Quantcast
Channel: .
Viewing all 95 articles
Browse latest View live

Mencari Damai Di Long Busang

$
0
0
Impian Yang Terlaksana

Rasanya, inilah pengalaman yang paling indah dan menyeronokkan saya sepanjang 4 tahun bertugas di bumi Sarawak ini. Setelah sekian lama mengimpikan hasrat berkunjung ke perkampungan etnik Kenyah di Long Busang, akhirnya ia tercapai juga menerusi Program Permuafakatan Lembaga Warden Asrama SMK Kapit ke Long Busang pada tanggal 20 hingga 23 April 2012 yang lalu.

Saya bukanlah warden asrama, namun saya dijemput juga pergi sekali diatas kapasiti saya sebagai wakil guru semenanjung. Bagaikan "pucukdicita ulam mendatang" , pelawaan ketua warden asrama SMK Kapit iaitu Encik Wajaha Bin Jabai kepada saya untuk mengikuti lawatan ini terus saya terima dengan tanpa ragu-ragu walaupun saya tahu jarak perjalanan dari Kapit ke Kampung Long Busang akan mengambil masa perjalanan hampir 9 jam dengan menggunakan jalan air dan darat. Apa-apapun saya memang perlu bersedia dari segi mental dan fizikal kerana perjalanan ke Kampung Long Busang sememangnya mencabar. Jom ... ikuti cerita perjalanan saya ke Long Busang... mungkin ada sesuatu yang boleh kita kongsikan bersama.

Hari Pertama ( 20 April 2012 - Jumaat  )

Saya diberikan pelepasan oleh pihak sekolah pada hari ini. Lapang sungguh rasa hati ini bila mendapat cuti secara percuma tanpa diminta. Hehehehe... Rombongan kami ke Long Busang ini disertai oleh 11 orang guru dan 25 orang pengawas asrama yang terdiri dari pelbagai etnik seperti Iban, Kenyah dan Penan. Kami berkumpul di terminat bot ekspres Pelagus/Balleh seawal jam 10.30 pagi lagi. Bagi kebanyakan kami, ini merupakan pengalaman pertama kami ke Long Busang. Namun bagi pengawas asrama yang berasal dari Long Busang, perjalanan ini adalah sesuatu yang biasa. Tiada kerutan kerisauan di wajah-wajah mereka. Yang ada hanyalah wajah keseronokan kerana dapat pulang ke kampung halaman disamping mengambil peluang berjumpa dengan ibu - bapa yang lama sudah tidak berjumpa.

Suasana di Terminal Penumpang Pelagus/Balleh

Untuk ke Long Busang, bot ekspres yang kami naiki akan mudik ke hulu Sungai Balleh sehingga sampai ke kem Putai ( kewasan pembalakan ).  Perjalanan melalui jalan air ini akan mengambil masa selama 4 jam. Sepanjang perjalanan ini, kami disajikan dengan pemandangan alam semulajadi yang sungguh mengasyikkan. Saya juga sempat melalui SMK Balleh yang pernah saya jejaki semasa menjadi pengawas Penilaian Menengah Rendah ( PMR ) tahun lepas.

Suasana di dalam bot ekspres

Hafez J.Malim bergambar kenangan
dengan Cikgu Jargalia Lidek

Sesekali sekala, saya lebih suka duduk diatas bumbung bot ekspres. Selain dapat melihat panorama yang menarik, saya juga dapat berbual-bual dengan pekerja-pekerja bot ekprses yang memang lebih suka melepak di atas bumbung bot.

Duduk melepak diatas bumbung bot ekspres

Disepanjang perjalanan, bot ekspres yang kami naiki sesekali singgah di kem balak dan rumah panjang yang terletak dipersisiran kiri dan kanan Sungai Balleh untuk menurunkan penumpang atau menghantar barangan. Apa yang menarik disini walaupun terletak jauh di pedalaman rumah-rumah panjang ini sentiasa dibekalkan dengan barangan subsidi kawalan oleh kerajaan seperti tong gas dan minyak petrol. Malahan harganya adalah sama dengan yang terdapat di bandar. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini sentiasa berkhidmat memberikan kemudahan yang terbaik kepada rakyat tanpa mengira tempat ataupun fahaman politik.

Pondok di tepian sungai sebagai tempat menunggu bot ekspres
dan tempat agihan barang subsidi.

Gas bersubsidi diangkut dengan menggunakan bot ekspres
dan diedarkan ke rumah-rumah panjang di persisir Sungai Balleh.

Saya suka dengan pemandangan yang terhidang di depan mata. Sungai Balleh walaupun merupakan cawangan dari Sungai Rajang namun ia merupakan sabatang sungai yang agak besar. Tongkang-tongkang besar masih boleh mudik sampai ke hulu. Saya juga dapat melihat kem-kem balak yang sudah ditinggalkan. Mungkin hasillan kayu balak dari kawasan berkenaan telah tiada sehingga menyebabkan kem berkenaan ditinggalkan sepi.

Tongkang besar di Sungai Balleh

Kem balak yang ditinggal sepi

Kami sampai ke kem Putai setelah hampir mengharungi perjalanan selama 4 jam. Ketika ini jam sudah menunjukkan angka 3 petang. Masalah mula timbul apabila kenderaan pacuan empat roda yang sepatutnya datang mengambil kami hanya ada 3 buah sedangkan untuk jumlah seramai kami sekurang-kurangnya memerlukan sebanyak lima buah. Namun demikian atas daya usaha Yang Dipertua PIBG SK Long Busang yang menyambut kehadiran kami, masalah ini dapat diselesaikan dengan mudah. Beliau telah berhubung dengan syarikat pembalakan bagi meminta bantuan kenderaan untuk kami dan Alhamdulillah segalanya berjaya diselesaikan.

Kem Putai

Menjejakkan kaki di Putai

Sesuatu yang agak menarik perhatian saya ketika mula-mula sampai ke kem Putai ini ialah tentang sebuah bas mini yang diparkir di tepi sungai. Setelah tinggal di bahagian Kapit ini selama 4 tahun inilah kali pertama saya melihat kewujudan bas di bahagian Kapit. Sebagai satu-satunya bahagian di dalam negeri Sarawak yang masih belum dapat dihubungkan melalui jalan darat, bas memang menjadi sesuatu yang asing di Kapit. Namun, jauh di pedalaman ini, terdapat sebuah bas mini yang disediakan oleh syarikat pembalakan bagi membawa pekerja-pekerja mereka dari Putai ke kem  pembalakan.

Rasanya ini sahaja sebuah bas yang wujud di Bahagian Kapit

Syukur juga di kem Putai ini ada liputan talian telefon. Namun demikian kredit panggilan saya pula telah habis. Sebuah kantin yang ada disini pula tutup. Saya hanya mampu menahan diri melihat rakan-rakan guru dan pelajar sibuk berSMS. Saya sebenarnya risau dengan isteri saya yang jauh di semenanjung. Berbagai-bagai perkara bermain dihati ini. Saya berdoa supaya Allah SWT menjaga keselamatan isteri dan keluarga saya sepanjang perjalanan saya ini.

Sejujurnya, ini pengalaman kedua saya menaiki kenderaan pacuan empat roda di jalan balak. Saya menjangkakan jarak kem balak yang menjadi hentian pertama kami dengan Putai adalah dekat namun demikian semuanya meleset. Ia sangat jauh dan mengambil masa selama hampir 2 jam setengah. Perit rasa tubuh saya mengharungi perjalanan yang mencabar ini. Dengan laluan balak yang  tidak rata dan berdebu semuanya menjadi tidak selesa. Sesekali kenderaan kami berselisih dengan lori-lori balak yang sememangnya menjadi "raja jalan" disini. 

Lori balak berselisih dengan kenderaan kami

Kayu-kayu balak disusun kemas


Laluan balak yang mencabar

Berhenti berehat sebentar di pinggir jalan

Setelah melalui hampir 2 jam setengah perjalanan yang memenatkan serta mencabar akhirnya rombongan kami sampai ke kem balak yang menjadi perhentian pertama kami. Sungguh terkejut saya pertama kali melihat kawasan kem balak yang sangat luas ini. Tidak dapat dibayangkan bagaimana di dalam hutan yang begitu luas ini terdapat sebuah kilang besar yang lengkap dengan segala kemudahan asas. Malahan menara telekomunikasi juga ada disini. Menurut pemandu syarikat balak yang membawa kami, jumlah pekerja di kem balak ini menacapai hampir 1000 orang. Kami masih menantikan kenderaan bantuan dari syarikat balak. Lebih kurang sejam kemudian barulah kenderaan itu muncul. Saya akan mengharungi perjalanan selama dua jam lagi di laluan balak yang berliku !! huhuhuhuhuu

Kilang pemerosesan kayu balak besar di dalam hutan!

Pengawas asrama yang ceria

Perjalanan kali ini agak mencabar kerana kami akan melalui jalan balak yang sunyi dan gelap. Hanya lampu kenderaan pacuan empat roda sahaja yang menyuluh jalan. Sesekali kami bertembung dengan lori-lori balak yang membawa balak ke kilang. Kami juga sesekali bertembung dengan kawasan-kawsan penempatan yang sunyi dan gelap. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana kehidupan mereka ditempat-tempat yang sunyi dan jauh dari kemudahan seperti elektrik dan air ini. Saya agak beruntung kerana pada perjalanan kali ini saya duduk di hadapan dan tidak lagi duduk di luar. Rakan-rakan yang duduk diluar mengeluh kerana suhu di luar sangat sejuk. Namun itulah cabaran yang perlu kami tanggung untuk sampai ke kampung Long Busang.

Kami sampai ke kampung Long Busang ketika jam ditangan saya sudah menunjukkan angka 8.30 malam. Terasa sengal-sengal badan saya akibat mengharungi perjalanan yang sukar dan mencabar. Sepanjang perjalanan fikiran saya asyik memikirkan bagaimanakah keadaan kampung Long Busang yang jauh dari hiruk piruk kesibukan bandar ini. Nah... kini kampung Long Busang didepan mata !!! Tidak sabar saya hendak meneroka setiap inci kampungnya.

Baru sahaja sampai ke kampung Long Busang

Kami disambut oleh Encik Yusuf Bin Haji Zawawi, Ketua Kampung Long Busang. Kami ditempatkan disebuah rumah tradisi yang sangat besar. Saya amat tertarik dengan corak-corak motif orang Ulu yang terlukis di bahagian ruang santai rumah ini. Kami dijamu dengan kuih - muih sebaik sahaja menjejakkan kaki ke sini. Ketua kampung Long Busang ini amat ramah dan mesra orangnya. Seronok juga apabila dapat berbual-bual dengan beliau.

Ketua Kampung Long Busanh

Rombongan kami dijamu dengan kuih-muih 
oleh keluarga ketua kampung Long Busang.

Tiada acara untuk malam ini. Kami membersihkan diri dan bersedia untuk tidur. Pertama kali menyentuh air paipnya saya bagaikan mahu menjerit.... airnya terlalu sejuk. Kata salah seorang pelajar seperti mandi dengan menggunakan air dari water cooler.. hahahahaha... saya hanya tersenyum. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana lah sejuknya sewaktu mandi pagi nanti. Ahh....lupakanlah... mata saya sudah benar-benar berat. Tidak sedar langsung jam berapa saya tidur. Semuanya terus hilang sebaik mata terpejam ... Tutup terus cerita hari ini.

Hari Kedua ( 21 April 2012 - Sabtu )

Saya bangun awal pagi ini. Terasa segar tubuh ini selepas mendapat rehat tidur yang cukup. Sejuk hawa pagi disini. Masuk sahaja ke bilik air, terketar-ketar saya menahan kesejukan. Airnya seperti ais. Hahahahahaha. namun ia memberikan kesegaran yang tiada tolok bandingnya. 

Suasana pagi di Kampung Long Busang

Selepas sahaja bersarapan pagi, Cikgu Jargalia mengajak saya berjalan-jalan di sekitar kawasan kampung. Katanya mencari kedai. Saya terus sahaja mengikutinya. Besar juga kampung ini. Penduduknya juga ramai. Ini merupakan antara beberapa buah kawasan penempatan tradisi masyarakat etnik Kenyah yang masih wujud di bahagian Kapit. Uniknya, hanya di Long Busang sahaja kita boleh menjumpai etnik Kenyah yang beragama Islam. Jumlah penduduk yang beragama Islam di sini ialah seramai hampir 300 orang iaitu satu per empat dari jumlah keseluruhan penduduk Long Busang. 

Jambatan utama di Kampung Long Busang

Gereja SIB Kampung Long Busang

Terdapat beberapa buah kedai runcit di Kampung Long Busang ini yang menawarkan barang-barang kegunaan harian kepada penduduk kampung. Namun harganya agak tinggi berbanding harga biasa. Saya menginsafi perkara ini. Dengan jarak perjalanan dan kesusahan membawa barangan ke sini, maka tidak hairanlah harga barang disini lebih mahal dari harga biasa. Walau bagaimanapun, ia lengkap bagi menampung keperluan penduduk.

Keadaan sebuah kedai runcit di Kampung Long Busang

Sempat juga saya merakamkan gambar-gambar suasana di kampung Long Busang pada waktu pagi. Tenang dan mendamaikan. Tiada kebisingan disini. Ada sesuatu yang halus menyelinap masuk ke diri saya. Hati menjadi tenang dengan kedamaian ini. Kita seolah-olah bersatu dengan alam disini.

Tenang dan damai

 Sungai Busang mengalir deras
membelah kampung Long Busang

Menjelang jam 9 pagi, beberapa orang rakan guru mengajak saya untuk pergi memancing. Mulanya saya menjangkakan kami akan pergi memancing di sekitar kampung sahaja. Rupa-rupanya mereka ingin pergi memancing di hilir Sungai Rajang atau kira-kira 1 jam perjalanan berperahu. Kami menyediakan kail ringkas yang diperbuat dari botol air yang diikat dengan tali pancing, pemberat dan mata kail yang dibeli dari orang kampung. Kami juga membayar RM 10 seorang bagi membeli minyak petrol perahu. Tidak sabar rasanya merasa pengalaman berperahu di hulu Sungai Rajang yang berjeram dan deras !

Bergambar sebelum pergi memancing
Dari kiri Cikgu Wajaha, Cikgu Teng, Cikgu Iskandar,
Cikgu Douglas, Cikgu Francis dan Cikgu Micheal ( depan )

Sebanyak 5 buah perahu digunakan dalam aktiviti ini. Saya ditempatkan dengan Cikgu Wajaha dalam sebuah perahu bersama dengan seorang penduduk kampung yang arif tentang selok belok aliran Sungai Rajang. Cuaca juga begitu baik hari ini. Perjalanan menghala ke tempat memancing begitu menyeronokan. Sesekali kami melalui kawasan jeram yang agak deras. Saya yang duduk di hadapan perahu kadangkala merasa gerun bimbang jika perahu kami karam. Namun Alhamdulillah, segalanya baik-baik sahaja.

Berperahu untuk memancing

Jeram-jeram kecil yang deras 
sepanjang hulu Sungai Rajang

Bot yang membawa Cikgu Micheal, Cikgu Jargalia
dan Cikgu David

Sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pemandangan hutan yang menghijau. Secara tiba-tiba saya terlihat dari jauh sayup sebuah jambatan merentangi Sungai Rajang. Oh....rupa-rupanya ia sebuah jambatan yang dibina oleh syarikat pembalakan bagi memudahkan lori-lori balak menyeberangi sungai. Begitu hebat manusia berfikir melawan fitrah alam di sini. Segala halangan alam bagaikan tidak langsung menggugat semangat manusia untuk meneruskan usaha mencari rezeki.

Jambatan yang dibina oleh syarikat pembalakan
merintangi hulu Sungai Rajang.

Kami sempat masuk ke dalam sebatang sungai yang menjadi cawangan kepada Sungai Rajang untuk mencari umpan. Jika tidak silap saya sungai ini bernama Sungai San. Umpan yang digunakan juga sungguh istimewa iaitu ikan-ikan kecil yang dipotong halus. Ikan-ikan kecil ini ditangkap dengan menggunakan jala. Seorang pemandu perahu menggunakan kemahiran beliau menjala bagi menangkap ikan. Teruja saya melihat tangkapan beliau. Memang di hulu ini syurga bagi ikan-ikan air tawar !


Hasil menjala yang akan dijadikan umpan

Bergambar kenangan dengan seorang penduduk tempatan yang
menjadi pemandu bot

Setiap perahu kami berpecah mencari lokasi lubuk ikan yang sesuai. Pada kali ini saya perlu menukar perahu kerana pemilik perahu saya perlu mudik ke hulu sungai sebentar bagi menahan jaring. Kami memilih lokasi memancing di kuala Sungai San yang bersambung dengan Sungai Rajang. Dua jam kami disini hanya kail Cikgu Francis dan pemilik bot sahaja yang mengena ikan baung. Saya dan Cikgu Wajaha pula hanya mampu melihat dengan sabar. Huhuhuhuh.

Selepas itu kami berhenti berehat sebentar di rumah kebuh milik salah seorang penduduk tempatan yang membawa bot yang terletak tidak jauh dari tempat kami memancing. Ketika inilah masing-masing mula menunjukkan hasil tangkapan. Cikgu Douglas dan Cikgu Iskandar nampaknya sudah jauh dihadapan kami. Hahahahaha. mungkin diorang main tipu.

Cikgu Douglas dengan hasil baungnya

Memang kami ada membawa juadah makanan bagi mengisi perut di tengah hari. Saya sendiri pada ketika itu sedang menderita kelaparan. Bila berkumpul dan makan santai ramai-ramai sebegini memang sedap jadinya. Walaupun hanya hidangan ringkas namun ia tetap amat menyelerakan.

Sesi makan-makan

Menurut pemilik rumah ladang berkenaan, sekiranya hari hujan atau sudah lewat petang beliau tidak akan pulang ke kampung Long Busang sebaliknya akan bermalam di pondok berkenaan. Saya tidak dapat membayangkan bagaimanakah perasaan bersendirian di dalam sebuah pondok usang di dalam sebuah hutan yang luas ini. Seekor kucing comot memang sengaja dibawa sekadar peneman dikala sunyi. Sewaktu kedatangan kami, kucing comot mengiau panjang... mungkin sudah lama kelaparan agaknya. Walau apapun kedatangan kami memberikan rezeki makanan kepada kucing comot itu.

Pondok ladang

Hafez J.Malim bergambar di bahagian dapur pondok ladang

Kucing comot yang kelaparan

Selepas hampir sejam disini, kami meneruskan aktiviti memancing kami. Kali ini saya dan Cikgu Wajaha kembali mengikuti perahu yang membawa kami tadi. Ketika inilah bermulanya pesta baung kami. Seronok rasanya apabila ikan baung yang pelahap menyentap kail botol kami. Memang nikmat bila melihat ikan baung yang besar terkulai layu pada mata kail.

Baung Cikgu Wajaha

Hahahahaha.... ini pula hasil saya yang sulung !

Ketika hari sudah beransur petang, kami mula bergerak mudik ke hulu untuk pulang ke kampung Long Busang. Jumlah tangkapan kami memang tidak dapat dikira banyaknya. Ketika inilah berlakunya peristiwa yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila apabila kipas enjin perahu kami patah ketika mengharungi sebuah jeram yang agak deras. Kecut perut saya apabila perahu kami tertolak ke tepi akibat lambungan arus Sungai Rajang. Mujur juga pemandu perahu kami amat cekap orangnya. Saya bergegas membantunya mendayung perahu ke tepi sungai.

Kipas enjin perahu yang patah dibadai arus Sungai Rajang

Masalah yang timbul ialah perahu-perahu yang datang bersama kami tadi telah meninggalkan kami. Termenung saya dan Cikgu Wajaha memikirkan tentang masalah kami ini. Dalam fikiran saya cuma ada satu sahaja iaitu mendayung melawan arus ke kampung atau tidur sahaja di tepi sungai sementara menantikan bantuan tiba. Syukur juga kerana tidak lama selepas itu, muncul sebuah perahu lain yang dinaiki oleh sebuah keluarga kecil melalui kawasan kami terdampar. Pemandu perahu kami meminta bantuan pemilik perahu itu untuk memberitahu rakan-rakan kami di hadapan bahawa kami telah terkandas. 

Termenung pemilik perahu melihat enjin perahunya yang rosak.

Alhamdulillah, syukur akhirnya bantuan tiba dengan beberapa masalah lain yang dapat diselesaikan. Cikgu Wajaha telah bertukar perahu. Hanya tinggal saya dan pemilik perahu sahaja kini mengharungi Sungai Rajang dengan enjin baru yang kurang berkuasa dari enjin yang lama. Hari sudah beransur gelap dan kami berdua langsung tidak membawa lampu suluh. Enjin baru ini agak perlahan dan ketika mengharungi arus jeram yang deras memang terasa getaran. Hanya Allah sahaja yang mengetahui perasaan saya ketika ini. Ada sekali perahu kami tertolak ketepi kerana enjin perahu tidak mampu melawan arus. Saya memandang kepada pemandu perahu saya. Tersenyum beliau melihat saya begitu takut. Dia hanya bertenang dan tiada riak kebimbangan di wajahnya.

Inilah kali pertama saya menaiki perahu diwaktu malam tanpa menggunakan lampu. Keadaan yang gelap membuatkan saya menjadi gerun dengan kuasa alam. Ketika melalui rimbunan pepohon yang condong ke sungai, keadaan menjadi gelap dan sunyi. Saya berdoa didalam hati supaya perjalanan kami selamat dan dipercepatkan sampai ke kampung Long Busang. Saya juga bimbang sekiranya perahu kami terlanggar batu-batu besar yang banyak terdapat di tengah-tengah sungai. Alhamdulillah setelah mengharungi hampir satu jam perjalanan yang menakutkan akhirnya perahu kami selamat masuk ke kuala sungai Busang. Sebaik sahaja terlihat cahaya lampu dari rumah penduduk dari jauh, hati saya melonjak girang. Segala penantian dan debaran telah berakhir.






Menaiki perahu di dalam gelap malam

Jujurnya, saya hampir menitiskan air mata ketika berada di dalam perahu tadi. Hampir-hampir juga saya menyuarakan kepada pemandu perahu supaya kami singgah sahaja bermalam ditepi sungai. Hahahahaha. Syukur segalanya telah berakhir dengan selamat. 

Malam ini adalah acara yang paling penting dalam program kami iaitu sesi permuafakatan dengan para ibu bapa pelajar. Di SMK Kapit terdapat seramai 66 orang pelajar etnik Kenyah yang berasal dari Kampung Long Busang. Hampir kesemua dari pelajar-pelajar ini tinggal di asrama. Kami membawa kesemua buku laporan kemajuan pelajar, laporan disiplin dan pelbagai dokumen penting murid untuk dibincangkan dengan ibu bapa pelajar. Kebanyakan ibu bapa yang ditemui melahirkan rasa berterima kasih kerana kehadiran kami membantu mereka mengetahui perkembangan pembelajaran anak-anak mereka. Inilah objektif utama kami hadir kesini, memudahkan para ibu bapa menjimatkan masa dan tenaga dari bersusah payah ke Kapit semata-mata untuk menerima buku pelaporan anak mereka.

Antara ibu bapa yang hadir 

Saya dan Cikgu Iskandar bertugas
mengagihkan buku laporan pencapaian pelajar tingkatan 3

Sesi permuafakatan

Cikgu Wajaha selaku ketua warden berbincang dengan salah
seorang ibu bapa pelajar berkaitan dengan masalah disiplin

Acara habis agak awal namun masih ada juga beberapa ibu bapa yang masih berbincang dengan guru-guru berkaitan dengan pelajaran anak-anak mereka di SMK Kapit. Secara umumnya program ini amat berjaya dalam mencapai objektifnya. Kerjasama dari pihak ibu bapa juga dilihat begitu baik. Saya tidak berlama-lama berjaga malam ini. Keletihan memancing dan kerisauan yang baru sahaja reda membuatkan mata saya semakin kuyu. Bentang sahaja tikar dan beg tidur di lantai ..... saya terus meluncur jauh mencari mimpi indah. Jumpa esok pagi ...Hahahahahaha.

Hari Ketiga ( 22 April 2012 - Ahad )

Saya bangun agak lewat. Mungkin kepenatan semalam masih belum reda. Kesejukan air memberikan kesegaran yang tidak terhingga kepada saya. Selepas bersarapan, Cikgu Iskandar, Cikgu Douglas, Cikgu David dan Cikgu Francis merancang untuk pergi menjala ikan di kawasan hulu Sungai Rajang. Kali ini saya tidak mengikuti mereka. Saya ingin meneroka setiap inci kampung pada hari ini. Manalah tahu dapat terjumpa gadis-gadis Kenyah yang putih, gebu dan manis. Hahahahahaha. Paling penting saya mahu meronda ke Sekolah Kebangsaan Long Busang. Mahu melihat sendiri bagaimana keadaan sekolah dan guru-guru yang mengajar di kawasan pedalaman.

