis yang pernah berlaku dahulu.

                “Saya boleh sahaja menampar muka pakcik sampai mati sekarang ini juga jika mengenang apa yang pernah pakcik lakukankepada saya tetapi saya tidak mahu. Biarlah Allah menjawab untuk saya diakhirat nanti apa yang terkandung dihati saya untuk pakcik”

Beliau termanggu dan air matanya mengalir deras. Saya terus berlalu tanpa memandangnya. Benar dunia ini ibarat roda, sebentar diatas dan sebentar kita dibawah.

Namun tidak semua pemain golf suka memaki kedinya. Ada yang muncul sebagai individu yang sangat dihormati oleh kedi-kedi di kelab berkenaan. Individu-individu seperti ini lazimnya mendapat perhatian yang sangat hebat dari para kedi. Biasanya kami akan berebut-rebut menawarkan khidmat kedi kepada mereka. Upah menjadi kedi ini sangat lumayan. Satu pusingan 9 lubang kami akan mendapat upah sekitar RM5 sehingga RM15. Pernah saya mendapat upah RM35 bagi dua pusingan 18 lubang. Nilai purata pendapatan seorang kedi pada ketika itu ialah RM 90 seminggu. Bagi seorang anak remaja seperti saya, jumlah itu amatlah besar dan bernilai !

Menjadi kedi menjadikan saya seorang yang cekap dengan persekitaran. Selain dari tumpuan pada arah perginya bola golf, saya juga dapat melatih diri mengesan arah angin dan jarak sesuatu lubang dari tempat pukulan. Kemahiran-kemahiran seperti mengesan bola golf di semak juga dipraktiskan disini. Paling penting struktur tubuh juga menjadi sihat akibat bebanan kerja yang berat.

Saya terus menjadi kedi sehingga berhenti rehat dalam tingkatan tiga kerana menumpukan sepenuh perhatian pada peperiksaan Penilaiaan Menengah Rendah pada tahun 1999. Pada ketika itu saya sudah menjadi kedi gred B. Rupa-rupanya, rehat saya sebagai kedi berlanjutan sehingga ke tingkatan 4. Saya tidak lagi menjejakkan kaki ke padang golf selepas itu. Tidak tahu kenapa, namun yang pastinya saya lebih selesa membuat aktiviti yang lain seperti bermain bola sepak dan berlibur malam bersama teman-teman. Tambahan pula, teman-teman lama kebanyakannya sudah ramai yang berhenti dari menjadi kedi.

Menjelang pertengahan tahun saya di tingkatan 4, ketika ramai teman-teman lama sudah lama berhenti menjadi kedi, saya pula mengambil keputusan untuk menjadi kedi untuk kali yang keduanya. Namun kini segalanya berubah. Pak Ali sudah tidak lagi bekerja di kelab golf berkenaan. Ramai teman-teman sudah tidak lagi menjadi kedi. Yang anehnya kini yang ramai menjadi kedi ialah anak-anak masyarakat orang Asli yang banyak mendiami kawasan kem Pasukan Gerakan Am ( PGA ) yang terletak tidak jauh dari padang golf berkenaan. Ini secara tidak langsung menimbulkan masalah baru kepada kedi-kedi lama kerana pemain-pemain golf lebih berminat mendapatkan khidmat kedi orang Asli yang penawaran upahnya jauh lebih rendah dari kami.

Saya dinaikkan taraf sebagai kedi gred A pada ketika ini. Namun sejujurnya kemahiran saya sebagai kedi tidaklah setaraf dengan gred A saya itu kerana saya sudah lama meninggalkan alam kedi ini. Tempat berkumpulnya kedi yang suatu ketika dahulu meriah dengan gelak ketawa kami bermain judi daun terup juga sudah semakin sunyi. Benar ketika tahun 2000 hingga 2001 jumlah kedi Melayu di kelab golf berkenaan semakin menyusut.

Akhirnya menjelang tahun 2001 ketika saya di tingkatan 5, saya juga turut angkat kaki sebagai seorang kedi. Selain dari memikirkan soal peperiksaan SPM yang akan menjelang tiba, saya juga dihantui dengan beban perasaan kejadian kes saya dengan Encik A yang seterusnya mematikan niat saya untuk terus menjadi kedi. Selepas itu saya memang tidak ambil peduli lagi dengan padang golf berkenaan. Tinggallah beberapa orang rakan yang terus tabah bertahan menjadi kedi disitu.

Beberapa tahun selepas itu, saya terdengar cerita yang kelab golf berkenaan telah menggunapakai kenderaan automatik bagi kegunaan pemain-pemain golf mudah untuk bergerak dan membawa peralatan golf mereka. Teman-teman yang masih bertahan sebagai kedi memanggil kenderaan itu sebagai “babi’ . Tidak tahulah kenapa ia digelarkan sedemikian rupa. Beberapa orang teman yang tertahan itu juga akhirnya terpaksa mengalah dan meninggalkan terus pekerjaan sebagai kedi tidak lama selepas itu. Saya mengira faktor usia juga memainkan peranan. Kebanyakan dari kami pada ketika itu sudah mencapai usia hampir malah melebihi 20 tahun. Tarikan kepada perkara-perkara lain lebih memikat hati kami dalam usia sedemikian.

Walaupun saya sudah lama meninggalkan pekerjaan ini namun kerinduaan saya terhadapnya kadangkala muncul secara mendadak. Kadangkala ketika menonton perlawanan atau kejohanan golf di televisyen, ada juga teman-teman yang merasa hairan melihat saya dapat menghuraikan maksud beberapa perkataan yang dikaitkan dengan permainan golf seperti par, bogey, handicap, jenis –jenis kayu dan bermacam-macam lagi seolah-olah saya pernah bermain golf. Saya hanya tersenyum dan berkata, inilah hasil dari apa yang pernah saya lakukan semasa alam remaja saya. Saya tidak pernah malu dan segan untuk menyatakan saya dahulu adalah seorang kedi. Ya benar … seorang kedi yang pernah ditampar dan dikeji oleh Encik A …..

Melawat Semula Tempat Mencari Rezeki

Pintu masuk ke KGBP

Ada juga sesekali saya melawat semula padang golf yang pernah menjadi lubuk rezeki kami anak-anak kelas bawahan di Bidor . Keadaannya sudah jauh berubah malah boleh dikatakan agak suram. Masih ada juga pemain-pemain golf yang beraksi disini namun ia tidaklah semeriah dahulu.


Jalan masuk


Rumah kedi yang tertinggal sepi

Rumah Kedi yang menjadi tempat kami berkumpul mendaftarkan diri sebelum bertugas juga terbiar tanpa pembelaan. Seolah-olah menantikan saat untuk roboh. Disitulah dahulu berkumpulnya anak-anak muda yang datang dari pelbagai jenis keluarga yang punya ribuan cerita susah dan senang.

Di rumah kecil itu tersimpan cerita tentang rokok, ganja, judi, buli, persahabatan dan krisis. Seolah-olah masih terlihat pada pandangan mata saya susunan basikal yang sederet di tempat meletak basikal di koridor rumah berkenaan. Masih terbayang seolah-olah Pak Ali sedang menyapu habuk rokok dan sampah yang bertaburan di lantainya sambil mulutnya memaki-maki kami sedangkan dihatinya Allah sahaja yang tahu betapa baiknya beliau kepada kami. Betapa riuh dan meriahnya ketika itu.


Kawasan saya mengambil upah mengutip bola golf


Kini saya sendiri sudah hampir ke usia 30an. Malah ada kedi-kedi senior saya dulu sudah mencapai usia 40an. Masing-masing sudah meninggalkan alam kedi. Rasanya mungkin saya antara generasi terakhir kedi Melayu di Bidor. Tidak pula saya mengetahui sama ada masih ada yang menjadi kedi namun jika dilihat dari situasi semasa ramai anak-anak Bidor kini  langsung tidak berminat menjadi kedi.


Tempat meletak kenderaan
Dahulunya dihujung atas kiri gambar
merupakan tempat kami melepak


Kelab Golf Batang Padang tempat saya mencari rezeki

Saya berhenti sejenak dipinggir kawasan lapangan golf yang hijau itu pada suatu petang yang kering. Mata saya tertumpu pada sekumpulan pemain golf yang berjalan perlahan. Hati saya tiba-tiba menjadi sebak …. Dan air mata saya tumpah …. Dahulu saya seorang kedi… benar saya seorang kedi !

Catatan Perjalanan : Mencari Aidiladha Di Daro

$
0
0
Pendahuluan

Selepas melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun 2011 memang diakui saya agak liat untuk melakukan sebarang perjalanan ke tempat-tempat menarik di dalam negeri Sarawak ini. Jika sebelum ini andai ada sahaja masa cuti yang terluang maka sudah pasti saya dan sahabat saya Cikgu Kumaresan akan mengambil peluang untuk meneroka ke kawasan yang belum pernah kami singgahi. Namun untuk tahun 2012 ini, segala-galanya berubah dan saya lebih selesa pulang ke semenanjung bertemu isteri pada musim cuti sekolah hingga impian lama untuk meneroka  ke setiap inci bumi Sarawak tercinta ini bagaikan terkubur tanpa batu nisannya.

Rupa-rupanya tarikan kepada keseronokan perjalanan dan pengembaraan ini sebenarnya sukar untuk ditahan oleh diri. Beberapa cadangan yang dikemukan oleh Cikgu Kumaresan untuk perjalanan ke beberapa bahagian di dalam negeri Sarawak ini membekas juga di fikiran saya. Akhirnya tidak kuasa lagi saya menahan diri untuk bersetuju dengan cadangannya bersama Cikgu Shukri supaya kami bertiga melakukan perjalanan ke pekan Daro yang terletak di bahagian Mukah. Uniknya perjalanan kali ini diadakan pada ketika sambutan Hari Raya Aidiladha dan kami bertiga akan menyambutnya di Daro. Setelah 4 tahun berturut-turut kami menyambut Aidiladaha di Kapit, kini kami mengubah selera kami ke Daro pula. Sudah pasti sambutan Aidiladha kali ini punya kelainan dan ceritanya sendiri.

Ah... terlalu banyak pula saya bermukadimah. Ayuh kita berkongsi cerita perjalanan saya mencari Aidiladha di Daro ini. Walaupun hanya perjalanan ringkas namun banyak memberikan erti kepada diri saya. Ayuh kita ke Daro ....

Tiga Sahabat Ke Daro

Cikgu Shukri yang tinggal serumah dengan saya memang selalu ke Daro. Isterinya bertugas di Matu yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan darat ke Daro. Memang hampir setiap minggu beliau berulang alik dari Kapit ke sana atas urusan menjenguk isteri. Selalu juga beliau mempelawa saya dan Cikgu Kumaresan berkunjung ke sana namun hasrat itu seringkali tidak kesampaiaan. Namun demikian, akhirnya saya menerima juga pelawaannya. Apa yang mengujakan saya ialah janji Cikgu Shukri untuk membawa saya merasai pengalaman menyeberangi Sungai Igan dengan menggunakan feri. Ah... ini peluang baik. Sekurang-kurangnya dapat juga saya merasai pengalaman baru.

Kami bergerak meninggalkan Kapit sehari sebelum Aidiladha. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana rasanya menyambut Aidiladha di tempat yang kami sendiri tidak punya kenalan dan saudara mara. Namun itulah kemanisan perjalanan ini. Kami tiba di terminal penumpang Sibu tepat jam 10.00 pagi. Kedaan di terminal penumpang Sibu pada hari ini agak sibuk Hal ini adalah sesuatu yang lumrah disini. Bot ekspres merupakan satu-satunya penghubung bagi masyarakat Kapit untuk ke Sibu.

Sesak di terminal penumpang Sibu

Kami seterusanya berjalan kaki menuju ke sebuah lagi terminal penumpang lama yang menjadi tempat penumpang-penumpang yang ingin menuju ke Daro. Kedududkannya hanya 300 meter dari terminal penumpang utama ke Kapit. Dari cerita-cerita yang saya dengari dahulu disinilah jeti asal terminal penumpang menuju ke Kapit. Setelah siapnya terminal penumpang yang baru, jeti ini terus beroperasi bagi perjalanan bot ekspres menuju ke Daro, Matu, Igan dan sebagainya. Menariknya, papan tanda lama jeti ini masih dikekalkan walaupun ia tidak lagi mengoperasikan bot ekspres yang menuju ke Kapit.

Kapit Wharf yang membawa anda ke tempat lain

Usai sahaja membeli tiket kami bergerak pula menikmati minum pagi. Tiga jam perjalanan dari Kapit ke Sibu benar-benar membuatkan kami lapar dan dahaga. Tambahan pula bot ekspres kami hanya akan mula bergerak pada jam 11.30 pagi dan kami mempunyai lebihan masa untuk minum pagi. Masalah mula timbul apabila kebanyakan kedai makan di Sibu menutup operasi pada hari ini. Kedai makan yang ada pula dipenuhi dengan pelanggan. Mahu tidak mahu kami terpaksa bersarapan di KFC. Tidak mengapalah, asalkan perut tidak lapar sepanjang perjalanan nanti.

Cikgu Kumaresan dengan menu KFC 

Selesai sahaja menikmati hidangan, kami bergegas ke terminal penumpang untuk menaiki bot ekspres menuju ke Daro. Keadaan agak sesak disini dengan para penumpang yang kebanyakannya dari etnik Melanau berpusu-pusu untuk pulang berhari raya di kampung halaman. Majoriti penduduk di pekan Daro adalah terdiri dari etnik Melanau yang beragama Islam. Saya dapat merasakan sudah pasti ada keunikan yang akan kami temui di Daro. Saya sendiri sudah tidak sabar merasai saat Aidiladaha di Daro. 

Berpusu-pusu untuk pulang berhari raya

Bot ekspres lama yang terdapat di terminal penumpang
menuju ke Daro

Ada durian di atas bumbung bot ekspres kami

Harga tiket bot ekspres bagi perjalanan sehala ke Daro ialah RM17. Masalah mula timbul apabila tempat duduk yang sepatutnya milik kami diisi oleh seorang wanita dengan tiga orang anaknya yang masih kecil. Wanita itu pula hanya membeli tiket bagi sebuah kerusi sahaja sedangkan anak-anaknya telah menduduki kerusi bersebelahan. Mujur jugalah perasaan simpati antara kami agak kuat. Cikgu Kumaresan dengan rela hatinya menukar kerusi ke bahagian depan dan perlu pula menambah bayaran. Saya pula merasa kasihan melihat anak kecil wanita itu yang baru berusia tiga bulan dipangku oleh abangnya yang berusia 5 tahun. Apabila terpandang sahaja bayinya itu terus sahaja saya teringat kepada anak saya yang berada jauh di semenanjung. Akhirnya saya duduk membantu memangku bayi wanita itu. Seronok hati saya melihat bayi itu lelap dalam pangkuan saya.

Tiket bot ekpres ke Daro

Ia terlelap dalam pangkuan saya

Uniknya, Daro bukan terletak di persisiran Sungai Rajang. Sebaliknya bot ekspres yang kami naiki perlu masuk ke sebatang sungai yang menjadi cawangan kepada sungai Rajang. Kuala sungai berkenaan sempit namun agak dalam. Bot ekspres yang kami naiki tidak menghadapi masalah untuk melaluinya.


Bot ekspres kami melalui sebatang sungai yang sempit
sebelum sampai ke Daro.

Kami tiba ke Daro ketika jam sudah menunjukkan angka 2 petang. Jeti penumpang Daro agak kecil. Namun  ia adalah sangat penting kepada penduduk setempat untuk berulang alik ke Sibu. Walaupun Daro sudah mempunyai jalan darat yang membolehkan ia dihubungkan dengan bandar-bandar utama di negeri Sarawak, pengangkutan air ( bot ekspres ) masih lagi penting kepada para penduduk Daro. 

Jati penumpang Daro

Pengangkutan air sememangnya sangat penting
kepada penduduk pekan Daro.

Kami tidak terus meninjau pekan Daro sebaliknya kami mencari dahulu hotel penginapan kami. Rupa-rupanya isteri Cikgu Shukri telah meninggalkan keretanya untuk digunakan oleh kami. Ini benar-benar menyeronokkan kami kerana bukan sahaja pekan Daro dapat kami terokai malahan pekan-pekan berhampiran seperti Matu, Igan dan Oya juga boleh kami lawati. Kami menginap di sebuah hotel yang terletak berdekatan dengan jeti penumpang dan pasar awam pekan Daro. Cas yang dikenakan oleh hotel berkenaan juga amat berpatutan. Cuma yang tidak sedapnya, hanya kami yang menginap di hotel berkenaan pada hari berkenaan. Ia menjadikan suasana hotel berkenaan agak sunyi. Yang menarik berkenaan hotel ini ialah lukisan dindingnya yang bermotifkan lukisan cina. Walaupun kelihatan ringkas namun ianya begitu cantik dan berseni.

Hotel penginapan kami untuk dua malam

Lukisan yang menarik di hotel penginapan kami

Selepas mendaftar masuk ke hotel, perut kami mula mengalunkan lagu-lagu indah mohon diisi. Risau juga hati ini takut jika tiada lagi kedai makan yang masih dibuka pada waktu sebegini. Selepas berlegar-legar di pekan Daro beberapa ketika, Cikgu Shukri membawa kami ke sebuah restoran yang menjadi tempat biasa beliau menjamu selera jika mengunjungi isterinya. Agak banyak juga lauk pauk di restoran ini sayangnya nasi putihnya telah habis. Terasa juga hampa di hati kami namun pemilik restoran berkenaan menyatakan jika kami mahukan nasi goreng ia masih ada dijual. Walaupun terasa aneh juga dengan kata-katanya, kami menerima juga cadangannya dan rasa nasi gorengnya boleh tahan sahaja.

Nasi goreng sebagai makan tengah hari di Daro

Selepas menikmati  makanan tengah hari ( saya tidak menghabiskan hidangan saya ), kami mula meneroka pekan Daro. Secara umumnya pekan Daro merupakan pekan yang maju dan membangun. Banyak bangunan baru dibina namun bangunan lamanya masih kekal hingga kini. Saya masih belum bernafsu untuk mengambil gambar suasana pekan Daro pada hari ini. Saya lebih selesa hanya melihat sahaja pemandangan dan mendiamkan diri di belakang kereta. Daro didiami oleh majoriti etnik Melanau dan kebanyakan mereka beragama Islam. Seronok hati saya melihat suasana kampung Melanau yang keadaan persekitarannya sama dengan kampung-kampung orang Melayu di semenanjung. Surau - surau kerta masjid boleh kelihatan di mana-mana sahaja. Ah... terasa rindu pula dengan kampung halaman di semenanjung.

Pulang sahaja ke hotel mata mula menjadi berat. Agaknya mungkin pengaruh bahan perisa yang banyak digunakan didalm nasi goreng kami tadi. Keletihan perjalanan juga membuatkan kami mudah untuk melelapkan mata. Sedar-sedar sahaja hari sudah mula beransur senja. Keadaan di pekan Daro mula sunyi. Hanya beberapa kedai sahaja yang masih menjalankan operasi. Ketika inilah hati saya mula terasa sebak. Saya rindukan takbir raya. Saya rindukan ibu dan ayah di Bidor dan saya rindukan anak dan isteri saya. Ini malam Aidiladha yang sungguh sepi. Cepat-cepat saya membuka televisyen untuk mendengar takbir raya. Barulah perasaan ini kembali ceria.

Malam itu kami bertiga menikmati hidangan makam malam di medan selera malam Daro ( open air ) yang meriah. Walaupun ini ialah malam hari raya Aidiladha, namun masih ramai yang berniaga. Saya tidak pula berselera untuk makan nasi pada malam ini. Cikgu Kumaresan dan Cikgu Shukri menikmati nasi putih beserta sup tulang manakala saya pula lebih selesa menikmati roti john. Enak juga roti john di Daro dan harganya agak berpatutan. Kami juga mencuba sate ayam dan daging dan rasanya juga agak boleh tahan. Sebelum bergerak meninggalkan medan selera malam ini, sempat juga saya dan Cikgu Kumaresan memesan burger. Sememangnya kami gemar menilai keenakan burger dalam setiap perjalanan yang kami tempuhan dan keputusanya .... burger di Daro agak menghampakan.

Suasana medan selera malam di Daro


Roti john yang enak

Cikgu Syukri kemuadiannya membawa kami meronda melihat pekan Matu yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan darat dari Daro. Kereta kami melalui jalan yang sunyi dan tidak berlampu. Boleh dikira kenderaan yang berselisih dengan kami. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan saya jika bermotosikal seorang diri di jalan ini pada lewat malam. Sudah pasti fikiran akan terbayang makhluk yang hidup di alam lain. Sesekali kami melintasi kawasan perkampungan yang terletak di kiri dan kanan jalan. Dari jendela kereta dapat saya lihat suasana kesibukan masyarakatnya sebelum menyambut Aidiladha keesokan hari.

Memandu malam ke pekan Matu

Pekan Matu pada waktu malam sangat sunyi. Dari samar-samar lampu jalannya saya dapat melihat rumah kedai lamanya yang masih utuh. Kami tidak pula singgah meninjau keadaan pekan itu sebaliknya hanya melalui dan melihat suasana pekannya. Terasa seolah-olah saya kembali ke suatu masa yang lampau. Benar ... saya benar-benar teruja disini. Sayangnya tidak pula saya mengambil gambar pekan ini pada waktu malam sebaliknya hati dan fikiran saya leka khayal menikmati suasana pekan ini. Tidak mengapalah kerana Cikgu Shukri telah berjanji kepada saya untuk singgah semula ke pekan Matu ini pada keesokan hari. Jadi tidaklah saya merasa sesal yang berpanjangan.

Kami seterusnya bergerak terus pulang ke hotel. Saya mengeluarkan baju Melayu yang memang saya bawa dari Kapit dan mengantungkannya di dinding bilik penginapan kami. Terasa mood Aidiladha begitu dekat dengan diri saya. Tidak sabar rasanya menunggu esok hari. Sempat juga saya menghubungi isteri saya di Gemas memohon sejuta keampunan darinya. Benar saya tidak mampu menahan diri saya untuk menangis ketika ini ....

Hari Raya Aidiladha Yang Perit

Saya bangun awal pagi hari ini. Dari jauh sudah terdengar sayup takbir Aidiladha. Saya menjenguk ke luar jendela hotel kelihatannya sudah ramai manusia yang lengkap dengan persalinan hari raya berpusu-pusu menuju ke masjid. Saya dan Cikgu Shukri menuju ke masjid dengan berkereta. Bimbang juga jika kawasan parkir kereta masjid berkenaan telah penuh. Mujurlah ketika kami sampai tepat parkir kereta masih kosong dan jemaah masih kurang.

Baru sahaja sampai ke masjid

Kami bersolat sunat Aidiladha di masjid Tunku Abdul Rahman Daerah Daro. Masjid moden ini agak besar dan lengkap. Sejak saya berkhidmat di Sarawak sememangnya nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu YAM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj amat dihormati dan disanjungi disini. Banyak juga nama-nama bangunan dan jalan dinamakan sempena dengan nama beliau dan inilah kali pertama saya menemui masjid yang dinamakan sempena nama beliau. Sesungguhnya saya menginsafi kata-kata orang tua bahawa harimau mati meninggalkan taring manakala manusia mati meninggalkan jasa. Begitulah Tunku Abdul Rahman ... bapa kemerdekaan Malaysia juga bapa kepada pembentukan persekutuan Malaysia. Semoga Allah SWT menempatkan roh beliau dikalangan mereka yang beriman.

Pintu masuk masjid Tunku Abdul Rahman Daerah Daro

Sempat juga saya meninjau-ninjau keadaan sekeling masjid sebelum memasukinya. Saya agak tertarik dengan kewujudan sebuah makam yang terletak betul-betul dihadapan masjid ini. Anehnya, kawasan berkuburan utama terletak agak jauh dari kawasan masjid. Cuma makam ini sahaja yang tunggal dan terserlah di hadapan masjid. Saya merasakan sudah pasti ada tokoh penting dan besar  yang dikebumikan disini. Namun tidak pula saya bertanyakan kepada para jemaah tentang siapakah yang dimakamkan disitu.

Sebuah makam di hadapan masjid

Terasa nyaman ketika pertama kali saya melangkah masuk ke dalam masjid ini. Bunyi takbir yang bersemangat membuatkan saya juga turut bersemangat untuk bertakbir. Terasa benar-benar meriah melihat jemaah yang berbaju Melayu pelbagai warna. Sesuatu yang unik disini ialah mengenai cara kutipan derma tabung masjid dari jemaah yang dilakukan oleh sekumpulan lelaki ( jika tidak silap saya 6 orang ) yang mengikat kain di pinggang dan memegang bucu kain tersebut bagi membentuk ruang untuk diisi dengan wang yang diderma oleh para jemaah.. Kumpulan lelaki ini akan melalui saf-saf jemaah sambil bersalaman. Jemaah yang ingin menderma akan memasukkan duit didalam kain  yang terikat di pinggang lelaki-lelaki ini. Menariknya, hampir kesemua jemaah akan memasukkan duit ke dalam karung pinggang lelaki-lelaki ini. Jika enam orang yang melalui bermakna enam kalilah mereka menderma. Mujur juga saya ada membawa duit kecil dalam jumlah yang banyak. Dapat juga saya merasai keunikan menderma dan bersedekah seperti ini.

Keadaan di dalam masjid Tunku Abdul Rahman Daro

Setelah tamat solat sunat dan khutbah Aidiladha, saya dan Cikgu Shukri mengambil kesempatan bersalaman dengan jemaah-jemaah yang lain. Ada yang bertanya dari mana kami datang. Seorang lelaki menjemput kami ke rumahnya. Namun terpaksa saya tolak kerana merasa tidak adil pula meninggalkan Cikgu Kumaresan di hotel berseorangan. Sesuatu yang menarik perhatian saya ialah selesai sahaja khutbah dibaca dan jemaah mula keluar, seorang lelaki tua menuju ke arah beduk besar yang terletak di anjung masjid dan memalunya. Agaknya ia adalah suatu adat dan kelaziman disini. Itulah perbezaan dan keunikan apabila berhari raya di tempat orang. Segala pengalaman ini akan memberikan kita sejuta satu pengalaman yang tidak ternilai harganya.

Memalu beduk besar selepas khutbah Aidiladha

Hafez J.Malim bergambar kenangan di dalam
masjid Tunku Abdul Rahman Daro

Saya ternanti-nanti juga jika upacara kurban terus dilakukan selepas itu. Namun hampa setelah dinyatakan bahawa acara korban hanya akan dilakukan pada keesokan hari. Saya memerhatikan sekeliling memang ada seekor lembu bewarna coklat terang tertambat diluar perkarangan masjid. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya saya telah merasakan betapa nikmatnya bersolat di masjid ini. Itu sudah memadai buat saya. Ketika menuju ke kereta, dapat saya lihat suasana menyambut Aidiladha yang meriah dengan penduduk kampung yang kunjug-mengunjungi rumah jiran tetanga. Saya dan Cikgu Shukri hanya tersenyum dan memandang antara satu sama lain. Di fikiran saya ketika ini hanya satu ... apa yang hendak kami makan hari ini ?. 

Lembu korban

Bergambar kenangan di hadapan 
masjid Tunku Abdul Rahman Daro

Ketika sampai di hotel, perut saya sudah mula terasa lapar. Terbayang keenakan juadah raya di kampung halaman sendiri. Ketika inilah baru saya terasa begitu sunyi dan terasing. Sempat juga saya masuk kedalam sebuah kedai runcit yang terletak tidak jauh dari hotel untuk mencari sesuatu yang boleh dimakan. Saya mencapai sebungkus roti dan biskut. Nampaknya inilah hidangan Aidiladha saya tahun ini. Tidak mengapalah ... saya bersyukur juga sekurang-kurangnya saya tidak akan menderita kelaparan !

Hidangan Aidiladha saya di Daro

Kami hanya melepak-lepak sahaja di hotel selepas itu. Menjelang jam 10 pagi, kami mula merasa risau akan mengalami masalah kelaparan. Tahu-tahu sahajalah pada hari raya begini sudah pastilah kebanyakan kedai makan akan menutup operasinya. Setelah berbincang sedalamnya kami bertiga mengambil keputusan untuk bergerak ke Mukah. Di Mukah terdapat restoran makanan segera seperti KFC dan Sugar Bun. Itulah sahaja pilihan yang kami ada. Mahu tidak mahu kami perlu juga ke Mukah. Dan yang pastinya saya akan lebih tesenyum lebar kerana didalam perjalanan ke Mukah itu, kami akan melalui pekan Matu, Igan dan Oya. Inilah tempat-tempat yang sememangnya saya begitu teruja untuk dikunjungi. Tambahan pula kami akan merasai pengalaman menyeberangi sungai dengan menggunakan feri. Ah... benar-benar kelaparan ini membawa tuah kepada saya.

Perjalanan Bermula

Sepanjang perjalanan, kami berbual-bual kosong sahaja. Sesekali kami akan ketawa jika ada perkara-perkara lucu yang dibualkan. Ini menjadikan perjalanan kami tidaklah begitu membosankan. Kiri dan kanan jalan hanyalah kawasan semak samun dan belukar. Sesekali kami akan melintasi kawasan perkampungan dan ladang yang menjadi tempat penduduk setempat mencari rezeki. Yang melucukan hati saya ialah pantang sahaja kami terjumpa kedai-kedai makan pasti ada cadangan untuk singgah. Namun perasaan was-was membuatkan kami membatalkan hasrat itu. Memang pada masa pengembaraan seperti ini soal halal dan haram merupakan perkara yang perlu kami sentiasa patuhi.

Melalui jalan yang sunyi.

Panorama sepanjang perjalanan


Sebelum sampai ke pekan Matu, kami singgah dahulu ke Kampung Sok. Uniknya kampung ini adalah kerana disinilah terletaknya satu-satunya rumah panjang etnik Melanau di dunia ini. Banyak juga cerita yang pernah saya dengari berkenaan rumah panjang ini namun baru kali ini saya dapat menjejakinya. Rumah panjang tradisional ini berusia lebih dari 100 tahun dan mula dibina ketika masayrakat Melanau masih belum  menganut beragama Islam. Terdapat sebuah papan tanda yang menerangkan berkenaan keunikan rumah panjang ini. Dari keterangan papan tanda tersebut dinyatakan hanya individu yang lahir di rumah panjang ini sahaja yang boleh melakukan ubah suai kepada rumah panjang ini. Jika dilakukan oleh individu luar akan berlaku musibah kepada individu berkenaan. Benar atau tidak hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.

Pintu gerbang menyambut kami ke Kampung Sok


Panorama di sekitar rumah panjang Melanau di Kampung Sok


Bergambar kenangan di rumah panjang etnik Melanau
satu-satunya di dunia ini !

Pandangan dari sisi

Kami tidak berlama-lama di Kampung Sok. Selepas mengambil gambar kenangan, kami meneruskan perjalanan kami menuju ke pekan Matu yang telah kami singgahi pada malam tadi. Tidak sabar rasanya menikmati aroma klasik di pekan ini. Masuk sahaja ke pekan ini, kami disambut oleh sebuah bangunan moden dengan bentuk yang unik. Pada pandangan saya inilah mercu tanda utama bagi pekan Matu. Bangunan ini menempatkan sebuah perpustakaan awam serta beberapa kemudahan lain.

Bangunan dengan bentuk yang unik
menyambut kehadiran kami di Matu

Singgah Di Matu

Kami berhenti dan meletakkan kereta berhadapan dengan deretan rumah kedai kayu tua yang menjadi nadi utama pekan Matu. Deretan kedai kayu ini terletak di persisir sebatang sungai yang gelap airnya. Matu kelihatan sunyi.Kedai- kedai yang terdapat disini kelihatan lengang. Hanya sesekali ada beberapa motosikal melewati kami. Saya sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan diri saya jika ditempatkan mengajar disini.Sudah pasti hanya kesunyian yang bermain dihati.

  Deretan kedai kayu di Matu


Salah sebuah kedai yang masih beroperasi

Unik 

Walaupun pekan Matu agak kecil namun saya yakin ia adalah begitu lengkap bagi memenuhi keperluan penduduknya. Di pekan ini juga terdapat dua buah stesyen minyak yang agak klasik. Kemudahan asas lain seperti jalan raya dan elektrik juga baik namun masih ada juga penduduk yang masih menggunakan sungai sebagai pengangkutan utama. Ketika kami sedang enak-enak menenangkan fikiran di tebingan sungainya yang sepi kami dikejutkan dengan deruan enjin perahu penduduk yang mencari keperluan hariannya di pekan Matu ini.Terdapat sebuah jeti kecil yang menjadi tempat perahu untuk berlabuh.

Berehat di pinggir sungai yang tenang

Suasana di tebingan sungai

Jeti kecil untuk perahu di pekan Matu


Saya berjalan kaki sendirian melewati deretan kedai kayu tua pekan ini. Beberapa papan tanda lama benar-benar menarik minat saya.Sukar lagi rasanya menjumpai papan tanda lama jenama SINGER di tanah semenanjung. Tetapi disini ia masih lagi digunakan. Terasa aura klasik masih kuat dan tebal di Matu. Sebuah dewan lama juga menarik minat saya. Namun saya merasa agak takut-takut juga untuk mengambil gambar. Lumrahlah bagi orang musafir seperti saya ini. Kadangkala kehadiran kita akan menimbulkan pandangan negatif bagi penduduk setempat.

Klasik !

Salah satu dari dua buah stesen minyak 
yang terdapat di pekan Matu

Sebuah dewan lama yang klasik

Papan tanda SINGER yang klasik !

Hampir setengah jam kami melepak di pekan Matu. Memang hati saya merasa tenang disini. Ketika melewati jalan utama pekan ini dapat saya rasakan deru pembangunan semakin deras melanda Matu. Pembangunan adalah sesuatu yang tidak dapat kita tolak. Lama-kelamaan sudah pasti nilai klasik pekan Matu seperti yang terlihat pada hari ini akan lenyap dengan sendirinya dan sudah pasti penduduk Matu akan sentiasa merinduinya.

Cikgu Shukri seterusnya membawa kami melihat kawasan sekolah tempat isterinya mengajar. Kami melalui sebuah kampung yang sangat indah.Kampung ini dinamakan kampung Jamoreng. Lanskap kampung itu yang berpaya menjadikannya unik kerana seolah-olah rumah penduduknya dibina di atas sebuah tasik. Binaan rumah penduduknya juga besar dan cantik. Dapat saya lihat ada kesepakatan antara penduduknya dalam menjayakan projek mengindahkan kampung ini.

Kampung Jemoreng yang indah



Usai sahaja melewati Kampung Jemoreng yang indah, kami meneruskan perjalanan kami ke Mukah. Seperti tadi mata kami dijamu dengan pemandangan yang hampir serupa. Apa yang menarik perhatian saya sepanjang perjalanan ini ialah kewujudan kawasan bulatan jalan raya yang agak banyak walaupun untuk persimpangan yang kecil dan kurang sesak. Namun saya sentiasa positif dengan perkara ini. Pada saya bulatan jalan raya ini memainkan peranan penting bagi mengelakkan kemalangan jalan raya.Ia juga memudahkan pengguna jalan raya memilih simpang yang ingin dimasuki.

Naik Feri Menyeberangi Batang Igan

Hampir sahaja kami ke pekan Igan saya sudah mula merasa seronok. Beberapa kilometer di hadapan, kami akan menyeberangi Batang Igan dengan menggunakn feri. Inilah yang saya idamkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Rasa bagaikan tidak lengkap kehidupan saya di Sarawak ini jika tidak dapat merasai pengalaman menggunakan feri menyeberangi sungai Igan ini.

Kami berhenti sebentar di tepi sungai sementara menunggu feri sampai. Apabila feri sampai, kereta yang kami naiki bergerak menaiki feri melalui laluan yang disediakan. Bayaran yang dikenakan bagi perkhidmatan menyeberangi Batang Igan ini ialah RM 1 bagi perjalanan sehala. Apabila kereta sudah diparkir, saya terus meluru keluar dan bebas bergerak melihat keadaaan feri.

Bergerak memasuki feri



Sungai Igan

Satu perkara yang melegakan hati saya ialah diatas feri ini terdapat jualan makanan ringan yang dihasilkan oleh penduduk setempat. Kami tidak melepaskan peluang membeli makanan ringan seperti kerepek dan keropok bagi mengisi perut. Saya pula membedal dua bungkus nasi lemak yang berharga RM1 sebungkus. Pada mulanya terasa was-was juga untuk memakannya. Namun setelah dijelaskan oleh seorang lelaki yang kebetulan bersama saya bahawa yang membuat nasi lemak itu ialah saudara maranya maka segala keraguan itu terus hilang dan berganti dengan rasa kenyang.

Di atas feri menyeberangi Batang Igan

Suasana di atas feri

Kami menuju ke seberang sana

Perjalanan menggunakan feri menyeberangi Batang Igan mengambil masa lebih kurang 15 minit. Seronok saya mendengar bunyi enjin feri yang gagah ini. Sampai sahaja ke seberang, kami singgah sebentar di tandas awam yang memang disediakan di tepi jalan bagi melepaskan hajat yang tertunda. 

Perjalanan diteruskan menuju ke pekan Igan namun kami tidak pula singgah untuk mengambil gambar disini. Kami menetapkan untuk terus menuju ke Mukah bagi mengisi perut dahulu. Sewaktu perjalanan pulang nanti barulah kami akan singgah di Igan dan Oya.Selepas melepasi Igan pemandangan mata kami mula berubah. Di kiri dan kanan jalan kelihatan rumah penduduk - penduduk kampung yang cantik dan tersusun. Tidak ada lagi pemandangan hutan, paya dan ladang. Sesekali kami berselisih dengan gadis-gadis Melanau yang manis. Ada juga senyuman yang dilempar ... ah .. mujur juga saya berkaca mata hitam. hehehehe


50 KM lagi ke Mukah

Kami sampai ke Mukah ketika jam sudah menunjukkan angka 3. Saya sudah dua kali sampai ke Mukah dan banyak dari jalan-jalan di bandar Mukah ini telah saya hafal. Kami menikmati makan tengah hari di restoran Sugar Bun. Hairan juga pekerja restoran berkenaan melihat kami menikmati hidangan makanan segera di hari raya Aidiladha ini. Ah... pedulikan lah dengan pandangan mereka, yang penting perut kami perlu diisi dahulu. Hahahaha

Di Restoran Sugar Bun Mukah

Kami bertiga tidak berlama-lama di Mukah. Sempat juga kami membungkus makanan untuk makan malam kami. Memandangkan hari hampir lewat petang, kami memutuskan untuk bergerak pulang lebih awal. Tambahan pula kami perlu singgah ke Igan dan Oya nanti untuk mengambil gambar.Saya mencadangkan kepada Cikgu Shukri untuk singgah di mana-mana masjid di tepi jalan nanti untuk bersolat jamak. Cadangan saya ini diterima dengan sebaiknya.

Masjid Yang Mendamaikan Jiwa

Kami singgah bersolat di Masjid At-Taqwa Oya. Masjid moden ini sangat mendamaikan saya. Hati terasa tenang bersolat disini. Suasana masjid ini amat nyaman. Saya dapat bersolat dengan kusyuk disini. Tidak tahu pula kenapa saya berperasaan demikian. Mungkin suasana petang yang sepi membuatkan saya merasa tenteram di masjid ini. Saya tertarik dengan kawasan perkuburan yang terdapat di hadapan masjid ini. Kebanyakan dari batu nisan perkuburan ini agak condong. Tertanya-tanya saya sendiri kenapa hal ini terjadi namun segalanya saya pendamkan di dalam hati. Tidak jauh dari masjid kelihatan beberapa individu sedang bergotong royong melapah daging lembu korban. Tersenyum mereka dari jauh apabila melihat saya mengambil gambar mereka dari jauh dan saya membalas senyuman mereka dengan satu senyuman yang ikhlas.

Pintu masuk ke masjid At-Taqwa Oya

Ruang solat yang mendamaikan saya

Papan tanda keterangan pembinaan masjid

Mimbar masjid At-Taqwa Oya

Kawasan perkuburan dihadapan
masjid At-Taqwa Oya yang unik 
dimana kebanyakan
batu nisan nya condong

Bergotong royong melapah daging korban

Melihat Klasiknya Pekan Oya

Perjalanan diteruskan ke pekan Oya. Pekan Oya merupakan sebuah pekan yang tua namun ia begitu sibuk dengan aktiviti penduduknya yang pelbagai. Katika kami singgah ke pekan Oya ini hari sudah mula beransur petang. Sambutan Aidiladha yang dirayakan pada hari ini bagaikan tidak terasa apabila melihat suasana sibuk pekan ini. Dengan deretan bangunan kedai kayu tua yang mendominasi suasana menjadikan keadaan petang ini amat klasik. Cikgu Shukri dan Cikgu Kumaresan tidak turut serta bersama saya melilau mengambil gambar suasana pekan Oya ini. Faktor keletihan menjadikan mereka berdua lebih selesa memerap sahaja di dalam kereta. Saya pula seperti biasalah bersama kamera kesayangan meneroka indahnya petang di pekan Oya.

 Bersedia untuk masuk ke pekan Oya

Pekan Oya sibuk dengan aktiviti penduduknya

Rumah kedai kayu lama yang klasik

Saya meronda bersendirian di pekan Oya ini. Saya melalui deretan kedai kayu tua yang begitu klasik namun masih utuh. Pekan Oya hanyalah merupakan sebuah pekan yang kecil namun ianya adalah begitu lengkap bagi memenuhi keperluan penduduknya. Di pasar terbukanya, kelihatan begitu ramai peniaga yang menjual makanan. Ada peniga yang menegur saya supaya singgah membeli makanan jualan mereka sayangnya ketika itu perut saya masih kenyang. Ketawa besar mereka apabila saya memberitahu mereka bahawa saya sukakan suasana petang di pekan Oya. Tidak mengapalah kerana saya memang tidak berbohong untuk menyatakan apa yang terlintas di fikiran dan hati saya.

Ramai penjaja makanan di pasar terbuka Oya

Tidak jauh dari pasar terbuka Oya terdapat sebuah terminal penumpang kecil. Saya tidak pasti sama ada terminal atau jeti ini masih digunakan atau tidak kerana kemudahan jalan darat yang baik telah dapat menghubungkan pekan Oya dengan bandar-bandar besar yang lain seperti Mukah dan Sibu.Ini secara tidak langsung mengurangkan penggantungan penduduk Oya dengan perkhidamtan pengangkutan air. Namun kawasan tebingan sungai berdekatan dengan jeti ini telah diperindahkan bagi kemudahan rekreasi penduduk Oya. Secara tidak langsung ia memberikan satu kemudahan awam yang berguna kepada penduduk Oya untuk beriadah.

Sebuah jeti kecil di pekan Oya


Saya terus merayau melihat suasana petang pekan Oya. Tidak tahu lagi bila saya akan menjejakkan kaki ke sini semula. Bila memandang ke bangunan kedai lamanya, dapat saya rasakan masa seakan-akan begitu cemburu untuk membunuhnya. Kemodenan adalah suatu perkara yang tidak ditolak. Lambat laun pasti deretan rumah kedai lama ini akan tinggal kenangan sahaja bagi generasi yang pernah melihatnya.


Sebahagian dari pekan Oya

 Sebuah rumah kedai lama yang masih utuh

Setelah puas merayap di pekan Oya, kami meneruskan perjalanan ke Igan. Sempat juga saya mengambil gambar beberapa kemudahan asas yang terdapat di pekan Oya dari dalam kereta. Ketika di Igan, kami tidak pula berhenti sebaliknya hanya meninjau-ninjau sahaja suasananya dari dalam kereta. Saya sendiri agak kurang berminat untuk mengambil gambar pekan ini. Tambahan pula bateri kamera saya sudah mula tinggal sedikit. Saya mahu menjimatkan kuasa bateri kamera saya untuk mengambil gambar di atas feri menyeberangi Batang Igan nanti. Itulah keutamaan saya....

Pejabat Daerah Kecil Oya

 Balai Polis Oya

Sebuah masjid dengan bentuk yang unik.

Lagi Sekali Menaiki Feri

Kami sekali lagi menaiki feri menyeberangi Batang Igan. Kali ini ia terasa begitu asyik dan menyeronokkan. Pancaran mentari petang membuatkan suasana menjadi begitu indah. Tidak dapat saya gambarkan bagaimana perasaan saya ketika itu. Inilah indahnya Sarawak bumi Kenyalang. Empat tahun perkhidmatan saya disini benar-benar membuatkan saya menjadi manusia yang tahu erti bersyukur. Kekuatan dan perpaduan penduduk Sarawak dalam mendepani setiap cabaran itulah yang menjadikan Sarawak unik dan terus kekal sebagai sebuah negeri di dalam Persekutuan Malaysia. Sesungguhnya saya sangat berbangga menjadi pendidik di Bumi Kenyalang ini dan sememangnya Sarawak adalah negeri kedua saya dan saya sangat menyayangi negeri ini!


Bersama Cikgu Kumaresan

Berselisih dengan feri dari arah bertentangan


Indahnya petang di Bantang Igan


Kami tiba di Daro pada jam lapan malam. Suasana di pekan Daro sudah mulai sunyi. Saya sendiri sudah keletihan. Setelah membersihkan diri sempat juga kami keluar minum malam di medan selera malam Daro. Mujur juga ada yang berniaga pada malam ini. Pulang sahaja ke hotel mata saya sudah mula mohon untuk berehat. Tidak sedar jam berapa saya terlelap. Namun yang pastinya saya tidur berdengkur malam itu. Hahahahaha.

Meneroka Pekan Daro

Hari ini merupakan hari terakhir kami di pekan Daro. Saya bangun agak awal pagi ini. Tidak sabar rasanya hati untuk turun dari hotel bagi meneroka keunikan pekan Daro. Mujur juga saya sempat mengecas bateri kamera malam tadi. Jika tidak mahu menangis saya dibuatnya jika gagal mengambil gambar suasana pekan Daro ini.

Kami mengambil keputusan untuk bersarapan dahulu sebelum bersiar-siar. Kami lebih selesa berjalan kaki. Mujur juga sudah banyak kedai makan yang dibuka hari ini. Kami menyelusuri kaki lima deretan kedai kayu tua dan masuk ke sebuah restoran yang kelihatan begitu ramai pelanggan.Saya dan Cikgu Shukri memesan mee goreng dan Cikgu Kumaresan memesan mee jawa. Apa yang dapat saya katakan ialah memang mee goreng di restoran ini amat enak. Belum sempat kami menghabiskan makanan datang seorang lelaki meletakkan beberapa bungkus nasi lemak diatas meja makan kami. Saya dan Cikgu Kumaresan berpandangan sendiri. Tidak lama selepas itu, dua bungkus nasi lemak masuk ke perut kami. 

Ketika mahu membayar harga makanan, kami dikejutkan dengan kenyataan pekerja restoran berkenaan yang menyatakan bahawa hidangan kami tadi telah dibayar. Terkejut kami sendiri mendengar kenyataanya itu. Kami bertanya juga kepada beliau siapakah hamba Allah yang begitu mulia itu dan jawapan dari pekerja kedai itu begitu menghampakan kami kerana beliau tidak mengenali individu tersebut. Saya menggelengkan kepala dan berdoa didalam hati semoga hamba Allah yang baik hati itu mendapat keberkatan di dunia dan akhirat.

Menyelusi kaki lima kedai kayu tua
untuk bersarapan pagi

Enak menikmati juadah sarapan pagi

Berniaga rambutan di kaki lima kedai kayu tua

Selepas bersarapan kami meneruskan sesi rondaan di pekan Daro. Uniknya pekan Daro ialah ia dilatari oleh bangunan lama dan bangunan baru. Ini menjadikan pekan Daro kelihatan moden namun masih mengekalkan suasana lama. Kemudahan asas di pekan ini juga agak lengkap. Beberapa buah stsyen minyak lama masih beroperasi disini. Walaupun tidak mempunyai kemudahan balai bomba, namun pekan Daro masih boleh berbangga kerana mempunyai unit bomba sukarelanya yang tersendiri. Sebuah pasar awam yang besar juga menjadi akses penting kepada penduduk Daro untuk mendapatkan barangan makanan harian. Saya tertarik dengan kewujudan sebuah klinik swasta yang kecil di pekan ini. Menurut Cikgu Shukri, klinik berkenaan hanya dibuka beberapa hari sahaja seminggu. Benar atau tidak kenyataanya tidak pula saya ketahui. Namun memang saya tidak menjumpai klinik swasta lain disini melainkan hanya klinik itu sahaja.

Bangunan kedai baru di Daro

Bangunan kedai kayu lama Daro

Sebuah kedai yang klasik

Bangunan pasukan bomba sukarela Daro

Pekan Daro juga turut dilengkapi dengan
kemudahan perbankan

Stesyen minyak Petronas yang klasik
di pekan Daro


Pasar rakyat Daro

Klinik swasta di pekan Daro

Ketika melalui kawasan terminal penumpang Daro, kami tertarik dengan sebuah tugu berbentuk ikan yang menjadi mercu tanda pekan Daro. Tidak pula saya ketahui jenis ikan yang menjadi ilham kepada tugu ini. Namun pada saya ia begitu unik dan berseni.

Cikgu Shukri dan Cikgu Kumaresan
bergambar kenangan di mercu tanda ikan pekan Daro

Sempat juga kami meninjau-ninjau suasana pasar rakyat Daro selepas itu. Namun masih kurang yang berniaga hari ini. Pasar basah dua tingkat itu menempatkan beberapa buah kedai makan dan kedai barangan am di ruang atasnya. Ramai juga peniaga bumiputra yang mencuba nasib berniaga di pasar ini. Di luar pasar terdapat beberapa raga yang diisi dengan ayam hidup. Rasanya ayam-ayam itu untuk dijual namun Cikgu Shukri menyatakan ayam-ayam tersebut dibela dan bukannya untuk dijual. Lucu saya sendiri mendengar kata-katanya.

Suasana di Pasar Rakyat Daro

Untuk dijual atau diternak?

Kami terus bergerak ke hotel penginapan kami selepas itu. Tepat jam 10 pagi kami bergerak menuju ke terminal penumpang Daro untuk menaiki bot ekspres ke Sibu. Tiada kesesakan di terminal ini dan jumlah penumpang juga agak kurang. Kami bebas memilih tempat duduk di dalam bot ekspres. Tempat duduk didalam bot ekspres ini juga agak selesa dan tidak dibahagikan mengikut kelas. 

Bergerak meinggalkan Daro

Bot ekspres yang membawa kami pulang ke Sibu

Harga tiket ialah RM 17 bagi perjalanan sehala. Sepanjang jalan saya hanya mengelamun sahaja. Sesekali saya menonton tayangan filem yang disediakan oleh pengusaha bot ekspres. Namun hati saya bagaikan tidak terhibur. Bagaikan ada sesuatu yang menggangu hati dan fikiran saya sepanjang perjalanan. Saya terfikir adakah saya akan menikmati lagi perjalanan di bumi Sarawak ini pada masa hadapan ? ... menjelang ke penghujung tahun 2012 ini saya mula dihimpit perasaan cemas dan berbelah bahagi. Keseronokan hidup di Sarawak dicabar oleh kewajipan saya sebagai ketua keluarga di Semenanjung. Saya bagaikan dapat merasakan inilah perjalanan kembara terakhir saya di Sarawak ini. Mahu sahaja saya menangis ketika ini.

Tiket bot ekspres dari Daro ke Sibu

Akhirnya saya terlelap sendiri didalam bot ekspres. Menjelang jam 2 petang bot ekspres kami semakin menghampiri terminal penumpang lama Kapit di Sibu. Ketika menjejakkan kaki ke jeti Sibu saya mengerti inilah pengakhiran kembara saya di bumi Kenyalang dan saya akan sentiasa merinduinya. TAMAT

Sibu

Satu Catatan Tambahan




Saya menulis artikel ini dengan perasaan yang sebak. Benar tekaan hati saya ketika itu bahawa inilah kembara terakhir saya di Bumi Kenyalang tercinta ini. Permohonan pertukaran saya ke Johor telah diluluskan oleh Kementerian Pelajaran pada 3 November 2012 yang lalu. Ini bermakna jodoh perkhidmatan saya di SMK Kapit telah tamat dengan sendirinya pada tarikh berkenaan.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua individu yang pernah membantu sepanjang perkhidmatan saya di Sarawak ini. Saya juga memohon sejuta keampunan andai ada salah dan silap saya sepanjang berada di Sarawak ini.

Saya akan sentiasa mengenang Sarawak sebagai negeri yang berbudi kepada diri saya. Penduduknya menerima kehadiran saya dengan hati yang terbuka malahan membantu saya menjadi lebih dekat dengan istilah perpaduan. Di Sarawak saya menjadi cikgu yang luas makna dan ertinya. Inilah uniknya Sarawak. InsyaAllah disuatu hari dan masa yang mendatang pasti saya akan ke Sarawak semula bagi membeli budi dan kasih yang pernah diberikan Sarawak kepada diri saya.

Tanggal 7 November 2012 saya bergerak meninggalkan Sarawak. Jumpa lagi Sarawak !

Terima kasih Sarawak .... saya akan sentiasa mencintaimu Ibu Pertiwiku !