Papan tanda Sekolah Kebangsaan Long Busang

Hafez J.Malim dan Cikgu Wajaha di pintu gerbang
SK Long Busang

Secara umumnya, SK Long Busang masih jauh ketinggalan dari segi aspek prasarana pendidikannya. Ini yang membuatkan saya insaf. Terdapat juga pelajar dari etnik Penan ( minoritinya masih hidup secara nomad ) yang mendiami asrama sekolah ini. Pelajar-pelajar Penan ini berasal dari Long Unai yang terletak kira-kira 5 jam perjalanan darat dari Kampung Long Busang. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana seorang kanak-kanak berumur 7 tahun sudah mula hidup berdikari di asrama dan tinggal jauh dari ibu bapa. Betapa beruntungnya pelajar-pelajar yang bersekolah di bandar yang tinggal dekat dengan keluarga. Saya amat meginsafi perkara ini.

Papan tanda pelan sekolah

Bilik Pendidikan Islam dan Surau

Mendaki tangga untuk kelas dan bilik guru

Bangunan kayu utama di SK Long Busang

Bilik guru SK Long Busang

Dari segi teknikalnya, SK Long Busang merupakan sekolah pedalaman yang agak lengkap. Namun demikian beberapa perubahan perlu dilakukan oleh Kementerian Pelajaran bagi menambahbaik bangunan-bangunan sekolah ini. Kuarters-kuarters baru juga perlu disediakan. Menurut seorang pelajar yang berasal dari sini dahulu telah berlaku kebakaran yang menyebabkan sebuah bangunan asrama hangus dan tidak dapat diduduki. Kini pelajar-pelajar lelaki dan perempuan terpaksa berkongsi sebuah bangunan asrama yang kecil. Sayu saya melihat apa yang dialami oleh pelajar-pelajar disini. Betapa teguh hati mereka menerima setiap kekurangan yang ada. 

Tinggalan bangunan asrama yang hangus terbakar

Dari atas puncak bukit SK Long Busang ini, saya dapat melihat keseluruhan kawasan kampung Long Busang yang indah dan permai. Aroma perbukitan yang hijau disini mendamaikan hati saya. Dari jauh kelihatan Sungai Rajang mengalir deras memberikan sejuta satu rezeki kehidupan kepada penduduk-penduduk disini. Sebuah bukit kecil yang dinamakan Bukit Doa menghiasi latar alamnya. Menurut seorang pelajar saya yang berasal dari Long Busang ini, Bukit Doa dinamakan sedemikian kerana dahulu disitulah tempat mereka berdoa memohon sesuatu hajat. 

Panorama Kampung Long Busang 
yang indah dari puncak bukit

Hulu Sungai Rajang yang deras

Bukit Doa melatari pemandangan di Kampung Long Busang.

Selepas puas meronda kawasan kampung dan SK Long Busang, saya dan Cikgu Wajaha terus bersiap sedia untuk mandi di kawasan air terjun kecil yang terletak tidak jauh dari jalan masuk ke kampung Long Busang. Didalam perjalanan kami ke air terjun berkenaan dapat dilihat lanskap kampung Long Busang yang indah ini. Saya tertarik dengan beberapa bangunan kayu kecil  yang dibina tinggi tanpa mempunyai tangga. Setelah diselidiki, rupa-rupanya bangunan kayu ini digunakan sebagai stor tempat penyimpanan padi bukit. Patutlah hampir setiap rumah disini memilikinya.

Stor simpanan padi bukit

Kebanyakan penduduk disini masih menggunakan dapur kayu bagi menjimatkan gas memasak yang sememangnya sukar didapati. Oleh itu tidak hairanlah jika sepanjang jalan di kampung ini akan kelihatan rak-rak atau bangsal simpanan kayu api penduduk yang disusun dengan kemas. Ia seolah-olah mengembalikan semula nostalgia lama yang sememangnya telah berakhir bagi orang-orang lama di semenanjung.

Susunan kayu api yang kemas dan tersusun

Cikgu Wajaha di hadapan rumah tradisi yang masih utuh

Agak menarik apabila kami melintasi satu kawasan dimana ada penduduk kampung yang berjualan sayur dan ulam-ulaman. Menurut Cikgu Wajaha, ia adalah seakan-akan pasar bagi penduduk di sini. Walaupun ringkas namun pada saya ia sudah cukup untuk memberikan peluang menambahkan pendapatan bagi penduduk kampung.

Tempat berjualan sayur dan ulam-ulaman penduduk kampung

Betapa seronoknya saya apabila menyentuh air sungai kecil yang sungguh sejuk dan menyegarkan. Sengaja saya dan Cikgu Wajaha mengaruk air sungai berkenaan. Jernih dan bersih itulah gambaran yang dapat saya berikan berkenaan sungai ini. Panoramanya seolah-olah menggamit saya untuk cepat-cepat membasahkan diri. Ketika mengaruk air sungai berkenaan secara tiba-tiba hati saya menjadi sayu. Teringat sungai Gedong yang menjadi tempat mainan saya ketika kecil di kampung halaman yang kini semakin kotor dan berubah warna airnya. Betapa cepatnya pembangunan membunuh setiap tempat keriangan kita sewaktu kecil. 

Mengaruk air sungai yang indah dan jernih


Aira terjun kecil yang indah

Bergambar sebelum mandi

Secara umumnya sewaktu berjalan-jalan di kampung ini saya merasakan kemudahan asas di Kampung Long Busang masih perlu dipertingkatkan oleh pihak kerajaan. Penduduk disini masih lagi bergantung harap kepada generator bagi mendapatkan kuasa elektrik. Ini sudah pasti melibatkan kos yang tinggi kerana harga minyak semakin meningkat. Bekalan air pula diperoleh melalui bekalan air semulajadi yang diempang dari kawasan hulu dan dialirkan terus ke kampung ini.

Pada sebelah petangnya, saya dan Cikgu Jargalia telah diberikan peluang untuk menyampaikan ceramah umum kepada para penduduk kampung. Tajuk ceramah kami ialah " Anak-Anak Dan Kerjaya Masa Hadapan". Sambutan dari para penduduk kampung agak mengalakkan. Malahan respon yang kami terima juga agak baik. Mulanya saya agak gugup untuk berceramah ditambah pula saya kurang bersedia. Namun setelah permulaan ceramah yang baik oleh Cikgu Jargalia memberikan saya kekuatan untuk memberikan ceramah. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar.

Antara penduduk kampung yang hadir ke program
ceramah saya dan Cikgu Jargalia

Cikgu Jargalia sedang menyampaikan ceramah

Seorang dari penduduk kampung memberikan respon

Giliran saya pula memberikan ceramah ringkas

Selepas tamat acara ceramah, kami semua bergegas semula ke SK Long Busang. Disini pihak warden asrama SMK Kapit telah diberikan kebenaran oleh pihak PIBG SK Long Busang bagi menanam pokok-pokok bunga sebagai tanda kenang-kenangan kehadiran kami disini. Acara ini turut disertai oleh YDP PIBG SK Long Busang dan beberapa orang pelajar yang memang berasal dari kampung ini. 



Seorang gadis Kenyah yang indah

YDP PIBG SK Long Busang mencacakkan papan tanda
kenang-kenangan kehadiran kami di SK Long Busang


Sewaktu saya berjalan-jalan di sekitar kawasan sekolah, saya dikunjungi oleh sekumpulan bekas pelajar etnik Kenyah yang pernah belajar di SMK Kapit. Pada mulanya agak terkejut juga saya disapa oleh mereka. Namun yang pastinya, kini mereka telah menjadi gadis remaja yang cantik dan manis. Namun memang diakui, gadis-gadis Kenyah memang dikenali dengan kecantikan dan keayuan mereka. Kebanyakan dari mereka ini berkulit putih dan gebu. Mujur juga hati ini telah dimiliki, jika tidak .... Hahahahahaha ... Allah SWT sahaja yang tahu apa yang akan berlaku agaknya.

Gadis-gadis manis Kenyah bekas pelajar SMK Kapit.
Ada yang tergoda?

Saya dijemput oleh salah seorang penduduk kampung untuk solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah di Masjid Darul Rahmah Kampung Long Busang. Memang sejak mula sampai kemari lagi saya mahu berjemaah di masjid berkenaan namun tidak berkesempatan. Selepas selesai berjemaah, sempat saya beramah mesra dengan jemaah dan imam Masjid berkenaan. Imam 1 masjid ini bernama Haji Musa. Beliau pernah belajar agama Islam di PERKIM dan merupakan generasi kedua dari penganut-penganut awal agama Islam di Kampung Long Busang. Namun demikian, pada pandangan saya masjid ini perlu diperbesarkan dan diubahsuai. Apabila tiba Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Aidilfitri ia tidak mampu menampung jumlah jemaah yang ramai.

Perkarangan Masjid Darul Rahmah Kampung Long Busang

Manurut beliau lagi, sinar Islam mula sampai ke kampung berkenaan pada tahun 1975 melalui usaha bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Rahman Ya'kub yang menemui sendiri penduduk kampung ini untuk menyebarkan Islam. Alhamdulillah usaha beliau dipermudahkan oleh Allah SWT apabila sebahagian penduduk kampung ini menerima seruan Islam dengan hati yang terbuka. Kini syiar Islam terus kukuh di bumi Long Busang ini.

Tun Abdul Rahman Ya'kub

Pada sebelah malamnya, diadakan pula sesi beramah mesra dengan pelajar dari SK Long Busang yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah ( UPSR ). Pelajar-pelajar ini pada tahun 2013 nanti akan bersekolah di SMK Kapit. Jadi secara tidak langsung pihak lembaga warden dapat memberikan pendedahan awal kepada pelajar-pelajar ini berkenaan dengan peratuaran dan keselamatan apabila tinggal di asrama SMK Kapit kelak.

Saya berkesempatan bertemu dengan beberapa orang pelajar dari etnik Penan yang belajar di sini. Etnik Penan merupakan salah satu etnik yang diberikan keistimewaan didalam negara ini. Kebanyakan dari mereka masih tinggal secara nomad didalam belantara negeri Sarawak. Kebanyakan pelajar-pelajar Penan ini berasal dari Long Unai iaitu sebuah kawasan penempatan semuala yang terletak kira-kira 5 jam lagi perjalanan darat dari Kampung Long Busang.

Cikgu Wajaha selaku Ketua Warden Asrama SMK Kapit
menagmbil kesempatan beramah mesra dengan 
pelajar-pelajar SK Long Busang yang bakal melanjutkan
 pelajaran sekolah menengah mereka
di SMK Kapit pada tahun 2013 nanti.

Saya bergambar kenangan dengan 6 orang pelajar etnik Penan

Selepas itu diadakan pula acara penyampaian cenderahati kenang-kenangan pihak kami kepada pihak JKKK Kampung Long Busang. Kami sempat menajalankan kutipan wang dari rakan-rakan guru yang terlibat dengan program ini untuk disumbangkan kepada tabung aktiviti JKKK. Alhamdulillah sebanyak RM600 berjaya dikutip. Selain itu pihak kami juga turutv menyumbangkan kelengkapan persekolahan ringkas kepada pelajar-pelajar SK Long Busang yang akan menduduki UPSR.

Sumbangan alat tulis kepada pelajar

Sumbangan kepada pihak JKKK Kampung Long Busang

Sumbangan cenderahti untuk kaum ibu Kampung Long Busang

Hari ini merupakan hari yang padat dengan segala aktiviti. Badan saya terasa begitu lesu. Esok, perjalanan pulang yang mencabar menanti saya. Badan dan mata saya bermohon untuk berhenti bekerja sebentar. Rakan-rakan guru dan pelajar masih lagi sibuk menonton televisyen dan berbual kosong diluar. Saya membentangkan tikar dan menyarung diri saya dengan beg tidur yang selesa .... pejam sahaja mata .. saya diulit mimpi berjumpa dengan gadis Kenyah yang indah.. Hahahahaha.

Hari Keempat ( 23 April 2012 - Isnin )

Saya bangun awal pagi hari ini. Badan pun segar apabila disirami air mandian yang sejuk dan nyaman. Kami akan bergerak awal pagi ini. Seawal jam 6 pagi lagi kami telah bersarapan ringkas. Beberapa orang penduduk kampung datang membantu mengangkut barang-barang kami untuk dimasukkan kedalam kenderaan pacuan empat roda. Cuaca pula agak kurang baik. Hujan renyai-renyai turun membasahi bumi. Saya sempat bergambar dengan Ketua Kampung Long Busang sebagai kenang-kenangan saya disini.

Bergambar kenangan dengan ketua kampung

Penduduk kampung membantu kami membawa barang

Pagi ini saya agak bertuah kerana dapat melihat beberapa kumpulan pelajar berjalan kaki ke sekolah. Jauh dipedalaman ini ternyata ilmu pengetahuan tetap menjadi sesuatu yang sangat didambakan oleh warganya. Walaupun sekolah mereka kekurangan dari segi kemudahann asas namun semangat untuk menuntut ilmu terserlah diwajah-wajah suci mereka.

Bersongkok ke sekolah



Perjalanan agak mencabar ditambah pula hujan renyai-renyai yang turun tanpa henti. Saya berdiri di bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda kami. Basah juga saya dibuatnya. Mujur juga saya ada membawa jaket sejuk yang agak kalis air. Dengan laluan yang basah dan berselut saya dapat membayangkan betapa sukarnya kehidupan penduduk Long Busang jika berlaku sebarang kecemasan. Bagaimana agaknya bagi ibu-ibu yang mengandung disini menghadapi cabaran alam seperti ini. 

Saya bermohon kepada pihak kerajaan sekiranya terbaca catatan saya ini, binalah sebuah klinik kerajaan bagi meringankan beban penduduk disini berulang alik ke Kapit atau Entawau bagi memperoleh kemudahan perubatan. Pastikan juga kemudahan elektrik yang sempurna sampai kepada penduduk kampung ini. Sukar bagi mereka membeli bekalan minyak bagi menghidupkan generator dimalam hari. Paling penting disini ialah kemudahan talian telefon. Mereka sukar berhubung dengan dunia luar kerana tiadanya talian telefon. Jika kesemua kemudahan ini dilaksanakan, ia merupakan satu hadiah paling teristimewa bagi penduduk Long Busang selama Sarawak merdeka didalam persekutuan Malaysia. 

Didalam pacuan empat roda


Didalam perjalanan saya dihidangkan dengan pemandangan yang indah dan permai. Banjaran-banjaran gunung yang hijau dan air sungai yang mengalir jernih menyejukkan mata yang memandang. Terasa sayu dihati ini kerana entah bilakah lagi saya akan sampai ke daerah ini lagi. Hanya gambar-gambar dan catatan ringkas ini sahaja yang mampu membeli kembali memori saya di sini.



Ketika melalui sebuah jambatan pembalakan kelihatan sebuah lori balak merintangi jalan kami. Rupa-rupanya lori berkenaan terbabas dan tayarnya termasuk kedalam tanah yang agak lembut. Saya menjangkakan, kami sudah pasti perlu berpatah semula ke Long Busang atau menunggu sehingga lori berkenaan berjaya ditarik keluar. Namun ia akan menambahkan rintangan masa kepada kami sekiranya menunggu kerana kami perlu mengejar bot ekspres pada jam 11.30 pagi. Fikiran kami agak buntu ketika ini.

Sebuah lori balak terbabas merintangi laluan kami

Deretan lori balak yang tertahan tidak dapat melalui jalan ini

Pemandu kenderaan pacuan empat roda kami meminta kami turun dan berjalan kaki merentasi lori yang terbabas itu. Pemandu berkenaan turun dan memerhatikan sungai kecil yang terdapat dibawah laluan jalan kami. Rupa-rupanya beliau akan memandu kenderaannya membuat lintasan dengan cara merentasi sungai kecil itu. Kagum saya sendiri dengan kegagahan kenderaan pacuan empat roda kami dan kecekapan pemanduannya.

Melalui anak sungai yang deras dan berbatu

Bergambar kenangan dengan lori balak..hahahah

Memanjat lori balak untuk ke seberang jalan

Setelah berjaya merentasi halangan ini, kami meneruskan perjalanan menuju ke kem balak yang menjadi destinasi perhentian rehat kami yang pertama. Inilah kali pertama saya memasuki sebuah kem balak yang besar sepanjang berada di Kapit ini. Pertama kali singgah disini, saya dapat melihat betapa kem ini seolah-olah menjadi pekan kecil yang lengkap. 

Bangunan utama di kem balak

Kemudahan di kem ini sangat lengkap. Terdapat sebuah pasar mini dan kantin yang menyediakan pelabagai kelengkapan dan makanan kepada pekerja-pekerja kem. Selain itu kemudahan seperti klinik juga turut disediakan oleh pihak syarikat. Tertarik juga saya dengan lanskap kawasan ini yang jelas amat berkait dengan unsur alam. Ramai juga penduduk -penduduk rumah panjang setempat menjadikan kem balak ini sebagai tempat rehat sebelum menerukan perjalanan.

Lanskap yang menarik

Kantin

Saya berkesempatan dengan beberapa orang pelajar yang mengikuti program ini. Kesemua dari mereka ini banyak membantu dalam setiap urusan saya di kampung Long Busang ini. 

Bersama Alice...seorang gadis etnik Penan yang manis

Tiada komen untuk Lampang



Kami berada agak lama juga disekitar kem balak ini. Sempat juga kami membeli makanan dan minuman ringan disini. Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke kem Putai atau kira-kira 2 jam perjalanan lagi. Kami sampai ke kem Putai pada jam 11 pagi dan bot ekspres masih belum lagi kelihatan. Setelah 30 minit menunggu, bot ekspres yang dinantikan tiba... Sungai Balleh menjadi saksi perpisahan terkahir saya dengan Long Busang. Tidak tahu lagi bila saya akan menjejakkan kaki kesini namun segala kenangan yang terukir disini tetap akan saya kenang sampai bila-bila. Menjelang jam 2.30 petang bot ekspres kami mula menghampiri jeti terminal penumpang Kapit. Saya menghubungi Cikgu Kumaresan meminta beliau mengambil saya .... sampai dirumah terus saya membaringkan diri ... terlena diulit kepenatan ....

Penutup

Entah bila lagi saya akan menyapa kenangan yang indah sebegini. Bertugas di kawasan yang jauh berbeza dengan guru-guru di bandar benar-benar membuatkan saya puas. Benar... tiada pencapaian yang istimewa untuk saya selama berada di Kapit ini tatkala teman-teman yang bertugas di kawasan bandar ( terutama di semenanjung ) menikmati sepenuhnya kejayaan demi kejayaan dalam kerjaya mereka. Di sini saya hanya bertemu dengan perjuangan membela nasib pelajar luar bandar. Benar kata seorang guru lama di sini ... saya akan menjadi cikgu yang bergelut dengan perjuangan yang pelbagai disini... dan benar saya sedang menghadapinya.

Saya insaf dengan perkara ini. Di Kapit ini saya bukan seorang guru pendidikan khas tetapi menjadi lebih dari itu. Hanya mereka yang pernah melaluinya sahaja yang memahaminya ... betapa luasnya erti menjadi guru di pedalaman.




SELAMAT HARI PEKERJA

$
0
0


Dedikasi kepada seluruh Wira Kelas Pekerja walau dimana pun berada ... anda semua adalah HERO sebenar kejayaan negara pada hari ini.. HIDUP KELAS PEKERJA !


PELUH YANG MENITIS

Ini peluh yang menitis laju
atas nama sebutir rezeki
untuk makan minum
mulut-mulut yang kelaparan
di rumah

Ini kudrat yang terbina
atas nama perjuangan
mencari sesuatu yang pasti
sahabat yang bernama gaji

Ya ... memang kami kelas pekerja
duduk dan mendengar arahan
menjalankan tugas
dasar-dasar bapa menteri
yang bijak pandai
nun diatas sana

Dengan gaji sekupang
kami membeli dunia yang semakin mahal
dengan sifat binatang
menekan dan membunuh
setiap poket-poket kami
kering dan kosong
tanpa erti
dan 
itulah harga bayaran
undi dan kerja kami
pada kemakmuran negara ini

Kami bukan hamba
ditendang dan dimaki
atau diberhenti atas nama produktiviti
sedang peluh-peluh kami dicuri
oleh babi-babi kapitalis
yang berselera besar
mengaut untung
memenuhkan selera nafsu
yang berjuta-juta

Ini hari kami
walau sehari yang sebentar
dengan laungan membela
nasib kami
diatas pentas-pentas indah
atau dijalanan yang pijar
namun kami tahu
nilai kami jauh lebih kukuh
disisi Tuhan
asal tahu erti halal dan syukur

Ini hari pekerja yang sama
tiada beza peluh-peluh yang jatuh
baju kami tetap lusuh
kasut kami tetap berdebu
dan topi kami masih koyak
gajinya tetap begitu

Kami wira negara yang sebenar
diberikan saguhati
bernama INFLASI
Hahahahahahahahahahaha
SELAMAT HARI PEKERJA
dari pekerja untuk pekerja !

Ziarah Makam Lama 1 - Mencari Jawapan Yang Samar di Makam Si Puntum

$
0
0
Pemula Cerita

Ada suatu perasaan halus menyelinap ke dalam hati saya sewaktu pertama kali melakukan perjalanan menziarahi sejumlah kecil makam-makam lama yang terdapat di sekitar daerah Hilir Perak, Perak Tengah dan Kinta penghujung tahun lepas. Pada mulanya adalah sekadar ingin menambahkan bahan cerita untuk dimuatkan ke dalam blog perkongsian ini, namun ia bertukar menjadi satu pencarian panjang terhadap salasilah diri sendiri yang terputus akibat rempuhan zaman. 

Ingatan-ingatan saya ketika kecil masih agak kuat. Ada suatu bayangan nisan bewarna kuning setinggi kanak-kanak berusia 5 tahun seringkali terlintas dimata sehingga kini. Rasanya nisan itu pernah saya lihat sewaktu dibawa ayah menziarahi ke makam almarhum datuk saya Ismail Bin Haji Yusof di Kampung Teluk Penadah, Seberang Perak. Itu nisan yang pertama kali saya lihat sewaktu memasuki ke kawasan perkuburan berkenaan. Dan ingatan dan bayangan nisan bewarna kuning itu terus melintasi ingatan dan jiwa saya. Anehnya ...saya lupa bagaimana pula rupa nisan kubur datuk saya.. ermmm.

Inilah yang membuatkan saya menjadi tidak keruan. Tambahan pula selepas berkahwin nanti, saya akan berjauhan dengan negeri Perak Darul Ridzuan yang saya cintai ini. Setelah berfikir panjang ... saya telah melakukan 3 kali perjalanan ziarah ke makam-makam lama yang saya rasakan boleh membuka rahsia panjang kepada lintasan nisan kuning yang sering bermain di fikiran saya ini.

Makam Siputum

Ketika menghantar adik saya yang belajar di Kolej Komuniti Pasir Salak secara tiba-tiba terlintas dihati saya untuk berjalan-jalan melihat Kompleks Sejarah Pasir Salak yang lama tidak saya lawati. Pasir Salak ialah tempat bermulanya semangat nasionalis orang Melayu Perak dalam menentang penjajahan Inggeris. Kedudukan Pasir Salak ini amat unik kerana ia terletak di seberang Sungai Perak ( tebing kiri ). 

Kompleks Sejarah Pasir Salak

Sejarah negara telah menukilkan bahawa di Pasir Salak inilah telah terjadi peristiwa pembunuhan Residen Inggeris pertama di Perak iaitu J.W.W Birch ( celaka ! ) ditangan seorang perwira Melayu yang dikenali sebagai Siputum.  Siputum ini khabarnya merupakan orang kepercayaan Datuk Maharajalela Pancung Tak Bertanya. Peristiwa pembunuhan ini telah mencetuskan Perang Perak yang diakhiri dengan hukuman mati kepada beberapa nama besar dalam sejarah negara kita seperti Dato' Sagor, Dato' Maharajalela Pancung Tak Bertanya, Pandak Indut dan Si Putum ( anehnya hukuman itu dijatuhkan oleh seorang Raja Melayu ). Sementara itu pula, Sultan Abdullah Muhammad Shah, Tengku Menteri Ngah Ibrahim, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin Alang Duakap dan Dato' Shahbandar Uda Makmor telah dibuang negeri ke Pulau Seycheleys. Bekas Sultan Ismail, Panglima Perang Semaun dan kaum kerabat mereka pula dibuang negeri di Johor. Semoga Allah SWT merahmati kesemua roh-roh pejuang Melayu Perak ini.

Tidak jauh dari Kompleks Sejarah Pasir Salak terletak sebuah kawasan perkuburan lama yang menempatkan sejumlah makam-makam lama. Pada mulanya saya kurang memberi perhatian sangat kepada makam-makam yang terdapat disini. Namun demikian, pandangan mata saya tertumpu pada sebuah makam yang agak terserlah berbanding dengan makam-makam lain. Terus saya berjalan menuju ke kawasan makam ini. Setelah hampir barulah jelas kelihatan papan tanda yang menunjukkan pemilik makam ini ialah Si Putum. Salah seorang wira perang Perak dan pembunuh utama J.W.W. Birch.

Makam Si Puntum

Makam ini dipagar kemas dan mempunyai papan tanda yang menerangkan berkenaan dengan perihal Si Puntum. Maklumat ringkas yang disediakan oleh Taurism Malaysia sekurang-kurangnya membantu para pelawat menjejaki makam ini kerana diluar kawasan makam memang tiada disediakan papan tanda yang menunjukkan ada sebuah makam pahlawan Melayu dikebumikan di situ. Keadaannya juga agak bersemak namun masih terpelihara dengan baik.