TERIMA KASIH SARAWAK

$
0
0

Rasanya bagaikan baru sebentar sahaja saya menjejakkan kaki ke negeri Sarawak. Masih teringat lagi tanggal 11 November 2008 ketika pertama kali menaiki kapal terbang untuk penempatan pertama saya sebagai guru di SMK Kapit, berbagai-bagai perkara bermain di fikiran. Soalan pertama yang bermain di benak saya pastinya mampukah saya membiasakan diri dengan suasana di tempat baru nanti ? ... Ah .. semuanya membuatkan saya kecut perut !

Tarikh pertama kali saya menjejakkan kaki ke Sarawak
tertera jelas pada cop Imigresen di Dokumen Perjalanan Terhad
milik saya.

Saya melaporkan diri untuk bertugas di SMK Kapit pada tarikh 14 November 2008 bersama dengan 10 orang orang rakan guru baru. Anehnya kami semua melapor diri pada musim cuti sekolah dan keadaan sekolah pada waktu itu sunyi. Yang ada hanyalah kakitangan kumpulan sokongan serta beberapa orang guru pentadbir Namun sesi orientasi guru -guru baru selama dua minggu tetap berjalan dengan sempurna walaupun kami mula dibebani dengan masalah kewangan.

Hafez J.Malim bersama teman-teman guru baru 
SMK Kapit penempatan November 2008

Di Kapit, saya tinggal serumah dengan kesemua rakan-rakan guru baru yang ditempatkan bersama-sama dengan saya. Uniknya di rumah sewa ini tersemat satu ikatan perpaduan yang erat di kalangan kami, kerana terdapat juga tiga orang rakan guru berbangsa Cina yang tinggal bersama. Anehnya rumah sewa kami ini bercantum dengan sebuah kedai tayar dan kedai membaiki pendingin hawa sehingga rumah sewa ini digelar asrama tayar oleh sebilangan teman-teman guru di Kapit. Begitulah hal rumah sewa ini yang silih berganti ahlinya namun ahli-ahli asal tetap setia di sini sementara menantikan saat pertukaran dan akhirnya kini tiba pula giliran saya untuk bertukar dan meninggalkan rumah sewa yang amat nostalgia ini.

Pandangan dari sisi rumah sewa saya di Kapit

Kedai tayar di sebelah rumah sewa

Rumah sewa dengan 11 bilik ini dahulunya sangat meriah. Boleh dikatakan disinilah pelbagai aktiviti kami dirancang dan dilaksanakan. Dengan jarak kami guru-guru yang berasal dari Semenanjung yang jauh dari keluarga menjadikan ikatan antara kami begitu rapat. Bukan sahaja dikalangan ahli rumah sewa malahan meliputi hampir keseluruhan rakan guru di SMK Kapit. Aktiviti berkelah, lawatan, perlawanan bola sepak dan futsal, membuat kain rentang untuk pelbagai aktiviti sekolah, jamuan bulan puasa dan hari raya dan begitu banyak aktiviti semuanya pernah kami laksanakan di rumah sewa ini. Tidak hairanlah pernah rakan-rakan guru di sekolah lain menggelarkan rumah sewa kami ini sebagai pusat kegiatan guru semenanjung yang tidak rasmi.

Kenangan berbuka puasa kali pertama di 
Kapit pada tahun 2009 bersama 
Cikgu Firdaus dan Cikgu Shukri.

Ahli-ahli rumah sewa menggayakan baju baru kelab 
guru SMK Kapit di halaman rumah sewa

Aidiladha 2011 di Kapit

Jamuan berbuka puasa terakhir tahun 2012

Itu tentang rumah sewa. Di SMK Kapit lain pula ceritanya. Sebagai sebuah sekolah menengah luar bandar yang mempunyai jumlah pelajar yang agak ramai, SMK Kapit tidak lari dari menghadapi pelbagai masalah terutamanya dari segi infrastruktur. Ketika tahun-tahun awal saya di Kapit, SMK Kapit masih lagi menggunakan asrama kayu lama yang amat daif. Hinggalah akhirnya masalah ini dapat diatasi dengan pembinaan asrama baru yang canggih dan selesa yang mula digunakan awal tahun ini.

Logo SMK Kapit

SMK Kapit sekolah yang sangat indah. Terletah di lembah perbukitan menjadikan suasana di sekolah ini amat segar dan nyaman. Seronoknya mengajar disini ialah majoriti dari guru-gurunya ialah dikalangan yang berusia bawah 30 tahun. Guru-guru senior agak minoriti di sekolah ini dan ia menjadikan iklim geopolitik sekolah agak stabil. Hubungan antara guru yang terdiri dari pelbagai latar negeri dan etnik amat baik. Malah kerjasama diantara kami adalah cukup erat. Inilah yang menjadikan SMK Kapit begitu lekat di hati dan jiwa saya. Di sini saya meneroka setiap potensi diri saya tanpa gentar akan cabaran. Alhamdulillah berkat hasil usaha saya di SMK Kapit akhirnya membuahkan hasil apabila pihak sekolah memilih saya menerima anugerah perkhidmatan cemerlang pada tahun 2012 ini. Ia adalah hadiah paling bermakna kepada saya sebelum perkhidmatan saya ditukarkan ke Batu Pahat.

Gambar kenangan guru-guru sesi pagi SMK Kapit
pada tahun 2011.

Panorama SMK Kapit dari atas bukit

Hafez J.Malim bersama kontigen SMK Kapit
semasa perarakan sambutan Maulidul Rasul
peringkat bahagian Kapit 2011.

Bersama AJK Pelaksana pertandingan Battle Of The Band
pada tahun 2011.

Gotong royong bersama teman-teman guru
menyediakan kawasan tapak perkhemahan bersepadu
unit beruniform SMK Kapit 2011

Hafez J.Malim ( kanan ) sewaktu beraksi dengan pasukan 
Kapit SFA dalam kejohanan bolasepak Piala Merdeka Kapit.

Menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dari
Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak
 Encik Abdillah Bin Adam

Ketika menjadi pengerusi 
Kelab Bilik Guru SMK Kapit tahun 2011
menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada
seorang pemenang

Di SMK Kapit juga saya mula mengasah minat saya dalam bidang penulisan blog. Blog Indahrasajmalim ini juga dizahirkan di Kapit ini. Jadi adalah tidak menghairankan kebanyakan artikel dalam blog ini ditulis di Kapit walaupun bahan-bahan penulisannya didapati dari tanah semenanjung. Walaupun begitu, penghasilan puisi saya agak merudum ketika di Kapit ini namun masih aktif. Sebuah lagu puisi saya yang berjudul "Impian 1 Malaysia" berjaya mewakili bahagian Kapit ke pertandingan lagu puisi peringkat negeri Sarawak setelah berjaya menjadi juara bahagian Kapit. Sayangnya lagu ini tewas pula pada peringkat negeri. Saya juga agak aktif dalam beberapa program kesenian di sini. Ini menjadikan pengalaman saya bertambah meluas.

Sedang mendaklamasikan puisi ciptaan sendiri
yang berjudul "Cikgu Ku Yang Ku Jumpa Kelmarin"
ketika sambutan hari guru peringkat SMK Kapit tahun 2011.

Saya berbaju merah bermain bonggo untuk kumpulan 
Sidek  Superfriend ketika sambutan hari guru 2011

Sibuk menghasilkan kain rentang bersama Cikgu Mazlan

Saya juga terlibat dengan agak aktif dalam beberapa aktiviti kemasyarakatan di Kapit ini. Seringkali juga saya mengikuti aktiviti kebajikan yang dianjurkan oleh rakan-rakan guru ke rumah-rumah panjang yang didiami oleh masyarakat Iban. Saya juga dapat menikmati pengalaman baru ketika kunjungan-kunjungan ini kerana ia memberikan persepsi baru kepada saya berkenaan dengan betapa pentingnya perpaduan.

Saya juga dengan beberapa orang guru SMK Kapit berusaha meneruskan aktiviti bacaan yasin dan pengajaran muqaddam serta Al-Quran kepada pelajar etnik Kenyah Muslim yang tinggal di asrama SMK Kapit pada setiap Khamis malam Jumaat secara sukarela. Pada setiap malam di bulan puasa pula kami guru-guru muslim SMK Kapit akan berterawih bersama pelajar etnik Kenyah muslim ini di surau SMK Kapit. Kami akan mengutip sedikit derma dari rakan-rakan guru bagi menyediakan juadah moreh. Alangkah indahnya saat itu. Dalam ketiadaan dan kekurangan, rezeki yang ada tetap dikongsi dengan rasa syukur.

Lawatan ke Rumah Lintang, Katibas pada tahun 2010

Lawatan ke Kampung Long Busang yang mengambil
masa perjalanan selama 9 jam.

Hafez J.Malim bersama teman-teman guru semenanjung
ketika berkunjung ke satu majlis perkahwinan penduduk Melayu
tempatan Kapit.

Saya ketika menyuarakan ketidakpuasan hati
berkenaan isu pendidikan khas di bahagian Kapit
dalam satu seminar yang dianjurkan oleh JPN Sarawak.

Moreh selepas solat terawih di surau SMK Kapit

Tidak ada hiburan yang menyeronokkan di Kapit ini. Namun jika kena pada masa dan tempatnya, hari cuti hujung minggu saya akan terisi dengan aktiviti yang menyeronokkan. Antara aktiviti utama saya semasa berada di Kapit pada hujung minggu ialah beriadah bersama teman-teman. Biasanya kami akan berkelah sambil mandi-manda di sungai. Sesekali saya dan teman-teman bergotong royong memasak pansuh atau membakar BBQ. Aktiviti ini menjadikan perhubungan antara rakan-rakan guru menjadi erat. Saya juga seringkali bermain futsal ataupun bola sepak jalanan semasa tahun-tahun awal di Kapit. Selepas sahaja mendirikan rumah tangga, saya agak kurang bersukan. Agaknya itulah punca utama berat badan saya agak meningkat.

Bersama teman-teman serumah berkelah di Sungai Pelajau
dalam tahun 2009.

Memasak pansuh di tepi sungai

Bersama Cikgu Ahmad dan Cikgu Hafiezh berkelah di 
Sungai Sebuluh

Bergambar kenangan selepas bermain bolasepak jalanan
di Lapangan Terbang Lama Kapit.

Bersama Penolong kanan 1 SMK Kapit 
Cikgu Kuiek Bon Siau ( baju hijau ) dan Cikgu Kumaresan
( baju hitam ) melawat sahabat Cikgu Taqiuddin ( baju pengakap )
di suatu perkhemahan.

Jika dibandingkan dengan Program Pendidikan Khas Integrasi ( PPKI ) SMK Kapit dengan PPKI yang terdapat di bandar adalah umpama langit dengan bumi. Ketika pertama kali menjejakkan kaki ke PPKI SMK Kapit pada tahun 2008 saya tahu bahawa cabaran mengajar disini jauh lebih mencabar. Kemudahan yang terdapat di kelas pendidikan khas SMK Kapit masih belum mencukupi. Malahan kami menghadapi masalah bekalan elektrik pada tahun pertama, kedua dan ketiga saya disini. Begitu juga dengan masalah air yang tidak disalurkan kedalam kelas sehingga menyukarkan kami melakukan aktiviti masakan. Syukur ke hadrat Allah SWT, hasil usaha yang berterusan masalah air dan elektrik yang membelenggu kelas kami dapat diatasi atas bantuan banyak pihak.

Logo PPKI SMK Kapit

Begitu juga dengan masalah lain seperti peralatan kelas yang kurang sempurna seperti meja dan kerusi semuanya dapat diatasi malahan saya sangat bersyukur kerana kerusi dan meja pelajar kelas pendidikan khas tidak pernah rosak malahan terus kekal kukuh sehingga kini. Pernah suatu ketika dahulu kelas pendidikan khas tingkatan 1 dan 2 bergilir-gilir menggondol kemenangan kelas terbersih di SMK Kapit setiap minggu. Sayangnya penyertaan kelas pendidikan khas dalam pertendingan keceriaan diketepikan akibat dari bantahan dari kelas-kelas biasa ( termasuklah kelas tingkatan enam ) yang sememangnya tidak akan mampu menandingi kelas pendidikan khas.

Kelas PPKI SMK Kapit

Tidak banyak aktiviti yang dapat saya jalankan sepanjang empat tahun di PPKI SMK Kapit. Namun didalam ketidakcukupan itu dapat juga saya menjalankan aktiviti seperti program perkhemahan, perjumpaan ibu bapa, aktiviti masakan, sukaneka, lawatan ke muzium kapit dan pelbagai aktiviti lain. Walaupun hanya berskala kecil namun ia memberikan kepuasan yang tidak terhingga kepada diri saya.

Jamuan tahunan PPKI

Lawatan meretas pembelajaran ke Muzium Kapit

Jika di bandar, guru-guru PPKI biasanya tidak akan menghadapi masalah dalam mendapatkan kad OKU kerana ibu bapa pelajar berupaya untuk memohon kad berkenaan tanpa bantuan guru. Namun hakikatnya di Kapit ini, gurulah yang menjadi harapan ibu bapa untuk mendapatkan kad OKU bagi melayakkan anak mereka menerima Elaun Murid Khas ( EMK ). Ketika di tahun pertama saya di sini, masih ramai pelajar OKU di sekolah ini masih belum mempunyai kad OKU. Alhamdulillah, menjelang tamatnya perkhidmatan saya di Kapit, keseluruhan pelajar-pelajar OKU dalam jagaan saya telah memiliki kad OKU.

Semasa berkhidmat di Sarawak juga saya sempat berkunjung ke tempat-tempat menarik yang terdapat disini. Kebanyakan dari perjalanan - perjalanan itu sempat saya nukilkan di dalam blog perkongsian ini. Sekurang-kurangnya bila rindu bertandang salam kepada saya, dapat juga saya menyambutnya dengan membaca catatan-catatan lama berkenaan. Antara bandar dan pekan dalam negeri Sarawak yang pernah saya kunjungi ialah Kuching, Sibu, Sri Aman, Sarikei, Bintanggor, Mukah, Oya, Matu, Daro, Bintulu, Song, Serian dan pelbagai lagi. Cumanya saya agak terkilan kerana impian saya untuk menjejak pekan Belaga sehingga kini masih tidak kesampaian. Itulah yang menjadi kekesalan saya sehingga ke hari ini.

Ketika berkunjung ke 
Kampung Long Busang dalam daerah Belaga

Bersama Cikgu Kumaresan di atas
 feri menyeberangi Batang Igan

Ke pekan Song

Melawat teman lama di pekan Bintanggor

Semasa di Bintulu

Namun, semuanya itu telah berlalu dan kekal di ingatan saya sepanjang hayat. Sarawak dan penduduknya yang menerima kehadiran saya dengan semurni hati benar-benar membuatkan saya sebak. Terasa begitu rindu untuk bertutur dalam bahasa Iban yang menjadi bahasa pengantaraan utama penduduk Kapit. Walaupun saya masih baru empat tahun di Kapit namun saya mudah sekali menerima bahasa Iban dalam pertuturan seharian saya dengan pelajar mahupun ibu bapa. 

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada :

  • Cikgu Ananthan A/L Subramaniam ( mantan pengetua SMK Kapit selaku ketua jabatan saya yang pertama ) 
  • Cikgu Manggi@Manggie Ak Nyegang ( Pengetua SMK Kapit )
  • Cikgu Kuiek Bon Siau ( Penolong Kanan 1 SMK Kapit yang sentiasa bersabar dengan kerenah saya dan rakan-rakan )
  • Cikgu Abdul Rahman Nicholas ( PK Ko-Kurikulum SMK Kapit )
  • Cikgu Ana Ak Rantai ( PK Tingkatan 6 SMK Kapit yang sentiasa mempercayai kebolehan saya )
  • Ustazah Aminah Bt Salleh ( Guru kanan kemanusiaan SMK Kapit yang saya anggap sebagai kakak kandung saya sendiri )
  • Cikgu Norizal Bin Mustafa ( mantan Guru kanan Teknik dan Vokasional SMK Kapit - individu pertama di SMK Kapit yang saya kenali. )
  • Sahabat yang saya anggap sebagai saudara sehidup semati iaitu Cikgu Kumaresan A/L Saminathan, Cikgu Mohd Shukri Bin Alias, Cikgu Mohd Shahrul Bin Roslan dan Cikgu Hafis Bin Mohd Dom.
  • Geng Asrama Tayar ( watak-watak jahat sama ada yang masih ada ataupun yang sudah pergi )
  • Para Anggota Kakitangan Sokongan SMK Kapit yang sentiasa bersabar dengan kerenah saya
  • My luvly penyelaras PPKI SMK Kapit - BOSS Rosman Mohd Sulaiman dan konco-konconya Encik Merum Amba, Encik Tajery Yusoff, satu - satunya amoi Cina yang paling saya sayangi di dunia ini iaitu Cik Tay Hun Chin, adinda Entia Ak Bangau dan kakak yang banyak mengajar saya hal ehwal wanita Puan Sylvia Jingga.
  • Staff Guru SMK Kapit yang best ( banyak sangat tak dapat nak tulis nama )
  • Pakcik Posmen yang nasi goreng sayap panggangnya paling terbaik di Kapit.
  • Encik Abang Khairul selaku kakitangan Pos Malaysia Kapit yang sentiasa menyimpan Sampul Surat Hari Pertama untuk saya.
  • Anak-anak murid saya di PPKI SMK Kapit
  • Kadet-kadet KRS yang sangat saya sayangi
  • Pelajar-pelajar SMK Kapit yang sentiasa memberikan cerita baru kepada saya
  • kepada jutaan penduduk Sarawak yang memahami bahawa perpaduan adalah tonggak utama penyatuan bangsa.
Tanggal 7 November 2012 saya bergerak meninggalkan Sarawak dengan sejuta satu kenangan yang manis. Tidak ketahuan lagi bilakah saya akan menjejakkan kaki ke sini semula namun percayalah, Sarawak akan terus kekal sebagai sebuah negeri yang begitu dekat di hati saya. 

Saya akan selalu merinduimu selalu Sarawak !









Catatan Sebuah Buku : Tinta Rustam A.Sani

$
0
0

Kedai Buku Yang Menyerikan Sukma

Sudah lama sebenarnya buku ini berada didalam simpanan saya. Saya membelinya di sebuah kedai buku yang menjadi wakil jualan buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ( DBP ) di bandar Batu Pahat. Melonjak girang saya apabila pertama kali terpandang papan tanda kedai buku ini hingga membuatkan isteri saya kehairanan. Jawapan saya padanya senang sahaja .... sudah pasti saya mudah mendapatkan koleksi buku terbaru terbitan DBP sekiranya gian membaca saya datang. Membaca sememangnya hobi saya sejak dari kecil lagi. Jadi adalah tidak menghairankan saya tidak akan lokek menabur duit untuk mendapatkan buku-buku yang menjadi kegilaan diri saya !.

Isteri saya yang agaknya tidak kuasa melayan permintaan saya untuk ke kedai buku berkenaan terus sahaja membawa saya singgah ke kedai berkenaan. Ah ... terasa bahagia memiliki isteri yang memahami setiap denyut nadi pemikiran saya. Saya tidak terus masuk ke kedai ini sebaliknya meninjau-ninjau dahulu keadaannya dari luar. Nampaknya banyak juga koleksi yang terdapat di kedai buku ini. Saya mengajak isteri saya masuk ke dalam dan beliau menurutinya. Terliur juga saya apabila terpandang koleksi buku yang terdapat di kedai ini. Walaupun sebuah kedai kecil namun jenisan buku yang dijual disini adalah begitu lengkap. Ini ditambah dengan peranannya sebagai wakil jualan DBP, maka adalah tidak menghairankan jika buku-buku yang sukar didapati juga boleh dijumpai disini asalkan pandai mencari.

Saya meminati buku-buku bebentuk biografi atau autobiografi tokoh-tokoh yang terkenal di Malaysia. Selain itu, saya juga turut meminati buku-buku yang menyingkap berkenaan dengan sejarah Malaysia. Hal ini mungkin berkait rapat dengan minat saya terhadap ilmu sejarah terutamanya yang berkaitan dengan ketamadunan Melayu.

Saya juga gemar membaca novel namun ianya lebih terarah kepada novel bergenre berat seperti karya sasterawan negara ataupun penulis mapan. Sejujurnya, saya tidak pernah mencuba langsung membaca novel-novel ringan dan picisan yang membicarakan soal cinta walaupun sesetengah rakan-rakan begitu berminat membacanya. Pada saya membaca novel bergenre berat memberikan saya suatu kenikmatan kerana terdapat unsur estetika dan keintelektualan didalamnya. Ia juga menjadi cerminan masyarakat yang sebenar-benarnya. Antara sasterawan besar yang benar- benar mempengaruhi pembacaan saya ialah Sasterawan Negara Abdullah Hussain dan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Sehingga kini saya masih boleh membaca karya mereka berulang kali tanpa jemu. Karya mereka padat dengan ilmu dan jati diri keMelayuan yang tinggi.

SN Abdullah Hussain

SN Shahnon Ahmad

Saya melilau di dalam kedai buku ini untuk mencari buku yang kena dengan citarasa saya. Isteri saya pula lebih selesa membiarkan saya tenggelam dengan dunia saya sendiri. Terdapat beberapa buah buku yang saya rasa begitu kena dengan cita rasa saya namun sayangnya saya tidak membawa ongkos yang banyak. Akhirnya, saya memilih sebuah buku yang lebih bersifat akademik hasil tulisan Allahyarham Rustam A.Sani. Ia bukan sebuah buku biografi, sejarah ataupun novel. Sebaliknya ia sebuah buku yang mengandungi koleksi esei ilmiah Rustam A.Sani yang diterbitkan antara tahun 1988 hingga 1993 di dalam majalah Dewan Masyarakat terbitan DBP.

Siapa Rustam A.Sani ?

Allahyarham Rustam A.Sani

Sebenarnya saya agak bertuah kerana sedari remaja lagi saya sudah mendengar nama susuk tubuh yang bernama Rustam A.Sani ini. Rasanya kali pertama saya mendengar nama ini ialah ketika saya mula berjinak-jinak mencari fahaman atau ideologi politik kepartian yang sesuai dengan diri. Kebetulan pada ketika itu Rustam A.Sani ialah Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaysia ( PRM ) yang dikatakan kesinambungan dari Parti Sosialis Rakyat Malaya ( PSRM ), jadi secara tidak langsung nama Rustam A.Sani agak lekat di pemikiran saya. Tambahan pula beliau adalah putera kepada Allahyarham Ahmad Boestamam yang merupakan salah seorang patriot nasionalis kemerdekaan Malaysia.

Rustam A.Sani sebenarnya merupakan seorang tokoh intelektual dan akademik yang hebat. Sepanjang hidupnya beliau seringkali menghasilkan penilisan-penulisan ilmiah yang bersifat ilmiah dan lontaran idea. Namun demikian seperti juga ayahandanya, beliau juga berupaya menghasilkan karya-karya sastera yang berkualiti terutamanya dalam bidang puisi. Salah sebuah buku kumpulan puisinya yang terkenal berjudul Riak-riak Kecil yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1977. Selain itu beliau juga memberi sumbangan besar menerusi peranannya sebagai seorang penterjemah karya-karya kreatif dari negara asing yang seterusnya memberi faedah yang bukan sedikit kepada pembaca di Malaysia untuk mengikuti karya-karya yang bermutu dari luar negara. Maka tidak hairahlah namanya turut tersenarai dalam buku WAJAH  yang menghimpunkan biografi 100 penulis terkenal tanah air yang diterbitkan pada tahun 1981.

Keterlibatan beliau di dalam politik juga agak lewat walaupun dilahirkan sebagai anak jagoan politik Malaysia. Ini mungkin berkait rapat dengan kegiatannya sebagai seorang intelektual dalam kalangan masyarakat. Malahan ketika menjadi Pengarah Penerbitan dan Ketua Editor di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, beliau dilihat sebagai salah seorang pemikir yang memainkan peranan yang amat besar dalam memberikan komentar terhadap dasar atau perkara baru  yang cuba dijalankan oleh kerajaan.

Parti Rakyat Malaysia ( PRM )

Penyertaannya di dalam Parti Rakyat Malaysia ( PRM ) pada tahun 1999 ibarat seperti" sireh pulang ke gagang". Hal ini adalah kerana PRM yang ditubuhkan pada tahun 1955 adalah diasaskan oleh ayahanda beliau sendiri iaitu Ahmad Boestamam. Beliau sempat menjadi naib presiden parti ini sebelum PRM bergabung dengan parti keADILan bagi membentuk Parti Keadilan Rakyat ( PKR ) sehingga kini. 

Keterlibatan Rustam A.Sani di dalam politik kepartian membuka pula satu segmen baru kepada beliau di dalam bidang penulisan. Mengikut Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin di dalam kolum kata pengantar buku Tinta Rustam A. Sani yang menyatakan :
" Pada tahun 1999 dan selepasnya, seperti yang disebut sebentar tadi, apa yang dihasilkan beliau ( Rustam A.Sani ) tidak lagi atas tuntutan akademik, sebagai seorang pensyarah universiti atau sebagai seorang penyelidik di sebuah pusat pengajian ilmiah di universiti. Secara sedar dan terbuka beliau menulis untuk kepentingan ideologi politik kepartian yang diperjuangkannya ".
Namun sesuatu yang mengujakan ialah, kehebatan penulisan beliau ( walaupun bersifat politik ) masih juga bersifat intelektual sehingga ia memberikan satu peluru yang sangat berkesan bagi parti politik dokongannya mencabar parti lawan.

Rustam A.Sani yang dilahirkan di Ipoh Perak pada tanggal 11 Ogos 1944 akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam usia 64 tahun  di Gombak pada tanggal 23 April 2008. Saya mengetahui pemergiaannya menerusi internet. Sehinggalah 4 tahun pemergian beliau, barulah kini saya dapat membaca koleksi tulisannya sebelum tahun 1999 menerusi buku ini. Benarlah kata pepatah "harimau mati meningglkan belang..manusia mati meninggalkan nama". Rustam A.Sani tetap dikenang sebagai seorang tokoh intelektual bangsa Malaysia sampai bila-bila.

Tinta Rustam A.Sani Yang Hebat !



Pertama kali membaca buku ini ibarat mengembalikan diri semula ke zaman-zaman transisi Malaysia ke arah negara maju di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. Ketika tahun 1988 sehingga 1993, saya masih lagi menjalani kehidupan sebagai seorang kanak-kanak dan semestinya tidak memahami isu, peristiwa atau permasalahan rakyat yang berlaku di negara itu. Membaca buku ini memberikan saya kefahaman baru berkenaan perbagai perkara yang selama ini dianggap sebagai hal yang remeh.

Buku ini menghimpunkan sejumlah 48 buah artikel Rustam A.Sani yang dimuatkan dalam majalah Dewan Masyarakat dari tahun 1988 sehingga ke tahun 1993. Keseluruhan 48 buah artikel ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Bahagian 1 yang mengandungi 28 artikel berkenaan dengan perkara sosial dan budaya. Bahagian 2 pula adalah artikel-artikel yang menyentuh berkenaan soal politik dan negara yang berjumlah 20 buah.

Isu-isu yang dikupas oleh Rustam A.Sani sebenarnya sangat lekat dalam kehidupan masyarakat malahan terus relevan hingga kini seperti isu dilema orang Melayu, hal-hal sastera, kehidupan masyarakat kota, institusi keluarga, bahasa, pendidikan, hubungan diplomatik dengan negara tetangga, nasionalis dan pelbagal hal lain. Beliau bagaikan merentas zaman apabila mengulas dengan berhemah dan bijaksana tentang sesuatu isu yang pada zamannya bukanlah satu isu yang besar namun menjadi isu yang besar pada hari ini. Sebagai contoh ialah berkenaan dengan tafsiran sejarah kepada tokoh-tokoh Melayu yang menjadi penggerak Partai Komunis Malaya ( PKM ) yang hangat diperdebatkan baru-baru ini sebenarnya telah diulas oleh Rustam A.Sani melalui artikelnya yang berjudul "Shamsiah Fakeh dan Tafsiran Sejarah" yang tersiar di Dewan Masyarakat keluaran Mei 1991 atau 21 tahun yang lalu.

Beberapa isu hangat yang berlaku ketika pentadbiran Tun Mahathir juga diperjelaskan dengan begitu akademik. Antara yang menarik minat saya ialah berkenaan isu kekebalan institusi beraja yang berlaku dalam tahun 1992. Inilah kelebihan Rustam A.Sani dalam memberikan hujahan. Suatu ketika dahulu, saya menganggap isu pemansuhan kekebalan raja-raja ini merugikan orang Melayu sendiri namun apabila membaca artikel beliau yang bertajuk "Mematangkan Institusi Raja" ( Dewan Mayarakat, April 1992 ), saya menjadi lebih jelas kenapa dan mengapa perlunya kekebalan ini dikurangkan.

Soal Melayu juga menjadi hal yang sangat dominan dalam penulisan artikel-artikel beliau. Terdapat lapan tajuk artikel dalam buku iniyang mengandungi frasa Melayu. Jadi adalah tidak adil untuk menyatakan Rustam ialah seorang sosialis kerana jauh sebelum perjalanan politiknya dalam PRM beliau adalah seorang yang berjiwa nasionalis malah salah sebuah artikel beliau berjudul "Nasionalisme Melayu" juga pernah disiarkan di dalam Dewan Masyarakat keluaran November 1992.

Namun demikian, seperti yang tertulis di atas tadi, buku ini lebih terarah kepada pemikiran Rustam A.Sani ketika dan sebelum beliau menjadi aktivis politik. Buku ini adalah cerminan penghormatan masyarakat terhadap keintelektual beliau tanpa menjejaskan pegangan politik yang didokongnya. Ia sesuai dibaca oleh semua ahli golongan masyarakat tanpa mengira fahaman politik kerana apa yang terkandung di dalamnya ialah satu suara bebas yang penuh fakta, jitu dan berkualiti. Saya mengakui sedikit sebanyak saya agak terpengaruh dengan tulisan-tulisannya walaupun sesekali saya mengambil masa yang agak lama untuk memahami sesuatu isu yang diperbincangkan.

Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ini diterbitkan pada tahun 2011 dan berharga RM30. Kata pengantar buku ini ditangani oleh Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin iaitu Pengarah Institut Kajian Etnik ( KITA ), Universiti Kebangsaan Malaysiua ( UKM ). Pada akhir kata pengantarnya, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin menyatakan :
Kita tahu pendirian Rustam sebelum tahun 1999, seperti terjelma dalam koleksi esei ini. Kita juga tahu perubahan pendirian Rustam selepas tahun 1999, seperti terjelma dalam tulisannya yang tidak termasuk dalam koleksi esei ini. Sebelum atau selepas 1999, Rustam tetap merupakan seorang penulis yang hebat dan disegani, biarpun kita tidak bersetuju dengan sebahagian ideologi  dan idealisme beliau itu. Pepatah berkata " patah tumbuh hilang berganti" dan P.Ramlee pula telah mengeluh dengan lagunya " Di mana kan ku cari ganti.
Dalam kes Rustam nampaknya belum ada ganti, itu pun kalau ada, InsyaAllah ....
Dan apabila saya membaca frasa akhir itu, diakui .... saya mengakuinya dengan bersungguh-sungguh !

AL-FATIHAH
 UNTUK 
RUSTAM A.SANI DAN AHMAD BOESTAMAM


Rujukan :

Baharuddin Zainal, Safian Hussain, Sarah Sadon, A.M Thani, Wajah ( Biografi 100 Penulis ), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1981.

Rustam A.Sani, Tinta Rustam A.Sani , Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2011

http://en.wikipedia.org/wiki/Rustam_Sani

http://www.tentang-rustam.blogspot.com/

http://www.karya-merdeka.blogspot.com/

http://farihinzul1974.blogspot.com/2012/02/isu-kenegaraan-kekebalan-raja-raja.html









         




Mengenang Suatu Masa Yang Telah Berlalu 2

$
0
0
Hafez J.Malim Menjual Kain


Dalam usia remaja yang penuh dengan cabaran kehidupan, saya jarang melepaskan peluang yang terhidang di depan mata untuk menambahkan wang saku. Walaupun sudah menjadi kedi dan memperoleh pendapatan yang agak lumayan, sesekali saya akan bertukar angin dengan bekerja sebagai pembantu perniagaan di kedai kain milik sepupu saya di bandar Kampar. Selain dari membantu sepupu saya di kedai, saya juga mengikutinya berniaga kain di pasar-pasar lambak ( pasar sehari ) di sekitar daerah Batang Padang, Kinta dan Hilir Perak.

Pemandangan di sebuah pasar lambak

Mulanya adalah sekadar mengikuti abang sepupu saya yang kebetulan bekerja dengan abang iparnya yang menjual kain. Niat dihati hanya sekadar menemaninya namun akhirnya saya mengikut sekali membantu menjual kain. Namun upahnya tidaklah semewah menjadi kedi. Tetapi bekerja menjual kain terutama di pasar-pasar sehari amat menyeronokkan hati saya. Bertemu dan melihat pelbagai kerenah manusia yang datang membeli kain pasang, kain langsir, tudung dan selendang memberikan saya sejuta satu pengalaman yang berguna. Seterusnya ia  melatih diri saya yang kini seorang guru untuk lebih berkeyakinan, apabila berhadapan dengan jutaan kerenah ibu-bapa pelajar di sekolah. Selain dari itu, sebab yang paling utama sudah pastilah untuk melihat gadis-gadis manis yang datang berkunjung ke pasar lambak. Ah ... biasalah dalam usia remaja. Naluri sebegitu memang tidak dapat dielakkan ... hahahaha

Dalam sebulan, adalah dua atau tiga kali saya mengikut abang sepupu saya menjual kain. Lazimnya tempat yang selalu menjadi ikutan saya ialah pasar minggu di bandar Batu Gajah. Pasar minggu Batu Gajah yang diadakan pada setiap hari Ahad merupakan sebuah pasar minggu yang agak besar. Selain dari itu saya juga sering mengikutinya ke pasar minggu di Chenderong Balai, Tapah dan Langkap. Saya tidaklah bekerja dalam erti kata sebenarnya dan hanya membantu dalam kerja-kerja yang ringan seperti membungkus, melipat dan mengangkat kain sewaktu membuka dan menutup perniagaan. Hal-hal seperti melayan pelanggan dan memotong kain sememangnya saya tidak mampu atas alasan usia.

Namun, bekerja sebagai penjual kain ini bukanlah sesuatu yang indah. Jika tidak kena pada waktu dan harinya kami boleh pulang dengan keuntungan yang sedikit. Kadangkala hujan turun dengan lebatnya sehingga perniagaan tidak dapat dibuka dan kadar gaji juga berkurangan. Ia juga bagaikan satu perniagaan yang mengikut musim dan kehendak pelanggan. Menjelang hari raya dan cuti sekolah, pasti setiap pasar minggu yang kami sertai akan diserbu oleh pelanggan. Ketika itu duit dalam nilai not $500 dan $1000 masih digunakan di dalam pasaran. Maka tidak hairanlah not berkenaan bagaikan keluar masuk dan bertukar tangan tanpa had di kedai kami.


Bekerja menjual kain di bulan puasa dalam suasana yang panas terik benar-benar memberikan cabaran kepada saya dan abang sepupu saya. Pernah jugalah kami berdua ponteng puasa secara senyap-senyap tanpa pengetahuan abang iparnya. Paling tidak dapat saya lupakan ialah ketika kami di hon berkali-kali oleh kereta yang berada di belakang motosikal yang kami tunggangi di atas jalan raya setelah pemandunya melihat kami berdua minum air kelapa bungkus dengan slumber sewaktu pulang dari kerja. Sesekali apabila mengenangkan peristiwa itu saya sering tersenyum sendirian. Betapa rendahnya kualiti iman dan moral saya ketika itu. Namun ia akan kekal sebagai sesuatu kenangan yang terindah buat saya.


Air kelapa muda buat pelepas dahaga ponteng puasa

Sesekali jika saya tidak mengikuti abang sepupu saya berniaga di pasar-pasar minggu, saya diminta pula bekerja di kedai kain yang terletak di Kampar. Namun ianya tidaklah selalu dan hanya selepas abang sepupu saya mendapat kerja tetap barulah abang iparnya meminta saya bekerja di kedainya dengan lebih kerap.  Di kedai suasananya berbeza. Pelanggan tidaklah seramai di pasar-pasar minggu. Ia membuatkan saya mudah bosan dengan suasana seperti ini. Lama-kelamaan, saya juga akhirnya tidak lagi membantu di kedai ini. Tambahan pula usia saya juga semakin meningkat dan tumpuan kepada peperiksaan SPM juga membuatkan saya semakin malas untuk bekerja. Saya juga dapat merasakan diri saya sebenarnya tidak berbakat dalam pekerjaan yang melibatkan perniagaan.

Kini, perniagaan kain milik abang saudara saya itu telah berkembang dengan pesatnya. Walaupun beliau tidak lagi berniaga di pasar-pasar minggu utama, namun kedainya di Kampar terus dikunjungi oleh pelanggan. Beliau bukan sahaja berniaga kain malah mengambil tempahan langsir. Langsir untuk perkahwinan saya dahulu juga ditempah di kedainya.  Sesekali jika saya ke bandar Kampar, sering saya singgah ke kedainya yang banyak memberi kenangan kepada saya. Walaupun bukanlah selalu saya bekerja disini namun ia tetap telah memberikan saya pengalaman yang amat bermakna dalam hidup. 

Kadangkala apabila terlihat anak kecil yang bekerja di kedai-kedai kain mudah sahaja saya tersenyum sendirian kerana saya tahu dahulu itulah diri saya !








Hati Kecewa Di Pekan Tronoh Mines

$
0
0

Semasa melakukan perjalanan ziarah ke makam-makam lama di sekitar daerah Perak Tengah pada bulan November baru-baru ini, saya telah memilih untuk menggunakan jalan dari bandar Kampar menghala ke Kampung Gajah. Kebiasaannya, untuk ke daerah Perak Tengah saya lebih selesa menggunakan laluan dari pekan Tapah. Jalan dari bandar Kampar ini sebenarnya sudah dilalui oleh saya beberapa kali. Selain boleh menghubungkan bandar Kampar dengan Kampung Gajah, ia juga membolehkan kita untuk ke pekan Tanjung Tualang dan juga ke bandar Batu Gajah.

Selain untuk mencuba sesuatu yang baru, saya juga berhasrat untuk singgah sebentar di sebuah pekan kecil yang amat klasik di pertengahan jalan. Pekan yang saya maksudkan ialah pekan Tronoh Mines. Rasanya kali terakhir saya melalui pekan Tronoh Mines ini ialah kira-kira setahun yang lalu. Suasana pekan kecil ini menarik minat saya ketika itu. Sayangnya saya pula tidak membawa kamera bersama. Hal inilah yang membuatkan saya bersemangat untuk meneroka pekan koboi ini. Sepanjang perjalanan, fikiran saya jauh menerawang memikirkan bangunan rumah kedai kayu tua setingkat yang menghiasi latar suasana pekan Tronoh Mines. Mungkin di Tronoh Mines masih ada tersisa suasana pekan-pekan lama yang pastinya akan menimbulkan mood klasik pada diri saya. Ah ... tidak sabar rasanya untuk sampai ke Tronoh Mines !. 

Semakin hampir ke Tronoh Mines !

Jalan dari Kampar menghala ke Tronoh Mines bukanlah merupakan jalan yang sesak. Sepanjang perjalanan, saya hanya sesekali berselisih dengan kenderaan dari arah bertentangan. Dengan jalan yang sunyi dan permukaan jalan yang baik, saya memecut motosikal saya tanpa ada rasa takut. Dalam fikiran saya hanya satu ... saya perlu menyelesaikan tugasan saya hari ini dengan segera. Jika tidak, pasti tiada bahan cerita untuk dikongsikan di blog ini. Tambahan pula saya berperang dengan cuaca yang tidak menentu. Jika hujan turun sudah pasti saya akan berhalangan untuk sampai ke Tronoh Mines namun syukurlah, matahari memancarkan cahayanya dengan megah hari itu dan saya tersenyum dengan selebar-lebarnya bibir !

Setelah hampir 20 minit menunggang motosikal, akhirnya saya sampai ke pekan Tronoh Mines. Pekan Tronoh Mines ialah pekan kecil tipikal dengan rumah-rumah kedai terletak kiri dan kanan jalan. Uniknya, kebanyakan kedai-kedainya lebih tertumpu di sebelah kanan jalan ( dari arah Kampar ). Jika dilihat pada nama pekan ini, saya dapat menduga bahawa pekan ini mungkin wujud hasil dari ledakan perkembangan perlombongan bijih timah sewaktu zaman penjajahan Inggeris dahulu. Bagi orang luar yang pertama kali singgah ke pekan ini pasti menyangka bahawa pekan Tronoh Mines adalah pekan yang sama dengan pekan Tronoh yang menempatkan Universiti Teknologi Petronas ( UTP ). Namun hakikatnya kedua-dua pekan dengan nama Tronoh ini adalah berbeza dan terletak agak berjauhan. Tronoh Mines terletak tidak jauh dari bandar Kampar manakala Tronoh pula terletak berhampiran dengan bandar Batu Gajah.

Saya meninjau-ninjau suasana pekan ini dan mula menjejaki rumah kedai kayunya yang suatu ketika dahulu benar-benar menarik minat saya untuk ke pekan ini. Peliknya, saya tidak pula menemui rumah kedai kayu tersebut malahan suasana pekan ini kelihatannya sudah jauh berubah dari yang pernah saya lihat dahulu. Apakah yang telah berlaku pada pekan ini ? ... setelah hampir dua ratus meter saya bergerak saya ternampak kesan kebakaran sebuah bangunan. Barulah saya sedar apa yang pernah saya lihat dahulu telah musnah dijilat api. Terasa benar-benar kecewa hati saya. Hilang satu lagi tinggalan sisa pekan-pekan lama yang terdapat di negeri Perak ini. Menyesalnya rasa tidak mengambil gambar suasana pekan ini lebih setahun yang lalu. Inilah kuasa Allah SWT dan saya menerimanya dengan redha.

Rumah kedai kayu lama di pekan Tronoh Mines 
kini tinggal kenangan.

Namun demikian, di beberapa bahagian pekan ini masih terdapat rumah-rumah kedai tua yang masih beroperasi. Saya beranggapan, pekan Tronoh Mines sudah mula melalui fasa-fasa akhir kewujudannya sebagai sebuah pekan. Kedai-kedai yang terdapat di pekan ini hanyalah sebagai memenuhi keperluan sementara penduduk setempat malahan kebanyakannya sudah tidak lagi menjalankan perniagaannya. Perkembangan pesat bandar Kampar yang telah dinaikkan sebagai sebuah daerah juga menyebabkan peranan pekan ini semakin berkurang. Dengan keadaan jalan perhubungan dan gaya hidup masa kini yang memungkinkan setiap keluarga memiliki kenderaan sendiri, saya pasti penduduk Tronoh Mines lebih selesa berbelanja di bandar Kampar ataupun Ipoh seterusnya membunuh kepentingan pekan Tronoh Mines.

Deretan rumah kedai kayu yang tidak lagi beroperasi

Sebuah kedai kayu lama 

Secara umumnya pekan Tronoh Mines bukanlah sebuah pekan yang lengkap. Tiada kemudahan pejabat kerajaan disini termasuklah pejabat pos. Namun demikian terdapat sebuah balai polis yang agak besar bagi menjamin keamanan dan keselamatan penduduknya. Kemudahan stesen minyak juga tidak terdapat di pekan ini. Sebuah pasar basah moden juga disediakan oleh pihak kerajaan namun saya tidak pasti sama ada ianya mendapat sambutan dari penduduk setempat. Kelihatannya pasar berkenaan bagaikan agak sunyi dan terletak agak jauh dari pekan Tronoh Mines.

Balai Polis Tronoh Mines

Pasar awam Tronoh Mines

Sebagai sebuah pekan yang wujud akibat dari perkembangan perlombongan bijih timah, majoriti penduduknya ialah terdiri dari bangsa Cina. Hal ini dikuatkan lagi dengan kewujudan sebuah kampung baru Cina tidak jauh dari pekan Tronoh Mines itu sendiri. Namun demikian populasi masyarakat Cina ini diimbangi oleh orang-orang Melayu yang kebanyakkannya tinggal di kampung-kampung yang sememangnya banyak terletak di kiri dan kanan jalan menuju ke Tanjung Tualang. Terdapat juga sebuah Gurdwara Sahib yang menjadi tempat ibadat masyarakat Sikh disini. Ia secara tidak langsung menunjukkan bilangan masyarakat Sikh di Tronoh Mines ini agak ramai.

SRJK ( C )  Sin Min

Gudwara Sahib Tronoh Mines

Saya juga dapat melihat beberapa buah rumah dan bangunan lama yang terbiar di pekan ini. Tidak ketahuan pula kenapa ianya ditinggalkan. Ia bagaikan bercerita kepada saya bahawa pekan Tronoh Mines semakin tua dan ditinggalkan. Rata-rata penduduk yang saya temui terdiri dari golongan berusia emas. Mungkin tarikan hidup di bandar lebih memikat bagi golongan muda pekan ini. Tambahan pula peluang kerja di bandar seperti Kampar, Ipoh dan Batu Gajah memaksa golongan mudanya berhijrah.

Rumah lama yang ditinggalkan

Alat pengangkutan utama bagi penduduk Tronoh Mines ialah perkhidmatan bas ulang alik yarikat Hup Soon yang menghubungkan pekan ini dengan bandar Kampar. Namun saya tidak pasti berapa lama perkhidmatan bas ini akan bertahan dalam mendepani cabaran kekurangan penumpang. Walaubagaimanapun saya masih dapat melihat beberapa orang warga emas masih setia menantikan kehadiran bas ulang alik ini di perhentian bas di sepanjang jalan. Mungkin pada mereka itulah nilai nostalgia berharga yang masih utuh disini.


Walaupun pernah menjadi kawasan perlombongan bijih timah, Tronoh Mines tidak pula dihubungkan dengan jajaran landasan keretapi. Tidak seperti pekan "kembarnya" iaitu Tronoh yang mempunyai stesen keretapinya yang tersendiri. Hal ini mungkin kedudukan pekan ini yang berdekatan dengan bandar Kampar yang seterusnya memudahkan bijih timah diangkut dengan menggunakan jalan raya. 

Agak lama juga saya di pekan ini. Suasana petang yang terik membuatkan saya berpeluh. Seorang lelaki berbangsa Cina tua tersenyum menampakkan giginya yang rongak kepada saya. Agaknya beliau hairan melihat saya sibuk mengambil gambar suasana pekan ini. Setelah hampir 30 minit disini saya mula bergerak meninggalkan pekan Tronoh Mines dengan hati dan perasaan yang basah dengan kecewa. 

Tronoh Mines sebuah pekan kecil yang makin dimamah masa. Pekan ini tidak dibunuh oleh pembangunan dan kemodenan. Sebaliknya pekan ini dibunuh oleh urbanisasi yang menghimpit. Saya tidak pasti sama ada akan kesini lagi ... dengan hayat diri yang semakin berjauhan dengan negeri Perak yang tercinta, saya tahu esok dan lusa Tronoh Mines bukan seperti yang saya pernah lihat dahulu !


NUANSA BARU DI TAHUN 2013

$
0
0

Masuk sahaja tahun 2013 ini bermakna sudah hampir empat tahun rupanya saya menjadi seorang penulis blog. Tanpa sebarang kefahaman yang mendalam dalam bidang penulisan dan teknologi maklumat, saya terus melangkah dengan berat untuk berkongsi setiap cerita, pengalaman, luahan hati serta beraneka rasa di alam maya. Bermula dengan hanya sekadar suka-suka, kini menulis blog bagaikan satu hobi yang amat sukar saya lupakan.

Kegilaan menulis blog membuatkan saya begitu teruja untuk mencari bahan-bahan terbaru untuk dikongsikan dengan pengunjung blog ini hingga kadangkala perlu pula mengeluarkan duit poket sendiri. Saya mengerti, menulis blog bukanlah satu perkara yang boleh memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda namun pada saya cukuplah jika ada yang mendapat sedikit informasi atau ilmu pengetahuan di blog ini. Sekurang-kurangnya ia cukup untuk memberikan saya ganjaran kepuasan yang tiada taranya.

Walaupun bukan berada dalam senarai blog yang mempunyai rating pengunjung yang tinggi namun saya mengakui, blog Indahrasajmalim ini mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Secara puratanya seramai 100 orang pengunjung akan menjengah blog ini bagi memperolehi sebarang perkongsian artikel yang ditulis oleh saya. Sesuatu yang agak membanggakan saya ialah beberapa bahagian artikel di blog ini pernah dicedok atau digunakan oleh pihak akhbar bagi menambahkan bahan cerita mereka. Walaupun mereka tidak meletakkan blog ini sebagai rujukan utama namun bagi saya ia sudah lebih dari memuaskan hati apabila melihat bilah-bilah ayat di blog ini tertulis di dada-dada akhbar. 

Pernah juga saya dihubungi oleh sebuah syarikat penerbitan yang menyatakan minat untuk menerbitkan beberapa bahagian artikel di blog ini, Namun hal ini tidak dapat diteruskan kerana beberapa klausa yang dibincangkan sukar untuk diterima oleh saya. Timbul juga sedikit kehampaan tetapi saya optimis dengan kuasa Allah SWT yang telah menetapkan setiap rezeki yang diberikan kepada saya. Komen-komen yang membina juga diterima dari pengunjung-pengunjung blog ini dan ternyata penerimaan pembaca terhadap kandungan blog ini adalah agak baik.

Kini di tahun 2013, artikel-artikel yang akan dimuatkan didalam blog ini juga akan dipelbagaikan. Beberapa siri artikel terdahulu seperti Siri Ziarah Makam - makam Lama, Siri Suatu Masa Yang Telah Berlalu  serta Siri Catatan Sebuah Buku juga akan diteruskan berdasarkan kesinambungan di tahun 2012. InsyaAllah, beberapa siri perjalanan juga telah saya rangka bagi memenuhi keperluan bahan cerita yang semakin berkurang. Kesemuanya adalah untuk kita kongsikan tanpa ada sebarang bentuk bayaran !

Mulai tahun 2013 juga, saya kini tidak lagi bertugas di negeri Sarawak. Kini saya bertugas dan berkhidmat di SMK Munshi Sulaiman Batu Pahat Johor Darul Takzim. Ini secara tidak langsung menandakan berakhirnya satu siri artikel-artikel berkaitan negeri Sarawak dalam blog ini dan digantikan dengan siri artikel yang berkaitan dengan negeri Johor pula. Inilah nuansa baru yang akan cuba saya tangani di tahun 2013 ini. 


Destinasi baru saya .. SMK Munshi Sulaiman
Batu Pahat

Dengan kondisi diri yang semakin stabil bersama keluarga tidak mustahil jumlah artikel di blog ini akan dipertingkatkan walaupun pada tahun 2012 kandungan jumlah artikel yang ditulis mengalami penurunan ketara berbanding dengan dua tahun sebelumnya. Pada tahun 2013 ini juga saya mengambil keputusan untuk tidak sesekali mengeluarkan artikel berbau politik bagi menunjukkan sokongan saya kepada nilai berkecuali dan betapa peri pentingnya perpaduan Melayu dan Islam di negara Malaysia yang semakin nazak ini.

Penjelejahan ke pekan-pekan lama juga akan sentiasa saya teruskan kerana ia bagaikan satu 'trademark' kepada blog ini. Malahan untuk siri ziarah saya ke pekan-pekan lama di sekitar negeri Perak yang telah ditamatkan pada pertengahan tahun 2012 yang lalu mencatatkan hampir 10,000 pembaca dan merupakan satu koleksi artikel yang banyak dicedok oleh kumpulan perseorangan dan pihak akhbar. Saya tidak pernah meminta sebarang balasan. Cukuplah jika nama blog ini diberikan kredit atau rujukan utama kerana apa yang ada di blog ini adalah untuk kita semua kongsikan.


Demikianlah perancangan awal saya untuk tahun 2013. InsyaAllah, saya akan mencuba sedaya upaya diri saya bagi memberikan koleksi bahan cerita yang mampu untuk menarik lebih ramai pengunjung ke blog ini. Dalam kepayahan dan kesusahan, Indahrasajmalim terus kekal sehingga kini dan saya benar-benar teruja untuk terus melayarkan blog ini sehingga sehabis nyawa saya ....InsyaAllah ... 

Indah rasa jiwa dan sukma saya
Masazura bt Maslim dan Almas Nafisa Bt Abdul Hafez

Ziarah Makam Lama 6 : Cerita Sebuah Makam Yang Terasing

$
0
0
Saya memasuki semula Kampung Jawa yang sebelum ini telah dilalui oleh saya dalam perjalanan ziarah pertama saya sebelum ini. Di kampung ini, saya perlu mencari sebuah lagi makam Sultan pemerintah Perak yang gagal saya jejaki dalam perjalanan yang lalu. Hati saya sedikit berdebar kerana makam yang dicari oleh saya kali ini adalah makam yang agak tertua dalam senarai makam-makam yang saya jejaki setakat ini. Tambahan pula, ia adalah makam sultan Perak ketiga dari keturunan dinasti Melaka. Maka tidak hairanlah, berbagai-bagai persoalan berkenaan hal tulah dan daulat bermain di kepala saya. Namun setelah berfikir sedalamnya, saya meneruskan juga hasrat berziarah kerana saya yakin kuasa Allah SWT melebihi segalanya.