Terdapat beberapa makam lain di dalam kawasan makam berpagar makam ini. Berkemungkinan ia adalah makam kaum kerabat Si Puntum. Namun demikian, saya merasakan sebuah makam yang mempunyai batu nisan sungai merupakan makam Si Puntum. Ia juga lebih terserlah jika dibandingkan dengan makam-makam yang lain.

Makam-makam yang ada didalam kawasan berpagar

Adakah ini batu nisan makam pahlawan Sipuntum?
Wallahualambissawab

Saya tidak berlama-lama disini. Selepas menyedekahkan Al-Fatihah kepada dan mengambil beberapa keping gambar, saya mula bergerak keluar. Beberapa penduduk kampung tersenyum melihat saya berseorangan di perkuburan pada waktu petang sebegitu. Ketika mahu menghidupkan enjin motor, secara tiba-tiba saya teringat makam datuk dan moyang saya yang juga dikuburkan di kawasan tebing kiri Sungai Perak. Kata arwah opah dahulu bapa kepada moyang saya adalah orang kepercayaan Sultan. Ermm... adakah mereka juga turut terlibat dengan Perang Perak dan Peristiwa Pasir Salak ?... 

Allah SWT sahaja yang mengetahuinya...

Selamat Hari Guru 2012

$
0
0
Saya Hafez J.Malim 
mengucapkan
SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU
kepada setiap guru yang hidup di bumi Allah SWT ini.


Walau sekecil mana ilmu yang kita kongsikan,
kita telah memakmurkan hidup insan lain
tanpa sedar.

TERIMA KASIH CIKGU !

Blog Baru Saya : Kutub Khanah Usang

$
0
0
Reka hadapan Blog Kutub Khanah Usang

Alhamdulillah kini saya berjaya membuka sebuah lagi blog perkongsian yang diberi nama Kutub Khanah Usang. Blog ini masih dalam selenggaraan saya sebenarnya namun idea berkaitan dengan blog ini sudah lama tertanam didalam hati saya. 

Blog Kutub Khanah Usang ini sebenarnya khusus untuk saya mempamerkan koleksi peribadi buku-buku lama milik saya kepada anda semua. Selain dari perkongsian cerita mengenai sesebuah buku, saya juga membuka peluang kepada individu-individu yang berminat untuk membeli buku-buku saya ini pada harga yang berpatutan. 

InsyaAllah buku-buku yang ditawarkan adalah yang terbaik. Dari buku akademik, buku sastera, buku fiksyen dan pelbagai jenis buku akan saya ulas mengikut kefahaman saya sendiri. Kebanyakan buku dari koleksi saya ini merangkumi koleksi dari tahun 1950an sehinggalah ke tahun 1990an. Semuanya saya kumpulkan dari pembelian, carian malah ada buku-buku ini saya kutip dari tempat pelupusan sampah. Pedulikan soal harga kerana sesuatu yang bernilai bukan terletak pada harganya tetapi pada nilai ilmunya.. insyaAllah.

Jika ada yang berminat sudi-sudikan lah singgah ke Blog Kutub Khanah Usang ini ... mungkin ada yang boleh kita kongsi dan rasai ... 


Ziarah Makam Lama 2 - Menziarahi Makam-Makam Yang Usang Dan Berlumut

$
0
0
Rumah tradisi Melayu Perak atau Rumah Kutai

Selesai sahaja menziarahi makam pahlawan Si Puntum, saya terus memacu motorsikal saya keluar dari kawasan Kompleks Sejarah Pasir Salak. Sebenarnya saya agak seronok ketika melalui jalan kampung dan melihat rumah-rumah tradisi Perak yang masih utuh. Namun ada juga sesetengahnya yang sudah agak terbiar dan ditinggalkan. Dari beberapa tinjauan di intenet, saya mendapati kebanyakan rumah tradisi Melayu yang terdapat sepanjang persisir sungai Perak banyak dipengaruhi oleh senibina orang-orang Bugis. Sememangnya orang-orang Bugis agak berperanan dalam pentadbiran Perak semenjak dari kurun ke-17 hingga ke akhir kurun ke-18. Besar kemungkinan masyarakat Melayu dalam sekitar kawasan Kampung Gajah mewarisi darah keturunan Bugis. Siapalah tahu jika moyang saya juga dari suku Bugis.Wallahualambissawab.

Saya melalui jambatan yang merintangi Sungai Perak dengan perasaan yang teruja. Sungai Perak yang sederhana besar sebelum menghampiri muara besarnya menyimpan banyak cerita lama yang sukar dimengerti. Aliran airnya yang sesekali deras dan dalam itu menjadi saksi bisu kepada pelbagai peristiwa sejarah yang berlaku dalam negeri Perak. Segala realiti, mitos dan lagenda bercampur baur dengan keruh airnya dan menjadi cerita yang tak kunjung padam dalam diari kehidupan masyarakat sekitarnya. 

Sungai Perak yang menyimpan sejuta satu cerita

Selepas melintasi jambatan Sungai Perak ini, saya tidak terus bergerak ke Kampung Gajah sebaliknya saya membelok ke kiri menuju ke sebuah kampung yang terletak di tebing belah kanan Sungai Perak. Kampung yang saya maksudkan ialah Kampung Jawa. Di kampung ini bersemadilah jasad tiga orang Sultan yang pernah memerintah negeri Perak. Namun demikian saya agak kabur dengan lokasi makam-makam berkenaan. Dengan suasana petang yang semakin redup membuatkan saya semakin gelisah. Hasil bantuan dari seorang penduduk kampung yang sedang sibuk mengait rambutan, saya mula mengerti dimana lokasi makam ini. Beliau meminta saya mengikut jalan besar ( jalan raya utama ) dari mengikut jalan kampung.

Saya seterusnya melalui jalan besar menghala ke Lambor namun demikian saya masih belum menemui simpang jalan atau papan tanda makam yang ingin saya tujui. Ini membuatkan saya semakin keliru. Semakin saya jauh bergerak semakin saya merasa hairan. Kesudahannya saya memutuskan untuk berpatah semula dan masuk sahaja mana-mana simpang yang saya rasakan boleh membawa saya ke lokasi makam-makam berkenaan. Saya hanya mengikut lintasan gerak hati saya. Alhamdulillah, simpang jalan pilihan saya sememangnya membawa tuah apabila saya menjumpai sebuah papan tanda yang menunjukkan lorong ke makam diraja. Namun masalah lain pula timbul. Tiada anak panah menunjukkan arah makam sama ada ke kanan atau ke kiri. Saya terus mengambil arah kiri. Mungkin ada nasib yang sangat baik melalui pilihan yang berat itu.

Papan tanda kecil arah makam diraja

Saya menunggang motorsikal saya dengan perlahan. Mata saya meliar ke kiri dan kanan memerhatikan jika ada makam-makam yang tersorok dari pandangan. Dengan suasana jalan yang sunyi dan keadaan sekitar yang agak bersemak membuatkan hati saya sedikit gementar. Keadaan juga agak redup. Saya melintasi satu binaan kepuk yang agak bersemak namun tidak saya indahkan di kiri jalan. Saya bagaikan terleka dengan keadaan jalan. Setelah hampir 200 meter terlajak dari binaan kepuk tersebut barulah saya tersedar bahawa makam yang saya cari sebenarnya terletak didalam kawasan yang saya lintasi tadi. Saya berpatah semula dan Alhamdulillah, saya berjaya menemui makam dua orang Sultan pemerintah negeri Perak yang terletak dalam sebuah kepuk yang sama !.

Keadaan jalan menuju ke makam diraja yang sunyi dan bersemak.
Saya terleka melalui jalan ini.

Baru sahaja sampai ke kawasan makam

Pagar utama untuk masuk ke kawasan makam diraja

Keadaan makam ini agak bersemak dan terbiar. Pohon-pohon renek meliputi hampir keseluruhan kawasan makam. Pintu pagar makam ini sudah rosak dan binaan kepuknya juga kelihatan sudah uzur dan berlumut. Saya sendiri menjadi hairan bagaimana makam bersejarah ini kelihatan terbiar. Adakah waris-waris sultan yang dimakamkan disini sudah ghaib tanpa warisan ? ... segalanya terus terlontar keluar dari benak hati saya ini.

Keadaan makam

Kawasan kepuk pemakaman ini menempatkan makam Sultan Mahmud Iskandar Shah iaitu sultan ke-11( 1653 - 1720 ) dan Sultan Alauddin Mughayat Shah iaitu sultan ke-12 ( 1720 - 1728 ). Kedua-dua orang sultan yang disemadikan disini merupakan pemerintah yang mewakili era kedua kesultanan Perak di mana pada ketika ini sultan - sultan Perak adalah mewarisi darah keturunan raja-raja Siak pada sebelah pihak lelaki dan darah kesultanan Melaka mengalir dari sebelah pihak perempuan. 

Sedikit maklumat berkenaan dengan Sultan Mahmud Iskandar Shah ini, baginda merupakan putera kepada sultan Perak ke -10 iaitu Sultan Muzaffar Shah II. Baginda dikurniakan umur yang panjang dan dikatakan mangkat dalam usia 120 tahun. Pada ketika pemerintahan baginda inilah, negeri Perak telah berjaya melepaskan diri dari ikatan penguasaan kerajaan Acheh.

Sementara itu pula, Sultan Alauddin Mughayat Shah merupakan putera saudara kepada Sultan Mahmud Iskandar Shah. Baginda ditabalkan menjadi sultan Perak ke-12 selepas kemangkatan Sultan Mahmud Iskandar Shah yang tidak berputera. Baginda memerintah selama lapan tahun dan digelar Marhum Sulong. 

Saya menebas sedikit semak-samun yang tinggi didalam kawasan kepuk makam. Mujur juga batu nisan kedua-dua makam ini dalam keadaan baik. Khabarnya dahulu batu-batu nisan makam sultan Perak diperbuat dari batu nisan jenis Acheh namun telah ditukar kepada batu nisan yang diseragamkan bagi semua makam. Kain kuning yang membaluti nisan makam ini kelihatan sudah agak lusuh dan pudar warnanya. Nampaknya masih ada individu atau waris terdekat dengan marhum berdua ini yang mengambil berat tentang warisan leluhur mereka.

Terdapat juga tiga buah kubur dengan nisan yang lebih kecil ditengah-tengah dengan makam kedua-dua sultan ini. Saya beranggapan bahawa ia sudah pastilah makam isteri atau kaum kerabat yang terdekat dengan baginda berdua. Binaan kepuk makam ini juga kelihatan sudah uzur dimamah masa. Dapat dilihat ada retakan pada dinding kepuk ini dan lumut hijau menempel kemas. 

Tiga buah kubur kecil ditengah-tengah makam dua orang sultan

Sesuatu yang agak merugikan saya ialah sukarnya saya membaca tulisan jawi yang terdapat pada batu nisan makam ini. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan saya tidak mengatahui yang mana satukah makam Sultan Mahmud Iskandar Shah dengan makam Sultan Alauddin Mughayat Shah. Namun ia tidaklah menjadi satu masalah yang besar bagi saya. Yang pentingnya hasrat saya untuk berziarah dan memegang nisan makam ini telah tercapai.

Tulisan pada batu nisan makam

Lama juga saya di makam ini. Suasana sunyi  membuatkan saya merasa keseorangan. Saya meninjau disekitar kawasan makam untuk mencari sebuah lagi kepuk makam sultan yang dikatakan turut dimakamkan tidak jauh dari situ. Namun hampa... saya tidak menjumpainya. Mungkin didalam perjalanan pulang nanti saya akan menjumpainya. Sempat juga saya mengikat kemas ikatan kain kuning nisan makam berkenaan yang dilihat sudah longgar. InsyaAllah jika ada rezeki dan masa terluang saya akan kembali lagi ke makam ini dengan niat untuk menggantikan ikatan kain kuning lusuh pada batu nisannya.

Saya meninggalkan makam ini dengan perasaan yang aneh ... pagarnya yang hampir runtuh itu bagaikan mengucapkan selamat jalan yang berat. Lama saya memandang makam ini sebelum mula bergerak. Ermmm ...   insyaAllah saya akan kembali semula kesini. Perjalanan saya teruskan mencari sebuah makam lagi di kampung yang sama ...... jumpa lagi dalam siri catatan yang akan datang.

DI LAPANGAN TERBANG

$
0
0
Dedikasi untuk ayah, emak dan isteri yang tercinta.



Di sini ... kaki-kaki manusia
meliar mengejar masa
menanti saat debar 
menumpang rezeki nyawa
yang letaknya di hujung sayap
pesawat gagah.

Anak-anak berkejaran 
bermain lumba-lumba
dengan wajah riang 
tanpa rasa takut
dan aku melihatnya dari
sebuah kerusi moden yang rimas

Sejuta warna manusia disini
dengan terbeban bagasi yang bertimbun
gadis manis menjeling tajam
bertembung pandangan
dan senyuman manis diberi
ah... itu rezeki Tuhan
tidak salah untuk kunikmati.

Di lapangan terbang
pelbagai cerita dipendam
dalam hati insan yang selaksa
masing-masing tidak dimengerti
dan ia menjadi begitu sukar akhirnya
bila aku juga menjadi
seperti mereka.

Doa yang bertimbun
dari ibu ayah dan isteri
membuat aku sedar
mungkin nanti bukan aku yang pulang
melainkan roh hitam yang sayu.

Di lapangan terbang
hati ku hancur luluh
mengenang jasad yang tertinggal
merindui aku
selamanya.




Cuba - Cuba Naik Komuter

$
0
0
Komuter

Ini perjalanan yang agak gila, letih dan mencabar. Namun saya akui ia agak menyeronokkan walaupun saya perlu bersusah payah sedikit. Idea untuk menaiki komuter ini dirancang secara tidak sengaja. Ini merupakan kali pertama saya menaiki komuter. Cadangan awalnya ingin menaiki keretapi namun memandangkan saya perlu mengejar masa, saya memilih menaiki komuter. 

Saya memilih menaiki komuter bermula dari Seremban menuju ke Tanjong Malim. Untuk ke Seremban, saya menaiki bas ekspres selama hampir 2 jam dari Batu Pahat. Cuti persekolahan selama 2 minggu membuatkan saya terasa benar-benar seronok. Masakan tidak, saya dapat meluangkan masa yang benar-benar berkualiti bagi menemani isteri saya setelah hampir 3 bulan tinggal berjauhan. Menjelang sahaja kepada penamat cuti persekolahan, isteri saya sudah mula menunjukkan wajah sedihnya. Beliau tahu kami perlu duduk berjauhan semula. Saya sendiri begitu sedih. Meninggalkan isteri yang berbadan dua dan tinggal berjauhan adalah perkara yang sangat menyakitkan. Namun itulah realiti yang perlu saya telan dan kami perlu menerimanya dengan hati yang terbuka.

Seawal pagi lagi saya sudah keluar dari rumah bersama-sama dengan isteri saya untuk bersarapan. Wajahnya sudah kelihatan sugul. Azura menghantar saya ke stesen bas. Sepanjang perjalanan kami lebih banyak senyap dari bercakap. Dalam diam saya memanjatkan doa supaya kehidupan kami dipermudahkan oleh Allah SWT.

Sugul si isteri

Perjalanan menaiki bas dari Batu Pahat menuju ke Seremban mengambil masa hampir 2 jam. Sudah lama saya tidak ke Seremban. Rasanya hampir 3 tahun. Suatu ketika dahulu, Seremban adalah tempat saya dan Azura berjumpa setelah sekian kali tidak bertemu. Setelah berkahwin, saya tidak lagi ke Seremban. Sememangnya kunjungan ke Seremban kali ini akan membuatkan saya lebih bernostalgia. Melawat ke sesuatu tempat yang memberikan sejuta satu cerita kepada diri akan membuatkan saya terkenang semula segala kenangan lama. Sejujurnya ... ia mengembalikan momen indah yang pernah saya dan Azura kecapi semasa alam bujang kami. Hahahahaha

Singgah sebentar di hentian bas Muar

Saya sampai ke Seremban ketika jam menunjukkan angka 12 tengah hari. Tidak banyak perubahan yang terlihat. Namun kesibukannya tetap seperti dulu dan tidak berubah. Saya berlegar-legar dahulu di sekitar terminal bas utama Seremban ( Terminal 3 ). Dahulu, Azura akan menunggu saya di sini dengan senyuman. Terasa seolah-olah dia masih disini menunggu saya walaupun kami kini sudah mendirikan rumah tangga. 

Saya sebenarnya tidak mengetahui lokasi stesen keretapi Seremban. Setelah bertanya dengan seorang pakcik tua yang baik, barulah saya tahu kedudukan sebenar stesen keretapi tersebut. Namun saya perlu berjalan kaki sedikit. Stesen keretapi Seremban sebenarnya masih mengekalkan binaan lamanya. Namun demikian, seiring dengan perkembangan masa, stesen ini diubahsuai sesuai dengan statusnya sebagai antara stesen keretapi utama di negara kita. Sepanjang saya berjalan kaki menuju ke stesen ini, saya dapat melihat bangunan-bangunan lama KTMB yang masih kekal. Ia masih mengekalkan, gaya klasik dan kolonial. Ini yang membuatkan saya begitu teruja !

Laluan menuju ke stesen KTMB Seremban

Kuarters lama yang masih boleh dilihat

Klasik !

Stesen keretapi Seremban

Keadaan di stesen KTMB Seremban

Saya terlihat kaunter tiket ETS ( Electric Train Set ), teringin juga dihati saya untuk menaikinya. Namun demikian petugas kaunter tersebut menyatakan bahawa perkhidmatan ETS tidak ke Tanjong Malim. Tidak mengapalah, saya boleh menaiki komuter dan merasai gegaran landasan. Itu lebih mengujakan saya. Saya bertolak dari Seremban pada jam 1 tengah hari. Tidak ramai penumpang disini. Seorang lelaki India tua berbual-bual ringan dengan saya. Beliau ramah dan baik. Sekurang-kurangnya saya tidak sunyi sepanjang perjalanan.

Pemandangan di stesen keretapi Seremban. 

Perjalanan agak tenang. Beberapa pekerja KTMB juga turut serta dalam gerabak kami. Sempat juga saya berbual dengan salah seorang dari mereka berkenaan dengan dunia keretapi di Malaysia. Nampaknya beliau memang arif dan banyak memberikan saya maklumat-maklumat baru berkenaan dengan keretapi terutamanya tentang lokomotif. Pakcik India tua yang duduk disebelah saya juga sesekali berbual dengan saya. Sampai sahaja di Nilai beliau turun dan mengucapkan selamat jalan yang mesra. Penumpang mula ramai menaiki komuter. Tempat duduk mula penuh dan ramai yang berdiri.

Keadaan di dalam gerabak ( koc )

Pemandangan sepanjang perjalanan agak biasa-biasa. Sukar lagi menjumpai kebun-kebun getah dan ladang seperti pada zaman-zaman awal 1960an hingga lewat 1990an dulu. Yang ada hanyalah kawasan perumahan dan tanah-tanah kosong yang menunggu masa untuk dimajukan. Rebakan bandar menjadikan pekan-pekan kecil yang dahulunya tenang dan aman menjadi semakin sesak dan berpendudukan tinggi. Namun demikian, saya masih lagi boleh melihat kampung-kampung tradisi Melayu di sepanjang landasan. Sekurang-kurangnya ia mengubat rasa rindu saya pada zaman-zaman yang telah berlalu.

Sebuah surau kayu lama


Semakin menghampiri negeri Selangor semakin ramai penumpang menaiki komuter. Tempat duduk hampir semuanya dipenuhi dan ramai penumpang mula berdiri. Ini menjadikan saya merasa agak kurang selesa dan rimas. Penumpang-penumpang warga asing juga ramai yang menaiki komuter pada masa ini. Seorang lelaki kulit hitam yang memakai baju tanpa lengan berdiri dihadapan saya. Badannya agak berbau dan membuatkan saya loya. Mujur juga sebaik sahaja sampai ke stesen Bandar Tasik Selatan, beliau turun. Barulah saya merasa lega.

Terminal bas Bandar Tasik Selatan

Komuter yang saya naiki singgah beberapa minit di beberapa stesen penting. Kebanyakan stesen komuter merupakan stesen-stesen moden. Sesekali kami berselisih dengan komuter lain atau dengan keretapi diesel yang menuju ke selatan. Terasa juga sedikit gegaran. Namun ia memberi keseronokan kepada saya. Masuk sahaja ke Kuala Lumpur, penumpang mula berkurang kerana ramai yang turun menuju ke destinasi masing-masing. Antara stesen utama yang disinggahi ialah KL Sentral, stesen keretapi lama Kuala Lumpur dan Bank Negara Malaysia.



Stesen keretapi lama Kuala Lumpur

Saya sebenarnya agak gusar ketika ini. Saya mengejar masa untuk sampai ke Bidor. Namun syukurlah selepas sahaja melepasi Kuala Lumpur menuju ke Rawang, komuter bergerak pantas. Ketika ini pemandangan di luar cermin sudah mula berubah. Ladang-ladang kelapa sawit pula yang menguasai pandangan saya. Seorang pakcik Melayu tua duduk disebelah saya. Menjeling tajam beliau kepada saya apabila melihat saya sibuk mengambil gambar. Hahahahaha.

Saya mengambil gambar syarikat pembuat koc komuter ini. Kebetulan logonya terletak dibawah bumbung. Usia komuter ini dalam lingkungan 16 tahun berdasarkan tahun pengeluaran 1996 seperti yang tercatat di logo berkenaan. Usai sahaja saya mengambil gambar berkenaan, tiba-tiba pakcik tua itu bersuara bertanya kenapa saya mengambil gambar berkenaan. Saya hanya menjawab ringkas bahawa saya meminati keretapi. Gusar juga hati saya jika beliau menyangkakan saya berbohong. Beliau ketawa dan mengeluarkan sekeping kad dari dompetnya dan menunjukkannya kepada saya. Saya mengamati kad berkenaan. Rupa-rupanya pakcik berkenaan adalah seorang pesara KTMB !.

Komuter buatan Hyundai Korea tahun 1996

Banyak juga yang kami bualkan. Pakcik itu tidak lokek menceritakan pengalaman beliau kepada saya. Sampai sahaja di Rawang kami berpisah. Saya perlu menukar komuter untuk ke Tanjong Malim. Stesen keretapi Rawang merupakan antara stesen keretapi utama di negara kita. Kedudukannya yang terletak ditengah-tengah antara perjalanan antara Tanjong Malim ke Kuala Lumpur menjadikan ia sebagai stesen yang agak sibuk dengan penumpang. Saya sampai di Rawang dalam jam 3 petang. Perjalanan dari Seremban ke Rawang hanya mengambil masa selama 2 jam. 

Stesen keretapi Rawang

Electric Train Set ( ETS ) baru yang terdapat di 
stesen keretapi Rawang

Dari Rawang saya menaiki sebuah lagi komuter menuju ke Tanjong Malim. Saya menyukai laluan ini kerana saya akan melalui beberapa stesen pekan-pekan lama di dalam daerah Hulu Selangor. Dahulu ketika belajar di UPSI saya sangat gemar melawat pekan-pekan kecil seperti Kerling dan Rasa. Pekan-pekan ini masih mengekalkan suasana lama yang klasik. Namun saya tidak pasti sama ada keadaannya masih kekal seperti dahulu atau kini sudah berubah akibat dari perubahan masa dan teknologi.

Stesen keretapi pekan Rasa

Perjalanan kali ini lebih menyeronokkan saya. Penumpang agak kurang dan banyak lagi ruangan penumpang yang kosong. Pemandangan di luar juga lebih menarik dan klasik. Ditinjau dari internet satu ketika dahulu dalam daerah Hulu Selangor terdapat begitu banyak stesen keretapi dan hentian kecil keretapi. Namun kini kebanyakannya sudah dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan landasan berkembar. Saya masih lagi mengingati stesen keretapi Kuala Kubu Road yang begitu klasik dan indah. Namun kini saya pasti, stesen tersebut telah tiada lagi.

Stesen keretapi lama Kuala Kubu Road

Pemandangan perjalanan dari Rawang ke Tanjong Malim



Akhirnya setelah menempuhi perjalanan di atas landasan selama 3 jam, saya sampai ke Tanjong Malim pada jam 4 petang. Stesen keretapi Tanjong Malim agak sunyi dan tenang. Ini merupakan hentian terakhir bagi komuter yang bergerak dari Rawang. Saya turun dengan hati yang puas. Walaupun hanya satu perjalanan yang ringkas namun saya begitu teruja dan puas hati. Saya berjalan kaki sahaja untuk ke stesen bas Tanjong Malim. Ketika ini perut saya sudah mula berkeroncong minta diisi. Niat saya pada ketika itu ialah untuk menikmati cendol dan rojak Tanjong Malim yang begitu lama tidak saya nikmati.... dan langkah saya semakin dipercepatkan. hehehehe.