Saya melalui semula lorong Makam Diraja yang pernah saya lalui sebelum ini untuk ke makam dua orang Sultan Perak dari dinasti Siak. Namun setelah agak lama menunggang motosikal, tidak pula saya menjumpai bangunan kepuk makam yang saya ingin saya ziarahi. Adik saya iaitu Hidayat juga tidak dapat mengesannya. Kami berdua berhenti sejenak di kawasan kepuk makam Sultan Mahmud Iskandar Shah ( Sultan Perak ke 11 ) dan Sultan Alauddin Mughayat Shah ( Sultan Perak ke 12 ) yang makamnya pernah saya ziarahi pada minggu sebelumnya. Saya mendengus panjang dan memandang sekeliling dan fikiran saya melayang jauh. Saya berharap akan ada penduduk kampung yang akan melalui kawasan makam ini. Sekurang-kurangnya boleh juga saya bertanya kedudukan dan arah makam. Sayangnya, hanya kami berdua sahaja yang termanggu-manggu disini.

Saya memutuskan untuk berpatah semula ke jalan utama yang kami masuki tadi. Tidak tahu kenapa pula saya berfikiran sedemikian. Hidayat mengeluh panjang. Dengan keadaan motosikal yang uzur dan arah tujuan yang tidak jelas, saya tahu dia sudah mula hilang sabar membonceng di belakang saya. Namun saya tetap berkeras dengan keputusan itu. Naluri saya bagaikan memberitahu bahawa saya akan menemui makam itu pada perjalanan kali ini.

Setelah hampir seratus meter bergerak secara tiba-tiba pandangan mata saya tertoleh kepada sebatang lorong kecil yang bersemak samun. Dari pandangan awal, saya seolah-olah dapat merasakan bagaikan ada sebuah kepuk makam yang tidak berbumbung di hujung lorong berkenaan. Telahan saya tepat dan kini sebuah kepuk makam yang dimamah zaman betul-betul berada di hadapan  mata saya. Sayangnya keseluruhan makam ini telah diliputi oleh semak samun yang menebal. Hati saya benar-benar sayu, seolah-olah makam ini tidak pernah dikunjungi oleh sesiapa.

Kepuk makam dari kejauhan

Setelah meletakkan motosikal, saya dan Hidayat terus menuju ke kepuk makam berkenaan. Saya mengarahkan Hidayat untuk membersihkan sedikit kawasan kepuk makam yang diliputi oleh pohon-pohon renek dan semak samun. Saya juga agak berwaspada bimbang jika ada haiwan melata dan berbisa yang pada bila-bila masa sahaja boleh membahayakan kami berdua. Namun syukur kerana kehadiran kami untuk berziarah tidak langsung diganggu - gugat oleh perkara-perkara sedemikian.

Makam ini merupakan milik Sultan Perak ketiga iaitu Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Ibni Almarhum Sultan Mansur Shah. Baginda memerintah selama tujuh tahun bermula dari tahun 1577 sehingga 1584. Terdapat pelbagai versi cerita berkenaan dengan baginda. Ada yang menyatakan bahawa bagindalah sebenarnya yang merupakan sultan Perak yang pertama dan bukannya yang ketiga. Hal ini secara tidak langsung adalah berlawanan dengan versi asal sejarah kesultanan Perak yang menyatakan sultan Perak yang pertama ialah Sultan Muzaffar Shah I Ibni Sultan Mahmud Shah ( Sultan Melaka terakhir ). Perkara ini boleh dibaca dan dijelaskan di laman Orang Dua Belas yang menjadi rujukan utama saya.

Sebahagian dari kepuk makam yang diliputi
pokok-pokok renek dan semak samu

Mengikut sejarahnya, Acheh pernah menyerang Perak seterusnya menawan Sultan Mansur Shah I beserta keluarga diraja Perak lalu dibawa ke Acheh. Uniknya, putera sulung baginda yang bernama Raja Alauddin telah dikahwinkan dengan puteri Sultan Acheh yang bernama Raja Puteri. Selepas kemangkatan sultan Acheh, Raja Alauddin ini pula terus dilantik menjadi sultan Acheh dengan gelar Sultan Alauddin Mansur Shah. Manakala Sultan Mansur Shah I pula dibenarkan pulang semula memerintah Perak. Negeri Perak seterusnya menjadi negeri naungan Acheh.

Selepas kemangkatan Sultan Mansur Shah I ( ada yang menyatakan baginda ghaib sewaktu bersolat ), negeri Perak tidak mempunyai Sultan kerana keluarga diraja Perak masih lagi berada di Acheh. Sebagai sebuah negeri yang mewarisi kesinambungan darah kesultanan Melaka, pilihan yang ada kepada orang-orang besar Perak adalah dengan mengadap Sultan Alauddin Mansur Shah yang sedang berkerajaan di Acheh bagi memohon dihantar seorang anak Raja bagi dijadikan sultan Perak. Akhirnya, Sultan Alauddin Mansur Shah telah menitahkan adindanya iaitu Raja Ali untuk berangkat ke Perak bagi menjadi sultan Perak yang ketiga. Raja Ali ini kemudiannya telah naik takhta menjadi Sultan Perak ke-3 dengan gelar Sultan Ahmad Tajuddin Shah.

Batu nisan makam Sultan Ahmad Tajuddin

Jika dilihat dari kawasan bawah kepuk makam, memang sukar bagi saya untuk melihat batu nisan makam ini. Hanya setelah saya masuk ke dalam kawasan kepuk barulah terlihat sepasang batu nisan yang berbalut kain kuning pudar dan kusam. Saya membuang sedikit semak samun yang menghiasi kawasan makam. Hidayat juga berbuat sedemikian. Jika dihitung usia makam ini ternyata ia sudah menjangkau 428 tahun. Saya tercari-cari juga sekiranya terjumpa batu nisan Acheh di kawasan makam. Tambahan pula Sultan Ahmad Tajuddin mempunyai kaitan dengan Acheh melalui kekandanya. Namun demikian akhirnya saya mengalah. Tiada batu Acheh di makam ini !



Selepas menghadiahkan Al-Fatihah kepada roh almarhum, saya duduk termanggu sebentar di dinding kepuk makam. Saya merenung ke batu nisan makam ini yang usang seolah-olah ia bagaikan mahu bercerita sesuatu kepada saya. Sukar bagi diri saya untuk meninggalkan makam ini. Dengan suasana petang yang makin meredup dan sunyi, saya mula merasakan ketenangan di makam ini. Agak lama juga saya berkeadaan sedemikian. Di sudut hati saya berdoa akan ada individu atau warisan keturunan baginda yang akan datang berziarah dan membersihkan makam ini.

Saya mengambil masa yang agak lama untuk menulis artikel keenam dalam siri Ziarah Makam Lama ini. Jika tidak silap saya ianya berselang tertangguh hampir 3 bulan dari tarikh artikel kelima dalam siri ini. Pelbagai masalah timbul sewaktu saya mula berkira-kira untuk memulakan penulisan. Bagaikan ada batu penghalang untuk saya menyelesaikan penulisan malah segala maklumat-maklumat yang diterima dari beberapa individu juga telah hilang dari ingatan saya. Saya juga agak berat hati untuk menerima beberapa cetusan pendapat di internet berkenaan dengan baginda. Bagaikan ada sesuatu yang menghalang. Entah lah .... semoga segala-galanya akan baik-baik sahaja selepas ini.

Saya disedarkan dari lamunan oleh Hidayat. Agak terkejut juga saya dibuatnya dan saya bingkas berdiri. Sebelum pulang, saya meminta Hidayat mengambil gambar saya betul-betul di hadapan kepuk makam  ini. Hidayat lantas mengambil kamera dari tangan saya dan terus menangkap gambar saya tanpa banyak ragam dan bicara. Kami berdua mula bergerak meninggalkan makam Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Shah dengan rasa sayu. Sayu melihat makam seorang sultan pemerintah Perak Darul Ridzuan yang kini terbiar dalam keadaan yang menyedihkan !


Motosikal buruk yang kami tunggangi keluar semula ke jalan utama dari Kampung Gajah yang menuju ke pekan Lambor. Kiri dan kanan jalan dihiasi dengan panorama kampung-kampung Melayu tradisional yang memiliki rumah-rumah kayu lama yang menarik. Dengan menujunya saya ke bahagian utara daerah Perak Tengah bererti saya sudah mula memasuki kawasan baru dan bukan lagi di sekitar daerah kecil Kampung Gajah yang menjadi tempat asal usul para leluhur saya.

Di pertengahan jalan saya terpandang papan tanda yang membawa ke arah beberapa makam lama. Kami masuk ke Kampung Pulau Tiga dan disambut oleh sebuah makam yang batu nisannya berbalut kain berwarna hijau dan saya pula menjadi semakin tertanya-tanya !.


Bersambung


















Mengenang Suatu Masa Yang Telah Berlalu 3

$
0
0

Hafez J.Malim Pergi Menebas


Rasanya lah .... umur saya pada ketika bekerja menebas untuk membuka tanah seorang penduduk kampung ialah 16 tahun. Uniknya pekerjaan menebas ini saya lakukan ketika di bulan Ramadhan. Itulah hal budak-budak kampung yang mahu berhari raya dengan serba-serbinya baru namun duit tiada di poket. Asalkan ada lubang untuk mendapatkan wang, peluang yang ada memang tidak dilepaskan begitu sahaja.


Di bulan Ramadhan biasanya saya dan rakan-rakan seperjuangan memang tidak akan menjadi kedi. Ramai yang tidak mahu mengambil risiko bekerja dalam suasana petang yang panas terik di bulan puasa. Tambahan pula kebanyakan pemain-pemain golf yang berbangsa Melayu akan mula berehat dari bermain golf ketika ini. Hal ini bermakna kuranglah peluang saya untuk menjadi kedi. Tidak menjadi kedi bermakna tiadalah duit untuk saya membeli baju raya baru ... ermmm mahu mengharapkan ayah dan emak terasa pula diri ini membebankan. Saya tahu keluarga saya juga sesak. Berapalah sangat gaji ayah bekerja di kilang.

Memang dahaga jika bekerja 
sebagai kedi di bulan puasa

Sesekali, adalah peluang saya bekerja menjual kain namun ia terhad pada waktu cuti hujung minggu dan duit upah menjual kain biasanya tidak akan kekal lama kerana jumlahnya kecil. Maka termanggu-manggulah diri saya memikirkan tentang hari raya yang bakal disambut tidak lama lagi. Risau jika saya tiada seluar jeans "boot cut" berjenama G.A Blue yang sememangnya menjadi kegilaan anak muda pada ketika itu. Hal kasut tidak menjadi hal. Cukup sahaja dengan memakai kasut high cut berjenama All America yang menjadi kasut rasmi saya setiap hari. Baju Melayu pula tidak menjadi masalah kerana baju raya tahun - tahun sebelumnya masih boleh digunakan lagi.

Jenama seluar jeans kegilaan zaman remaja saya

Agaknya. tuah manusia memang sukar dijangka. Seorang penduduk kampung yang kami panggil Abang Zahrin meminta kami untuk mengambil upah menebas membuka tanah untuk adiknya. Kebetulan pula, tanah milik adiknya itu tidak jauh dari rumah lama saya. Pucuk dicita ulam mendatang, pelawaan Abang Zahrin disambut dengan tangan terbuka oleh saya bersama 4 orang rakan sekampung. Kami mula bekerja pada jam 5 petang dan berakhir jam 7 petang setiap hari. Dengan jumlah upah sebanyak RM 8 sehari, kami bekerja tanpa banyak kompromi. Tarikan kepada persiapan hari raya membuatkan kami bersemangat untuk bekerja.

Dengan berbekalkan parang panjang milik ayah, saya bersama teman-teman bekerja tanpa rasa gerun. Kami dipimpin oleh seorang lelaki berketurunan Indonesia yang lebih mesra disapa dengan gelaran Wak. Tugas Wak ini ialah menebang pokok dengan menggunakan chainsaw. Uniknya setiap kali sebelum menebang sebatang pokok, mulut Wak akan terkumat - kamit membaca sesuatu. Inilah yang membuatkan kami agak hormat dengan Wak. Ilmu dunia di dadanya sukar untuk dijangka. Bagi saya dan rakan-rakan pula, tugas kami hanyalah menebas semak samun dan memotong pohon-pohon kecil. Sesuatu yang paling tidak saya sukai ialah apabila berhadapan dengan pohon rotan dan pohon-pohon berduri. Pasti penuh tangan  kami dengan luka-luka akbat terguris duri pohon-pohon berkenaan.

Wak akan menjampi dahulu sebelum menebang pokok

Sesekali kami terserempak juga dengan ular berbisa namun syukurlah tidak pula kami dipatuknya. Bekerja di bulan puasa walaupun dalam tempoh yang singkat sebenarnya amat memenatkan. Tidak hairanlah kebanyakan dari kami memilih untuk tidak berpuasa manakala saya pula lebih selesa untuk bertahan walaupun sesekali terbabas.


Namun, ada juga berlaku sesuatu yang kurang menyeronokkan apabila ada diantara teman-teman saya lebih selesa melihat sahaja dari bekerja. Hal ini telah menimbulkan kemarahan Abang Zahrin sehingga ada yang menarik diri dari bekerja dengannya. Sedih juga hati melihat rakan-rakan sekerja berhenti kerja ketika hari raya hampir tiba. Beberapa hari kemudian, muncul pula teman-teman sekampung yang lain turut serta bekerja bersama dan hal insiden berhenti kerja itu lupus terus dari ingatan.

Jika tidak silap saya, kami bekerja selama 14 hari. Masalah hujan kadangkala membuatkan kami tidak dapat bekerja. Menjelang hari raya, Abang Zahrin meminta kami untuk berhenti dari melakukan kerja-kerja menebas. Menurutnya, nanti akan ada traktor yang akan menyelesaikan tugasan yang kami tinggalkan. Terasa sedih juga kerana tidak dapat berkerja semula tambahan pula bila dihitung-hitung jumlah gaji tidaklah begitu banyak jumlahnya. Saya agak beruntung kerana memperolehi gaji penuh RM 8 setiap hari. Manakala ada rakan-rakan lain terpaksa ditolak RM 1 setiap hari kerana parang panjang mereka dibelikan oleh Abang Zahrin dan mereka perlu membayar harga parang itu !.


Setelah menerima gaji beberapa hari sebelum hari raya, saya secara diam-diam pergi ke Teluk Intan untuk membeli seluar jeans baru khusus untuk dipakai semasa hari raya. Dengan gaji hasil menebas, sedikit duit simpanan dan duit pemberian ayah dapatlah saya membeli sehelai seluar jeans boot cut jenama G.A Blue dan sehelai baju t-shirt. Mahu membeli kasut kulit karipap memang mimpilah walaupun saya sememangnya amat mahu memilikinya. 

Ketika pulang ke kampung halaman dan melihat kawasan hutan yang pernah kami tebas dahulu kini telah berubah wajah mudah sahaja saya tersenyum sendirian. Kadangkala saya merasa berdosa kerana saya dan teman-temanlah yang membunuh hutan keriangan masa kecil kami. Itulah hutan kecil yang menjadi tempat kami bermain perang-perang. Itulah hutan kecil tempat kami mencari pucuk paku dan kayu - kayan namun kini ia sudah tiada. Peliknya sewaktu menebas tidak pula saya berfikiran sedemian. Hanya setelah dewasa ini barulah perasaan halus itu menyelinap ke hati sanubari saya. Ah .... tidak guna rasanya untuk menyesal. Ia satu tragedi hidup zaman remaja yang memerlukan banyak pengorbanan.

Parang panjang milik ayah yang menjadi kegunaan saya semasa menebas dahulu masih ada di kampung. Matanya masih tajam dan halus sama seperti dahulu. Kini hanya ayah dan emak sahaja yang menggunakannya sesekali apabila ke kebun. Apabila melihat ayah menggunakan parang itu, saya pasti akan terkenang suatu masa yang telah berlalu sewaktu diri masih gagah menggunakan parang itu .... ya sememangnya ia tidak akan dapat lagi dicapai kini. Saya mengerti ... saya bukan lagi seperti zaman remaja saya !

Lebih kurang beginilah bentuk parang panjang saya


Menjejaki Makam Panglima Mat Berani

$
0
0
Jata negeri Johor Darul Takzim

Pembuka Cerita

Sejak bertukar dari Sarawak ke Johor, banyak perubahan dalam iklim kehidupan yang harus saya tempuhi. Menjadi seorang anak dagang yang merantau menumpang kasih di negeri orang sememangnya mempunyai cabarannya yang tersendiri. Ia menjadikan rencah hidup saya menjadi semakin ranum dengan pengalaman baru. Dunia yang ada di depan mata kini adalah medan perjuangan baru yang memerlukan sejuta satu pengorbanan.

Johor sebuah negeri tua yang penuh dengan cerita dan sejarahnya tersendiri. Walaupun sejarahnya agak asing pada diri saya namun saya yakin, pelbagai cerita boleh dikorek dan dikembangkan di bumi Darul Takzim ini. Itulah senario awal yang saya alami. Jika sebelum ini, saya dan isteri telah melakukan ziarah ke makam Almarhum Sultan Alauddin Riayat Shah di Pagoh. Kini saya kembali semula ke Pagoh dalam usaha saya menjejaki sebuah lagi makam lama yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kesultanan Melayu Melaka.

Kenangan ziarah ke makam Sultan Alauddin Riayat Shah di Pagoh
pada tahun 2012 yang lalu. 

Perjalanan berkereta dari Batu Pahat menuju ke Pagoh tidaklah begitu jauh. Selepas menghantar isteri saya ke tempat kerjanya, saya terus memandu kereta bersendirian ke Pagoh. Isteri saya hanya menggelengkan kepala sebaik sahaja saya menyampaikan hasrat saya ke Pagoh namun masih mampu tersenyum tawar. Saya tahu beliau bimbangkan keselamatan diri saya.

Selamat Tiba Di Pekan Pagoh

Saya mengambil keputusan untuk tidak bersarapan pagi dahulu di Batu Pahat. Sebaliknya saya memilih untuk  berhenti bersarapan pagi di Pagoh nanti. Selain dari mengejar masa, saya juga mahu menikmati keadaan redup pagi di sepanjang perjalanan. Alhamdulillah setelah hampir 40 minit memandu akhirnya saya sampai ke pekan kecil Pagoh. Saya singgah bersarapan pagi di sebuah warung tepi jalan yang agak dipenuhi oleh pelanggan. Enak juga menikmati roti canai Pagoh. Sempat juga saya memesan sebungkus nasi lemak untuk dibawa pulang. Mungkin dapat juga mengisi perut di tengah hari nanti.

Di Makam Sultan Melaka

Setelah bersarapan, saya meneruskan perjalanan menuju ke Kampung Raja, Pagoh. Syukur juga saya masih mengingati jalan yang pernah saya dan isteri lalui pada awal tahun 2012 yang lalu. Saya singgah dahulu sebentar berziarah ke makam Sultan Alauddin Riayat Shah yang terletak di tengah-tengah perjalanan. Tiada perubahan yang ketara pada makam sultan Melaka yang dikatakan juga seorang wali Allah ini. Sempat juga saya meneroka kawasan perkuburan yang berdekatan dengan makam ini.

Empat batu nisan Aceh di makam Sultan Alauddin Riayat Shah

Agak lama juga saya melilau-lilau di sekitar perkuburan lama berdekatan dengan makam Sultan Alauddin Riayat Shah ini. Jika dilihat dari jenis-jenis batu nisan yang terdapat di kawasan perkuburan ini, saya meyakini usia perkuburan ini mungkin melebihi 100 tahun. Sayangnya tidak pula tergerak di hati saya untuk mengambil gambar suasana di kawasan perkuburan ini walaupun kelihatannya terdapat beberapa makam yang nisannya berbalut kain kuning ( juga di cat dengan warna kuning ). Tidak tahu kenapa saya berperasaan sedemikian. Hanya selepas mahu menulis artikel ini barulah terasa begitu kesal kerana tidak mengambil gambar kawasan perkuburan berkenaan. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui setiap rahsianya.

Mula Mencari Makam 

Setelah hampir setengah jam di makam Sultan Alauddin Riayat Shah ini, saya meneruskan perjalanan mencari sebuah lagi makam lama yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kesultanan Melayu Melaka. Sejujurnya saya memang tidak mengetahui kedudukan dan jalan arah makam. Saya hanya memandu mengikut gerak hati. Di sepanjang perjalanan, saya melalui beberapa buah kawasan perkuburan namun gerak hati saya jelas menyatakan bahawa makam yang ingin diziarahi bukanlah berada di kawasan perkuburan berkenaan. 

Akhirnya saya sampai di suatu simpang tiga berhampiran dengan sebatang sungai. Fikiran dan hati saya bercelaru memikirkan simpang manakan yang perlu saya ambil untuk menjejaki makam berkenaan. Saya memberhentikan kereta di tepi jalan dan meninjau-ninjau keadaan sekeliling. Ketika memandang ke kawasan sungai itu secara tiba-tiba fikiran saya seolah-olah dibawa kembali ke kawasan-kawasan makam lama kesultanan Perak yang terletak di tebing Sungai Perak. Suasana dan keadaan di kedua-dua kawasan ini kelihatan sama. Saya lantas menghidupkan enjin kereta dan memilih simpang kiri. Saya yakin, saya telah diberikan petunjuk yang jelas untuk ke arah makam.

Melalui jalan kampung yang sempit tidaklah membuatkan saya begitu sukar kerana saya hanya memandu kereta Perodua Kancil yang kecil. Akhirnya saya terpandang sebuah banggunan kecil di kanan jalan. Banggunan bewarna kuning itu meyakinkan saya bahawa saya telah berjaya menjejaki makam yang saya ingin ziarahi sejak awal perjalanan lagi. Ketika melintasi bangunan kecil ini mata saya terpandang batu nisan Aceh yang menjadi tanda makam. Alhamdulillah ... itulah perkataan pertama yang terpacul dari mulut saya. Kini saya benar-benar berada di makam ini !

 Makam Panglima Mat Berani

Kisah Panglima Mat Berani 

Makam ini ialah milik Panglima Mat Berani yang dikatakan telah shahid sewaktu memerangi angkatan kafir Portugis yang menyerang Melaka. Dikatakan Panglima Mat Berani ini datang dari Pahang dan telah bergabung dengan angkatan tentera Melaka bagi memerangi angkatan perang Portugis. Beliau juga turut mengikuti sultan Melaka terakhir iaitu Sultan Mahmud Shah berundur ke hulu Muar bagi merangka strategi baru menentang Portugis. Sewaktu di hulu Muar inilah Panglima Mat Berani dan pengikut-pengikutnya telah membina sebuah kubu pertahanan yang dikenali sebagai Kota Pagoh. Kemuncak kepada perjuangan orang-orang Melayu terhadap Portugis ialah serangan pihak Portugis terhadap Kota Pagoh. Panglima Mat Berani dan para pengikutnya telah memberikan tentangan yang sengit kepada pasukan kafir Portugis. Menurut catatan sejarah juga ada menyatakan bahawa Kota Pagoh ini terlalu kuat dan kukuh untuk dialahkan. Pihak Portugis dikatakan melancarkansebanyak tiga kali serangan besar sebelum Kota Pagoh berjaya di tewaskan.

Namun demikian, Panglima Mat Berani gugur shahid di Kota Pagoh. Kejatuhan Kota Pagoh membuatkan pertahanan angkatan perang Melaka semakin goyah sehingga menyebabkan Sultan Mahmud Shah seterusnya berundur ke Pahang dan akhirnya ke Kampar Sumatera. Namun demikian, orang-orang Melayu tidak pernah berdiam diri untuk menawan semula Melaka. Malahan kerajaan Johor dan Perak yang mewarisi garis keturunan kesultanan Melayu Melaka juga pernah bergabung untuk menawan semula Melaka.

Makam Panglima Mat Berani


Keadaan makam Panglima Mat Berani

Batu nisan Aceh yang menjadi tanda kepada makam ini menunjukkan bahawa pemiliknya bukan calang-calang orangnya. Saya meyakini bahawa suatu ketika dahulu para pembesar, raja-raja dan kerabatnya serta yang mempunyai darah bangsawan akan menempah dahulu batu nisan sewaktu mereka masih hidup. Batu nisan itu akan dibawa kemana sahaja mereka pergi bagi memudahkan urusan pengebumian. Ada juga makam - makam tertentu yang sebelumnya ditanda dengan batu nisan jenis biasa sebelum ahli keluarganya menukarkan batu nisan lamanya dengan batu nisan dari jenis Aceh ini.

Makam Panglima Mat Berani ini juga ditandai dengan batu nisan Aceh. Hal ini adalah sesuatu yang tidak menghairankan kerana beliau merupakan seorang yang mempunyai status yang tinggi pada ketika itu. Makam  Panglima Mat Berani ini dijaga dengan baik oleh masyarakat setempat. Pondok dan kerusi turut dibina bagi memudahkan sesiapa sahaja yang mahu berziarah.

Saya memerhatikan keadaan makam. Sebenarnya terdapat dua buah makam di dalam sebuah kepuk kecil. Hanya sebuah makam sahaja yang batu nisannya masih terserlah, manakala sebuah makam lagi hanya tinggal sebuah sahaja batu nisannya dan dalam keadaan patah ( tidak diketahui sama ada ia jenis batu nisan Aceh atau tidak ). Saya memandang kepada batu nisan Aceh yang menjadi tanda makam ini. Jika dilihat sepintas lalu di internet, ada pendapat yang menyatakan batu nisan dari jenis yang terdapat di makam Panglima Mat Berani ini adalah untuk seorang wanita. Namun ada juga yang menyangkal dakwaan itu. Saya menerima sahaja sebarang pendapat asalkan ia dapat memperkayakan lagi khazanah sejarah negara kita.

Batu nisan Aceh di makam Panglima Mat Berani

Sayangnya, sepasang batu nisan Aceh yang terdapat di makam ini telah mengalami kerosakan yang agak serius. Tempoh masa, perubahan masa dan aktiviti manusia memungkinkan kerosakan pada batu nisan ini. Namun demikian corak dan keaslian batu nisan Aceh ini masih boleh dapat dilihat oleh saya. Inilah keunikan batu nisan Aceh yang begitu tinggi hasil seni dan nilai estetikanya. Jika ditinjau dari segi usia makam ini ia sebenarnya sudah menjangkau usia melebihi 500 tahun dan sehingga kini ia masih kekal sebagai satu saksi bisu perjuangan anak bangsa menentang penjajahan asing ke atas dunia Melayu yang tercinta ini.

Patah dan rosak !

Corak pada batu nisan Aceh



Saya membersihkan sedikit kawasan makam sekadar yang terdaya. Terdapat sebuah papan tanda makam terletak tidak sampai sedepa dari kedudukan makam. Sayangnya tulisan jawi pada papan tanda berkenaan sudah agak kabur. Saya duduk di kerusi yang disediakan di pinggir pondok makam. Saya menyedekahkan Al-Fatihah kepada pemilik makam. Beberapa penduduk kampung yang melalui pondok makam tersenyum memandang saya termanggu-manggu di sekitar kawasan makam ini.

Papan tanda makam Panglima Mat Berani
dalam tulisan jawi yang pudar

Semoga rohnya dicucuri rahmat

Saya memerhatikan kawasan sekeliling makam. Terdapat kolam milik penduduk kampung berdekatan dengan makam ini. Kuala sungai Pagoh yang terletak berdekatan makam ini membuatkan saya benar-benar terasa seolah-olah berada di tepian sungai Perak. Suasana dan keadaannya adalah hampir sama. Secara tiba-tiba muncul satu perkaitan yang aneh dalam pemikiran saya ketika itu. Jika benarlah suatu ketika dahulu Sultan Mahmud Shah ( sultan Melaka terakhir ) pernah membuat kota disini, pasti puteranya Raja Muzaffar yang seterusnya menjadi sultan Perak pertama juga pernah tinggal disini. Tidak mustahil sewaktu Raja Muzaffar diangkat menjadi sultan Perak pertama, baginda memilih Tanah Abang sebagai pusat pemerintahannya kerana faktor kesamaan suasana dengan Kota Pagoh. Saya sendiri tidak mengetahui kenapa saya berfikiran sedemikian. Ianya bagaikan satu teori yang muncul dengan tiba-tiba tanpa ketahuan sebabnya !

Sebuah kolam ikan milik penduduk kampung dan nun
di sebelah atas gambar ialah kuala Sungai Pagoh

Terdapat juga beberapa makam lama di sekitar makam Panglima Mat Berani. Namun demikian jika dilihat dari bentuk batu nisan saya pasti makam-makam lama berkenaan lebih muda usianya dari makam Panglima Mat Berani. Saya tidak pasti siapakan pemilik makam-makam berkenaan. Kedudukannya yang berselerak dan berdekatan dengan rumah penduduk kampung. Jika kita melihat keadaan sosiobudaya masyarakat Melayu dahulu kala, sememangnya mereka lebih selesa menguburkan mayat berhampiran dengan kawasan tempat tinggal. Jadi hal ini tidaklah begitu menghairankan diri saya.

Antara kubur-kubur lama yang terdapat 
berhampiran makam Panglima Mat Berani




Lama juga saya di makam Panglima Mat Berani ini. Ketika matahari sudah hampir diatas ubun-ubun kepala, saya mula bergerak untuk meninggalkan makam. Ketika mahu menghidupkan enjin kereta, sekali lagi fikiran saya diganggu dengan satu pertanyaan yang aneh. Jika dilihat dari bahasa Melayu loghat Perak, loghat Melayu Pahang dan loghat Melayu Muar ternyata terdapat sedikit persamaan. Adakah ia sebagai satu tinggalan rasmi bagi bahasa Melayu loghat asal Melaka dibumi yang menjadi warisan darah Sultannya? ... tambahan pula misteri kewujudan loghat Perak masih belum dapat ditafsirkan oleh ramai pengkaji. Adakah teori yang menghantui saya ini tepat ? ... Allah SWT sahaja yang mengetahui segala rahsianya.

Saya tidak terus pulang, sebaliknya terus memandu menyelusuri jalan kampung bagi menikmati keindahan alamnya. Perasaan kesamaan suasana di tebing Sungai Perak masih membelenggu diri saya sehingga ini. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berpatah semula dan terus bergerak pulang ke Batu Pahat. Setelah keluar ke jalan besar menuju ke pekan Pagoh barulah segala pertanyaan dan fikiran-fikiran aneh yang membelenggu diri saya di sepanjang perjalanan berlalu dengan beransur-ansur. Buka sahaja radio kereta terus saya kembali ke keadaan asal.

Panglima Mat Berani dan batu nisan Aceh di Pagoh bagaikan membuka satu cerita baru kepada saya. Kedua-dua perkara ini bagaikan memberi tahu bahawa ada cerita dalam cerita yang perlu dirungkai bagi memenuhkan lagi kazanah sejarah negara kita ini khususnya yang berkaitan dengan kesultanan Melayu Melaka. Saya amat berharap jika makam Panglima Mat Berani ini dipulihara semula oleh agensi kerajaan yang berkaitan. Sekalung tahniah kepada penduduk kampung yang berjaya menjaga makam ini dengan baik sebelum ini.

Singgah Sebentar Di Batu Putih


Perjalanan pulang saya dari Pagoh menuju ke Batu Pahat agak lancar. Kenderaan juga tidaklah terlalu banyak. Sebelum ini saya sering malalui jalan ini dengan menaiki bas untuk ke Kuala Lumpur. Di pertengahan jalan, saya akan melalui sebuah kawasan kampung yang dinamakan Kampung Batu Putih. Di tepi jalan berhampiran Kampung Batu Putih ini, terdapat satu kawasan berbatu yang menjadi punca kepada asal - usul nama kampung berkenaan. 

Jika sebelum ini saya sering tertanya-tanya apakah keistimewaan batu putih ini. Akhirnya kini saya dapat juga menjejaki sajarah dan keunikannya. Selepas meletakkan kereta di pinggir jalan, saya berjalan kaki melalui sebuah lorong yang bersemak-samun sebelum sampai ke kawasan batu putih yang dihajatkan hati. Saya memang fobia dengan ular, jadi tidak hairanlah saya agak risau sekiranya dipatuk ular didalam keadaan bersemak itu. Langkah saya atur dengan teliti namun ia tidak dapat membuang perasaan risau bersarang didalam hati. Pengalaman diuji semasa menziarahi pusara nenda beberapa bulan dahulu juga membuatkan saya lebih bersedia kali ini. Kedudukan kawasan batu putih ini juga adalah berdekatan dengan sebuah kebun kelapa sawit. 

Kebun kelapa sawit kecil berhampiran batu putih

Ketika hampir sampai ke kawasan batu putih, saya mula merasakan sesuatu yang ganjil. Kawan di sekitar batu putih itu agak bersih jika dibandingkan dengan kawasan kebun kelapa sawit berhampiran. Gerak hati saya merasakan pasti tempat ini bukan tempat sembarangan. Saya berhenti sejenak memerhatikan kawasan sekitar sebelum memberikan salam kepada penghuninya yang tidak terlihat. Saya membaca beberapa surah yang sememangnya menjadi amalan saya sebelum memulakan langkah. Terik matahari bagaikan tidak terasa disini. Suasananya sejuk, redup dan mendamaikan.

Sebahagian dari kawasan Batu Putih

Saya melalui sekelompok batu bewarna putih kekuningan yang agak besar. Saiz batu-batu ini kelihatannya seolah-olah telah membentuk sebuah bukit kecil yang diselimuti pohon-pohon kecil dan renek. Sesekali saya bagaikan terbayangkan sesuatu apabila terpandangkan bentuk-bentuk batu yang pelbagai disitu. Namun saya  merasakan itu hanyalah permainan perasaan saya semata-mata. Selepas meneliti gambar-gambar yang diambil barulah saya dapat melihat beberapa batu yang mempunyai bentuk dan corak seperti haiwan-haiwan tertentu seperti kuda dan gajah. 

Bagaikan sebuah pintu gerbang 

Kalihatannya seperti bentuk kepala gajah

Ada yang melihat bentuk kuda didalam gambar diatas ?

Saya tidak berlama-lama disini. Perasaan kewaspadaan membuatkan saya merasa perlu cepat beredar dari kawasan ini. Saya berpusing-pusing beberapa kali meninjau keadaan batu-batu putih berkenaan. Saya seboleh-bolehnya mahu sahaja mendaki melihat keadaan dibahagian atas batu-batu berkenaan. Namun setelah melihat keadaannya seolah-olah "berjaga", cepat-cepat saya membatalkan hasrat itu. Sebelum keluar saya memberikan sekali lagi salam dan terus melangkah dengan lancar.


Alhamdulillah saya selamat tiba ke rumah selepas itu. Namun sesuatu yang pasti malam itu tidur saya tidaklah selena yang saya jangkakan. Isteri saya menyatakan saya mengigau panjang pada malam itu. Ah ... lupakanlah .. ia suatu mainan tidur yang diberikan Allah SWT untuk menguji diri saya!

Sedikit Catatan

Setelah hampir dua bulan menjadi pemastautin di Batu Pahat barulah saya mendapat beberapa cerita daripada beberapa orang teman berkenaan dengan Batu Putih ini. Begitu juga sewaktu menghasilkan artikel ini, barulah hati saya tergerak untuk mencari maklumat berkenaan Batu Putih didalam carian internet.

Setelah meneliti beberapa maklumat, maka benarlah telahan hati saya sewatu menjejakkan kaki ke kewasan ini bahawa kawasan ini sememangnya berjaga dan mempunyai penduduknya yang tersendiri. Syukurlah, sehingga ke saat ini tiada perkara-perkara yang tidak baik berlaku kepada saya. Namun sesuatu yang perlu saya pelajari ialah betapa pentingnya perihal mencari dahulu maklumat sebelum singgah ke sesuatu tempat atau kawasan. Sekurang-kurangnya dengan adanya maklumat awal, saya boleh merancang dan meyakini sama ada mampu atau tidak untuk mengunjungi ke sesuatu tempat terutamanya yang jauh dari orang ramai.

Pengalaman disengat penyengat dan di Batu Putih memberikan saya sejuta satu kisah dan pengalaman. Ia menjadikan saya lebih dewasa dan akur betapa luas dan besarnya kekuasaaan ilahi. Tanpa sedar saya sebenarnya telah melangkah jauh ... ya .. jauh dari dunia realiti sebenar !





Stesen Keretapi Lama Kuala Kubu Road Dalam Kenangan

$
0
0
Hal Keretapi



Lama benar rasanya saya tidak bercerita tentang keretapi disini sehingga ada yang berkata saya telah jemu dan hanya mempunyai minat yang bermusim terhadap keretapi. Jika dilihat didalam arkib blog ini, memang jelas bahawa artikel terakhir saya berkaitan dengan hal keretapi adalah pada bulan Mac tahun 2012 yang lalu. Namun dengan tiadanya artikel berkaitan dengan hal keretapi bukanlah bermakna minat saya terhadap keretapi telah mati ataupun hanya bermusim, tetapi hanyalah atas faktor kurangnya aktiviti perjalanan mencari cerita dan masa yang terlalu "bakhil" terhadap kehidupan saya kini.

Namun, sejujurnya bercerita tentang hal keretapi masih merupakan minat utama saya. Pulang ke kampung pada cuti sempena perayaan tahun baru Cina baru-baru ini telah menerbitkan satu siri perjalanan ringkas saya ke dua buah stesen keretapi lama yang suatu masa dahulu pernah menjadi denyut nadi kehidupan masyarakat sekitarnya. Dua buah stesen keretapi yang berjaya saya jejaki itu ialah stesen keretapi lama Batu Gajah dan stesen keretapi lama Kuala Kubu Road. Perubahan masa dan teknologi telah meminggirkan dua buah stesen ini dari terus menyumbangkan baktinya kepada masyarakat. Sebaliknya ia dibiarkan usang dimamah masa dan akhirnya ia pasti hilang terus dari lipatan ingatan warganya.

Saya menginsafi perkara ini. Berbekalkan kepada keyakinan bahawa stesen-stesen keretapi lama ini punya nilai sejarahnya yang tersendiri, saya berusaha merancang satu perjalanan yang mampu mengembalikan semula nostalgia lama yang pernah menjulang kegemilangan dua buah stesen keretapi ini dalam memberikan perkhidmatan pengangkutan awam kepada masyarakat. Mungkin ini hanya sebuah catatan perjalanan yang picisan bagi mereka di luar sana. Terpulanglah apa sahaja tanggapannya ... saya hanya ingin berkongsi rasa dan kenangan dengan para pembaca blog ini.

Nostalgia Stesen Keretapi Kuala Kubu Road

Stesen keretapi Kuala Kubu Road dalam kenangan

Dahululah ... ketika saya masih lagi menjadi penuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) Tanjong Malim, sering juga saya berkunjung ke pekan Kuala Kubu Bharu. Jarak antara Tanjong Malim dan Kuala Kubu Bharu tidaklah terlalu jauh. Jika tidak bermotosikal, saya lebih gemar menaiki bas sahaja ke Kuala Kubu Bharu. Saya gemar dengan suasana pekan Kuala Kubu Bharu yang masih kuat aroma klasiknya. Malahan tidak keterlaluan jika dikatakan Kuala Kubu Bharu kekal dengan gaya kolonialnya dan bentuk muka buminya juga agak berbukitan.

Melalui jalan persekutuan yang sememangnya tidak pernah suram dengan kenderaan menuju ke Kuala Kubu Bharu benar-benar meneronokkan hati saya. Kiri dan kanan jalan hanyalah kampung-kampung Melayu tradisi, kebun-kebun getah yang menghijau dan beberapa pekan-pekan kecil lama membuatkan diri terasa kembali semula ke tahun-tahun sebelum adanya Projek Lebuh Raya Utara Selatan ( PLUS ). Saya masih ingat lagi jika mahu ke Kuala Lumpur pasti laluan ini yang akan dilalui.

Namun, sebelum sampai ke Kuala Kubu Bharu, ada sesuatu yang benar-benar menarik minat saya sejak dahulu lagi iaitu sebuah stesen keretapi lama yang terletak betul-betul di pinggir kanan jalan persekutuan arah Tanjong Malim menuju ke Kuala Kubu Bharu. Stesen keretapi lama yang saya maksudkan itu ialah stesen keretapi Kuala Kubu Road. Sewaktu tahun pertama dan kedua saya di UPSI, stesen keretapi Kuala Kubu Road ini masih lagi beroperasi tetapi setelah sahaja projek pembinaan landasan berkembar dimulakan, hayat stesen ini mula menuju penhujungnya. Selepas sahaja saya menamatkan pengajian di UPSI, ingatan terhadap stesen ini terus hilang begitu sahaja.

Sebuah gambar lama stesen keretapi Kuala Kubu Road
( ihsan dari zkeretapi.blogspot.com )

Ketika melakukan suatu perjalanan ringkas menggunakan komuter pada tahun lepas, secara tiba-tiba ingatan saya terhadap stesen keretapi lama Kuala Kubu Road ini segar semula. Hati saya bagaikan meronta-ronta mahu mencari semula stesen keretapi lama ini setelah tidak melihatnya dari kaca tingkap komuter. Yang ada hanyalah stesen keretapi baru yang serba moden. Namun itulah ... peluang untuk berkunjung ke stesen lama ini masih belum ada sehinggalah saya pulang ke kampung pada cuti sempena tahun baru Cina baru-baru ini. Barulah segala yang tersimpan di hati dapat dilunaskan dengan jayanya !

Kesesakan Yang Menguntungkan

Lumrahlah sewaktu tibanya musim hari perayaan pasti lebuh raya dan jalan raya akan mengalami kesesakan yang amat teruk. Itulah yang dialami oleh saya dan keluarga sewaktu pulang ke Bidor dimana kami terperangkap didalam kesesakan di lebuh raya utara selatan yang amat teruk bermula dari Sungai Buloh. Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk keluar ke Rawang dan menggunakan jalan lama persekutuan untuk mengalakkan kesesakan.

Sudah bertahun-tahun saya tidak menggunakan jalan lama ini. Segala ingatan-ingatan lama saya terhadap sesuatu perkara yang terdapat di sepanjang perjalanan terus terluah dari bibir saya tanpa diminta. Isteri saya hanya menjadi pendengar yang setia walaupun saya tahu beliau tidak akan ambil pusing dengan setiap cerita-cerita saya. Sehinggalah kereta kami melawati simpang menuju ke pekan Kuala Kubu Bharu, fikiran saya secara tiba-tiba teringatkan stesen keretapi lama Kuala Kubu Road. Dalam perkiraan saya pastilah stesen itu sudah diruntuhkan bagi memberi peluang kepada projek pembinaan landasan berkembar. Namun ketika memandu itulah dari jauh saya terpandangkan sebuah papan tanda lama di pinggir jalan. Sayup di hadapan kelihatan bumbung yang hampir diliputi oleh rimbunan pepohon. Hati saya melonjak riang. Tahulah saya kini bahawa stesen keretapi lama Kuala Kubu Road masih wujud !.

Saya terus memberitahu isteri untuk singgah dahulu di stesen ini dan isteri saya bersetuju dengan permintaan saya itu. Namun setelah berfikir sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk meneruskan sahaja perjalanan ke kampung. Selain dari faktor keselamatan, saya juga perlu memikirkan soal kesediaan diri saya sendiri untuk meneroka khazanah stesen berkenaan. Tidak mengapalah, saya yakin saya akan ke sini juga nanti fikir saya di dalam hati.

Akhirnya Niat Di Hati Termakbul Jua

Duduk bercuti di kampung benar-benar memberikan suatu kepuasan yang tiada taranya di dalam hati saya. Selain dari menunaikan hajat ayah untuk berjumpa dengan cucu sulungnya, saya juga mempunyai agenda lain untuk bahan penulisan blog ini. Namun, ingatan terhadap stesen keretapi lama Kuala Kubu Road bagaikan sukar dipadamkan. Ada juga perancangan saya untuk ke stesen ini namun sentiasa sahaja saya berhalangan. Akhirnya setelah difikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk melawat stesen lama ini sewaktu perjalanan pulang dari kampung nanti. Saya yakin, saya telah membuat keputusan yang tapat !

Saya tidak memberitahu kepada isteri saya berkenaan hajat di hati saya untuk singgah sebentar di stesen keretapi lama Kuala Kubu Road ini. Saya hanya memaklumkan bahawa kami akan menggunakan jalan persekutuan lama dahulu dari Bidor ke Tanjong Malim sebelum masuk ke lebuh raya PLUS. Sampai sahaja ke Tanjong Malim, saya berdalih kepada isteri dengan menyatakan bahawa mungkin berlaku kesesakan di plaza tol Tanjong Malim dan perlu masuk ke lebuh raya PLUS dari Rawang. Isteri saya hanya mengangguk setuju namun saya tahu beliau sudah mula dapat membaca apa yang terkarang di fikiran saya.

Setelah ternampak papan tanda bahawa kami akan melawati Kuala Kubu Road, barulah saya memberitahu isteri hajat dihati. Beliau mengangguk sambil tersenyum dan membenarkannya. Saya meletakkan kereta di pinggir jalan. Isteri dan anak menunggu didalam kereta. Timbul juga perasaan cemas meninggalkan anak dan isteri bersendirian di pinggir jalan yang sunyi. Namun saya yakin kuasa Allah SWT akan melindungi mereka.

Tidak jauh dari tempat saya meletakkan kereta, kelihatan sebuah perhentian bas lama yang mungkin sudah tidak digunakan lagi. Masakan tidak saya beranggapan sedemikian, pasti kegunaan perhentian bas itu untuk para penumpang keretapi yang turun untuk menaiki bas menuju ke Rawang atau ke Kuala Kubu Bharu. Kini, keretapi tidak lagi singgah mengambil dan menurunkan penumpang di stesen lama ini. Maka sudah pastilah perhentian bas itu juga sudah tidak digunakan lagi. Sayu saya melihat perhentian bas kecil itu. Seolah-olah ia sedang menantikan masa untuk dirobohkan.

Perhentian bas sunyi di belakang kereta 

Nun diseberang jalan kelihatan papan tanda stesen berwarna putih yang masih utuh. Hanya tulisannya di permukaannya sahaja yang sudah sukar untuk dibaca. Ia sebuah papan tanda lama bagi stesen-stesen keretapi lama. Amat sukar lagi kini untuk kita menjumpai papan tanda stesen keretapi lama seperti ini di jajaran landasan keretapi pantai barat Semenanjung. Kebanyakannya telah pupus ditelan zaman atau musnah akibat dari pembinaan landasan berkembar suatu masa dahulu.



Stesen keretapi Kuala Kubu Road ini agak unik kerana ia dibina ditepi kawasan yang agak tinggi. Banggunan utama stesen terletak di bahagian bawah. Ini secara tidak langsung menyebabkan penumpang perlu melalui puluhan tangga simen yang berbumbung untuk sampai ke bangunan utama stesen keretapi. Saya tertarik dengan binaan tangga berbumbung stesen ini yang amat kukuh. Saya yakin pasti ianya dibina sejak zaman penjajahan Inggeris lagi. Dari arah jalan raya persekutuan, pasti kita tidak akan dapat melihat bangunan stesen keretapi sebaliknya kita hanya akan dapat melihat tangga berbumbung sahaja. Inilah keunikan stesen keretapi lama Kuala Kubu Road ini. Sayangnya kini ia telah ditinggalkan.

Pintu masuk utama ke kawasan stesen keretapi
Kuala Kubu road

Saya berhasrat untuk ke kawasan bangunan utama stesen yang terletak di bahgian bawah. Mujur juga pintu pagar stesen berkenaan telah terkopak dan ini secara tidak langsung memudahkan saya untuk menyelinap masuk kebawah. Melalui lorong bertangga yang sunyi membuatkan saya lebih berhati-hati. Tambahan pula semak samun di kawasan ini sudah agak meninggi. Saya sememangnya fobia kepada ular. Tidak hairanlah perasaan bimbang dipatuk ular bersarang di hati ketika ini.

Menuruni tangga-tangga usang untuk ke
bangunan utama stesen keretapi

Masih kukuh walaupun usang

Akhirnya saya sampai ke bangunan stesen keretapi. Terasa lapang hati ini apabila melihat bangunan kecil yang diperbuat dari batu ini masih utuh mendepani cabaran masa. Saya tidak pasti sama ada ini ialah bangunan utama atau ia sebahagian dari kawasan stesen keretapi ini. Jika dilihat dari bentuk binaannya, tidak kelihatan pula seperti sebuah stesen keretapi sebaliknya lebih terarah kepada pejabat. Saya berharap juga sekiranya terdapat poster-poster lama ataupun gambar-gambar keretapi tergantung di dindingnya. Sekurang-kurangnya boleh juga diambil dijadikan kenangan dari dibiarkan mereput. Sayangnya memang tidak ada perkara-perkara yang saya hajatkan itu.

Bangunan utama stesen keretapi Kuala Kubu Road
dari arah depan

Keadaan dari arah tepi bangunan

Saya membuat sedikit rujukan dilaman sesawang zkeretapi blogspot untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan stesen keretapi ini dan ternyata stesen ini merupakan sebuah stesen terbuka ( penumpang menunggu keretapi di platform tanpa bumbung ). Jadi bangunan yang sedia ada ini adalah bangunan asal stesen keretapi Kuala Kubu Road. Terasa diri begitu bertuah kerana masih berpeluang untuk melihat bangunan asal stesen keretapi Kuala Kubu Road yang telah ditinggalkan ini.

Kaki lima bangunan utama stesen

Saya meninjau keadaan didalam bangunan stesen ini dan ternyata ia masih kukuh walaupun ada beberapa bahagian sudah mula mereput. Tingkapnya masih seperti dahulu. Rasanya bangunan kecil ini pernah menjadi tempat bagi penagih dadah melepaskan ketagihan. Sayu hati melihat keadaannya yang terbiar. Saya dikejutkan dengan bunyi Electric Train Set ( ETS ) yang melintasi stesen ini dengan lajunya. Pasti penumpang ETS berkenaan tidak menyedari bahawa suatu ketika dahulu pernah ada sebuah stesen keretapi kecil yang banyak berjasa kepada penduduk setempat.

Keadaan didalam bangunan utama stesen

Daun pintunya masih kukuh walau dalam keusangan

Vandalisme yang merosakkan

Jika dilihat dari gambar lama yang menjadi rujukan saya terhadap stesen ini ternyata dahulu jarak antara platform stesen dengan landasan adalah berhampiran. Namun kini jarak stesen ini dari landasan berkembar agak jauh. Hal ini dapat dibuktikan dengan kedudukan papan tanda stesen yang bersebelahan dengan bangunan utama. Sayangnya seperti juga papan tanda yang terletak di tepi jalan raya persekutuan, papan tanda ini juga semakin uzur malah diliputi oleh semak samun yang meninggi. Saya sedar, semenjak wujudnya stesen keretapi Kuala Kubu Bharu yang baru, stesen ini terus ditinggalkan sepi. Arus pemodenan tidak memungkinkan lagi peranan stesen ini bagi menampung penumpang yang semakin meningkat. Tambahan pula, pasti persepsi masyarakat juga terhadap stesen ini sudah berubah. Jika dikekalkan serta digunakan pasti ada mencebik bahawa stesen ini sudah ketinggalan zaman.

Papan tanda bersebelahan stesen yang sudah diliputi 
semak samun

Saya tidak berlama-lama disini. Saya memandang ke landasan berkembar jauh dihadapan. Betapa besarnya harga yang perlu dibayar  untuk melihat kejayaan projek landasan berkembar ini. Tidak terhitung jumlah stesen-stesen keretapi lama yang hilang terus dari pandangan mata hanya untuk memastikan projek landasan berkembar ini terlaksana. Kini stesen-stesen kecil klasik yang suatu masa dahulu menjadi tempat kita menikmati indahnya perjalanan menaiki keretapi banyak yang terkubur ataupun berganti baru. Sekurang-kurangnya stesen keretapi Kuala Kubu Road ini masih tersisa kesannya jika dibandingkan dengan stesen keretapi Bidor yang terkubur tanpa nisan akibat dari pembangunan projek landasan berkembar.

Landasan berkembar yang banyak 
merubah wajah stesen-stesen lama

Ketika bergerak menaiki tangga untuk meninggalkan stesen keretapi ini, sempat saya memandangnya untuk kali yang terakhir. Terasa mahu sahaja saya menangis semahunya hati disitu namun saya sedar itu adalah perkara yang sia-sia. Selama hampir setengah jam disini terasa diri dibawa mengembara ke suatu zaman dimana keretapi adalah kenderaan yang paling utama bagi rakyat. Pandangan mata saya seolah-olah merasa kesibukan di stesen ini dengan para penumpang yang menunggu di platform terbukanya dan kakitangan Keretapi Tanah Melayu yang tekun dengan tugasan mereka. Tetapi itulah .... semuanya telah tiada. Semuanya telah hilang dimamah masa dan kemajuan.