Stesen keretapi Tanjong Malim

Saya melalui jalan yang agak sunyi menuju ke pekan Tanjong Malim. Dahulu sewaktu dalam tahun-tahun awal saya di UPSI jalan ini masih agak sibuk dan ramai penduduk berniaga makanan di sini. Namun setelah jalan utama Tanjong Malim "terpotong" akibat dari pembinaan landasan berkembar, jalan ini menjadi kurang penting. Dua buah jejambat baru dibina merintangi landasan keretapi bagi memudahkan penduduk Tanjong Malim ( khasnya kawasan Ketoyong ) untuk ke Tanjong Malim.

Dahulu laluan ini agak sibuk di Tanjong Malim

Jejambat pejalan kaki Tanjong Malim

Syukur setelah berjalan kaki ditengah terik mentari, saya sampai ke kedai menjual cendol dan rojak yang sangt saya sukai di Tanjong Malim. Ianya terletak disebelah KFC Tanjong Malim dan tidak jauh dari jejambat motosikal landasan keretapi Tanjong Malim. Saya memesan semangkuk cendol pulut dan sepinggan rojak. Berselera saya makan petang ini. Dahulu disinilah tempat saya melepak bersama teman-teman sekuliah selepas penat seharian berkuliah. Harganya juga sangat murah. Sesuai jugalah dengan bajet mahasiswa seperti kami yang sering keputusan kewangan. hehehehe.

Kedai menjual cendol dan rojak tidak jauh dari jejambat
utama Tanjong Malim

Cendol dan rojak yang menyelerakan

Saya tidak berlama-lama disini. Selepas membayar harga cendol dan rojak tersebut saya terus menuju ke stesen bas Tanjong Malim untuk menaiki bas ke Sungkai. Saya melintasi sederet kedai yang menjadi tempat jualan VCD cetak rompak yang sangat terkenal bagi kami suatu ketika dahulu. Nampaknya ia semakin sunyi. Tidak sepertu dahulu... kaunternya sentiasa penuh dengan pembeli ( sudah pasti saya salah seorang daripadanya ). Ah...segala kenangan itu bagaikan menari-menari di ingatan saya pada waktu ini. Tiba-tiba saya menjadi seorang lelaki yang bernostalgia.

Dahulu disini meriah dengan pelanggan 
yang mencari VCD cetak rompak

Stesen bas Tanjong Malim masih tidak berubah. Ia tetap sama seperti dahulu. Sukar untuk melupakan segala kenangan yang tersimpul disini. Sebelum menggunakan motosikal di UPSI, saya perlu menaiki bas untuk pulang ke Bidor. Perkhidmatan bas yang sering saya gunakan pada ketika itu ialah Syarikat Bas Mogah atau syarikat bas ekspres Seri Maju ( Azra ). Namun saya lebih gemar menaiki bas Mogah kerana kondisi bas nya yang buruk dan klasik. Tanyalah pada masyarakat Tanjong Malim, Slim River dan Sungkai ... mereka pasti mengingati bas Mogah sebagai sebuah entiti lagenda dan bersejarah. 

Stesen bas Tanjong Malim

Namun demikian, kini bas Mogah sudah tiada lagi. Khabarnya ia kini dimiliki oleh syarikat lain. Bas-bas uzurnya kini sudah berganti dengan bas baru dan berhawa dingin. Bas saya bergerak ke Sungkai pada jam 5 petang. Agak lewat. Fikiran saya berserabut bimbang akan terlepas bas terakhir dari Sungkai ke Bidor. Saya menghubungi ayah supaya bersedia menagmbil saya di Sungkai sekiranya saya ketinggalan bas. Sewaktu di UPSI, perkara yang paling menyeronokkan saya apabila menaiki bas ialah peluang untuk melihat gadis-gadis manis yang turut serta menaiki bas. Hahahahahaha ....tapi itu dululah.. zaman-zaman bujang yang ceria. Kini saya sudah berumah tangga.  Mata tidak lagi tergoda kepada semua itu.. insyaAllah.

Bas syarikat Star Coach yang membawa saya ke Sungkai

Perjalanan mengambil masa 1 jam. Penumpang juga tidak ramai. Saya tiba di Sungkai jam 6 petang. Syukur masih ada bas untuk ke Bidor. Bas yang terakhir. Stesen bas mengundur Sungkai pernah saya ulas satu ketika dahulu dalam blog ini. Suasana petang di Sungkai agak sibuk. Dahulu pekan ini sunyi. Namun kini ia sudah agak sibuk akibat pertambahan penduduk. Dari tingkap bas, saya memandang ke luar. Sederet rumah kedai kayu bersebelahan stesen bas Sungkai kini sudah tiada lagi. Saya masih ingat lagu dahulu emak sering menempah baju kurung pada seorang tukang jahit wanita Cina yang membuka kedainya disitu. Tidak saya tahu dimana lokasi kedai jahit itu kini.

Pemandangan waktu petang sebahagian pekan Sungkai
dari arah stesen bas mengundur


Bas Syarikat Hup Yik di stesen bas mengundur Sungkai

Dahulu ada sederet kedai kayu berhampiran dengan 
stesen bas Sungkai ini. Namun kini ia sudah tiada lagi.

Bas bergerak meninggalkan pekan Sungkai sekitar jam 6.30 petang. Tidak ramai penumpang bersama saya. Rasanya sudah hampir 5 tahun saya tidak menaiki bas dari Sungkai ke Bidor. Tambangnya juga semakin meningkat. Syarikat bas Hup Yik yang beroperasi sejak dari sebelum merdeka masih lagi gagah memberikan perkhidmatan bas berhenti-henti untuk laluan Tapah-Bidor-Sungkai walaupun khabarnya perkhidmatannya tidaklah sekerap dahulu. Kini sudah ramai yang memiliki kenderaan sendiri. Pengangkutan awam seperti bas berhenti-henti semakin terpinggir dari arus masa. Sudah banyak syarikat bas yang gulung tikar dan saya tidak tahu lagi bilakah penamat hayat syarikat ini. Esok atau lusa itu saya tidak pasti namun suatu hari nanti sudah pasti kita akan mengenang kembali betapa manisnya kenangan susah senang menaiki bas tua yang uzur dan memang saya telah menikmatinya !!!!!

Sampai sahaja di Bidor, ayah telah menanti saya dengan motosikalnya. Sejak dahulu hingga kini, ayah sentiasa  cepat dan tepat dari saya. Saya akui saya tidak akan mampu dalam menandingi ayah dalam ketetapan janji dan masa. Perjalanan yang agak mencabar namun memberi makna kepada saya... tidak mustahil saya akan menikmati perjalanan seperti ini di masa-masa yang mendatang. Cuba-cuba menaiki komuter rupa-rupanya memberi sejuta satu kenangan yang sukar dimengerti !








ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2011

$
0
0


Bagaikan tidak percaya, tahun 2011 yang lalu menerbitkan beberapa kenangan yang sukar dilupakan. Selain dari mengakhiri zaman bujang saya, tahun 2011 juga memberikan saya hadiah yang berganda apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ( APC ) yang majlisnya diadakan di Dewan Suarah Kapit pada hari Rabu, 20 Jun 2012  yang lalu. Majlis penyampaian anugerah ini telah dirasmikan oleh Tuan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak iaitu Yang Berbahagia  Encik Abdillah Bin Adam.

Selama hampir 4 tahun berkhidmat di SMK Kapit, saya tidak pernah bermimpi untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ini. Semasa kali pertama melapor diri di sekolah, perkara pertama yang terlintas di kepala saya adalah untuk bekerja seadanya kudrat tanpa memikirkan apa-apa imbuhan. Namun syukurlah kepada Allah SWT yang memberikan saya peluang untuk menikmati hasil usaha saya ini. 

Majlis anugerah ini bermula tepat jam 2.30 petang. Saya sendiri agak berdebar-debar menantikan saat mulanya majlis. Rasa keterujaan begitu tinggi untuk melihat sendiri Pengarah Pelajaran Sarawak yang julung-julung kalinya menghadiri majlis seumpama ini di bahagian Kapit.

Keadaan Dewan Suarah Kapit beberapa 
ketika sebelum acaar berlangsung

Tempat duduk mula diisi oleh tetamu dan penerima APC

Saya mengenakan baju kemeja putih, seluar hitam, kasut hitam dan tali leher hitam yang menjadi barang hantaran perkahwinan saya. Sengaja saya memakai persalinan berkenaan bagi memastikan saya merasa seolah-olah isteri saya hadir bersama menyaksikan saya menerima anugerah berkenaan. Sememangnya isteri saya adalah tulang belakang kepada kejayaan saya ini selain dari ibu bapa, adik beradik dan teman-teman seperjuangan. Azura sentiasa berdiri teguh dibelakang saya walaupun kami tinggal berjauhan. Beliau banyak berkorban untuk hubungan kami ini. Jadi tidaklah menghairankan jika saya agak emosional ketika menerima anugerah ini

Saya mengenakan persalinan hantaran perkahwinan saya
dahulu sebagai tanda menghargai isteri saya Masazura Bt Maslim.

Turut hadir pada majlis ini ialah Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Kapit iaitu Encik Lanyun Lupak serta Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Song dan Belaga iaitu Encik Langgie Ujang dan Encik George Bidoi. Penerima APC tahun 2011 dari seluruh bahagian Kapit adalah seramai 233 orang yang merangkumi anggota perkhidmatan pelajaran dari pelbagai sekolah dan unit. Kami menerima sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak RM1000.00.

Dimana nama saya ?

Ucapan dari Tuan Pengarah Pelajaran Sarawak amat berbekas di hati saya. Beberapa petikan ucapannya benar-benar menunjukkan betapa pengalaman adalah sesuatu yang sangat bernilai. Beliau menasihatkan kami agar tidak terleka dengan penganugerahan ini sebaliknya terus berusaha mempertingkatkan potensi diri bagi menghadapi cabaran dunia pendidikan yang mudah berubah mengikut arus masa.

Ucapan perasmian dari Pengarah Pelajaran Sarawak
Encik Abdillah Bin Adam

Sewaktu menerima sijil penghargaan dari Tuan Pengarah Pelajaran Sarawak, sempat juga beliau berbual mesra dengan saya. Beliau bertanya tentang negeri asal saya dan sudah berapa lama saya bertugas di bahagian Kapit. Beliau seorang yang ramah dan mesra. Dari raut wajahnya jelas kelihatan pengalaman dan kredibiliti beliau sebagai seorang pemimpin dan guru yang disegani. Sempat juga beliau bergurau dengan saya dengan bertanya sama ada saya akan berkahwin dengan orang Kapit seterusnya menjadi warga Kapit. Ketawa besar saya sambil menjawab tidak ... nun di Johor sana, ada yang menanti dengan harapan agar saya berpindah dengan segera.

Hafez J.Malim menerima sijil APC dari 
Pengarah Pelajaran Sarawak

Majlis berlangsung dengan baik. Pengerusi majlis begitu bijak mengawal majlis. Selain itu  sebagai memeriahkan majlis, hadirin dipersembahkan dengan persembahan tarian kebudayaan dari kumpulan tarian pelajar SMK Kapit No.2. Dua buah tarian yang dipersembahkan oleh kumpulan ini benar-benar menghiburkan kami.

Cikgu Ana dan Cikgu Hafiezh yang menjadi pengacara majlis 

Persembahan tarian

Satu kejutan berlaku diakhir majlis apabila pihak Majlis Guru Besar Bahagian Kapit telah menghadiahkan Tuan Pengarah dengan baju tradisi masyarakat Iban yang begitu eksklusif. Sempat juga saya bertanya kepada teman guru yang duduk disebelah saya berapa nilai harga baju berkenaan ... mungkin hampir RM 1000.00 jawabnya ringkas. Namun sesuatu yang pasti, terlihat semangat perpaduan yang jitu disini. Pelbagai kaum bersama-sama meraikan anugerah ini tanpa ada sebarang sengketa. Jelas di Sarawak ini semangat 1 Malaysia adalah kukuh dan saya berharap supaya ia kekal bersemarak selama-lamanya.

Pengarah Pelajaran Sarawak menerima cenderahati
dari pihak Majlis Guru Besar bahagian Kapit

Barisan kepimpinan pelajaran Bahagian Kapit 
bergambar kenangan bersama Pengarah Pelajaran Sarawak

Tamat sahaja majlis, saya dan beberapa teman mengambil kesempatan untuk bergambar kenang-kenangan. Seronok juga bergambar dalam majlis-majlis sebegini. Terasa kembali semula ke waktu konvokesyen UPSI pada tahun 2008 yang lalu. Namun saya sedar, cabaran selepas ini jauh lebih besar dan saya perlu tabah menghadapinya tanpa terleka dengan anugerah yang sebentar ini.

Hafez J.Malim

Sijil APC milik saya

Penerima APC dari SMK Kapit

Bersama Cikgu Ana Rantai dan Cikgu Balqies Abdul Latif

Teman senior dari Perak Cikgu Shahril

Ketika sampai di rumah selepas majlis tamat, saya termenung sendirian. Tahun 2012 ini saya agak pasif dan tidak bergerak aktif di sekolah. Sindrom "malas" sudah mula muncul dalam jiwa saya. Namun setakat ini, saya masih tetap mengajar dengan baik dan memberi komitmen tanpa kompromi. Cuma perasaan ini sahaja yang kini sudah tidak lekat lagi di Kapit. Ia perubahan mendadak yang perlu saya hadapi selepas berkahwin. Namun saya insaf .... Allah SWT punya perancangan-Nya yang tersendiri untuk saya dan saya perlu menerimanya dengan kuat dan tabah.

Sarawak .... negeri asing yang menjadi tanah tumpah darah kedua saya. Benar.. saya amat mencintai Sarawak walaupun saya bukan anak kandungnya. Sarawak dan anak watannya menerima saya dengan hati terbuka tanpa prejudis. Disini, rezeki saya berlimpah ruah sehingga membawa ke jinjang pelamin. Disini saya menerima penghargaan yang teristimewa dan disinilah mengenal erti tolak ansur. Budimu Sarawak tetap akan saya kenang sampai bila-bila walaupun takdirnya nanti saya tidak lagi menumpang sayang disini.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ini adalah selangkah dalam hidup saya dalam institusi pendidikan. Saya akui, saya ialah guru Pendidikan Khas yang terpinggir dari sistem pendidikan negara. Kami hanya dipandang sebelah mata. Namun bagi seorang guru pedalaman saya tahu kami tidak perlu melukut di tepi gantang mengharap ihsan. Saya tidak perlu bermuka-muka didepan manusia lain. Saya tahu saya manusia yang bermaruah tanpa kabel dan orang besar... insyaAllah !


Catatan Tambahan :

Laporan penuh berkenaan dengan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ( APC ) peringkat bahagian Kapit telah disiarkan dalam akhbar tempatan Sarawak iaitu The Borneo Post bertarikh 22 Jun 2012 ( Jumaat ). Gambar saya juga turut kelihatan. Alhamdulillah.

Keratan akbar The Borneo Post bertarikh 22 Jun 2012 ( Jumaat )

Gambar saya dalam bulatan merah.. hahaha




Kembara Melihat Pekan - Pekan Lama 6 : Pekan Chenderiang ( Siri Akhir )

$
0
0


Selepas melepaskan dahaga sebentar di pekan Sungai Siput Selatan saya meneruskan perjalanan bermotosikal melalui jalan yang sangat sunyi menuju ke sebuah lagi pekan yang agak terpencil di negeri Perak iaitu pekan Chenderiang. Laluan sunyi dari pekan Sungai Siput Selatan ini merupakan salah satu dari tiga laluan utama untuk ke pekan Chenderiang. Namun kebiasaannya, jalan utama untuk ke pekan ini adalah dengan memasuki simpang utama dari Jalan Persekutuan arah Temoh menghala ke Tapah. Terdapat juga laluan dari pekan Tapah menuju ke Chenderiang. Namun jalan tersebut agak berbahaya dan berselekoh tajam.

Saya sengaja memilih jalan dari Sungai Siput Selatan ini kerana ingin merasai suasana alam semulajadi yang melatari suasana kiri dan kanan jalan. Selain itu saya juga akan melalui perkampungan orang Asli yang banyak terdapat disepanjang jalan. Namun demikian saya sedar risiko yang perlu saya tanggung sekiranya berlakunya kerosakan pada motosikal saya. Tambahan pula hari semakin petang dan saya perlu bersaing dengan masa. Saya hanya berserah kepada Allah SWT.

Tidak banyak kenderaan yang berselisih dengan saya sepanjang perjalanan. Saya hanya menunggang dengan kelajuan yang sederhana. Udara dingin mula menggigit kulit wajah saya namun ia benar-benar menyegarkan. Suasana hutan dan perkampungan orang Asli memberikan saya satu keseronokan tambahan pula jalan sunyi ini bagaikan mengembalikan semula nostalgia lama. Saya seakan-akan melalui jalan persekutuan dua lorong pada tahun 1980an.

Jika melalui jalan ini, saya akan melalui kawasan air terjun yang sangat terkenal di negeri Perak iaitu Lata Kinjang dahulu sebelum memasuki pekan Chenderiang. Lata Kinjang merupakan antara air terjun tertinggi di Malaysia. Bagi pengguna Lebuh Raya Utara Selatan dari Tapah ke Gopeng pasti akan dapat melihat air terjun yang gagah ini. Ia bagaikan menjadi “trademark” pekan Chenderiang. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa Lata Kinjang merupakan denyut nadi utama pekan Chenderiang.

Papan tanda untuk ke Lata Kinjang

Air terjun Lata Kinjang dari jauh

Dahulu sewaktu zaman remaja sering juga saya berkunjung dan mandi - manda di Lata Kinjang. Airnya yang jernih dan sejuk memberikan sejuta keseronokan yang tiada taranya. Dahulu kemudahan awam yang terdapat disini tidaklah selengkap sekarang namun ia tetap mengujakan kami untuk bermandi-manda. Berkelah dan menikmati bihun goreng beramai-ramai memang amat menyelerakan tambahan pula bila perut kosong. Ah…. Ia kenangan lama yang benar-benar menyeronokkan !

Antara kemudahan asas di Lata Kinjang

Lama juga saya di Lata Kinjang mengimbau semula memori zaman remaja sambil menikmati deruan air terjunnya yang mendamaikan. Keluar sahaja dari simpang Lata Kinjang saya meneruskan perjalanan kira-kira 3 kilometer untuk sampai ke pekan Chenderiang. Chenderiang masih sama seperti dahulu malahan tidak ada perubahan langsung dalam struktur pekannya. Ia masih sunyi dan tenang namun hidup dengan segala aktiviti penduduknya. Majoriti penduduk Chenderiang adalah orang Melayu dan juga orang Asli. Komuniti masyarakat Cina banyak tertumpu didalam pekan dan orang India kebanyakannya tinggal die stet-estet berhampiran. Khabarnya dahulu ramai juga kaum kerabat diraja Perak tinggal disini ekoran dari krisis Perang Perak yang menyebabkan ramai kerabat diraja Perak diburu oleh penjajah Inggeris. Kesahihannya saya tidak pasti.

Pekan Chenderiang bukanlah pekan yang besar. Kedudukannya yang jauh dari jalan persekutuan menyebabkan pengguna jalan raya hampir tidak mengetahui tentang kewujudan pekan Chenderiang. Ini adalah tidak menghairankan kerana kedudukannya yang berhampiran dengan pekan Tapah menjadikan peranannya agak kurang penting. Deretan rumah-rumah kedai di pekan ini masih mengekalkan keaslian reka bentuk lama dan kolonial. Saya merasakan kebanyakan bangunan rumah kedai disini dibina sebelum perang dunia kedua lagi. Ia menghasilkan suasana petang yang klasik dan tenang.

Deretan rumah kedai lama di pekan Chenderiang

Antara jalan utama 

Lengang



Antara rumah kedai yang tidak lagi dijadikan kedai


Sebuah rumah kedai yang agak terasing di pekan Chenderiang

Kemudahan asas adalah lengkap di pekan ini. Sebuah pejabat pos tua menjadi pusat sehenti bagi para penduduk menyelesaikan bil-bil utiliti serta menghantar surat. Sebuah balai polis moden juga turut dibina bagi menjaga keselamatan setempat. Terdapat juga sebuah pasar basah yang kecil. Rasanya tidak ramai yang berniaga di pasar ini. Tidak ada kemudahan stesen pam minyak disini. 


Pejabat Pos pekan Chenderiang yang klasik

Balai Polis 

Pasar awam 

Bagi penduduk tempatan yang ingin ke pekan Tapah, terdapat perkhidmatan bas berhenti-henti yang disediakan oleh syarikat bas Hup Soon. Saya tidak tahu kekerapan perjalanannya. Jika tidak silap saya, dahulu perkhidmatan bas dari pekan Tapah ke pekan Chenderiang dikendalikan oleh syarikat bas Kamta atau syarikat bas Regal. Namun kini ia telah berubah. Namun demikian tiada kemudahan stesen bas di pekan ini. Sebaliknya bas hanya berhenti di pinggir jalan pekan ini sementara menunggu penumpang.

Bas syarikat Hup Soon menanti penumpang

Dahulu, sewaktu di tingkatan enam sering juga saya mengikuti penyelia asrama mengerjakan solat Jumaat di masjid Chenderiang. Malahan saya juga masih mempunyai beberapa orang kenalan lama disini. Masjid Jamek Chenderiang masih kekal seperti dahulu. Ketika singgah di masjid ini, saya merasa seolah-olah kembali ke masa 10 tahun yang lalu. Kini saya kembali semula mengenang masa-masa yang telah berlalu itu. Dan sudah pasti ada rindu yang tertumpah disini!

Masjid Jamek Chenderiang

Berhadapan dengan masjid ini, terdapat sebuah kawasan perkuburan Islam yang agak besar. Khabarnya disini bersemadi beberapa tokoh penting yang namanya agak pudar dari lipatan sejarah. Jika tidak silap saya, terdapat satu salasilah lain Kesultanan Melayu Perak yang dikatakan berkerabat dengan golongan Syed yang mendiami Chenderiang. Namun saya kurang arif tentang kesahihannya. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. Tetapi dari pengamatan saya terhadap batu-batu nisan serta kepuk makam yang terdapat di perkuburan ini saya pasti ada orang-orang penting dan dimuliakan dikebumikan disini.

Kawasan perkuburan di hadapan 
masjid jamek Chenderiang

Tidak jauh dari balai polis pekan Chenderiang ini terdapat sebuah pintu gerbang lama yang agak misteri. Pintu gerbang batu beratap genting ini agak unik walaupun sudah diliputi oleh semak samun dan tumbuhan menjalar kerana terdapat kalimah Allah SWT dalam tulisan jawi. Saya tidak pasti pintu gerbang ini dibina untuk apa. Mungkin sebagai pintu utama bagi sebuah institusi agama yang pernah wujud di pekan Chenderiang. Hanya penduduk Chenderiang sahaja yang boleh merungkaikan misteri pintu gerbang kalimah Allah SWT ini.

Pintu gerbang lama

Saya berpusing-pusing di pekan ini. Singgah sebentar di sebuah gerai menjual air bagi membasahkan tekak. Terasa kelegaan dapat menghirup air limau ais yang enak. Suasana petang di pekan Chenderiang tetap tenang. Beberapa gadis orang Asli memandang saya sambil tersenyum sambil tangan mereka sibuk menekan butang telefon bimbit yang pelbagai. Nampaknya mereka jauh lebih canggih dari saya yang hanya menggunakan telefon murah. Namun sesuatu yang pasti dari iras wajah mereka jelas sudah ada asimilasi dengan penduduk Melayu yang menjadi majoriti pekan Chenderiang.

Agak lama juga saya di pekan Chenderiang ini memerhatikan denyut nadi kehidupan masyarakatnya. Hari sudah beransur senja dan saya memutuskan untuk bergerak pulang mengikut jalan belakang yang berselekoh tajam untuk tiba ke pekan Tapah. Saya memutuskan, pekan Chenderiang ialah penamat kepada catatan kembara saya ke pekan – pekan terpencil di dalam negeri Perak terutamanya dalam daerah Batang Padang. Sepanjang perjalanan saya berfikir panjang adakah apa yang saya perbuat ini berbaloi atau satu kerja yang sia-sia dan “syok” sendiri ? ………….. saya sendiri tidak pasti.

Menjelang jam 7.30 malam saya selamat tiba di Bidor. Melangkah sahaja kaki ke rumah saya tersenyum memandang motosikal saya di luar …. Dengan lapang dada saya berbisik sendirian … perjalanan telah tamat !

Refleksi

Alhamdulillah, saya melimpahkan syukur yang tidak terhingga kerana diberikan kekuatan untuk menyelenggarakan satu siri catatan ringkas berkaitan dengan pekan-pekan kecil dan terpencil di  daerah Batang Padang dan Kampar dalam negeri Perak Darul Ridzuan. Catatan yang dibahagikan kepada dua siri ini timbul dari kerinduan saya terhadap suasana pekan-pekan lama era 1980an hingga awal 1990an yang kini semakin sukar ditemui lagi akibat dari arus kemodenan yang menghimpit.

Saya menginsafi bahawa rebakan bandar secara tidak langsung akan membunuh pekan-pekan kecil ini suatu masa nanti. Pekan kecil klasik yang pernah menjadi tempat permainan dan keseronokan masa kecil kita dahulu secara tidak langsung beransur-ansur berubah sifatnya menjadi bandar dan diulit kesibukan yang serius. Ia seterusnya membunuh nilai-nilai nostalgia kita terhadapnya. Atas segala apa yang terlintas difikiran ini lah yang menyebabkan saya menulis dan berkongsi setiap apa yang saya rasakan terhadap pekan-pekan ini. Jika suatu hari nanti pekan-pekan ini hanya tinggal nama atau sudah menjadi sejarah, biarlah catatan-catatan ringkas ini mengimbau semula memori bagi yang masih mengingati hidup zaman kecilnya.

Sesekali ada pembaca yang singgah membaca beberapa catatan pekan – pekan ini terus memberi komen atau menghantar pesanan kepada saya di Facebook menyatakan betapa seronoknya melihat kembali pekan lama yang menjadi saksi kehidupan awal mereka. Ada yang begitu bernostalgia malahan ada yang terus pulang melawat semula pekan lama ini setelah hampir berpuluh-puluh tahun meninggalkannya. Malahan ada juga pihak akhbar yang menyunting artikel – artikel berkenaan pekan lama di blog ini untuk diulas di akhbar mereka. Saya relakan asalkan kita boleh berkongsi. Itulah nikmat yang saya mahu kongsikan dan Alhamdulillah saya berjaya melaksanakannya.

Catatan berkaitan pekan-pekan lama ini saya tamatkan disini. Semoga ada yang beroleh manfaat dari setiap apa yang saya kongsikan. InsyaAllah saya akan tetap akan menulis dan saya tidak akan berhenti menulis… terima kasih kerana sudi membaca.




Catatan Tambahan


Artikel berkenaan Catatan Perjalanan ke Pekan-Pekan Terpencil dan Kecil di dalam negeri Perak Darul Ridzuan ini dibahagikan kepada dua siri berbeza iaitu :
  1. Kembara Ke Pekan-Pekan Terpencil di Negeri Perak Darul Ridzuan yang menampilkan ulasan ringkas berkenaan pekan Trolak, pekan Slim Village, pekan Behrang Stesen, pekan Temoh, pekan Temoh Stesen dan pekan Tapah Road.
  2. Kembara Melihat Pekan-Pekan Lama di negeri Perak Darul Ridzuan yang menampilkan ulasan ringkas berkenaan pekan Sungkai, pekan Malim Nawar, pekan Kota Bharu, pekan Kampung Kepayang, pekan Sungai Siput Selatan dan pekan Chenderiang.

Ziarah Makam Lama 3 - Makam Raja Ahmad ... Ada Rahsia Yang Tersimpan

$
0
0
Selesai sahaja saya menziarahi makam 2 orang Sultan Perak berdarah Siak di Kampung Jawa, saya terus bergegas untuk pulang kerana hari sudah semakin lewat petang. Kegemaran saya memulakan setiap perjalanan bermotosikal selepas waktu solat Zohor seringkali membuatkan saya berperang dengan masa. Saya melihat jam di tangan yang sudah menunjukkan hampir ke angka 6 petang. Mujur juga saya sudah biasa dengan jalan dari Kampung Gajah menuju ke Teluk Intan. Namun yang paling merisaukan saya ialah faktor cuaca. Tidak mustahil hujan akan turun di sepanjang perjalanan pulang !

Saya singgah sebentar di Kampung Teluk yang terletak tidak jauh dari pekan Kampung Gajah. Dahulu saya pernah ke kampung ini untuk menempah rebana dari salah seorang pembuat rebana yang agak tekenal di Kampung Gajah. Saya sendiri sudah kelupaan namanya namun hasil pembuatan rebanya sangat halus dan cantik. Ada sesuatu yang menarik hati saya disini. Ditepi jalan besar berhampiran Kampung Teluk ini terdapat sebuah tugu berbentuk Rebana Perak yang semestinya sinonim dengan Kampung Gajah. Inilah seni kebanggaan negeri Perak yang sangat bernilai dan yang paling penting saya ialah salah seorang pendukung permainan rebana Perak ini sampai kini dan sampai bila-bila !

Monumen berbentuk rebana Perak menyambut
saya di Kampung Teluk

Ketika didalam perjalanan saya teringat kata seorang teman lama di UPSI yang tinggal di Kampung Pulau Besar Kampung Gajah bahawa wujud sebuah makam lama seorang Raja Bergelar kesultanan Melayu Perak tidak jauh dari kediaman beliau. Saya pernah melihat papan tanda makam ini sewaktu menghadiri perkahwinan teman saya ini, namun sayang ketika itu saya tidak sempat untuk berziarah kerana tuntutan masa. Memandangkan saya akan melalui kawasan makam berkenaan sewaktu perjalanan pulang nanti, saya akhirnya mengambil kesempatan untuk singgah berziarah. Mungkin ada sesuatu yang boleh saya perolehi disana.

Kata ayah. kami masih mempunyai kaum kerabat jauh di Kampung Pulau Besar. Namun ikatan persaudaraan itu sudah terputus akibat dari jarak masa dan penghijrahan. Hal itu adalah sesuatu yang lumrah bagi sebuah cabang keluarga yang berkembang. Kampung Pulau Besar ( sebutan masyarakat tempatan : Kampong Pulo Besor ) terletak tidak jauh dari pekan Kampung Gajah. Ia sebuah kampung lama yang terletak di persisiran kanan Sungai Perak yang penuh lagenda. Sejak kunjungan kali pertama saya kesini kira-kira 2 tahun lepas, suasananya tetap sama dan tidak berubah. Ia masih mengekalkan suasana perkampungan Melayu tradisi yang kuat.

Saya membelok ke arah kanan dari jalan besar arah ke Teluk Intan untuk masuk ke kampung ini. Singgah sebentar di jalan masuknya bagi melihat papan tanda makam-makam Sultan yang terdapat disini. Rupa-rupanya banyak makam-makam lama sultan pemerintah negeri Perak yang boleh diziarahi melalui kampung ini. Sayangnya hari telah lewat petang, jika tidak sudah pasti saya akan datang berziarah ke kesemua makam yang ada. Ermm... saya benar-benar terdesak dengan perjalanan yang sebegini singkat ...

Papan tanda yang menunjukkan arah dan jarak makam

Masuk sahaja ke simpang Kampung Pulau Besar, saya dapat melihat papan tanda yang menunjukkan arah ke makam Almarhum Raja Kechil Tengah Ahmad Ibni Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah. Namun demikian, ia bukanlah sebuah makam dalam erti kata yang sebenarnya tetapi adalah batu peringatan bagi mengenang Raja Kechil Tengah Ahmad yang dikatakan ghaib di Sungai Perak. Baginda juga dikatakan seorang pawang diraja dan penjaga beting beras basah yang menjadi kawasan yang wajib dijejaki oleh setiap bakal Sultan Perak.

Papan tanda ke makam

Makam Almarhum Raja Kechil Tengah Ahmad ini dilihat dijaga dengan teliti. Ketika kunjungan ziarah saya ini, bangunan makam ini kelihatannya baru sahaja dibaik pulih. Sesuatu yang menarik berkenaan dengan Almarhum Raja Ahmad ini ialah baginda juga beroleh gelar sebagai Sultan Muda. Gelaran Sultan Muda ini adalah sesuatu yang unik. Ada yang menyatakan ia sebagai satu gelaran yang diberikan kepada pawang diraja. Ada juga yang mengatakan gelaran ini hanyalah sebagai satu bentuk penghormatan kepada seseorang individu ( kebiasaanya kerabat diraja ) yang menjalankan tugas-tugas Sultan sekiranya sultan itu gering atau sudah terlalu tua untuk mentadbir negeri. Saya lebih kuat berpegang kepada kenyataan yang kedua itu.

Banggunan yang menempatkan batu peringatan makam

Papan tanda yang menerangkan mengenai Raja Ahmad

Batu tanda makam ini hanya sebuah. Ia berbalut dengan kain kuning dan tertulis dengan perkataan jawi. Dua orang putera baginda berjaya menjejaki hieraki warisan kesultanan Perak. Seorang daripadanya menjadi sultan Perak ke -23 dengan gelaran Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah manakala seorang lagi putera baginda yang bernama Raja Alang Iskandar dilantik sebagai Raja Bendahara ( Bendahara Teja ). Uniknya, dari zuriat keturunan kedua-dua putera baginda inilah yang melahirkan sultan-sultan pemerintah kesultanan Melayu Perak bagi 100 tahun kebelakangan ini. 

Batu peringatan di makam Raja Ahmad

Saya tidak lama di makam ini. Almarhum Raja Ahmad merupakan satu watak yang amat misteri didalam salasilah kesultanan Perak. Ini menyebabkan saya mempunyai persepsi yang berlainan terhadap baginda. Saya lebih selesa menyatakan bahawa baginda merupakan warisan lain dalam sistem penggiliran takhta negeri Perak yang unik. Tambahan pula pada ketika zamannya, negeri Perak mula didiami oleh suku-suku rumpun Melayu yang lain seperti Bugis, Acheh, Siak dan sebagainya. Adalah tidak mustahil ada diantara suku-suku ini yang menjadi begitu berpengaruh dalam struktur pemerintahan Perak. Namun itu hanyalah sekadar andaian. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui segalanya.

Saya tidak menyentuh batu makam ini. Hanya memandangnya dari jauh. Ada sesuatu yang halus menyelinap di jiwa saya ketika itu. Entah mengapa saya merasa sedemikian. Ketika keluar dari kawasan makam berkenaan baru saya sedar saya masih belum menyedekahkan Al-Fatihah kepada roh baginda. Dari luar pagar saya membaca Al-Fatihah didalam hati. Semoga roh baginda dirahmati Allah SWT.

Saya tidak terus keluar ke jalan besar sebaliknya saya mengambil kesempatan meninjau-ninjau keadaan kampung Pulau Besar ini. Saya amat tertarik dengan masjid kampung ini yang masih mengekalkan keaslian binaannya yang diperbuat dari kayu. Saya tidak pasti usia sebenar masjid ini namun saya yakin ianya sudah pasti menjangkau puluhan tahun jika dilihat dari keadaannya. Namun tidak pula terdetik hati saya ini untuk mengambil gambar masjid berkenaan. Bila menulis artikel ini, baru saya terasa rugi yang amat mendalam. Namun syukur, setelah membelek koleksi gambar-gambar sewaktu kunjungan kali pertama saya ke kampung ini dahulu, rupa-rupanya saya  pernah mengambil gambar masjid ini. Allah SWT telah memudahkan urusan saya.

Masjid Kampung Pulau Besar dari arah sisi
( gambar ini dirakam sewaktu kunjungan kali pertama )



Saya terus bermotosikal melalui jalan kampung ini bagi melihat keadaan kampungnya. Ada beberapa buah rumah lama dan besar agak menarik minat saya kerana seni pembinaannya. Semakin kedalam semakin saya menjadi teruja. Melalui jalan yang hanya beberapa meter sahaja jaraknya dari tebing Sungai Perak membuatkan saya menjadi agak seriau. Rumah-rumah juga semakin berkurang dan saya mula melalui kawasan kebun kelapa sawit yang gelap. Akhirnya saya tersedar, saya semakin menuju ke kewasan yang jauh dari kampung dan saya perlu berpatah balik. 

Saya membelek jam ditangan menunjukkan angka hampir 6.30 petang. Saya menuju semula ke kawasan kampung. Namun tiba-tiba pandangan mata saya terlihat sebuah bangunan kepuk makam yang sangat uzur dan sunyi betul-betul di pinggir kebun kelapa sawit yang gelap. Hati saya berdegup kencang. Saya memberhentikan motosikal saya berhampiran dengan makam berkenaan ..... dalam remang petang  saya tekad menziarahi makam misteri itu ................

Bersambung pada siri catatan akan datang.


Kupu -Kupu Kuning

$
0
0


Lama sudah rasanya lelaki itu tidak bercerita tentang kenangan zaman kecilnya yang indah. Walaupun sudah lama berlalu namun perasaan terhadap memori itu tetap sesuatu yang menyeronokkan baginya. Ingatan-ingatan itu muncul secara tidak dijangka dan tanpa mengira masa hingga terkadang lelaki itu menjadi begitu khayal yang asyik dengannya. Itulah yang berlaku beberapa hari yang lepas ... seekor kupu - kupu kuning yang terbang melintasi dirinya disuatu pagi yang sejuk telah menyebabkan ingatannya berputar semula. Ya ... ingatan tentang seorang anak kecil yang baru mengenal dunia !


Cerita Lelaki Itu

Anak kecil itu lahir sebagai anak sulung didalam sebuah keluarga berpendapatan rendah. Ayahnya hanya bekerja di kilang manakala ibunya merupakan suri rumah sepenuh masa. Anak kecil  itu tidak lahir di hospital. Emaknya melahirkannya  pada suatu Subuh yang pekat di rumah kecil opahnya yang menjadi kediamannya sekeluarga. Adik-beradiknya yang lain semuanya dilahirkan di hospital. Hanya anak kecil itu sahaja yang lahir di rumah. Di rumah kayu kecil itulah anak kecil itu dibesarkan. Dunianya pada ketika itu hanyalah ayah, emak dan opah.



Rumah kayu kecil opahnya terletak diatas tanah arwah bapa saudaranya yang dipanggil Andak. Opah berternak ayam dan itik namun jumlahnya tidaklah banyak. Berhadapan dengan rumah itu, terdapat rimbunan hutan kecil yang sering menjadi tumpuan sepupu-sepupunya bermain perang-perang. Dibelakang rumah pula terdapat kebuh getah tua dan kawasan belukar yang agak tebal. Halaman rumah opahnya agak luas. Sesekali emak dan opahnya akan turun menyapu daun-daun kayu yang gugur dan membakarnya. Perigi tua yang menjadi sumber air keluarga sebelum adanya paip air telah ditimbus oleh Andak selepas anak kecil itu lahir. Kononnya untuk mengelakkan dia dari terjatuh kedalamnya. 




Dari pintu utama rumah, anak kecil  itu bebas memandang keluar. Ayam dan itik opah berkeliaran mencari makanan. Ketika itu, udara kampung masih lagi sejuk. Jalan kampung pun masih tidak berturap dengan sempurna dan ayahnya sendiri masih berbasikal tua ke tempat kerjanya. 

Pada masa itu, kawasan kampung masih dipenuhi belukar. Malah di halaman rumah opah dan andak terdapat pokok-pokok bunga yang hidup subur. Ini menjadikan suasana masih segar. Udara pagi yang dipancar mentari  membawa kepada kemunculan kupu-kupu bewarna kuning yang terbang hinggap di pohon-pohon bunga opah dan wan andak. Anak kecil itu amat tertarik dengan kupu-kupu kuning ini. Kadangkala jumlahnya banyak dan kumpulan kupu-kupu ini hinggap di atas tanah yang lembab. Namun ada juga yang terbang sendirian. Dari pintu rumah, anak kecil itu sering mengimpikan untuk bermain bersama kupu - kupu kuning tersebut. Namun... peluang itu tetap juga tidak kunjung tiba.


Hanya apabila emak dan opah keluar menyapu sampah barulah peluang bermain di halaman dapat  dinikmatinya. Sayangnya asap pembakaran sampah menyebabkan kupu-kupu kuning hilang entah kemana. Emak dan opah tidak membenarkan anak kecil itu bergerak jauh dari mereka. Dia tidak pernah takut dengan alam sekeliling rumah. Halaman rumah adakah tempat yang paling menyeronokkan bagi dirinya pada ketika itu. Berlari dan melompat mengejar ayam memberikan suatu kepuasan yang tiada taranya pada anak kecil itu dalam usia sekecilnya.


Hinggalah pada suatu hari yang sunyi. Entah bagaimana anak kecil itu boleh terlepas keluar dari rumah. Anak kecil itu masih ingat detik itu. Ya... dia memang masih mengingatinya dengan kukuh. Masih terbayang didepan mata ketika bangun dari tidur yang nyenyak dia mendapati emaknya tiada di rumah. Opahnya juga tiada. Ayahnya sudah pastilah di kilang bekerja. Dia turun ke bawah ( rumah opah merupakan rumah tipikal kampung dua tingkat ) melilau mencari opah dan emaknya. Namun tiada siapa di rumah. Pintu dapur terbuka luas. Rumah andak disebelah juga sunyi. Termanggu anak kecil itu di muka pintu. Tidak pula dia menangis. 





Ketika duduk didepan pintu itu tiba-tiba pandangan anak kecil itu tertumpu pada seekor kupu-kupu kuning yang terbang bersendiri. Girang hatinya kerana kini halaman alam rumahnya yang luas itu terbentang luas untuk diteroka. Tidak berfikir panjang, dikejarnya kupu-kupu kuning itu tanpa berselipar. Alangkah .... alangkah indah hatinya dapat menikmati apa yang dihajatinya sejak dulu. Anak kecil itu leka berlari dan terus berlari tanpa lelah. Tanpa sedar anak kecil itu sudah jauh dari rumah kecil opahnya. Dan dia terus berlari mengejar kupu-kupu kuningnya !


Hingga kupu-kupu kuningnya terbang meninggi barulah ia tersedar ia telah jauh dari rumah opahnya. Namun hatinya tidak gundah. Anak kecil itu masih mengingati jalan pulang ke rumanya. Ia sering mengikuti emaknya melalui jalan itu untuk ke kedai runcit kecil yang begitu penting kepada penduduk kampungnya. 


Ia terus berjalan dan terus berjalan sehingga sampai ke sebuah rumah kayu dua tingkat bewarna hijau. Ada sepasang mata kecil memandangnya. Pandangan keduanya bertentang. Bagaikan ada suatu kuasa penarik antara keduanya untuk berjumpa...dan akhirnya perjumpaan itu menjadi satu keseronokan bermain yang tiada taranya. Kedua-duanya leka bermain dan terus bermain. Itulah teman pertama yang dikenali oleh anak kecil itu. Itulah kali pertama dalam usianya dia menerima kehadiran seorang yang bernama kawan. Itu sosialisasi pertamanya dengan individu yang selain dari keluarganya. Benar .. kupu -kupu kecil bewarna kuning telah membawanya mengenali dunia.


Anak kecil itu terus pulang ke rumah selepas itu. Duduk ia termanggu didepan tangga rumah opah yang sunyi. Penghuninya entah kemana. Tidak lama kemudian kelihatan opahnya dari depan rumah. Anak kecil itu tersenyum. Opahnya juga tersenyum dan berkata dengan senang .... " kita tunggu emak pulang ya sayang".


Opahnya memandikannya dengan kasih dan sayang. Dia tidak mengerti. Hatinya sudah mula merasa mahu kembali pergi bermain kembali dengan teman barunya. Tiba-tiba terdengar bunyi kereta tua dari luar rumah. Anak kecil itu berlari keluar. Kelihatan emaknya memangku sesuatu diatas riba keluar dari kereta milik bapa saudaranya yang dipanggil Uda. Seekor kupu-kupu kuning muncul terbang berpusing-using disekeling kereta itu dan pandangan anak kecil itu terus tumpah ke situ.


Emaknya terus dipapah masuk ke rumah. Anak kecil itu ditarik oleh opahnya masuk ke rumah. Benda yang dipangku oleh emaknya diletakkan dengan baik diatas tilam kecil yang comel. Opah dan ibu saudaranya yang dipanggil mengelilingi emak. Dia tidak mengerti. Perlahan-lahan anak kecil itu rapat kepada opahnya dan dengan penuih kasih sayang, opahnya memangkunya dengan perlahan sambil berkata....


" sekarang kamu sudah punya adik .... pergilah tengok adik kamu dan ciumnya "


Anak kecil itu mengerti... dirapatkan dirinya pada tilam kecil itu. Benar ada seorang bayi kecil yang seiras wajahnya. Diusapnya kepala adiknya dan dicium pipi adiknya dengan suatu perasaan yang sukar dimengerti. Anak kecil itu sudah menjadi abang !


Anak kecil itu tidak berlama-lama disitu. Dia kembali ke muka pintu. Kupu-kupu kuning masih berterbangan di halaman rumahnya. Dia mengertap bibir sambil memandang opahnya. Opahnya tersenyum seolah-olah memahami maksud hatinya dan mengangguk perlahan. Dia mengatur langkah dengan berani... anak kecil itu mengerti kini dia bebas meneroka setiap inci bumi dihadapanya dan dia tidak gentar ! Benar...dia tidak gentar ! Dia kini seorang abang.


Anak Kecil Itu Kini


Anak kecil itu  kini sudah dewasa. Dia kini mempunyai empat orang adik. Opahnya sudah lama dipanggil bertemu Ilahi. Bapa saudaranya Uda dan Andak juga sudah lama berpulang begitu juga dengan ibu saudaranya Enda. Emak dan ayahnya kini dimamah usia. Anak kecil ini telah menjadi seorang lelaki dewasa yang penuh dengan nilai pengalaman hidup. 


Masa yang berlalu telah mengasingkan anak kecil itu dengan kampung hari kecilnya. Hanya sesekali dia akan pulang melihat kembali halaman rumah opahnya yang kini semakin mengecil. Suasana lama yang pernah dinikmatinya semasa kecil sudah lama hilang. Tiada lagi kupu-kupu kuning berterbangan. Jika ada pun ianya adalah satu pandangan yang sebentar. Anak kecil itu sesekali menitiskan air mata mengenang semua perkara yang pernah dilaluinya disitu. Dia rindukan gemulah opahnya ... dia rindukan semua gemulah-gemulah yang pernah ada didepan matanya namun dia sedar semuanya itu telah lenyap dan pasti tidak ketemu lagi.


Sesekali apabila terlihat kupu-kupu kuning, dengan cepat matanya berair dan kenangan lamanya muncul kembali .... dia tidak pernah jemu untuk mengenang semula cerita-cerita lama itu kerana dia sedar itulah yang membesarkan pengalamannya menjadi dewasa. !


Kupu - kupu kuning yang terbang ..... ada kenangan yang dibawa bersama .... dan dia tidak akan berhanti mengenang !







CATATAN SEBUAH BUKU : DOKTOR UMUM : MEMOIR TUN DR MAHATHIR MOHAMAD

$
0
0

Cerita Sukar Yang Ketara

Ah... rasanya saya sudah lewat untuk bercerita dan berkongsi rasa berkenaan dengan buku ini. Jarak, masa dan masalah bahasa benar-benar merencatkan diri saya untuk membaca buku yang amat penting ini. Umum mengetahui, bahawa terbitan awal memoir ini adalah di dalam bahasa Inggeris dengan judul A Doctor In The House : The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad. Ia secara tidak langsung merencatkan minat saya untuk membeli buku ini kerana kefahaman saya kepada Bahasa Inggeris berada di aras yang rendah. Terasa menyesal juga kerana sewaktu zaman persekolahan dahulu saya tidak mahu belajar Bahasa Inggeris dengan sebaiknya. Bila dalam keadaan yang begini barulah saya sedar betapa pentingnya Bahasa Inggeris itu dipelajari dan difahami. Erm... mengeluh memang tidak akan dapat merubah sejarah !

Saya pendamkan sahaja dahulu hajat dihati dengan harapan akan ada judul terjemahannya dikeluarkan nanti. Selang beberapa bulan selepas itu, ketika sibuk melayari internet, saya menjumpai satu artikel yang menyatakan bahawa memoir negarawan ulung ini telah dikeluarkan dalam terjemahan Bahasa Melayu. Hati saya melonjak girang. Tetapi ... saya berada jauh di Kapit. Sudah pastilah untuk mendapatkan buku memoir ini saya perlu ke kedai buku besar yang terdapat di bandar. Ah... mungkin nanti saya boleh mencarinya di Sibu dengan keyakinan bahawa kedai - kedai buku di Sibu pasti akan ada menjual buku memoir ini getus hati saya.


Ketika pulang ke Semenanjung pada bulan Jun yang lalu, saya telah menjadikan pencarian memoir ini sebagai salah satu misi penting saya. Saya tidak sempat mencari buku ini di Sibu. Saya menjadi begitu hampa apabila tidak menjumpai memoir ini di kedai buku LCCT. Saya memujuk hati saya kerana mungkin di Batu Pahat nanti saya boleh mendapatkan buku ini. Isteri saya juga berjanji akan membawa saya ke kedai buku utama di Batu Pahat. Hati saya menjadi senang kembali.

Di Batu Pahat, saya cuba mencari memoir ini di kedai DBP namun tidak berjumpa. Sebaliknya saya membeli sebuah buku koleksi kumpulan artikel Allahyarham Rustam A.Sani yang catatan berkaitannya akan saya ulas dalam siri yang akan datang. Masa yang terhad di Batu Pahat telah menyebabkan usaha mencari memoir ini tidak dapat diteruskan kerana saya dan isteri perlu pulang ke kampung halaman saya di Bidor. Sekali lagi saya merasa hampa.