Keadaan tangga berbumbung dari arah bangunan stesen

Selamat Tinggal Stesen Keretapi Kuala Kubu Road

Sebelum saya menyeberangi jalan untuk menuju ke kereta yang diletakkan di pinggir jalan, saya memegang papan tanda lama stesen ini. Terasa sejuk tapak tangan ini apabila tersentuh tiangnya. Isteri dan anak saya kelihatan selamat di dalam kereta. Sempat juga saya mengambil beberapa keping gambar disini. Pemandu-pemandu yang lalu lalang ada yang tersenyum sinis melihat saya termanggu-manggu di hadapan pintu masuk stesen ini. Ah... biarlah mereka. Saya tidak pernah mengganggu hidup mereka.

Saya menyeberang jalan dengan berhati-hati dan ketika mahu bergerak meninggalkan stesen ini sekali lagi pandangan mata saya tumpah ke stesen keretapi tua ini ... tidak tahulah berapa lama hayatnya lagi usia stesen keretapi Kuala Kubu Road ini. Jika akhirnya nanti ada yang bertanya benarkah suatu ketika dahulu pernah wujud sebuah stesen keretapi di Kuala Kubu Road sebelum wujudnya stesen moden yang ada sekarang ... biarlah artikel ini menjadi saksi bisu bahawa suatu dahulu ada seorang lelaki pernah hampir menitiskan air mata melihat saat akhir kewujudannya !!!!!




Sokongan Terbuka Kepada PDRM Dan ATM

$
0
0


Saya Hafez J.Malim menyokong
sepenuhnya sebarang usaha penyelesaian
oleh pihak Polis Diraja Malaysia 
dan Angkatan Tentera Malaysia terhadap
pencerobohan haram 
oleh pihak yang mengaku sebagai 
Tentera Diraja Kesultanan Sulu di Sabah.

Kedaulatan negara terletak diatas bahu
pasukan keselamatan dan rakyat sendiri.
Bersamalah kita berdoa agar saudara kita 
di Sabah serta anggota pasukan keselamatan
sentiasa dilindungi dari sebarang ancaman.

Malaysia negara berdaulat !

Meneroka Keusangan Pekan Papan

$
0
0
Pekan Papan Dan Hajat Dihati



Memang sudah lama saya berkira-kira untuk melihat sendiri keusangan pekan Papan. Semenjak pertama kali mendengar cerita berkenaan pekan ini, hati saya bagaikan melonjak-lonjak mahu menjejakinya. Terasa seolah-olah nama pekan Papan bagaikan terlekat-lekat di fikiran ini. Rasanya jika tidak kesampaian lagi hajat untuk ke pekan Papan ini pastilah ia akan menjadi satu gangguan pula kepada hidup saya. Mahu tidak mahu, saya perlu melunaskan hajat dihati saya itu dengan seberapa segera. Satu perjalanan perlu dirangka agar segala yang terbuku di fikiran dapat diselesaikan dengan jelas dan berkesan.

Akhirnya peluang untuk melihat sendiri pekan Papan ini termakbul juga sewaktu cuti sempena tahun baru Cina baru-baru ini. Tidak disangka-sangka kunjungan ziarah ke atas seorang bapa saudara saya yang uzur di Batu Gajah telah membawa saya untuk meneroka pekan Papan. Semuanya berlaku tanpa dirancang. Terima kasih kepada sepupu saya  Harith yang sudi menemani saya meneroka ke pekan Papan ini. Tanpa bantuannya saya pasti, saya tidak akan ketemu dengan pekan Papan. Ah ... terlalu banyak pula saya berceloteh. Jom ... ke pekan Papan. Rasanya pasti banyak perkara yang boleh kita kongsikan berkenaan dengan pekan ini.

Kunjungan Ziarah Keluarga

Saya membawa keluarga saya ke Batu Gajah bagi menziarahi pakcik saya yang uzur setelah diserang oleh penyakit angin ahmar. Tambahan pula anak kecil saya, Almas Nafisa masih belum pernah lagi menjejakkan kakinya ke Batu Gajah. Dahulu sewaktu masih kecil di kala musim cuti persekolahan, memang sering saya ke Batu Gajah. Menghabiskan cuti  di Batu Gajah merupakan perkara yang menyeronokkan. Selain dapat bermain dengan sepupu-sepupu saya yang ceria, saya juga menyukai suasana bandar Batu Gajah yang masih banyak mengekalkan suasananya yang klasik. Masih banyak lagi koleksi bangunan lama yang dibina sejak zaman kolonial boleh dilihat di Batu Gajah sehingga kini.

Menjelang usia remaja saya pula, saya sudah mula kurang menghabiskan cuti di Batu Gajah. Sebaliknya saya sering ke Batu Gajah atas tujuan mengikuti abang sepupu saya berniaga kain. Namun itu cerita dahululah, tamat sahaja tingkatan lima memang saya sudah tidak lagi sering ke Batu Gajah. Hanya jika punya urusan keluarga yang penting barulah saya ke Batu Gajah. Keadaan itu berlarutan sehingga kini dan Batu Gajah hanyalah satu dari tinggalan memori zaman kanak-kanak dan remaja saya.

Ketika kunjungan ziarah ini, kesihatan pakcik saya sudah semakin beransur baik. Namun selera makannya agak kurang dan memerlukan bantuan tongkat untuk bergerak. Kebetulan pula sepupu saya Harith ada pulang bercuti. Kami berdua memang agak akrab sejak dari kecil. Dalam siri perbualan kami, secara tidak sedar saya menyatakan kepadanya hasrat untuk melihat dan mengambil gambar stesen keretapi lama Batu Gajah. Tanpa sebarang masalah beliau bersetuju untuk membawa saya ke stesen keretapi lama Batu Gajah. Pucuk dicita ulam mendatang, kesanggupan beliau itu benar-benar membuatkan hati saya melonjak girang.

Setelah puas mengambil gambar dan melihat sendiri tinggalan-tinggalan yang masih tersisa di stesen keretapi lama Batu Gajah, saya membuat cadangan kepada Harith untuk pergi ke pekan Papan yang terletak tidak jauh dari Batu Gajah. Seperti tadi, beliau terus bersetuju tanpa banyak kerenah dan saya mengorak senyum yang melebar !.

Melihat Pekan Papan


Papan tanda arah ke pekan Papan

Pekan Papan terletak berhampiran dengan bandar Batu Gajah dan bandaraya Ipoh. Mengikut sejarahnya pekan ini mula wujud akibat dari ledakan perkembangan aktiviti melombong bijih timah di lembah Kinta suatu ketika dahulu. Jadi tidak hairanlah jika majoriti penduduk Papan terdiri dari orang Cina. Namun demikian sesuatu yang pasti asalnya pekan Papan ini dibuka oleh orang Melayu. Sejarah membuktikan bahawa lombong-lombong bijih timah di Papan ini asalnya adalah milik bekas sultan Perak ke-25 iaitu Almarhum Sultan Ismail Muabidin Riayat Shah. Setelah pecahnya perang Perak, lombong-lombong bijih timah milik baginda telah diserahkan oleh pihak British kepada Raja Asal dan seterusnya kepada anak saudaranya Raja Bilah.

Untuk ke pekan Papan, kami perlu memasuki ke sebuah simpang jalan yang kurang sesak. Rasanya pekan ini tidak menjadi laluan atau persinggahan bagi perkhidmatan bas awam walaupun terdapat perkhidmatan bas yang menghubungkan Ipoh dan Batu Gajah. Hal ini mungkin disebabkan kedudukan pekan ini yang agak jauh terperosok kedalam dan jauh dari jalan utama.

Melalui jalan yang sunyi untuk ke pekan Papan

Rasanya bas syarikat General ini tidak mengambil
penumpang di pekan Papan

Selamat datang ke pekan Papan !

Ketika kami tiba di pekan ini, suasananya agak meriah. Terlupa pula saya bahawa ketika ini masyarakat Cina sedang sibuk merayakan tahun baru Cina. Jadi tidaklah terasa kesunyian di pekan ini. Gementar juga hati melihatkan pandangan penduduk setempat yang keliahatannya kurang senang dengan kunjungan kami. Tambahan pula saya membawa kamera. Namun perasaan itu saya sembunyikan jauh-jauh dalam hati saya. Apalah yang perlu dikhuatirkan ... kami bukan datang untuk membuat jahat.


Jika dilihat dari keadaan pekan Papan ini sepintas lalu saya dapat merasakan suatu ketika dahulu ia merupakan sebuah pekan yang sibuk. Deretan rumah - rumah kedainya yang panjang serta tersusun membuktikan kenyataan saya ini. Sayangnya, kebanyakan dari rumah-rumah kedai ini telah ditinggalkan dan kelihatan begitu usang. Bilangan rumah kedai yang masih digunakan bagaikan boleh dikira dengan jari dan majoriti penduduknya terdiri dari warga emas.

Antara rumah kedai yang tidak lagi digunakan

Boleh dikira dengan jari sahaja rumah kedai yang masih 
beroperasi.

Ada pandangan yang menyatakan pekan Papan hampir ditinggalkan kerana kejatuhan industri bijih timah negara kita. Kenyataan itu ada juga kebenarannya namun terdapat juga faktor-faktor lain yang saya yakini membawa juga kepada kemerosotan peranan pekan Papan. Antaranya ialah faktor penghijrahan orang muda ke bandar dan kedudukan pekan Papan yang kurang strategik. Banyak bandar atau pekan lain yang muncul akibat ledakan aktiviti perlombongan bijih timah terus membangun dan berkembang seperti Bidor, Kampar dan Batu Gajah tetapi pekan Papan sebaliknya. Jawapan kepada masalah ini jelas terletak kepada kedudukannya yang jauh dari laluan jalan utama dan menjadikan pekan ini kurang strategik.

Kedudukannya yang agak terpencil dari laluan utama
jalan raya memungkinkan peranannya semakin terhakis

Ada elemen ukiran Melayu pada kelarai atap
bangunan ini.

Ketika asyik meninjau-ninjau keadaan pekan ini barulah saya teringat akan kewujudan sebuah istana lama milik Raja Bilah. Namun kedudukannya dan arahnya tidak pula kami ketahui. Saya lantas ke sebuah kedai makan berhampiran dan bertanyakan kepada salah seorang pelanggannya dimana letaknya istana tersebut. Ternyata pertanyaan saya disambut dengan begitu mesra olehnya serta beberapa orang pelanggan lain. Mereka lantas menunjukkan arah dan lokasi istana berkenaan. Mereka menggelarkan istana berkenaan dengan nama rumah raja sahaja. Selepas mengucapkan terima kasih dan ucapan tahun baru, saya lantas mengajak Harith berjalan kaki sahaja menuju ke istana berkenaan. Kereta kami letakkan di pinggir jalan sahaja.

Kami berdua melalui sebatang lorong kecil ditengah-tengah dua buah rumah kedai usang. Saya amat tertarik dengan suasana lorong kecil ini. Masa seolah-olah terhenti disini dan kami berdua bagaikan kembali semula ke suatu zaman yang telah berlalu. Suasana sunyi dan begitu klasik. 

Belakang rumah kedai di jalan menuju
ke istana Raja Bilah

Rumah papan lama milik penduduk di sepanjang
lorong menuju ke istana Raja Bilah

Akhirnya kami sampai juga ke pintu pagar utama untuk masuk ke kawasan istana. Sayangnya ia berkunci. Terasa begitu rugi tidak dapat melihat dari dekat corak dan binaan istana yang begitu terkenal ini. Saya hanya mampu mengambil gambar istana ini dari luar pagar sahaja. Cukuplah dari tidak mendapat apa-apa pujuk hati saya sendiri.

Hanya dapat melihat istana Raja Bilah dari pagar
yang berkunci 

Istana ini ialah milik Raja Bilah. Raja Bilah merupakan penghulu mukim Papan pada ketika pemerintahan Inggeris. Beliau berasal dari Sumetara dan berketurunan Mendailing. Beliau berhijrah ke Tanah Melayu dan akhirnya mewarisi amanah bapa saudaranya Raja Asal dalam urusan perlombongan bijih timah di Papan. Jika dilihat dari bentuk istana ini jelas dilihat bahawa Raja Bilah ini ialah seorang yang sangat kaya pada ketika itu. Hanya golongan bangsawan sahaja yang mampu membina istana seperti ini. Jadi tidaklah menghairankan jika dikatakan Raja Bilah bukan calang-calang orangnya.

Gambar Istana Raja Bilah ( carian Google )

Setelah gagal dalam usaha melihat istana Raja Bilah dari jarak dekat kami meneruskan perjalanan meneroka keusangan pekan Papan. Saya meninjau-ninjau keadaan beberap buah rumah kedai lama yang hampir roboh. Sedih melihat keadaannya yang begitu uzur. Ia mengingatkan saya kepada rumah-rumah kedai lama di pekan Kampung Kepayang yang pernah saya ulas suatu ketika dahulu. Saya mencari-cari juga sekiranya terdapat tinggalan-tinggalan barangan lama yang masih tersisa disini. Sayangnya hanya sampah sarap sahaja yang ditemui. Mungkin rumah kedai lama ini pernah digeledah oleh peminat barang-barang antik suatu ketika dahulu. Ermmmm.

Sepi dan usang

Kemana menghilang penghuni-penghuninya?

Sunyi

Tidak banyak kemudahan asas yang terdapat di pekan ini. Sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina ( SRJK ) menjadi satu-satunya sekolah yang wujud di pekan ini. Tidak pula saya mendapat fakta berapa orangkah murid di sekolah ini. Sebuah pasar juga dapat dilihat namun kelihatannya seperti tidak digunakan. Sebuah dewan orang ramai yang kecil juga dapat dilihat. Tiada kemudahan stesen minyak dan pejabat pos disini. Malahan untuk keselamatan, pondok polis juga tidak saya temui disini.

Balai raya pekan Papan

SRJK ( C ) Papan satu-satunya institusi pendidikan disini

Pasar awam

Kami terus meneroka setiap inci pekan Papan. Sesekali Harith lebih selesa duduk didalam kereta dan membiarkan saya bersendirian leka dengan dunia saya sendiri. Ketika sedang asyik mengambil gambar, terdengar salakan anjing dari sebuah rumah kedai berhampiran dan seorang lelaki keluar dengan muka yang serius. Saya tahu beliau tidak senang dengan tindak tanduk saya. Saya tidak gentar. Saya memberikan senyuman dan meneruskan aktiviti mengambil gambar. Agaknya bila melihat saya tidak ambil endah dengan sikapnya, terus beliau masuk ke dalam rumahnya semula dah memaki hamun anjingnya.. hahahaha... peduli apa saya !

Suasana di dalam sebuah rumah kedai yang ditinggalkan

Kebanyakan dari bangunan kedai lama sudah mula
diliputi oleh tumbuhan hijau menjalar

Saya tidak dapat membayangkan bagaimanakah keadaan pekan ini sewaktu era kegemilangannya. Pasti pernah wujud perniagaan-perniagaan asas seperti tukang jahit, tukang besi, kedai membaiki basikal dan sebagainya. Namun semuanya kini telah tiada. Yang tinggal hanyalah rumah-rumah kedai lama yang usang dan menanti masa sahaja untuk roboh menyembah bumi. Ia pasti merupakan satu momen yang indah bagi warga emas pekan ini yang sememangnya menjadi majoriti penduduknya.

Kaki lima kedai yang sepi seolah-olah mahu bercerita
tentang betapa meriahnya zaman-zaman emas pekan Papan

Pasti suatu ketika dahulu ia sibuk dengan riuh rendah
penduduknya

Selepas berpuas hati barulah saya dan Harith mula bergerak keluar. Kata Harith terdapat sebuah kawasan perkelahan di pedalaman kawasan pekan Papan ini. Saya kurang tertarik dengan kawasan perkelahan itu dan tidak berhajat untuk melihatnya. Sewaktu melalui kedai makan yang menjadi tempat saya bertanyakan soalan dimana letaknya istana Raja Bilah itu tadi, hampir semua pelanggannya mengangkat tangan kepada kami. Saya tersenyum sendirian dan mengomel dalam hati ... kan lebih bagus jika mereka semua ini memberi angpau kepada kami sempena tahun baru Cina ini. Hahahahaha.

Penutup

Walaupun hanya sebentar di pekan Papan ini namun saya merasa puas kerana segala apa yang terpendam di dalam hati selama ini telah dapat saya lunasi. Jujurnya timbul juga sedikit kesal kerana tidak dapat melawat dan melihat sendiri istana Raja Bilah tetapi saya yakin suatu ketika nanti pasti saya akan berpeluang menjenguknya.

Pekan Papan kini semakin sunyi dan sudah mula melewati zaman akhirnya. Saya bersyukur juga kerana sekurang-kurangnya masih wujud sebuah pekan kecil yang masih mengekalkan gaya kolonialnya sehingga kini di negeri Perak yang tercinta ini. Sekurang-kurangnya, sejarah masih boleh dibeli disini dan generasi muda masih boleh melihat betapa suatu ketika dahulu betapa kuatnya nilai kuasa bijih timah dalam menentukan pola kependudukan manusia di sesuatu kawasan. Dan kini dengan surutnya kuasa yang ada pada bijih timah maka surutlah juga kepentingan kawasan berkenaan kepada penduduknya .... ya itulah yang berlaku kepada pekan Papan yang terus berjuang melawan takdir hari tuanya.... benar saya melihat pekan Papan semakin nazak !

Sampai berjumpa lagi pekan Papan !






Ziarah Makam Lama 7 : Siapa Syed Hussain Yamani ?

$
0
0
Nisan Berbalut Kain Bewarna Kuning dan Hijau


Batu nisan dengan balutan kain kuning dan hijau

Aneh ... jika sebelum ini, kunjungan ziarah saya ke makam-makam lama pasti akan melihat batu nisan yang berbalut dengan kain kuning sebagai tanda makam berkenaan adalah milik individu yang berdarah raja. Namun untuk makam yang satu ini terdapat perbezaannya kerana batu nisannya berbalut dengan kain yang bewarna hijau dan kuning. Siapakah yang bersemadi di dalamnya fikir saya .... sejuta satu persoalan mula membengkak di minda saya .

Saya memberhentikan motosikal sebaik sahaja terpandang kepuk makam yang kelihatan masih terjaga. Kedudukannya tidak jauh dari rumah penduduk kampung. Sungai Perak yang mengalir perlahan masih boleh dilihat dari arah makam ini. Bentuk batu nisan makam ini juga agak aneh dan jauh berbeza dengan batu nisan makam sultan-sultan Perak yang pernah saya ziarahi sebelum ini. Saya tidak terus turun dari motosikal sebaliknya memandang dahulu ke arah kepuk makam. Tindakan saya itu kelihatannya tidak disenangi oleh Hidayat. Agaknya dia hairan melihat saya yang termanggu-manggu melihat suasana makam berkenaan. Hidayat pantas turun dari motosikal dan terus melangkah ke kawasan kepuk makam.

Kepuk makam

Saya sebenarnya sengaja berkeadaan sedemikian. Selain mahu melepaskan lelah, saya juga seboleh-bolehnya mahu mengambil masa untuk berfikir mencari makna disebalik makam ini. Namun setelah melihat Hidayat mula melangkah ke arah makam terus sahaja saya mengekorinya. Mujur juga kawasan kepuk makam ini agak terjaga. Sayangnya pagar besinya sudah mula dimakan karat. Terdapat juga beberapa makam lain yang terletak berhampiran dengan makam ini. Ianya terletak dalam sebuah kepuk besar yang sama.

Kawasan di dalam kepuk makam

Setelah memberi salam kepada penghuninya, pandangan saya mula tertumpah pada batu nisan utama makam yang berbalut dengan kain bewarna kuning dan hijau. Bentuk batu nisannya juga agak aneh dan lebih kurus jika dibandingkan dengan batu nisan makam yang pernah saya ziarahi sebelum ini. Teori awal saya pasti seorang kerabat diraja dari negeri lain telah dikebumikan disitu. Jika tidak pun pasti makam ini milik seorang pembesar yang mempunyai titisan darah diraja. Namun fikiran saya berbelah bahagi untuk mengiyakan teori berkenaan.

Usai sahaja menyedekahkan bacaan Al-Fatihah, tiba-tiba Hidayat bersuara bertanya siapakah insan yang dikebumikan di makam ini. Saya diam seribu bahasa. Rugi benar tidak membuat rujukan dahulu sebelum ziarah. Saya memerhatikan balutan kain batu nisan yang sudah usang dimamah masa ... fikir saya kenapa ia perlu bewarna hijau ? ... entah mengapa secara tidak sedar mulut saya terus menyatakan kepada Hidayat bahawa yang dimakamkan disini ialah seorang ulama yang tersohor dan mungkin bertaraf wali. Saya bungkam ... terasa jawapan itu benar-benar membuatkan saya menjadi serba salah.


Hijau melambangkan agama Islam dan seperti yang telah saya ketahui dari penceritaan orang-orang lama bahawa kawasan persisiran Sungai Perak dari mukim bandar membawa ke hulu memang suatu ketika dahulu merupakan tempat lahirnya bijak pandai agama yang hebat. Tambahan pula kawasan di persisiran Sungai Perak sememangnya pernah menjadi lokasi pusat pemerintahan sultan-sultan Perak terdahulu. Jadi adalah tidak mustahil para ulama dan ilmuwan Islam akan bertumpu di sini untuk berdakwah kepada penduduk tempatan. Apabila mereka meninggal dunia, mereka dimakamkan di kawasan ini juga dan pastilah makam mereka dijaga dengan sempurna kerana berkat ilmunya.

Namun itu sekadar telahan saya sahaja. Mahu ditanya pada penduduk tempatan tidak kelihatan pula kelibat mereka walaupun kedudukan makam berkenaan berhampiran dengan rumah penduduk kampung. Papan tanda penerangan mengenai makam juga tiada. Pasti ia akan menyusahkan para peminat sejarah bagi mengetahui akan sumbangan tokoh-tokoh tertentu dalam perkembangan tamadun Melayu Perak Darul Ridzuan yang tercinta ini. Tetapi apabila difikirkan kembali, saya juga perlu bermuhasabah diri ... sewajarnya saya membuat penyelidikan dahulu sebelum melakukan sesuatu perjalanan. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya hal seperti ini akan membuatkan saya lebih bersedia untuk siri-siri perjalanan yang akan datang.

Setelah hampir 15 minit berteka-teki di makam ini, saya dan Hidayat meneruskan semula perjalanan kami untuk ke dua buah makam lama milik sultan Perak yang terletak tidak jauh dari makam ini. Sepanjang menunggang motosikal fikiran saya melayang memikirkan siapakh pemilik makam bernisan kurus dan berbalut kain hijau itu .... mahu sahaja saya berpatah semula ke pekan Kampung Gajah untuk mencari pusat internet bagi membolehkan saya mendapat rahsianya. Saya benar-benar mahu mengetahuinya !!!

Mencari Rahsia Syed Hussain Yamani 

Malam itu saya sibuk mencari misteri pemilik makam berkenaan. Alhamdulillah jawapan kepada masalah saya dapat diselesaikan. Makam berkenaan adalah milik seorang ulama yang bernama Syed Hussain Yamani. Tidak banyak maklumat yang dapat saya perolehi berkenaan dengan tokoh ini. Namun jika dilihat pada hujung namanya jelas beliau mungkin berasal dari Yaman. Tidak pula saya menemui catatan berkenaan tarikh kehadiran tokoh ini ke Perak.

Jika dilihat secara sepintas lalu melalui carian internet sememangnya keluarga Syed amat berpengaruh dalam urusan pentadbiran negeri Perak suatu ketika dahulu. Namun demikian, nasab keturunan Syed di Perak ini bermula dari warisan Syed Hussain Al-Faradz yang seterusnya bersambung sehingga ke cucunda Rasullullah, Saidina Hussein. Saya tidak pasti pula berkenaan Syed Hussain Yamani ini sama ada beliau dari nasab yang sama ataupun tidak. Namun yang pastinya gelaran Syed merupakan suatu gelaran yang mulia kerana mereka semuanya adalah anak cucu kepada Nabi Muhammad SAW.

Salah satu sumbangan terbesar golongan Syed di Perak ialah penciptaan Undang-Undang 99 Perak yang berteraskan hukum syariah. Undang-undang 99 Perak ini telah diilhamkan oleh Syed Hasan ( Raja S'ari )* yang juga merupakan waris langsung dari Syed Hussain Al-Faradz ini. Beberapa jawatan penting dalam hieraki pembesar negeri Perak juga pernah disandang oleh keluarga Syed ini sehinggalah ke hari ini. Syed Hussain Al-Faradz merupakan penyandang jawatan Orang Kaya Menteri Paduka Tuan yang pertama di negeri Perak.

Misteri kepada watak Syed Hussain Yamani ini terus membelenggu diri saya sehingga kini. Semasa artikel ini ditulis, saya masih lagi ragu-ragu dengan beberapa perkara yang agak samar-samar. Namun saya tetap gagahi juga mencari fakta tentang Syed Hussain Yamani  sehinggakan saya terpaksa mengambil keputusan membuat kunjungan ziarah kedua ke makam ini bagi mendapatkan pencerahan.

Sayangnya ketika kunjungan kali kedua saya ke makam ini, kain bewarna hijau yang pernah menjadi kain balutan batu nisannya telah tiada lagi. Yang tinggal hanyalah kain balutan bewarna kuning tunggal. Apa yang membanggakan saya ketika ini ialah pagar kepuk makam yang sudah bercat baru. Jelas masih ada yang prihatin dengan tinggalan sejarah negeri Perak ini.

Tiada lagi balutan kain bewarna hijau 

Syed Hussain Yamani terus kekal sebagai suatu watak yang misteri di minda saya dan sehingga kini saya terus mencari fakta berkaitan tokoh ini tanpa jemu !

tambahan kepada catatan ini ... saya merasakan Syed Hasan ( Raja S'ari ) yang memperkenalkan Undang-Undang 99 Perak adalah insan yang sama dengan Syed Hussain Yamani.... wallahualambissawab. Tidak ketahuan kenapa hati ini berkata sedemikian ....

Bersambung

Rujukan




Article 0

$
0
0

MERAFAK SEMBAH SETINGGI-TINGGI TAHNIAH
KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH
IBNI ALMARHUM SULTAN YUSSUF IZZUDDIN SHAH GHAFARULLAHU-LAH
SULTAN, YANG DI-PERTUAN DAN RAJA PEMERINTAH NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN DAN SEGALA JAJAHAN TAKLUKNYA
SEMPENA HARI KEPUTERAAN BAGINDA KE-85
PADA 19 APRIL 2013 
 DAULAT TUANKU

Ikhlas dari patik Hafez J.Malim
indahrasajmalim.blogspot.com

Mengenang Suatu Masa Yang Telah Berlalu 4

$
0
0

Hafez J.Malim Si Penjual Santan Kelapa



Dalam sejarah kehidupan silam saya, inilah pekerjaan yang paling banyak memberikan saya sejuta satu pengalaman yang amat bernilai. Ia merupakan pekerjaan yang paling lama saya ceburi dan paling banyak memberikan saya pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup alam remaja saya. Sedari usia 18 tahun sehingga ke usia 24 tahun, menjual santan adalah pekerjaan utama saya !