Agaknya mungkin rezeki saya bersama buku ini berada di Perak. Ketika membeli belah bersama isteri dan emak di TESCO Kampar, saya terlihat memoir ini dipamerkan pada satu rak betul-betul terletak pada laluan utama orang ramai. Saya membelek-belek memoir ini bagi membuktikan ia adalah buku yang saya cari. Ketawa besar saya kerana kini memoir yang saya inginkan telah berada dalam genggaman saya. Tidak sabar rasanya untuk membaca coretan Tun Dr Mahathir ini. Mungkin ada sesuatu yang boleh kita renungkan dan kongsikan bersama tentang pengalamannya. Benar atau tidak ... setiap dari kita yang hidup pada eranya hingga ke hari ini sudah pasti menerima sedikit dari akal bijaknya dalam mentadbir negara. Carilah sebusuk manapun keburukan beliau, yang pastinya kita semua punya cerita masing-masung berkaitan dengan beliau. Ini adalah tafsiran saya. Jika tidak suka atau menyampah sila berhenti membaca catatan ini ... hahaha

Cerita Lama Tun Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir menceritakan dengan baik sejarah kehidupan beliau sejak kecil sehingga ke hari akhir pentadbirannya di dalam memoir ini. Selain itu beliau juga turut menceritakan serba sedikit berkaitan peranannya dalam beberapa isu lewat pentadbiran era Tun Abdullah Ahmad Badawi. Saya agak teruja dengan penceritaan awal memoir ini terutamanya konfrontasinya dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman. Saya dapat melihat dengan jelas betapa dalam setiap masa dan ketika pasti akan ada penentangan antara golongan muda dan tua dalam pemerintahan sesebuah  negara dan hal ini masih berkesinambungan sehingga ke hari ini. 

Beberapa isu panas terutamanya dalam hal ehwal penggubalan undang-undang kekebalan Raja-raja juga turut dijawab oleh beliau. Beliau juga turut menyatakan bahawa isu berkaitan timbalannya yang dipecat merupakan satu bebanan yang akan ditanggungnya sampai bila-bila. Hal ini adalah sesuatu yang lumrah. Rakyat sehingga kini masih terbeban dengan isu bodoh ini. Pihak-pihak yang terlibat sedaya upaya cuba menegakkan benang masing-masing dan akhirnya menjadi satu peperangan ideologi yang tidak berkesudahan. Ah ... saya tidak langsung mempedulikan hal ini. Nanti di akhirat segalanya akan terbongkar. Serahkan sahaja kepada kuasa Allah SWT.


Krisis ekonomi yang pernah menggemparkan Asia juga turut diulas oleh Tun Dr Mahathir. Sehingga ke hari ini kekaguman saya terhadap pemulihan ekonomi ciptaannya adalah sebagai salah satu bukti awal kita mampu melawan negara kuasa besar. Namun, apabila membaca memoir ini barulah saya sedar ada cerita dalam cerita yang perlu kita ketahui bagaimana beliau mendapat idea yang sebegitu berani iaitu menambat nilai Ringgit. Satu dunia gempar dengan idea maut ini. Namun akhirnya diakui secara akdemik bahawa Malaysia melangkah dengan ganasnya untuk keluar dari kemelut ekonomi ciptaan barat pada tahun 1997 itu.

Selain daripada itu ialah tentang cerita-cerita politik sejak beliau menjadi ahli biasa UMNO hinggalah pendakiannya ke jawatan presiden. Beberapa tokoh yang namanya sudah pudar juga ada disebut. Soal penentangan-penentangan dari musuh politiknya sama ada dari luar parti atau dalam parti juga diceritakan dengan jelas tanpa berselindung. Krisis UMNO diharamkan serta usaha-usaha kepada pewujudan UMNO baru juga diceritakan dengan menarik. Ada beberapa orang teman yang gemar berpolitik menyatakan UMNO yang ada pada hari ini adalah ciptaan Mahathir itu sendiri. UMNO yang asal kata mereka ada dalam parti serpihannya iaitu parti  Melayu Semangat 46. Pada saya mudah... apabila S46 bersekutu semula dengan UMNO pada tahun 1997, maka UMNO yang wujud pada ketika itu ialah UMNO yang lama dan baru ! Tutup cerita ....

Owh .... turut dicoretkan dalam memoir ini ialah hubungan yang begitu "istimewa" antara Malaysia dan Temasik. Dalam soal ini memang saya akui Tun Dr Mahathir adalah pakar strategi yang begitu hebat. Beberapa ideanya sebenarnya berjaya juga menggusarkan Temasik supaya menghormati Malaysia. Namun sesuatu yang merugikan ialah tentang jambatan bengkok di Tambak Johor .... erm... saya tidak dapat membayangkan bagaimana agaknya jadinya kepada ekonomi Temasik jika benar-benar jambatan bengkok itu dibina dengan jayanya tanpa ada rasa ketakutan !

Lain-lain cerita juga turut diceritakan. Segalanya ada didalam buku setebal 982 halaman ini. Ia diterbitkan oleh MPH Publishing. Terjemahan dari versi bahasa Inggeris ke bahasa Melayu ditangani dengan baik oleh A.Kadir Jasin. Ianya satu koleksi yang berharga dan amat wajib dimiliki oleh kita semua tanpa mengira pegangan ideaologi politik. 22 tahun mentadbir negara adalah satu rekod. Soal bersih dan kotor itu adalah lumrah bagi setiap manusia. Tidak ada manusia yang dapat lari dari melakukan kesilapan.

Carilah memoir ini di kedai-kedai buku berhampiran. InsyaAllah ia akan menjadi koleksi yang sangat istimewa. Saya mengakui dengan jelas bahawa membaca memoir seseorang adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan. Buangkan segala prejudis kepartian anda sebelum membaca dan insyaAllah kita akan menerima setiap pendapatnya dengan rasa yang terbuka dan berlapang dada.

Sedikit Catatan Bodoh

Saya bukanlah seorang pemuja atau pengikut setia kepada insan yang bernama Mahathir ini. Namun, saya dilahirkan dan dibesarkan dalam era pentadbirannya. Saya melalui zaman kanak-kanak dan remaja saya sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia. Jadi secara tidak langsung saya agak terpengaruh juga dengan beliau.

Saya masih ingat lagi sewaktu beliau menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, saya dan seorang teman sekelas tingkatan enam sanggup keluar ponteng dari sekolah sebentar semata-mata untuk membeli surat khabar keluaran khas hari terakhir pentadbiran beliau. Ketika pilihanraya umum tahun 1999, saya ketika itu berusia 15 tahun bersama abang sepupu saya bermotosikal berdua sambil membawa bendera UMNO dengan beraninya berhenti di pusat gerakan pilihanraya parti keADILan ( nama lama PKR ) sambil meneriakkan slogan Hidup Mahathir ! berkali-kali tanpa gentar. Hahahaha

Tetapi itu cerita dahulu ... cerita tentang masa-masa remaja yang panas. Kini politik kepartian hanyalah suatu perkara yang akan saya letakkan pada hieraki paling bawah dalam carta keutamaan hidup saya. Tidak guna menjadi bodoh seperti anjing menyalak gunung semata-mata hendak menegakkan benang masing-masing kerana manusia itu memang dizahirkan untuk berpegang pada tiang pendiriannya. Sokonglah siapa sahaja asal kita tidak menjadi seorang yang munafik...

Saya gemar membaca .... saya membaca setiap apa yang saya rasakan terbaik untuk diri saya. Saya tidak memilih tokoh sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang. Pada saya semuanya sama ...  punya agenda untuk kesinambungan harga diri !


Politik itu seperti membuang air besar .... sangat jijik tetapi enak bila dinikmati ! 

Menjejak Keretapi di Selatan

$
0
0

Agak lama saya tidak menulis di blog perkongsian ini. Keadaan diri yang semakin sibuk tidak memungkinkan diri saya mempunyai masa yang banyak untuk menulis. Tambahan pula bahan cerita juga semakin berkurang dan idea-idea baru sukar pula untuk menyusul tiba. Fikiran juga sesekali menjadi buntu dan seringkali juga cerita-cerita yang ingin dikongsikan terbengkalai malah ada juga yang dibakul sampahkan sahaja oleh diri. Saya menjadi semakin celaru.

Namun segalanya berubah apabila saya mengambil cuti rehat untuk pulang ke Semenanjung baru-baru ini. Menikmati cuti dan berpuasa bersama isteri menjadikan hati dan fikiran saya tenteram semula. Maka mulalah ilham-ilham baru muncul di fikiran saya untuk merangka satu perjalanan ringkas. Sekurang-kurangnya boleh juga saya jadikan cerita untuk kita kongsikan bersama. Akhirnya saya membuat pilihan untuk melihat sendiri landasan keretapi di selatan. Khabarnya masih banyak tinggalan-tinggalan lama dan klasik di sana. Ermm... 

Tidak seperti jajaran landasan keretapi pantai Barat semenanjung yang sudah dimodenkan,jajaran landasan bagi pantai Timur dan Selatan semenanjung masih lagi mengekalkan keasliannya sejak dari awal kewujudannya. Inilah perkara yang membuatkan saya begitu teruja untuk meninjau landasan keretapi di selatan ini. Tumpuan utama saya ialah landasan bermula dari stesen keretapi Gemas menuju ke Segamat. Kali ini saya ingin melihat binaan-binaan klasik yang masih kekal sehingga kini. Mungkin kita akan bernostalgia dengannnya .... siapalah yang tahu.

Perjalanan Bermula

Saya memulakan perjalanan dari Gemas seorang diri. Memandu kereta seorang diri tanpa mempunyai apa-apa panduan benar-benar menguji diri saya. Sejujurnya, saya tidak pernah menjejakkan kaki ke Segamat. Bagaimana keadaan dan jaraknya dari Gemas juga saya tidak tahu. Cuma apa yang bermain di fikiran saya ialah saya mesti menjejakkan kaki ke stesen keretapi Segamat walau apa pun yang terjadi. Saya tidak memberitahu isteri bahawa saya akan ke Segamat. Cuma saya katakan kepadanya, saya ingin pergi mengambil gambar. Isteri saya hanya tersenyum. Saya mengerti, dia memang mengetahui yang saya akan ke Segamat. Hahahahaha

Selepas sahaja melepasi sempadan Negeri Sembilan dan Johor, saya melalui sebuah pekan kecil yang sangat klasik. Rumah-rumah kedainya masih lagi mengekalkan bentuk lama. Pekan yang saya maksudkan itu ialah pekan Gemas Baru. Uniknya, pekan ini betul-betul terletak di pinggir landasan keretapi dan jalan utama.

Bangunan rumah kedai lama yang terdapat di pekan Gemas Baru


Sebuah kedai runcit lama

Memandangkan kedudukan pekan Gemas Baru yang terletak tidak jauh dari landasan keretapi, maka tidak hairanlah pekan ini mempunyai beberapa perkara yang sangat unik. Antaranya ialah sebuah jambatan lama landasan keretapi yang masih digunakan sehingga kini. Saya amat tertarik dengan kualiti binaan jambatan-jambatan keretapi lama. Jurutera-jurutera pada ketika dahulu ( berkemungkinan semasa penjajahan Inggeris ) amat teliti terutama dalam membina sesuatu binaan. Hal ini boleh kita lihat menerusi penyusunan batu - bata yang menjadi tiang utama kekukuhan sesebuah jambatan. Ini menjadikan binaan yang dibina tahan lebih lama dan berkualiti dalam menempuh masa.

Sebuah jambatan besi landasan keretapi di pekan Gemas Baru.
Perhatikan binaan batu bata yang menjadi tapak sokongan jambatan ini.
Kukuh dan kemas !

Terdapat juga sebuah lintasan rata di pekan ini. Nampaknya jalan yang merintangi landasan ini agak sibuk. Namun saya terlupa ia menuju kemana. Sebuah pondok pengawal landasan yang agak usang masih boleh dilihat. Pemandangan yang serupa ini rasanya sudah semakin sukar ditemui di landasan cawangan pantai Barat.

Lintasan rata di pekan Gemas Baru dari jarak jauh.

Saya tidak berlama-lama di pekan ini. Saya meneruskan perjalanan melalui jalan yang asing bagi saya. Saya mengharapkan agar berjumpa dengan hentian-hentian kecil keretapi di sepanjang perjalanan. Terasa rugi juga di hati ini kerana tidak sempat membuat rujukan di internet sebelum memulakan perjalanan. Namun saya merasa hampa kerana tidak menemui sebarang perhentian kecil keretapi pun sepanjang perjalanan. 

Lebih kurang 15 minit memandu secara perlahan dari pekan Gemas Baru akhirnya saya sampai ke pekan Batu Anam. Ia sebuah pekan yang sangat klasik. Sebelum memasuki pekan ini, saya singgah dahulu meninjau keadaan stesen keretapinya. Rasanya bangunan keretapi ini merupakan binaan baru. Namun ada sesuatu yang menarik minat saya di stesen ini, tidak lain dan tidak bukan ialah papan tanda stesen yang masih mengekalkan gaya lama. Sememangnya amat sukar lagi menjumpai papan tanda lama seperti ini kerana pihak KTMB telah menggunapakai papan tanda baru yang berwarna biru di hampir kesemua stesen keretapi di Semenanjung. Ia benar-benar mengujakan saya !.

Stesen keretapi pekan Batu Anam

Pemandangan sekitar stesen keretapi pekan Batu Anam

Nampaknya stesen keretapi Batu Anam agak sunyi. Tidak pula saya ketahui sama ada ia masih berfungsi untuk mengambil atau menurunkan penumpang. Saya seterusnya singgah meninjau keadaan pekan Batu Anam. Kelihatan sebuah jejambat  baru merintangi pekan kecil ini. Landasan keretapi juga turut melalui pekan ini. Saya sempat mengambil gambar lintasan rata jalan utama ke pekan ini dengan landasan keretapinya. Sedang saya sibuk mengambil gambar, saya disapa oleh pengawal landasan. Seronok juga berbual-bual dengan beliau. 

Jejambat baru merintangi landasan keretapi pekan Batu Anam


Saya agak terkejut ketika mula memasuki pekan Batu Anam. Masakan tidak, ia masih mengekalkan rekabentuk pekan-pekan lama. Gaya kolonial masih kuat dan ia merupakan pekan yang tenang. Rumah-rumah kedainya mungkin dibina sejak zaman kolonial lagi. Ahh....seronok saya disini. Tidak sia-sia perjalanan ini, kerana saya dapat mengimbau semula nostalgia pekan-pekan lama yang sudah mati di negeri kelahiran saya Perak Darul Ridzuan. Jauh berjalan rupanya di Johor bertemu kenangan.

Pekan Batu Anam


Rumah kedai lama di pekan Batu Anam

Selepas mengambil gambar di pekan Batu Anam, saya meneruskan perjalanan menuju ke Segamat. Berdebar juga hati ini bila memikirkan saya tidak mengetahui bagaimana keadaan bandar Segamat. Terlintas juga hati ini  untuk mencari makam-makam lama milik keluarga Temenggong yang dikatakan pernah memerintah kawasan Muar ( suatu ketika dahulu Segamat terletak didalam wilayah Muar ). Namun lokasinya tidak pula saya ketahui. Tidak mengapalah, mungkin suatu masa nanti saya akan mencarinya semula.

Rupa-rupanya sebelum sampai ke Segamat saya akan melalui sebuah lagi pekan lama iaitu pekan Buloh Kasap. Ada sesuatu yang amat menarik dan bersejarah di sini iaitu sebuah jambatan yang terputus dua. Jambatan ini diletupkan oleh pihak tentera British bagi menghalang kemaraan tentera Jepun semasa perang dunia kedua. Uniknya, jambatan ini terus dikekalkan sebagai tinggalan bersejarah bagi tatapan generasi kini.

Jambatan Putus Buluh Kasap dari jauh

Tiang utama jambatan putus yang masih kekal

Pemandangan di atas jambatan

Saya agak tertarik dengan corak dinding jambatan ini. Coraknya seperti bendera Union Jack milik Britain. Ahh... itu memang sudah semestinya kerana ia dibina oleh penjajah Inggeris. Kini sekitar kawasan jambatan telah dijadikan kawasan rekreasi bagi pengunjung dan penduduk setempat.

Corak bendera Union Jack pada dinding jambatan putus Buluh Kasap

Pintu masuk ke kawasan rekreasi jambatan putus
Buluh Kasap

Agak lama juga saya di jambatan ini. Namun tidak pula terbuka hati saya untuk mengambil gambar pekan Buluh Kasap. Kelihatannya agak klasik juga pekan ini namun itulah... ia bukan rezeki saya agaknya. Sempat juga saya berbual dengan seorang penduduk tempatan tentang jambatan ini. Agak ramah juga beliau cuma saya agak kurang memahami percakapannya yang terlalu laju. Hahahahaha

Saya meneruskan pemanduan saya menuju ke Segamat. Semakin hampir sampai ke Segamat keadaan lalu lintas mulai sibuk. Saya mulai gusar kerana jalan yang saya lalui ini adalah begitu asing. Mata saya melilau mencari stesen keretapi Segamat yang menjadi hajat utama saya. Akhirnya sayup dari jauh saya dapat melihat  stesen keretapi Segamat, namun simpang jalan untuk ke stesen ini tidak pula saya jumpa. Saya mengambil keputusan untuk memasuki satu simpang yang saya rasakan boleh membawa saya menuju ke stesen keretapi berkenaan. Alhamdulillah... pilihan saya tepat. 

Namun sebelum sampai ke stesen keretapinya, saya singgah dahulu meninjau sebuah jambatan keretapi yang begitu hebat. Ianya terletak tidak jauh dari stesen keretapi Segamat. Inilah jambatan yang pernah saya lihat beberapa kali di internet dimana ada jalan kecil yang melalui dibawahnya dengan ketinggian sekadar lebih kurang dalam 3 meter sahaja. Teruja saya melihat binaannya yang kukuh. Batu bata yang menjadi tiang penahannya disusun kemas menjadikannya sebuah jambatan keretapi yang gagah dan hebat !

Jambatan keretapi di Segamat


Ada jalan yang melalui bawah jambatan ini.


Terdapat juga lintasan rata berdekatan dengan jambatan ini. Jika diikutkan hati mahu sahaja saya berjalan kaki bersendirian di atas jambatan ini. Namun rasa kewaspadaan menghalang diri saya. Saya tidak dapat membayangkan bagaimanakah keadaan serta bunyi yang akan kedengaran dari jambatan ini sekiranya keretapi diesel melalui diatasnya. Ahhh.... pasti bunyinya begitu mengujakan !


Setelah hampir 15 minit meninjau-ninjau keadaan sekitar jambatan ini, saya meneruskan perjalanan ke stesen keretapi Segamat. Sepanjang jalan menuju ke stesen keretapi berkenaan saya dapat melihat kuarters-kuarters lama KTMB yang masih diduduki dan ditinggalkan. Yang paling terkesan dihati saya ialah rumah-rumah kerajaan lama yang diperbuat dari kayu masih utuh disini. Terasa seolah-olah kembali ke zaman sebelum merdeka pula. Hehehehehe.

 Kuarters kerajaan lama

Rasanya sudah tidak berpenghuni

Stesen keretapi Segamat boleh lah dikatakan masih mengekalkan keaslian binaannya. Sekali imbas ia kelihatan seperti stesen keretapi Gemas. Perbezaan yang ketara antara dua buah stesen keretapi ini ialah ia hanya mempunyai satu platform sahaja. Saya tidak pasti sama ada perselisihan antara keretapi boleh dilakukan disini atau tidak. Walaupun terletak ditengah bandar, saya dapat merasakan ada suasana kekampungan dan aroma klasik di sini. Dengan pepohon kelapa yang tinggi dan gah di hadapan stesen ini, ia seolah-olah mengembalikan suasana lama. Carilah stesen keretapi yang masih mempunyai pohon kelapa di sekelilingnya di Malaysia ini.... rasanya jawapan yang kita jumpa ialah .... susah hendak berjumpa lagi ! hahahahaha.

Bangunan utama stesen keretapi Segamat

Keadaan di stesen keretapi Segamat agak tenang. Penumpang juga agak kurang. Saya meninjau-ninjau keadaan stesen ini. Nun di hadapan stesen kelihatan papan tanda stesen bewarna putih. Papan tanda lama juga masih boleh ditemui disini. Uniknya dibelakang papan tanda itu berdiri sebatang pohon kelapa. Ia menimbulkan satu pemandangan yang unik. Saya menggemari mood seperti ini.

Klasik !

Keadaan di dalam stesen keretapi

Ruangan mrenunggu

Kaunter tiket

Platform utama



Saya juga dapat melihat rumah-rumah lama yang masih digunakan oleh pihak KTMB di seberang landasan stesen ini. Rumah-rumah lama ini masih kukuh dalam mendepani cabaran masa. Ia secara tidak langsung mengekalkan stesen keretapi Segamat sebagai salah sebuah stesen lama yang masih kekal dengan suasana lama.



Lama juga saya di stesen ini. Menikmati suasananya yang tenang dan klasik. Beberapa orang penumpang melihat saya dengan perasaan yang hairan. Saya hanya tersenyum dengan mereka. Tidak perlu berkata apa-apa kerana ia memang minat dan hobi saya. Niat dihati mahu saja saya menanti keretapi yang akan tiba melewati stesen ini. Tetapi memandangkan masa yang agak suntuk membuatkan saya perlu beredar dengan segera. Lama juga saya memandang stesen ini... terdetik juga dihati saya jika suatu hari nanti projek landasan berkembar akan sampai ke sini apakah suasana lama seperti ini akan kekal lagi untuk saya ... bermacam andaian mula timbul di hati. Sedaya upaya saya memujuk hati dengan berkata mungkin sekurang-kurangnya catatan kecil ini dapat membeli semula kenangan bagi mereka-mereka yang pernah mempunyai nilai nostalgia disini. 

Saya bergerak meninggalkan bandar Segamat dengan hati yang rawan. Entah bila entah kan tidak lagi saya akan kesini. Melihat suasana lama dan tenang memberikan saya sejuta satu kenikmatan. Ia menenangkan dan membeli semula kerinduan saya terhadap sesuatu yang lama telah mati .... suasana kekampungan !

Dari Gemas ke Segamat .... saya menemui rindu yang meniti disebalik landasan lamanya !



Ziarah Makam Lama 4 - Sunyi Petang Di Makam Sultan Mahmud Shah

$
0
0
Gementar juga hati saya ketika sampai ke kawasan makam ini. Terasa dunia bagaikan terhenti disini. Suasana sunyi dan saya tidak boleh menipu diri saya sendiri ... memang ada perasaan takut yang menyelinap dihati. Namun saya tetap meneruskan langkah dengan debaran. Kedudukan bangunan kepuk makam yang agak terselindung disebalik rimbunan pohon - pohon menjadikan ia agak misteri.

Kawasan makam Sultan Perak ke-16 Sultan Mahmud Shah

Saya memberikan salam sebelum memasuki kawasan makam. Usai sahaja memberi salam ... secara tiba-tiba pendengaran saya diganggu oleh suara seekor burung yang begitu galak berbunyi. Saya tidak pasti burung dari jenis apa namun bunyinya agak nyaring dan menyeramkan. Saya terus teringat pesan orang-orang lama yang menyatakan supaya jangan diteruskan langkah sekiranya terdengar bunyi burung yang nyaring disesebuah kawasan kerana berkemungkinan burung tersebut terlihat sesuatu yang ghaib berhampiran dengan kita. Saya memberhentikan langkah. Hati saya mula kecut. Tambahan pula saya bersendirian disebuah makam seorang sultan yang berdaulat. Saya membaca beberapa ayat-ayat suci Al-Quran yang selalu saya amalkan bagi menguatkan semangat saya. Alhamdulillah usaha saya dipermudahkan. Suara burung itu terus senyap dan keyakinan saya mula timbul.

Saya terus sahaja ke kawasan kepuk makam. Ah... sedihnya hati melihat kawasan makam yang tidak berjaga. Semak samun menghiasi hampir keseluruhan kawasan makam. Jauh berbeza keadaan makam ini jika hendak dibandingkan dengan makam Raja Ahmad yang baru sahaja saya ziarahi. Batu nisan makam ini juga berlumut dan tanahnya agak becak. Balutan kain kuning pada batu nisannya juga sudah hampir tidak kelihatan. Cuma kelihatan lilitan kain kuning yang kecil sahaja yang tinggal bagi menunjukkan pemilik makam ini ialah seorang Sultan yang berdaulat.

Banggunan kepuk makam

Makam ini ialah makam milik Almarhum Sultan Mahmud Shah ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah. Baginda ialah Sultan pemerintah Perak ke -16 dan memerintah dari tahun 1765 hingga tahun 1773. Nama asal baginda ialah Raja Kimas dan baginda merupakan adinda kepada Sultan Perak ke-15 iaitu Sultan Iskandar Zurkarnain. Pada ketika pemerintahan bagindalah lahirnya kesultanan Selangor. Putera Bugis yang bernama Raja Lumu telah ditabalkan sebagai sultan Selangor yang pertama oleh baginda dengan gelar Sultan Sallehuddin Shah. Ada pendapat menyatakan Sultan Mahmud Shah ini mempunyai darah keturunan Bugis. Kesahihannya saya hanya mampu menyatakan hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui.



Sultan Mahmud Shah hanya memerintah negeri perak selama lapan tahun. Baginda mangkat di Pasir Pulai Indera Mulia dan dimakamkan di Pulau Besar dengan gelar Marhum Muda. Terdapat juga beberapa makam lain berhampiran dengan kepuk makam baginda. Saya meninjau-ninjau juga disekitar makam ini sekiranya terdapat batu nisan Acheh. Nampaknya tiada batu nisan Acheh disini. Ada sesuatu yang menarik minat saya di makam ini iaitu kewujudan sebatang tiang bendera yang masih kukuh walaupun berkarat. Apa kegunaan dan bila tiang bendara ini digunakan memang saya tidak tahu.

Saya sebenarnya merasa agak terkilan dengan keadaan makam ini yang kelihatan tidak dijaga dengan baik. Saya meninjau carian internet bagi mencari warisan keturunan baginda yang menjadi Sultan Perak. Jawapannya ringkas memang tidak ada warisan baginda yang menduduki takhta kesultanan Perak selepas baginda. Kemana agaknya menghilang waris-waris baginda .... saya dapat merasakan pasti ada cerita tersembunyi disebalik semua ini. Ketika menyentuh batu nisan makam ini yang dingin fikiran saya menjadi kosong. Hilang segala ketakutan yang menerpa diri saya sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke makam ini. 

Saya sempat juga membersihkan sedikit semak-semak liar yang menjejaskan pemandangan makam. Saya berharap akan ada nanti pihak-pihak yang akan membersihkan makam ini. Menyesal juga dihati ini kerana tidak membawa kain kuning untuk dibalut pada batu nisannya. Saya berharap suatu ketika nanti saya akan kembali semula ke makam ini bagi mencari semula cerita warisnya yang hilang !

Hampir 20 minit saya dimakam ini, saya mula melangkah untuk pulang. Sebelum menghidupkan motosikal, saya memandang makam ini dengan tajam. Terasa seolah - olah ada mata-mata asing sedang memerhatikan saya. Saya membaca Al-Fatihah dan menyedekahkannya buat kali kedua kepada roh almarhum Sultan Mahmud Shah... insyaAllah suatu masa nanti saya akan kembali disini. Itu janji saya.

Saya meninggalkan makam Sultan Mahmud Shah ini dengan hati yang rawan. Ini kali pertama saya merasa takut ketika berkunjung ke kawasan makam. Jarang saya merasa sedemikian .... apakah pemilik makam tidak menyukai kehadiran saya atau adakah ada rahsia besar yang tersimpan kukuh bersembunyi disebalik kepuk makam usang berkenaan... hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui dan saya terus bergerak pulang dengan sejuta satu persoalan yang tidak terungkai !


Aidilfitri dan Almas Nafisa ..... Tangisan Yang Penuh Kesyukuran !

$
0
0
Permata hati ayah dan ibu .. Almas Nafisa Binti Abdul Hafez

Ah... ia suatu detik yang paling mencabar bagi diri saya sebenarnya. Tarikh 24 Ogos 2012 bersamaan dengan hari Jumaat akan sentiasa kekal dalam ingatan saya sampai bila-bila. Ia adalah tarikh bersejarah dalam kehidupan saya apabila isteri saya Masazura Bt Maslim selamat melahirkan anak sulung kami yang diberi nama Almas Nafisa Binti Abdul Hafez. Hanya Allah SWT sahaja yang mengerti perasaan saya pada ketika itu. Tangisan kesyukuran dan kegembiraan mengiringi kehadiran puteri sulung saya ini. Syukur ke hadrat Allah SWT juga kerana isteri dan anak saya selamat tanpa sebarang masalah.

Pemula Cerita

Saya memang tidak menjangkakan, Almas Nafisa akan dilahirkan dengan lebih awal dari tarikh jangkaan kelahirannya iaitu pada 3 September 2012. Namun takdir dan ketentuan Allah SWT memberikan saya peluang untuk melihat tangisan pertamanya di dunia. Sebelum ini, memang saya berniat dan berdoa agar saya diberikan kesempatan bersama-sama Azura untuk menyambut kelahiran Almas Nafisa. Syukurlah hasrat saya dimakbulkan oleh Allah SWT dan impian saya untuk melaungkan azan di telinga zuriat saya sendiri telah termakbul .... Alhamdulillah !

Hari Raya Yang Aneh

Tahun ini saya tidak berhari raya di Bidor. Keadaan isteri yang sarat mengandung menyebabkan saya lebih selesa berhari raya di Gemas ( kampung isteri ). Selain itu saya juga ingin menunaikan hasrat ibu mertua saya yang mahu membuat kenduri kecil-kecilan untuk upacara melenggang perut isteri saya pada hari raya ketiga.

Sesuatu yang agak malang bagi saya dan isteri untuk hari raya kali ini ialah kami ketinggalan baju raya di Batu Pahat. Ini menyebabkan isteri saya menangis teresak-esak sehingga saya juga gagal mengawal emosinya. Isteri saya bimbang saya tidak berbaju Melayu di pagi raya nanti. Mujur juga abang ipar saya meminjamkan baju raya beliau kepada saya. Barulah kurang esak tangis Azura. Sebenarnya, saya tidak kisah berbaju raya atau tidak. Asalkan isteri saya ada disisi saya dipagi hari raya itu sudah mencukupi bagi melengkapkan suasana hari raya saya. Benar ... hidup saya terasa bererti dengan kehadiran Azura !

Jujurnya saya agak canggung kali pertama berhari raya di rumah mertua. Namun segalanya berjalan dengan baik dan menyeronokkan. Adik beradik ipar duai hampir semuanya berhari raya di rumah keluarga mertua masing-masing. Jadi suasana pagi raya di rumah mertua saya agak suam-suam sahaja. Namun masuk sahaja petang raya dan keesokan harinya segalanya berubah apabila semuanya sudah mula pulang ke Gemas. Barulah suasana menjadi meriah dan menyeronokkan. Anak-anak buah yang ramai menjadikan suasana sentiasa gamat dengan keletah mereka dan saya mula merasa seronok !

Azura memohon keampunan dari ibu dan ayah






Hari pertama Aidilfitri agak tenang bagi saya. Ketika bermaafan dengan isteri jatuh juga air mata saya. Ini syawal pertama saya sebagai seorang suami. Walaupun tanpa baju raya baru namun isteri saya tetap kelihatan menawan pagi ini.

Hari Raya Kedua dan Hari Seterusnya

Oh.... hari ini semakin ramai yang pulang. Rumah mertua juga semakin penuh. Keriuhan anak-anak buah semakin terasa. Hari ini ayah mertua saya mahu membakar lemang. Awal-awal pagi lagi saya membantu memarut kelapa. Terkenang kenangan lama saya sewaktu bekerja sebagai pemarut kelapa di pasar Bidor ketika zaman remaja dahulu. Terasa begitu cepat masa berlalu. Kini segalanya berubah sekelip mata dan saya bukan lagi yang terlihat seperti dahulu.

Pada hari ketiga pula kami sekeluarga mula sibuk dengan persiapan kenduri doa selamat serta melenggang perut isteri saya yang akan diadakan pada waktu malam. Semua dilakukan secara gotong-royong adik beradik. Ianya menjadi mudah dan cepat. Terasa begitu seronok berada didalam suasana kekeluargaan yang erat. Walaupun saya masih baru didalam keluarga ini, namun ternyata penerimaan yang sempurna dari adik beradik dan ipar duai menjadikan saya merasa selesa.




Pada sebelah malamnya diadakan pula kenduri doa selamat dan upacara melanggang perut isteri saya yang dijalankan oleh seorang bidan yang dipanggil Maksu. Saya mula terasa tidak selesa apabila isteri saya menyatakan saya perlu dimandikan oleh bidan bersama isteri saya sewaktu upacara melengang perut itu. Namun syukur juga, sehingga habis upacara itu tidak pula saya dipanggil untuk mandi bersama. Hahahaha

Pada hari raya keempat kami mula sibuk mengacau dodol. Agak lama juga saya tidak mengacau dodol. Hahahaha. Umumnya cara membuat dodol di Negeri Sembilan dan Perak tidak banyak jauh bezanya. Seperti biasa diawal pagi tugas saya hanyalah membantu memarut kelapa bersama abang Amir. Mujur juga jari saya tidak terluka pagi ini diparut sekali mesin kelapa. 

Namun perkara yang paling menggembirakan saya pada hari ini ialah Kak Long yang berasal dari Kelantan sudi menyediakan nasi kerabu. Memang sejak duduk di Sarawak beberapa tahun kebelakangan ini saya agak mengidam mahu manikmati nasi kerabu. Sejak dari Kak Long dan suaminya sampai di Gemas, saya memang tidak henti-henti meminta beliau membuatkan nasi kerabu. Tidak disangka-sangka pula beliau menunaikan hajat saya itu.. hehehehe Alhamdulillah.

Nasi Kerabu yang enak

Makan nasi kerabu beramai-ramai diluar rumah diketuai oleh 
Pak Tam ( Abang Amir ) 

Sebenarnya jika mengikut perancangan awal, saya dan isteri akan bergerak pulang ke Batu Pahat petang ini kerana Azura masih perlu bekerja lagi selama dua hari. Namun demikian setelah melihat dodol yang dikacau masih lagi belum siap, saya dan Azura membatalkan hasrat untuk pulang sebaliknya menukar rancangan untuk pulang pada keesokan harinya. Lagipun saya benar-benar seronok di Gemas ini. Tidak sampai hati pula membawa isteri pulang ketika beliau masih gembira bersama keluarga yang tersayang.

Aksi mengacau dodol dari Abang Amir

Giliran Hafez J.Malim


Along

Dodol siap dimasak sepenuhnya ketika jam menunjukkan angka enam petang. Terasa penat juga mengacau dodol ini. Suasana hari raya masih terasa meriahnya. Dengan bunyi meriam tin yang dimainkan oleh anak-anak buah sepanjang masa dan ketika dan riuh rendah kami mengacau dodol membuatkan masa tidak terasa sunyi. Memang diakui anak-anak buah saya begitu seronok apabila berkumpul bersama. Ada sahaja idea-idea baru untuk bermain tanpa penat. Walau dilarang berkali-kali mereka tetap tidak pernah akur. Inilah dunia kanak-kanak yang indah. Semuanya ingin dicuba tanpa gentar !

Sebahagian dari anak-anak buah saya


Cerita Di Batu Pahat

Keesokannya saya dan isteri bergerak pulang ke Batu Pahat agak awal pagi kerana Azura perlu masuk kerja pada jam dua petang ini. Saya tidaklah begitu berat hati meningglkan Gemas kerana selang dua hari selepas ini kami akan kembali semula ke Gemas kerana Azura sudah mula mengambil cuti tanpa gaji. Alhamdulillah kami selamat sepanjang perjalanan dan tiba di Batu Pahat pada jam 10 pagi.

Ketika bersiap untuk ke tempat kerja, Azura mengadu kepada saya terdapat lelehan cecair di yang mengalir di kakinya. Saya mula kaget kerana menyangkakan air ketuban beliau sudah keluar. Namun Azura tenang orangnya. Ketawa besar dia melihat saya berlari kesana-sini dengan muka yang pucat kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Namun segalanya berubah apabila lelehan itu berhenti mengalir dan tidak ada apa-apa yang berlaku selepas itu. Hati saya berbunga riang kembali dan Azura ke tempat kerjanya tanpa ada sebarang masalah.

Petang itu saya mengambil Azura seperti biasa dari tempat kerja. Kami seterusnya menghadiri rumah terbuka yang diadakan oleh rakan sekerja Azura. Agak berselera juga saya makan disini. Terasa menyesal pula hati ini tidak mengisi nasi dengan sepenuhnya. Azura juga makan dengan berselera sekali dan yang menjadi kegemarannya ialah kari kambing. Saya memang menjauhi daging kambing kerana baunya sahaja sudah membuatkan saya pening. Sempat juga teman-teman sekerja Azura bergurau bahawa jika makan kambing banyak-banyak sudah pasti anak dalm kandungan akan cepat-cepat keluar. Ketawa besar saya mendengarnya. Manalah ada kaitan kari kambing dengan kelahiran anak. Hahahaha

Malam itu saya dan Azura hanya mengalas perut dengan memakan burger. Burger memang makanan kegemaran saya. Kini Azura juga sudah mula mengikut sama kegemaran saya itu. Jarang sekali dia tidak menghabiskan burger yang dibeli. Rasanya dalam hal burger ini kami memang sudah menjadi pasangan yang serasi. Malahan Azura seringkali memberitahu saya kedai-kedai burger yang dirasakannya enak di Batu Pahat.

Malam Getir

Kami tidur awal malam ini. Badan saya juga terasa lesu dan letih tambahan pula Azura perlu bekerja awal pagi esok dan pada sebelah petangnya kami perlu kembali segera ke Gemas. Jadi kami tidak punya masa rehat yang mencukupi. Letak sahaja kepala di bantal .... saya dan Azura meneroka dunia mimpi kami tanpa batasan.

Tiba-tiba mimpi saya diganggu oleh kejutan Azura pada jam dua pagi. Dalam keadaan yang mamai-mamai saya mendengar Azura berkata bahawa air ketubannya telah keluar. Dengar sahaja kata-kata Azura itu, saya terus melompat dan mula bersiap menghantarnya ke hospital. Saya mula terasa kaget dan risau tambahan pula hujan mula turun dengan lebatnya. Namun Azura tetap tenang dan bibirnya sentiasa terukir dengan senyuman dan beliau menenangkan saya dengan kata-katanya yang lembut. Saya pula mula terketar-ketar menahan sejuk dan kerisauan.

Saya hampir terlajak dari simpang hospital kerana kerisauan yang teruk. Terketar-ketar diri saya dibuatnya. Pelik...tidak pernah saya berkeadaan seperti ini. Inilah pengalaman pertama saya menghadapi keadaan seperti ini. Saya membawa isteri ke wad kecemasan Hospital Pakar Putra Batu Pahat. Mujur juga kakitangan hospital ini mengenali isteri saya kerana beliau juga salah seorang kakitangan hospital ini. Isteri saya dimasukkan didalam bilik bersalin. Namun kondisinya ketika ini masih lagi belum tiba saat melahirkan. Maka duduklah saya menemani isteri di teapi katilnya. Risau saya memikirkan keadaan isteri. Namun beliau tetap juga tersenyum. Saya tidak mengerti hatinya ketika ini.

Azura masih tersenyum

Sehingga ke awal pagi Azura masih tertahan di atas katil bersalin. Sudah mula ada kerutan kesakitan di wajahnya namun dia masih mampu untuk berbual dan tersenyum. Air ketuban sudah banyak yang keluar namun bukaan rahimnya masih belum luas untuk proses kelahiran. Hati saya mula berbunga risau tambahan pula apabila doktor menyatakan isteri saya juga berisiko untuk dibedah. Selepas bersolat Subuh, saya memanjangkan doa kepada Allah SWT agar semuanya dipermudahkan untuk Azura. Tidak tertahan pilu dihati melihat isteri kesayangan berkeadaan sedemikian. Terus terang saya katakan bahawa air mata saya menjadi sesuatu yang murah disini.

Sudah mula sakit-sakit

Selepas dimasukkan ubat, Azura sudah mula menampakkan reaksi positif untuk melahirkan anak sulung kami. Bukaan rahimnya juga semakin luas. Lebih kurang jam 10.30 pagi, jururawat dan doktor sudah memenuhi bilik kelahiran. Rasanya hampir 6 orang jururawat bahagian wad bersalin beserta ketua jururawatnya berada di bilik itu bagi membantu proses kelahiran. Saya juga turut bersama mereka. Benar .... saya bersama-sama menyaksikan kelahiran anak saya ! Berdebar juga hati ini namun saya kuatkan hati bagi menemani isteri tercinta disaat segenting ini. Air mata saya pula sudah tidak tertahan-tahan. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui perasaan saya ketika itu.Segalanya bercampur aduk !

Detik perjuangan seorang ibu dan isteri

Sesuatu yang agak merunsingkan saya ialah kesukaran bagi proses kelahiran. Anak kami sukar untuk keluar sehingga memaksa doktor menggunakan " vacum". Sebagai seorang guru yang terlatih dalam bidang pendidikan khas saya mengetahui risiko yang dihadapi oleh bayi sewaktu proses kelahiran. Benar-benar saya bertarung dengan perasaan ketika ini. Syukurlah setelah hampir 40 minit bertarung dengan kesakitan, isteri saya selamat melahirkan anak sulung kami. Hanya air mata sahaja yang mengiringi kelahiran Almas Nafisa. Terdengar sahaja tangisan pertamanya, hilang segala kesusahan hati. Dunia bagaikan bersama saya ketika ini.

Ketika melaungkan azan di telinga anak kecil saya ini, tangisannya tiba-tiba berhenti. Matanya terbuka. Alangkah indah saat itu.... saya tidak dapat menceritakannya dengan kata-kata. Walaupun masih lagi belum dibersihkan, saya tetap mengucup anak saya ini. Air mata saya turun dengan lebatnya tanpa ragu-ragu. Ia tangisan kesyukuran yang menggunung. Terima kasih Ya Allah atas anugerah yang tidak terhingga ini.

Almas Nafisa beberapa jam selepas kelahiran

Banyak perkara yang membuatkan saya mudah menitiskan air mata semasa kelahiran Almas Nafisa. Pertamanya ialah apabila mengenangkan keadaan saya dan Azura yang "piatu" di Batu Pahat ini. Hanya saya sahaja yang menemani Azura ketika saat kelahiran tanpa keluarga disisi. Saya terasa benar-benar keseorangan ketika itu. Malahan ada juga staf jururawat yang turut menitiskan airmata melihat saya menangis. Hahahaha


Selepas beberapa jam dilahirkan saya sempat memberi Almas Nafisa merasa kurma sebagai makanan pertamanya di dunia. Ia adalah sunnah Rasulullah SAW yang saya niatkan sebelum kelahirannya lagi. Setelah diletakkan di lelangitnya, Almas Nafisa memberikan reaksi yang sungguh menakjubkan. Lidahnya terkeluar seolah-olah mahu meminta lagi kurma yang menjadi makanan kegemaran Rasullullah SAW itu. Dan seperti biasalah .... sekali lagi air mata saya menitis ! Huhuhuhuhu


Pertama kali membuka mata di hadapan kamera

Selepas Almas Nafisa Melihat Dunia

Beberapa ketika selepas Almas Nafisa dilahirkan, keluarga mertua saya dari Gemas sampai ke hospital. Barulah hati saya menjadi tenang apabila melihat wajah ibu mertua saya. Turut serta ialah abang dan kakak ipar saya iaitu Abang Yun dan Alang beserta dua orang anak-anak buah yang comel. Azura juga telah dipindahkan di wad yang agak selesa. Saya memang berharap ibu mertua saya datang ke Batu Pahat. Saya mahukan Azura lebih bersemangat apabila melihat wajah ibunya disamping membantunya mengurangkan kesakitan yang dialami akibat bersalin tadi.

Keluarga dari Gemas telah tiba

Azura juga turut dikunjungi oleh teman-teman sekerjanya yang bertugas di hospital berkenaan. Nampaknya tidak menang tangan melayan kunjungan mereka dan Almas Nafisa memang menjadi tarika yang utama. Ketika pertama kali membuka mata setelah lena yang panjang sempat saya menangkap wajahnya. Ah...saling tidak tumpah seperti ibunya.

Serbuan teman-teman sekerja Azura

Keluarga mertua saya pulang ketika hari sudah lewat petang. Tinggallah saya bersama Azura. Malam ini saya perlu tidur menemaninya di hospital. Ketika pulang sebentar ke rumah untuk mandi, saya terlelap hampir sejam di dalam kereta. Barulah saya terasa penatnya menyambut kelahiran anak pertama ini. Urat dan sendi badan ini bagaikan mahu tecabut. Benar-benar saya menjadi lesu tambahan pula saya tidak menjamah makanan di awal pagi. Hanya sebelah petangnya barulah saya makan sedikit.

Katil pesakit yang selesa

Almas Nafisa diletakkan di bilik ini ketika malam pertama 
kelahirannya

Azura hanya semalaman sahaja di hospital. Kesokan harinya doktor sudah membenarkannya keluar. Saya dan Azura telah menetapkan untuk terus bergerak pulang ke Gemas. Gementar juga hati untuk membawa isteri dan anak menempuh perjalanan jauh selama hampir 3 jam ke Gemas. Namun saya hanya menyerahkan kepada takdir. Sebelum keluar dari hospital, sempat juga saya membelanja kakitangan wad bersalin Putra Specialist Hospital Batu Pahat dengan ayam KFC. Hanya itu yang dapat saya beri sebagai ucapan terima kasih atas segala sumbangan mereka yang tidak ternilai sepanjang tempoh kelahiran Almas Nafisa. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas budi kalian. Layana dan bantuan di hospital ini adalah yang terbaik dan insyaAllah jika ada hari nanti mungkin akan berjumpa kembali.

Terima kasih



Alhamdulillah kami sekeluarga selamat tiba di Gemas menjelang petang. Segala kebimbangan yang bersarang di hati mula gugur satu persatu. Kini saya dan Azura telah menjadi ayah dan ibu. Tanggungjawab semakin bertambah. Dengan jarak tempat kerja yang jauh memisahkan saya dengan kehidupan berkeluarga membuatkan saya merasa begitu tertekan menghadapi kehidupan seharian. Namun saya sedar segalanya perlu dilalui dengan tabah dan yakin.

Ketika bergerak pulang meninggalkan isteri dan anak di Gemas, air mata saya dan isteri tumpah dengan derasnya. Terasa berat hati hendak meninggalkan separuh dari nyawa saya jauh dari pandangan mata. Namun itulah realitinya yang terpaksa saya terima dengan pasrah. InsyaAllah saya akan pulang juga nanti menemui mereka yang tercinta ini ... tunggu sahaja masa dan ketika. Hati saya tidak pernah melupakan mereka disana.

Aldilfitri dan Almas Nafisa ... ada tangisan tertumpah di balik sejuta perasaan !

Azura dan Almas Nafisa ... buah hati pengarang jantung
hati saya

Anak ayah !










Pameran Matawang Dan Emblem Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan 2012 SMK Kapit

$
0
0

Ermmm….akhirnya perancangan hampir setahun saya bersama cikgu Kumaresan dan Cikgu Teoh Say Beng untuk mengadakan sebuah pameran bertemakan matawang berjaya juga dilaksanakan dengan jayanya. Jika tahun lepas sempena sambutan bulan kemerdekaan, kami bertiga mengadakan pameran yang bertemakan setem dan filateli maka pada tahun ini tema matawang pula yang menjadi pilihan. Ia adalah satu pilihan yang terbaik memandangkan kami bertiga mempunyai sejumlah koleksi matawang lama dan luar negara yang agak banyak. Ini secara tidak langsung memudahkan urusan kami dalam penyediaan bahan pameran.

Antara matawang yang dipamerkan

Carta bergambar sebagai bahan pameran

Kami memilih untuk mengadakan pameran ini pada tarikh 13 dan 14 September 2012 sebagai tanda acara penutup bulan kemerdekaan negara kita. Tempat pameran adalah didalam Bilik Operasi Skim Pinjaman Buku Teks Sekolah ( BOSS ). Walaupun siri pameran kami pada tahun lepas dilihat begitu berjaya, namun sesekali timbul juga rasa risau di hati saya sekiranya pameran ini tidak mendapat sambutan daripada rakan guru dan pelajar. Ada juga saya menyuarakan rasa hati saya kepada Cikgu Kumaresan dan dengan tenang beliau menjawab … sudah pasti pameran ini akan mendapat sambutan yang hangat. Ah….memang saya perlu lebih berfikiran positif seperti beliau.

Sesuatu yang menarik mengenai pameran ini ialah keterlibatan para pelajar SMK Kapit yang turut sama meminjamkan koleksi wang mereka untuk dipamerkan. Ada juga pelajar yang menjual koleksi mereka kepada kami untuk dipamerkan. Sekurang-kurangnya kami juga dapat menambahkan koleksi peribadi matawang kami. Saya juga mengakui, koleksi dalam simpanan saya juga masih terhad. Namun saya lebih berminat mengumpul wang lama dari pada mengumpul wang luar negara.

Sehari sebelum pameran, saya dan Cikgu Kumaresan sudah mula sibuk menyediakan tempat untuk pameran. Turut dipamerkan pada kali ini ialah sebahagian dari koleksi emblem kereta klasik milik Cikgu Khairunaim. Selain itu juga beberapa siri tayangan video ringkas berkaitan dengan matawang Malaysia dan kehidupan masyarakat Kapit dalam sekitar tahun 1970an juga turut diadakan. Saya juga turut mempamerkan koleksi buku-buku biografi tokoh-tokoh milik saya. Tujuan kami ikhlas iaitu ingin memberi ilmu baru kepada pelajar SMK Kapit. Sekurang-kurangnya ruang lingkup pemikiran mereka juga akan lebih terbuka.

Koleksi buku biografi dan artikel tokoh-tokoh Malaysia
milik saya juga turut dipamerkan

Pameran ini dirasmikan oleh Tuan Pengetua SMK Kapit iaitu Cikgu Manggi Ak Nyegang dalam satu acara yang agak ringkas. Terharu juga dihati ini, apabila Guru Kanan Kemanusiaan SMK Kapit iaitu Ustazah Aminah sudi menaja kuih untuk jamuan. Ini menjadikan kami lebih bersemangat.


Ucapan perasmian pameran oleh Tuan Pengetua SMK Kapit

Lawatan ke meja pameran oleh Tuan Pengetua dan
tetamu jemputan

Penyampaian cenderahati dari pihak kami
kepada Tuan Pengatua sebagai tanda kenang-kenangan.