Selepas sahaja tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) pada tahun 2001 maka bermulalah satu babak baru di dalam kehidupan saya. Ketika teman-teman lain memilih untuk keluar dari pekan Bidor bagi mencari pekerjaan sementara menanti keputusan SPM, saya pula lebih selesa untuk kekal bertahan di Bidor. Saya yakin, pekan Bidor yang sedang berkembang itu pasti mampu memberikan peluang kerja kepada diri saya. Tambahan pula, kewangan diri dan keluarga juga semakin menekan. Saya tidak betah memerap di rumah. Mahu tidak mahu, saya perlu juga mencari kerja.


Pada awalnya, saya sudah mula berkira-kira untuk bekerja di ladang kelapa sawit Bukit Khato yang terletak di Kampung Poh tidak jauh dari pekan Bidor. Is suatu kerja yang berat namun saya berkeyakinan mampu untuk menggalas perkerjaan di ladang sawit berkenaan. Ada juga teman-teman yang melarang saya untuk bekerja di ladang berkenaan namun saya tetap berkeras mahu mencuba. Tambahan pula keluarga bagaikan tidak menghalang niat saya itu. Saya yakin, kejantanan saya masih ada untuk kerja-kerja berat di ladang kelapa sawit.

Malam Yang Merubah Fikiran

Saya masih ingat, pagi itu saya telah dihantar oleh teman baik saya yang bernama Azhar ke rumah seorang teman yang akan membantu saya memohon kerja di ladang kelapa sawit berkenaan. Jarak ladang berkenaan dari rumah saya lebih kurang 7 kilometer. Saya berkira-kira untuk berulang alik sahaja dengan menaiki basikal ke ladang berkenaan sekiranya permohonan kerja saya diterima. Sayangnya teman yang mahu membantu saya itu tidak ada di rumah kerana ada urusan lain. Maka pulanglah saya dengan kehampaan dan berharap masih ada peluang untuk saya pada keesokan harinya.

Pada sebelah malamnya saya seperti biasa bersama teman-teman akan melepak di tepi paip air tidak jauh dari rumah saya. Sememangnya itulah tempat melapak kami saban malam ketika zaman remaja. Bermain gitar, menyanyi dan bersembang kosong sehingga larut malam merupakan penyakit zaman remaja yang sukar saya ubati sehingga kini. Sewaktu sedang enak-enak berbual secara tiba-tiba seorang anak kecil datang berjumpa dan menyuruh saya segera pergi ke rumah Opah Nyor. Opah Nyor berpangkat nenek saudara jauh saya. Beliau merupakan antara peniaga santan dan kelapa yang berjaya di pekan Bidor.

Saya segera bergegas rumahnya. Sesampai sahaja di rumahnya barulah saya ketahui bahawa beliau mahukan saya bekerja di kedainya yang terletak di pasar Bidor. Mulanya saya agak terkejut dan menolak permintaanya atas alasan saya mahu bekerja di ladang kelapa sawit. Namun setelah dipujuk dan didesak akhirnya saya bersetuju dengan ajakannya. Fikiran saya kosong selepas itu. Terasa menyesal menerima pelawaannya. Namun tidak mengapalah, jika tidak cocok dengan jiwa tentu saya boleh berhenti pada bila-bila masa sahaja fikir saya.

Pemandangan pasar awam Bidor

Keesokan paginya saya ke pasar Bidor dengan berbasikal sahaja pada jam 5.30 pagi. Saya tidak tahu bagaimna skop kerja saya. Dengan seluar jeans lusuh dan ketat berserta t-shirt dan topi saya memasuki ke alam pekerjaan baru saya dengan hati yang tidak menentu. Sampai sahaja di pasar, Opah Nyor bersama anaknya yang saya panggil abang Nuar telah menanti saya dengan senyuman. Selain dari mereka, turut bekerja bersama saya ialah seorang wanita separuh usia yang kami panggil Makcik Bakyah.

 Mesin kelapa jenis ini pernah saya gunakan
sewaktu bekerja di pasar Bidor

Tugasan hari pertama saya hanyalah membelah kelapa. Dengan sebilah parang tumpul, saya membelah kelapa tanpa sebarang bantahan. Abang Nuar tidak membenarkan saya memarut kelapa dengan menggunakan mesin kelapa. Agaknya beliau risau tangan saya akan terluka terkena mata mesih kelapa yang tajam itu. Saya sendiri sebenarnya masih ragu-ragu sama ada boleh atau tidak memarut kelapa dengan menggunakan mesin. Sejujurnya, hanya beberapa kali sahaja saya pernah menggunakan mesin kelapa. Terluka akibat terkena mata mesin kelapa juga tidak pernah saya alami!

Sekeping gambar lama ... saya membelah kelapa
di pasar awam Bidor

Suasana di pasar Bidor  amat menyeronokkan tambahan pula kebanyakan pekerja-pekerja di situ adalah teman-teman baik saya. Kebanyakan dari mereka bekerja di tempat penyembelihan dan pemprosesan ayam. Jadi secara tidak langsung, kami bekerja dengan keadaan yang gembira dan saling bergurau senda. Pada awalnya saya merasakan kerja membelah kelapa ini adalah perkara yang mudah. Namun setelah hampir 3 jam melakukannya barulah terasa betapa lenguhnya tangan ini. Purata setiap hari biasa saya akan membelah hampir 500 biji kelapa dan meningkat hampir ke angka 800 biji menjelang hari minggu. Apabila tiba ke musim-musim perayaan seperti hari raya Aidilfitri jumlah kelapa yang dibelah dan diparut oleh kami menjangkau ke angka 1500 biji.

Sedang memarut kelapa

Setelah seminggu barulah saya mula dapat membiasakan diri dengan suasana kerja. Saya juga sudah mula memarut kelapa namun tidaklah sepantas Abang Nuar, Opah Nyor dan Makcik Bakyah. Sesekali timbul juga kerisauan jika jari jemari saya terluka diparut sekali oleh mata mesin kelapa. Namun lama-kelamaan alah bisa tegal biasa. Pada mulanya kesan luka menimbulkan kesakitan yang amat perit. Ngeri juga melihat daging di jari dan tapak tangan bagaikan diparut dan sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu. Tetapi ia akhirnya menjadi satu kelaziman yang pada suatu ketikanya tidak mendatangkan kesakitan kepada saya. Kulit tapak tangan juga menjadi tebal dan kasar.

Kehidupan sebagai seorang anak muda yang bekerja di pasar bukanlah seindah yang dijangkakan. Ketika ini saya mula menyimpan rambut panjang terutamanya di bahagian belakang. Berbeza dengan keadaan saya kini yang agak berisi, kondisi tubuh saya ketika itu jauh lebih kurus. Terlalu lama berpanas menyebabkan kulit saya menjadi lebih gelap.

Keadaan diri saya sewaktu bekerja

Keadaan diri saya yang serupa itu rupa-rupanya telah menimbulkan fitnah di kalangan penduduk tempat saya yang menuduh saya seorang penagih dadah. Saya sememangnya kutu embun. Boleh dikatakan saban hari saya akan pulang lewat malam ke rumah. Kebetulan pula pada ketika itu, dewan aktiviti Rukun Tetangga telah dicerobohi oleh individu yang yang tidak bertanggungjawab. Malangnya tuduhan masyarakat terarah kepada saya. Allah sahaja yang mengerti betapa pilunya hati ini mengenang nasib namun saya hadapinya juga tanpa sebarang masalah. Akhirnya tuduhan itu berlalu sepi begitu sahaja.

Gaji yang diterima tidaklah begitu besar namun ia adalah jauh mencukupi bagi memenuhi kehendak saya. Jujurnya saya adalah seorang yang pemboros. Jarang duit gaji saya disimpan sebaliknya duit berkenaan digunakan untuk berlibur sahaja bersama teman-teman. Untungnya, melalui duit gaji itulah saya mengambil lesen memandu motosikal malahan mampu untuk memiliki sebuah telefon bimbit terpakai. Sayangnya telefon bimbit itu jarang berbunyi....saya tidak punya teman istimewa untuk dihubungi. Tambahan pula kos penggunaan telefon bimbit adalah agak tinggi pada ketika itu.

Nokia 3310 terpakai yang dapat saya beli
melalui duit gaji bekerja menjual santan.

Perkara yang paling menyeronokkan saya sewaktu bekerja menjual santan ini ialah saya dapat mengenali ramai orang. Secara tidak langsung saya dikenali oleh ramai orang di pekan Bidor. Hubungan saya dengan pelanggan juga amat baik malahan seringkali juga para pemilik restoran memberikan makanan percuma kepada saya atas balasan khidmat penghantaran santan ke restoran mereka. Walaupun tidak memiliki lesen memandu pada peringkat awal, namun saya tidak pernah di tahan oleh mana-mana polis. Mungkin mereka adalah para pelanggan santan kami maka secara tidak langsung saya tidak diganggu ketika sibuk bermotosikal menghantar santan.

Selepas mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam, saya memutuskan untuk berhenti dari kerja menjual santan ini. Tempat saya digantikan oleh teman baik saya yang bernama Tashar. Namun demikian jika ada kelapangan di hujung-hujung minggu saya akan turut bekerja bersama. Selepas sahaja Tashar mendapat tawaran rayuan ke tingkatan enam, Opah Nyor dan Abang Nuar ada juga mengambil beberapa pekerja baru. Sayangnya mereka tidak kekal lama. Sebagai satu langkah menambahkan belanja sekolah saya maka pada setiap hari Sabtu dan Ahad, saya akan bekerja menjual santan. Memang diakui, saya jarang meminta belanja dari ayah sewaktu di tingkatan enam. Hanya gaji dari kerja hujung minggu ini beserta duit biasiswa sahajalah yang menjadi bekalan buat saya.

Hal ini berlanjutan sehingga saya memasuki asrama putera di SMK Hamid Khan Tapah. Saya mengambil tingkatan enam di SMK Buyong Adil Tapah kerana pada ketika itu masih belum terdapat sekolah yang menawarkan kelas tingkatan enam di Bidor. Oleh kerana jarak untuk berulang alik dari Bidor ke Tapah adalah agak jauh maka saya memutuskan untuk tinggal menumpang di asrama. SMK Buyong Adil tidak menawarkan kemudahan asrama harian kepada pelajar lelaki dan ini menyebabkan saya terpaksa menumpang di arama putera SMK Hamid Khan.

Walaupun sudah tinggal di asrama, saya masih lagi meneruskan pekerjaan menjual santan ini. Boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu saya akan memohon kebenaran untuk pulang ke Bidor untuk bekerja. Mujurlah warden sekolah seringkali membenarkan saya pulang dan biasanya wang gaji bekerja selama dua hari cukup untuk menampung belanja saya di asrama selama dua minggu.

Selepas sahaja tamat menduduki peperiksaan STPM saya kembali menjadi penjual santan di pasar. Untungnya kali ini, saya bekerja bersama Tashar setiap hari. Ini menjadikan kerja semakin menyeronokkan kerana saya sudah punya teman sekerja yang setia. Gaji juga sudah dinaikkan pada ketika ini dan yang pastinya kami berdua punya debar yang tersendiri menantikan keputusan STPM diumumkan.

Saya dan Tashar sewaktu bekerja di pasar awam Bidor

Ketika keputusan STPM keluar, saya masih lagi setia bekerja di pasar. Tashar pula mengambil cuti sehari. Menjelang jam 10 pagi beberapa orang teman dari Tapah mula menjemput saya dari pasar. Mereka mahu saya mengambil keputusan peperiksaan bersama mereka. Alhamdulillah walaupun saya sibuk bekerja sewaktu di tingkatan enam, keputusan saya agak baik dan bolehlah dibanggakan. Dengan keputusan itu akhirnya saya diterima untuk melanjutkan pelajaran ke UPSI.



Saya masih ingat waktu keputusan kemasukan ke universiti diumumkan, saya tidak bekerja pada hari tersebut. Tashar bekerja seorang diri di pasar. Selepas mendapat keputusan berkenaan saya terus menunggang basikal ke pasar untuk memaklumkannya kepada teman-teman. Terasa seronok menerima ucapan tahniah dari teman-teman pekerja di pasar. Tashar juga berjaya melanjutkan pelajarannya ke UPSI. Seminggu sebelum pendaftaran ke UPSI pada tahun 2004 saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja menjual santan. Opah Nyor dan Abang Nuar menerima keputusan saya itu dengan senang hati.

Saya menjangkakan tidak akan lagi bekerja di pasar selepas melanjutkan pelajaran ke UPSI. Tambahan pula Opah Nyor dan Abang Nuar telah memiliki pekerja baru di kedai mereka. Ketika cuti semester tahun pertama saya di UPSI, saya terpaksa bekerja di kilang tanah kerana kedai santan tidak memerlukan saya dan mempunyai pekerja baru. Namun, masuk sahaja tahun kedua dan sehingga tamat pengajian saya di UPSI, setiap kali cuti semester adalah medan untuk saya bekerja menjual santan. Saya tidak pernah malu apabila ada individu-individu tertentu yang mencebik dengan pekerjaan saya. Pada saya biarlah mereka dengan pandangan sinis mereka asalkan saya bekerja dan memperoleh pendapatan yang halal.

Tamat pengajian saya di UPSI pada tahun 2007, saya terus sahaja bekerja menjual santan sementara menunggu keputusan penempatan saya sebagai seorang guru. Ketika ini usia saya sudah menjangkau 24 tahun dan saya masih seperti ketika pertama kali saya bekerja di pasar suatu ketika dahulu. Sayangnya setelah hampir 3 bulan bekerja, telah berlaku sedikit salah faham antara saya dan Opah Nyor sehingga membawa kepada krisis yang memaksa saya untuk berhenti kerja. Peristiwa ini amat mempengaruhi diri dan kehidupan saya selepas itu. Ia menjadi titik tolak kepada tamatnya perjalanan selama 6 tahun saya menjadi seorang kuli di pasar Bidor. Ia penamat yang cukup menyakitkan walaupun dilalui dengan penuh gemilang sebelum itu.

Sesekali apabila pulang bercuti ke Bidor, selalu juga saya ke pasarnya bagi melihat semula segala kenangan-kenangan yang pernah dilalui di situ. Kebanyakan teman-teman yang bekerja bersama saya dahulu sebahagiannya masih lagi kekal bekerja di sana. Ada juga yang sudah menbawa haluan baru dalam kehidupan mereka. Abang Nuar dan Opah Nyor juga sudah tidak lagi ada di pasar. Kedai mereka kini diambilalih oleh Yop, anak Opah Nyor yang tertua. Peralatan di kedainya juga sudah semakin baru dan moden. Jauh berbeza dengan suasana kerja saya 5 tahun yang lalu.

Kini apabila melihat gambar-gambar lama saya sewaktu bekerja di pasar dahulu, saya sering tersenyum sendirian. Terlalu banyak kenangan yang tertumpah di pasar awam yang sentiasa sesak itu. Sesekali saya menunjukkan gambar-gambar lama itu kepada anak-anak murid saya. Ramai yang tertawa melihat keadaan saya. Ahh...tidak mengapalah. Mereka anak moden yang tidak pernah merasa susah senangnya hidup. Saya melaluinya dan kini saya mengenangnya dengan rasa yang puas .... benar, kenangan lama yang perit membuatkan kita menjadi lebih dewasa !








SELAMAT MENYAMBUT HARI PEKERJA 2013

$
0
0

Indahrasajmalim Blogspot 
mengucapkan selamat menyambut
HARI PEKERJA
bagi seluruh kelas pekerja
di seluruh Malaysia.

" PEKERJA PEMANGKIN TRANSFORMASI NEGARA "



Catatan Sebuah Buku : Kenang -Kenangan Abdullah Munsyi

$
0
0

Munsyi Abdullah atau kadangkala dipanggil Abdullah Munsyi, antara nama yang begitu besar dalam korpus sastera, sejarah dan perkembangan Bahasa Melayu di negara kita. Sumbangan terbesarnya adalah menerusi penghasilan karya hebat seperti Hikayat Abdullah, Siri Kisah Pelayaran Abdullah, Syair SingapuraTerbakar serta beberapa karya lain yang telah memberikan warna sebenar terhadap dunia kesusateraan bangsa Melayu pada zamannya. Karya-karya Abdullah Munsyi juga bolehlah dianggap sebagai satu catatan tidak rasmi terhadap sejarah bangsa Melayu itu sendiri. Karya-karyanya adalah cerminan kepada gaya kehidupan orang Melayu pada ketika itu dan ia memberikan kita satu medium yang amat berguna dalam memerhatikan kehidupan orang-orang Melayu di zaman-zaman awal penjajahan Inggeris

Abdullah Munsyi Yang Saya Ketahui


Gambaran wajah Abdullah Munsyi yang terdapat di dalam
buku Kenang-Kenangan Abdullah Munsyi

Sejujurnya saya tidak pernah langsung membaca karya-karya yang dikarang oleh Abdullah Munsyi. Tidak ketahuan kenapa saya tidak langsung berminat untuk membaca karya-karyanya walaupun telah mula mendengar nama Abdullah Munsyi sejak dari zaman sekolah rendah lagi.

Pada saya cukuplah sekadar mengetahui Abdullah Munsyi ialah seorang pengarang berbangsa Melayu yang menulis cerita dengan bahasa Melayu yang berbelit-belit dan sukar difahami. Saya juga beranggapan pastilah karya-karyanya dipenuhi cerita mitos dan lagenda yang kuat mempengaruhi minda orang Melayu pada zamannya.

Abdullah Munsyi

Itulah kesilapan saya yang terbesar. Setelah membeli buku berjudul Kenang-Kenangan Abdullah Munsyi karya Datuk Zahari A.Rashid di kedai buku MPH Batu Pahat tahun lepas, barulah saya sedari Abdullah Munsyi yang saya fikirkan selama ini adalah jauh berbeza dan karya-karyanya bukanlah cerita dongengan. Abdullah Munsyi sebenarnya jauh mendahului zamannya malahan bolehlah dikatakan orang-orang Melayu sebenarnya berhutang jasa kepada Abdullah Munsyi melalui karya-karyanya.

Walaupun terdapat pelbagai ulasan, kritikan dan persepsi terhadap Abdullah Munsyi dari pelbagai pihak terutama perkaitannya dengan beberapa orang tokoh penjajahan Inggeris namun bagi saya lupakan sahaja kisah hidupnya yang lepas....saya yakin kita akan ketemu jalan yang lebih indah terhadap sumbangannya apabila membaca buku ini. Dengan membaca buku terbitan IBS Buku SDN BHD ini pasti kita akan menemui sesuatu yang positif di sebalik hubungannya dengan tokoh-tokoh era penjajahan ... dan yang pastinya, saya telah menemui sesuatu yang bernilai di sini !.

Kenang-Kenangan Abdullah Munsyi Yang Saya Baca

Buku kenang-kenangan Abdullah Munsyi ini adalah lebih terarah kepada ulasan kepada karya Abdullah Munsyi yang berjudul Hikayat Abdullah. Kisah Hikayat Abdullah telah ditangani oleh Abdullah Munsyi setelah beliau berpindah ke Singapura. Hikayat Abdullah adalah satu catatan penulisan sejarah penting yang berkait rapat dengan peristiwa-peristiwa yang dilihat, dialami  semasa beliau tinggal di Melaka dalam tahun-tahun sekitar 1800 - 1840an. Kisah yang terdapat di dalam Hikayat Abdullah ini mencerminkan keadaan sosial masyarakat Melaka pada ketika itu. Secara tidak langsung ia merupakan satu dokumen sejarah penting kepada perkembangan negara kita.

Hikayat Abdullah

Membaca buku ini membolehkan saya mengembara ke suatu masa yang telah lama berlalu. Abdullah Munsyi bukanlah berbangsa Melayu sebaliknya beliau adalah seorang peranakan India Muslim. Inilah yang benar-benar mengejutkan saya kerana selama ini saya beranggapan Abdullah Munsyi ialah seorang yang berbangsa Melayu. Beliau mengarang dalam bahasa Melayu sedangkan beliau amat mahir dan menguasai bahasa Tamil dengan baik. Mungkin proses asimilasi ke dalam bangsa Melayu di Melaka menyebabkan Abdullah lebih selesa menulis di dalam bahasa Melayu.

Penulis buku ini iaitu Datuk Zahari A.Rashid bijak dalam memperincikan setiap bab di dalam buku ini disamping memberi penjelasan dan ulasan yang baik dalam setiap penceritaan Abdullah. Sebagai contohnya berkenaan dengan peristiwa kota Melaka dirobohkan. Ia diterangkan dengan begitu terperinci beserta fakta yang jelas dan konkrit dan kadangkala seperti menyanggah apa yang diperkatakan oleh Abdullah.

Saya sebenarnya agak tertarik dengan beberapa perkara yang terkandung di dalam buku ini terutamanya perkara-perkara yang bersangkut paut dengan kehidupan sosial negeri Melaka sewaktu di bawah pemerintahan Belanda dan Inggeris. Umum mengetahui, selepas kejatuhan institusi Kesultanan Melaka ke tangan penjajah Portugis pada tahun 1511, agak sukar untuk kita mencari fakta dan cerita berkaitan dengan kehidupan orang Melayu di Melaka. Dengan adanya Hikayat Abdullah ini, perincian rasmi terhadap sosio budaya orang Melayu di Melaka dapat diperincikan dengan baik.


Salah satu cerita yang menarik minat saya di dalam buku ini ialah berkenaan dengan penangkapan gajah di Melaka. Disini Abdullah telah menceritakan dengan baik bagaimana cara gajah-gajah liar dari hutan sekitar Melaka ditangkap oleh sekumpulan manusia yang diketuai oleh seorang yang dikatakan mahir manangkap gajah. Dalam kes ini, Abdullah membentangkan fakta mengikut logik akal bagi menyanggah kemampuan si penangkap gajah yang dikatakan mempunyai ilmu ghaib dalam menjinakkan gajah. Namun demikian, hujahan dari Abdullah sebenarnya boleh dikatakan agak logik dan benar.

Saya sering melalui kawasan-kawasan  luar bandar Melaka untuk pulang ke rumah mertua yang terletak di Gemas Negeri Sembilan. Apabila sampai ke kawasan seperti Asahan, seringkali saya terfikir bagaimana suatu masa dahulu masih terdapat gajah-gajah liar yang banyak berkeliaran di bumi Melaka. Namun itu semuanya tinggal kenangan dan saya pasti di Melaka kini, gajah hanya boleh ditemui di zoo Melaka sahaja.

Abdullah juga memberi perincian yang baik berkenaan dengan sifat orang-orang Melayu yang sanggup menjual atau memberikan sahaja minuskrip-minuskrip lama kepada penjajah. Abdullah dengan tegas menyatakan betapa ruginya bangsa Melayu yang sanggup menggadaikan khazanah bangsanya kepada orang lain. Secara tidak langsung dapatlah disimpulkan bahawa ketamadunan bangsa Melayu bukanlah dirompak oleh penjajah tetap kesilapan kita sendirilah yang menyebabkan banyak khazanah kita tersimpan di bumi asing.

Abdullah Munsyi Sebagai Penterjemah

Abdullah menjadi penterjemah Bahasa Melayu dalam dua era penjajahan iaitu semasa penjajahan Belanda di Melaka dan sewaktu pemerintahan Inggeris di Singapura. Pekerjaannya itu telah menjadikan beliau agak rapat hubungannya dengan beberapa tokoh penjajahan seperti Stamford Raffles dan Residen Farquhar. Saya pernah membaca dalam satu artikel di internet sedikit masa yang lalu bahawa Abdullah pernah menjadi penterjemah kepada kitab Injil dan Taurat. Tidak pasti pula kebenarannnya. Didalam buku ini cuma diterangkan Abdullah pernah diberi gelaran dengan nama Abdullah Paderi di atas keterpaksaannya menterjemah buku-buku agama Kristian ( tidak pula disebut kitab Taurat atau Injil ).

Sekilas Pandangan Abdullah Terhadap Kota Melaka

Abdullah sempat menyaksikan Kota Melaka dirobohkan oleh pihak Inggeris. Buku ini menjelaskan dengan begitu baik berkenaan dengan penceritaan Abdullah terhadap peristiwa besar ini. Mujur juga sebahagian dari tinggalan kota ini masih boleh dilihat sehingga kini iaitu pintu kota A-Famosa yang masih kukuh. Tinggallah ia menjadi tinggalan sejarah yang menguatkan hujah Abdullah suatu ketika dahulu.


Gambaran Kota Melaka 
yang terdapat di dalam buku ini.



Selain dari itu Abdullah juga turut menceritakan bagaimana penghinaan bangsa penjajah terhadap makam Almarhum Raja Haji ( Syahid Teluk Ketapang ). Orang-orang Belanda rupa-rupanya telah menanam jasad Raja Haji di sebuah kebun dan letak makamnya di kandang babi. Demikianlah sikap penjajah terhadap patriot bangsa kita. Mujurlah selepas itu muncul anak cucu keturunan Almarhum Raja Haji yang telah berjaya memindahkan jasad almarhum ke Riau. Namun sejarah tidak akan pernah menipu. Almarhum Raja Haji akan tetap dikenang sebagai seorang pejuang bangsa yang tidak akan luput namanya sampai bila-bila.

Ilustrasi wajah Almarhum Raja Haji Fisabilillah
( Syahid Teluk Ketapang )

Penutup

Sejujurnya saya amat berterima kasih kepada pengarang buku Kenang-Kenangan Abdullah Munsyi ini iaitu Datuk Zahari A. Rashid yang telah berjaya mendekatkan diri saya terhadap karya-karya Abdullah Munsyi. Pengarang buku ini jelas telah membuat pengkajian yang begitu mendalam terhadap karya Abdullah. Hal ini secara tidak langsung memudahkan pembaca untuk mendapat lebih info dan penerangan berkenaan dengan penceritaan Abdullah terhadap sesuatu perkara.

Saya tidak mampu untuk memperjelaskan dengan lebih lanjut berkenaan dengan buku ini. Saya hanya mengambil beberapa fakta penting sahaja untuk dikongsikan. Amat berbaloi memiliki buku ini kerana pengisiannya adalah amat berkualiti walaupun ia adalah rumusan terhadap sebuah karya besar.

Carilah buku ini .... saya pasti anda akan berpuas hati. InsyaAllah.









Viewing all 95 articles
Browse latest View live