Menikmati jamuan ringan sambil menonton video

Menjelang waktu rehat, pameran ini mula diserbu oleh pelajar. Hilang semua rasa risau saya melihat kehadiran pelajar yang berduyun-duyun tanpa henti. Saya dan Cikgu Teoh Say Beng tidak henti-henti memberikan penerangan berkaitan dengan matawang yang dipamerkan. Beberapa fakta dan maklumat ringkas berkenaan dengan matawang dan Bank Negara Malaysia juga menarik perhatian pelajar malahan ada yang memberitahu inilah kali pertama mereka mengetahui orang yang menandatangani wang yang mereka gunakan selama hari ini ialah seorang gabenor dan bukannya Perdana Menteri ataupun Yang Dipertuan Agong. Hahahahaha.

Serbuan dari pelajar !



Ceria di pameran

Pameran ini terus dikunjungi oleh pelajar sehingga waktu tamat persekolahan. Ada juga guru-guru yang mengambil kesempatan membawa pelajar mereka ke pameran ini. Tayangan video juga begitu menarik minat pelajar. Mereka secara tidak langsung dapat melihat kembali bagaimana kesusahan hidup generasi yang terdahulu dari mereka di Kapit.

Seronok menonton pameran video

Kami juga membuka pameran ini untuk pelajar sesi petang. Sambutannya juga begitu meriah dan bersemangat. Ada juga pelajar yang saya lihat berkunjung berkali-kali ( rasanya ponteng kelas ) ke pameran ini. Sambutan dari rakan guru juga begitu baik. Begitu juga dengan anggota kakitangan sokongan ( AKS ) yang sudi berkunjung melihat pameran ini. Tukang pembersihan sekolah juga turut berkunjung. Ia sekurang-kurangnya memberi kami motivasi dalaman dalam mengendalikan pameran ini.

Kunjungan dari rakan-rakan AKS

Cikgu Teoh terpaksa menggunakan pembesar suara
bagi menerangkan fakta berkaitan wang yang dipamerkan.

Pada hari kedua juga, sambutan dari pelajar dan guru masih belum berkurang. Saya sudah mula merasakan kepenatan. Cikgu Teoh juga turut sama penat. Ada juga beberapa kali saya terpaksa melarikan diri dari memberikan penerangan berkaitan bahan pameran kepada pelajar yang berkunjung.

Serangan kali kedua di permainan angpau bertuah

Pada hari kedua ini juga kami mula menyediakan acara permainan angpau bertuah kepada pengunjung dan sambutan terhadap acara ini memang diluar jangkaan. Borang permainan ini laris bagaikan goreng pisang panas. Tarikan kepada permainan ini ialah hadiahnya yang bernilai RM 50. Ia bukanlah satu acara tanpa pengisian. Disebalik susunan angpau yang pelbagai, kami selitkan info berkaitan dengan budaya memberi angpau dikalangan masyarakat Malaysia dan antarabangsa. Sekurang-kurangnya ia dapat memberi sedikit ilmu dan pengetahuan kepada para pelajar.

Saya juga turut menyediakan bahan pameran yang berkaitan dengan sejarah penggunaan wang di negara kita. Antara yang menarik perhatian pelajar ialah koleksi set tandatangan gabenor bank negara Malaysia ( BNM ) yang pertama sehingga yang terkini. Reaksi pelajar juga agak menarik dimana ada juga antara mereka yang dengan segera mengeluarkan wang dari dompet semata-mata untuk melihat tandatangan gebenor manakah yang menandatangani wang mereka. Lucu juga hati saya melihat reaksi pelajar. Ah…. Tidak mengapalah… mereka sedang belajar sesuatu yang baru dan memang itulah niat kami disebalik pameran ini.

Melihat tandatangan gabenor-gabenor Bank Negara Malaysia

Ada juga pelajar yang mengadu kepada saya yang mereka tidak berkesempatan untuk berkunjung ke pameran ini. Kami terpaksa menghadkan masa pameran kepada dua hari sahaja bagi tujuan keselamatan. Ada juga niat untuk menambah satu hari lagi masa pameran namun setelah berbincang dengan lebih lanjut kami terpaksa membatalkan hasrat tersebut dan kekal dengan perancangan asal.

Antara rakan guru yang turut sama berkunjung ke pameran

Kami menamatkan pameran ini dengan rasa yang puas dan seronok. Kejayaan pameran ini memberikan kami sejuta satu kenangan yang tidak ternilai harganya. Sudah dua kali siri pameran sempena hari kemerdekaan yang kami kendalikan berjaya mencapai matlamat dan tidak mustahil aka ada pameran siri ketiga pada tahun yang akan datang. Cikgu Teoh dan Cikgu Kumaresan juga sudah berkira-kira untuk persiapan pameran yang akan datang namun jawapan dari saya cuma satu iaitu…. Tunggu dahulu ! Jika takdirnya ini tahun penamat tugasan saya di Kapit maka sudah pastilah tahun depan saya tidak akan turut serta untuk pameran seterusnya.

Sewaktu berkemas-kemas selepas tamat pameran, terfikir juga saya tentang betapa indahnya menjadi guru di kawasan luar bandar seperti Kapit ini. Di sini, kami meneroka setiap potensi diri kami walaupun kadangkala ia bukan dalam bidang kami semata-mata untuk memberi input yang berguna kepada pelajar. Soal wang ringgit dan masa kami ketepikan semata-mata kerana pelajar. Diakui sememangnya terdapat lebih ramai guru diluar sana ( terutama di bandar ) yang dapat menjalankan pameran yang lebih besar dan hebat namun cabaran mengadakan pameran di luar bandar ini jauh lebih mencabar dan ongkos serta bahan pameran biasanya datang dari guru itu sendiri !

Jauh didalam hati saya berdoa semoga apa yang kami lakukan ini dapat memberi kefahaman yang berguna kepada pelajar. Saya dan Cikgu Kumaresan berusaha agar ruang lingkup pemikiran pelajar akan lebih terbuka dan berkembang melalui pameran kecil ini. Ada pelajar yang mengucapkan terima kasih kepada saya diatas pemeran ini dan yang paling penting kepada saya ialah beberapa lontaran soalan yang berkualiti dari pelajar berkenaan bahan pameran. Ini menunjukkan ada input baru yang masuk ke minda mereka… Alhamdulillah !

InsyaAllah tahun hadapan, kami akan menganjurkan acara seperti ini lagi. Kami akan cuba memberi yang terbaik terhadap bangunnya pemikiran anak bangsa namun saya mengerti setiapa sesuatu yang baik itu sudah pasti akan ada halangannya. Namun kami yakin setiapa halangan itu pasti ada penyelesaianya dan kami tidak akan berhenti untuk mengalah. Menjadi guru di pedalaman seperti ini mengajar kami untuk lebih kuat dan tabah walaupun dalam keadaan yang kurang…. Kami tidak pernah menyesal !

Sekalung Terima Kasih Dari Kami Kepada :


  • Tuan Pengetua SMK Kapit Encik Manggi@Manggie Ak Nyegang
  • Penolong Kanan Pentadbiran SMK Kapit Encik Kuiek Bon Siau
  • Guru Kanan Kemanusiaan SMK Kapit Puan Aminah Bt Salleh dan keluarga
  • Ketua Panitia Sejarah SMK Kapit Cik Norhashida Bt Hashim
  • Cikgu Jargalia Ak Lidek 
  • Teman-teman guru SMK Kapit
  • Semua pelajar SMK Kapit yang sudi berkunjung ke pameran ini
  • Semua individu yang terlibat secara tidak langsung dalam menjayakan pameran ini.

Almas Nafisa

$
0
0


Almas Nafisa


Buah hati ayah dan bonda
kini hadir dengan tangisan kecil
yang sendu
dan membariskan doa syukur
atas kelahiran yang sempurna
bersinar.

Ia takdir indah
tersemat di mata hati ayah bonda
sampai langkah akhir nanti
lalu kami potretkan
dalam darah mu anak
segala kasih sayang yang mahal
tanpa ada rasa sisih
untuk kamu rasa
dengan jiwa besar seorang anak.

Senyum tangis dan ketawa lah
sepuasnya hati mu anak
akan ayah dan bonda belai
rambut dan kulit mu
ulit dan cium tanpa jemu
anugerah tanpa piala
yang diberi Tuhan
dengan warna yang putih bersih.

Redalah tangisan ayah dan bonda
hilang segala resah gundah
sakit perit yang segunung
melihat wajah mu anak
ingin  ayah bonda jeritkan
biar seluruh dunia bergetar
betapa cinta dan sayang kami
juga berkat rahmat Tuhan
menjadikan diri mu anak
dengan secantik insan
selengkap indera.

Kelak
ketika kaki dan tangan mu anak
lebih gagah dari kami
ketika ayah dan bonda
menunggu datangnya tetamu abadi
bacalah puisi ini
agar kamu mengerti
di desa hati ayah dan bonda
teguh berumah
nama mu
Almas Nafisa !






Setulus Hati
Untuk puteri hati ayah
Almas Nafisa Binti Abdul Hafez
20 September 2012.

Menziarahi Nenda Di Teluk Penadah

$
0
0
Pemula Rasa

Sudah tidak kuasa lagi saya menahan kemahuan diri untuk berkunjung ke makam nenda yang sudah lebih dari 20 tahun tidak saya kunjungi. Beberapa percubaan saya sebelum ini untuk ke makam nenda menemui kegagalan dan saya amat berharap cubaan kali ini akan berjaya dan akan membuahkan hasil. Namun saya sedar kuasa Allah SWT sahaja yang menentukan sejauh manakah kejayaan perjalanan ini. 

Jika 20 tahun yang lalu saya beserta ayah akan menggunakan perahu penambang menyeberangi Sungai Perak dari Kampung Permatang Pelanduk menuju ke Teluk Penadah, namun kini segalanya sudah berubah. Cubaan pertama saya menjejaki makam nenda pada beberapa bulan yang lalu menemui jalan buntu apabila perkhidmatan perahu penambang yang pernah saya naiki 20 tahun lalu sudah lama menamatkan perkhidmatannya. Ini benar-benar menghampakan saya. Namun saya yakin, sudah pasti ada jalan lain untuk ke Teluk Penadah dan saya tidak akan berhenti berusaha.

Hasil dari beberapa maklumat dari teman-teman dan ayah, saya yakin pasti ada jalan lain ( jalan darat ) menuju ke Teluk Penadah. Setelah berfikir sedalamnya akhirnya saya mengambil keputusan untuk mencuba  menggunakan jalan utama dari Pasir Salak ( Seberang Perak ). Saya yakin kali ini perjalanan saya pasti berjaya dan niat utama memebersihkan makam nenda akan termakbul!

Perjalanan Bermula

Saya bergerak dari rumah pada awal pagi. Sengaja saya bergerak awal bagi membolehkan saya memperuntukkan masa yang berkualiti bagi menjejaki makam nenda. Dari Bidor saya bergerak menuju ke Kampung Gajah. Alhamdulillah, perjalanan saya lancar tanpa ada sebarang masalah. 

Oh...sesuatu yang agak menyakitkan mata saya ialah pemandangan di sepanjang jalan yang saya lalui dipenuhi dengan bendera parti-parti politik tidak kira dari pihak pemerintah ataupun pembangkang. Hairan juga di hati saya melihat keadaan ini.....seolah-olah pilihanraya akan berlangsung keesokan harinya. Macam-macam hal politik negara Malaysia ini. Setiap hari ialah politik !


Perjalanan yang dipenuhi bendera parti politik

Di Pasir Salak

Selepas melalui jambatan yang merintangi Sungai Perak, saya terus menghala ke kawasan mukim Pasir Salak. Kebelakangan ini, saya sering melalui kawasan ini bagi menambahkan lagi bahan penulisan blog ini. Hal ini menjadikan saya lebih bersemangat meneroka setiap inci kawasannya. Saya perlu menuju ke kawasan Mukim Bandar. Disinilah tempat ayah dan adik beradiknya dilahirkan. Malahan asal usul keturunan datuk sebelah ayah juga dikatakan berasal dari kawasan mukim Bandar dalam daerah kecil Kampung Gajah ini. 

Jalan masuk ke Kompleks Sejarah Pasir Salak

Perjalanan saya lancar tanpa sebarang masalah. Sesuatu yang menyeronokkan hati saya ialah keadaan jalan yang cantik dan lengang. Ia membuatkan saya begitu bersemangat memecut motosikal saya. Seronok melihat panorama alam yang membentang di kiri dan kanan jalan. Setelah hampir 20 minit bermotosikal akhirnya saya sampai ke mukim Bandar. Ada perasaan halus menyelinap kedalam diri saya sewaktu pertama kali memijak buminya. Inilah tanah asal usul leluhur saya dan kini saya menjejakinya. Perasaan saya bagaikan melonjak. Bagaikan ada orang lain yang menyambut kehadiran saya dalam senyap.

Lengang di sepanjang jalan.

Akhirnya saya sampai di mukim asalnya leluhur-leluhur saya!

Masalah Mula Timbul

Walaupun saya sudah berada di mukim Bandar, masalah lain pula muncul. Saya tidak mengetahui di mana letaknya Kampung Teluk Penadah. Saya mengharapkan akan ada papan tanda dipinggir jalan yang menunjukkan jalan atau lorong menuju ke arah kampung berkenaan. Namun saya hampa kerana tidak ada langsung papan tanda yang sangat saya harapkan itu. Akhirnya saya mula masuk ke kawasan FELCRA Seberang Perak. Hati saya mula merasa tidak tenteram. Bagai ada kuasa yang menyatakan kepada saya bahawa saya sudah terlajak jauh dari laluan asal. Saya bertanya kepada seorang pakcik yang saya temui di tepi jalan kemana arahnya untuk ke Teluk Penadah. Jawapan yang saya terima adalah sungguh mengecewakan. Katanya sudah 40 tahun dia menetap di FELCRA Seberang Perak, itulah kali pertama dia mendengar nama Teluk Penadah!....

Pintu masuk ke FELCRA Seberang Perak
( gambar ini diambil dari carian Google )

Saya mengambil keputusan untuk berpatah balik. Di dalam perjalanan barulah saya sedar bahawa kebanyakan penduduk FELCRA Seberang Perak adalah orang luar dan bukannya orang tempatan tulen. Mereka berhijrah ke Seberang Perak atas urusan mencari rezeki di bawah naungan FELCRA. Akhirnya mereka beranak pinak di situ dan seterusnya menetap. Namun pelik juga bila difikirkan kembali... tak kan lah mereka tidak pernah mendengar nama Teluk Penadah jika sudah berpuluh tahun tinggal dan bergelumang dengan orang tempatan. Mengeluh saya sendiri di atas motosikal.

Saya singgah sebentar di sebuah kedai runcit milik salah seorang penduduk tempatan. Kalau tidak silap saya kedai itu terletak di Kampung Pasir Jenderis. Seorang pemuda yang duduk dihadapan kedai tersebut tersenyum memandang saya. Saya membalas senyumannya. Niat hati saya ingin membeli air bagi membasahkan tekak. Secara spontan mulut ringan saya ini bertanya kepadanya dimanakah letaknya Teluk Penadah. Pemuda itu menggaru kepala dan dengan loghat utara yang agak pekat dia menyatakan sejak kecil hingga dewasa tidak pernah dia mendengar nama kampung yang saya maksudkan. Ada rasa kesal bersarang di fikiran saya ketika ini. Bayangan kubur nenda makin menjauh dari capaian.

Agaknya apabila melihat keadaan diri saya yang kehampaan membuatkan pemuda berkenaan dengan secara spontan memanggil tuan kedai runcit yang berda didalam kedainya. Tidak lama selepas itu muncul seorang lelaki tua berkopiah putih. Saya menyampaikan hasrat hati saya padanya. Lama lelaki tua itu memandang saya sambil tersenyum dan berkata bahawa tidak ada lagi manusia yang tinggal di Teluk Penadah. Ia sudah menjadi kampung tinggal. Namun dia tetap juga menunjuk arah jalan ke Teluk Penadah. Sempat juga beliau bertanya nama arwah nenda ... bila saya menyebut nama nenda dan moyang saya, beliau hanya tersenyum sambil berkata InsyaAllah niat saya dipermudahkan dengan sedikit halangan. Saya bingung dan meneruskan perjalanan mengikut arah yang dikatakannya.

Lelaki Misteri

Saya mengikuti jalan berpasir yang merintangi kawasan sawah padi. Di pertengahan jalan saya ditahan oleh seorang lelaki dan beliau bertanya saya mahu kemana. Saya menjawab mahu ke Teluk Penadah. Dia tersenyum memandang saya sambil meminta saya berhati-hati bila memasuki kawasan perkuburan. Aneh ... lelaki itu bagaikan mengetahui apa yang terkandung di fikiran saya. Selepas mengucapkan selamat jalan saya meneruskan perjalanan. Saya menelefon ayah dan memberitahunya saya pasti akan berjaya sampai ke Teluk Penadah. Saya memberitahunya tentang kampung-kampung yang saya lalui sebelum sampai ke Teluk Penadah dan ayah mengiyakannya. Ah... hasrat saya semakin hampir !

Saya memasuki Kampung Ayer Mati dan melalui jalan kampungnya yang sunyi. Rasanya penduduk kampung ini sudah mula berkurangan. Terlalu sukar menjumpai anak-anak muda di kampung ini. Terdapat  juga beberapa buah rumah kampung yang terbiar dan tidak diduduki. Sebuah surau berwarna kuning menarik perhatian saya. Dilihat dari keadaan surau ini rasanya ia sudah tidak digunakan lagi. Sayu hati saya melihat keadaannya. 

Surau Lama Kampung Ayer Mati

Rumah tinggal di sepanjang perjalanan

Selamat Tiba Di Kampung Bandar

Seterusnya saya sampai ke Kampung Bandar. Inilah kampung dimana ayah dan adik beradiknya dilahirkan. Saya kembali semula ke tempat terzahirnya seluruh keturunan asal saya. Saya disambut oleh masjid Kampung Bandar yang begitu unik binaanya. Saya tertarik benar dengan masjid bewarna kuning ini. Berhampiran dengan masjid ini terdapat kawasan perkuburan lama. Namun saya tahu, ia bukanlah kawasan perkuburan nenda dikuburkan. 

Masjid Kampung Bandar


Di bahagian hadapan masjid Kampung Bandar ini terdapat sebuah kepuk makam yang agak terserlah. Terdapat dua buah makam didalam kepuk ini. Pada mulanya saya menjangkakan sudah pastilah individu yang dikuburkan disini berdarah raja atau sultan. Namun setelah membuat sedikit rujukan di internet barulah saya tahu bahawa ia adalah makam Syeikh Muhammad Taib iaitu seorang ulama yang disegani pada suatu ketika dahulu. Barulah saya teringat kata-kata ayah bahawa suatu ketika dahulu banyak ulama dan bijak pandai agama tinggal atau berasal dari kawasan Teluk Penadah dan Kampung Bandar. Malahan untuk mengahwini anak dara Teluk Penadah dan Kampung Bandar, seseorang jejaka itu mestilah mempunyai ilmu agama yang tinggi sebelum diterima sebagai menantu. 

Kepuk Makam Syeikh Muhammad Taib

Makam Syeikh Muhammad Taib

Saya tidak berlama-lama di makam ini kerana tujuan saya yang asal perlulah diselesaikan dahulu. Perjalanan saya diteruskan dengan melalui jalan kampung yang sunyi. Rumah-rumah penduduk kebanyakannya kosong. Hanya beberapa buah rumah sahaja yang berpenghuni. Di kiri dan kanan jalan kelihatan pohon-pohon kelapa sawit hidup dengan suburnya. Sesekali saya dikejutkan dengan kehadiran kera-kera liar yang sengaja bermain ditepi jalan. Terdapat sebuah sekolah rendah di Kampung Bandar ini. Rasanya sampai suatu ketika nanti pasti sekolah ini akan menjadi sekolah kurang murid jika jumlah penduduk semakin berkurang.

SK Kampung Bandar

Melalui jalan yang sunyi

Surau Tinggal Berwarna Biru

Akhirnya saya melewati sebuah lagi surau tinggal yang agak besar. Di bawahnya tergantung sebuah kerantung yang agak panjang dan besar. Saya singgah sebentar meninjau-ninjau keadaan surau berkenaan. Nampaknya ia sudah tidak digunakan lagi. Apabila mata saya memandang kerantung yang tergantung di bawah surau itu hati saya mula menjadi sayu. Dengan segera ingatan saya melayang mengingatkan surau di kampung kelahiran saya di Kampung Petalin Baru Bidor. Dahulu adalah menjadi kebanggaan bagi kami anak-anak kecil jika diberikan peluang membunyikan kerantung di surau. Bunyi kerantung boleh didengar dari jauh. Selain dari salah satu cara menandakan masuknya waktu solat, kerantung juga digunakan sebagai tanda isyarat kepada masyarakat kampung sekiranya berlaku kematian atau kecemasan. Namun kini kerantung sudah tidak digunakan lagi. Ianya terus tinggal sebagai satu kenangan berharga bagi generasi yang pernah menikmati paluannya.

Sebuah surau lama

Kerantung lama

Saya dapat merasakan seolah-olah saya semakin hampir dengan makam nenda. Namun saya tidak pula menjumpai sebarang kawasan perkuburan di sini. Sungai Perak yang mengalir lesu saya perhatikan dari surau tua ini. Fikir hati saya mungkin makam nenda tidak jauh lagi di hadapan. Semakin jauh kedepan semakin banyak pula rumah-rumah kosong yang kelihatan. Hati saya mula merasa runsing. Teluk Penadah yang saya cari masih tidak kelihatan!

Kemudian saya terlihat sebuah rumah yang masih berpenghuni. Saya singgah sebentar dan bertanyakan kepada penghuni rumah berkenaan dimana letaknya Teluk Penadah. Tersenyum lelaki itu memandang saya dari jendela tingkap apabila saya ajukan pertanyaan itu. Dengan selamba beliau menyatakan saya sudah menjejakkan kaki di Teluk Penadah. Ini lah Teluk Penadah...... termenung saya sebentar. 22 tahun yang lalu sewaktu kunjungan saya dan ayah kesini, kampung ini masih punya ramai penduduk. Namun kini keadaannya sudah jauh berubah dan penduduknya hampir sudah tiada lagi.


Sunyi selepas ditinggalkan

Menuju Makam Nenda

Saya bertanya kepada lelaki itu dimana letaknya kawasan kubur. Dengan segera beliau meminta anaknya menunjukkan arah ke kubur. Selepas mengucapkan terima kasih saya mula bergerak ke arah kubur. Rupa-rupanya kawasan perkuburan letaknya tidak jauh dari surau lama bewarna biru yang saya singgahi sebentar tadi. Cumanya, saya perlu masuk ke satu simpang kecil untuk sampai ke kawasan perkuburan. Jika tidak silap saya masih ada sebuah rumah yang berpenghuni tidak jauh dari kawasan perkuburan itu. Hati saya berbunga riang.

Anak lelaki itu hanya menghantar saya diseparuh jalan sahaja. Sambil tersenyum dia mohon pulang kembali ke rumahnya. Tidak mengapalah bisik hati saya kerana matlamat saya telah dimakbulkan oleh Allah SWT. Sebaik sahaja saya sampai di pintu masuk kawasan perkuburan itu alangkah terkejutnya hati saya apabila ia sudah diliputi oleh semak samun dan hutan yang tebal. Sekali lagi saya termenung.... bagaimana mahu mencari kubur nenda dalam keadaan seperti ini. Saya meletakkan motosikal saya di jalan masuk ke kawasan perkuburan. Selepas memberi salam saya mula melangkah dengan hati yang tenang. Rasanya waktu ketika itu sudah menunjukkan angka 1. 

Batu Nisan Patah

Baru sahaja melangkah masuk alangkah terkejutnya hati saya melihat sebuah batu nisan yang telah patah menghalangi perjalanan saya. Jenis batu nisan itu kelihatannya seperti jenis yang sama dengan nisan yang terdapat pada makam-makam lama Sultan pemerintah negeri Perak dahulu kala. Hal ini agak membingungkan saya. Mungkinkah pernah ada seorang Raja Bergelar yang mempunyai kuasa mentadbir kawasan ini dahulu ? .... Namun secara jujurnya saya tidak merasa takut. Sebaliknya batu-batu nisan yang bercerakah dengan tidak tersusun di kawasan perkuburan ini yang lebih menarik minat saya.

Nisan patah yang misteri

Batu-batu nisan dari jenis lama

Batu nisan jenis ini kelihatan sama dengan batu nisan
milik sultan-sultan Perak terdahulu. Adakah ia milik seseorang 
berdarah Raja ?

Batu nisan dengan bentuk yang unik

Disengat Penyengat

Saya beranggapan, berkemungkinan kawasan perkuburan ini telah wujud sejak awal tahun 1800 lagi. Ini mungkin berdasarkan bentuk nisan yang banyak terdapat disini. Saya merayap disekeliling kawasan perkuburan. Ayah memaklumkan kepada saya bahawa makam nenda terletak betul-betul di tengah antara pokok kekabu dan pokok rambai. Alhamdulillah, saya dapat melihat pokok berkenaan dan ingatan saya 22 tahun yang lalu dapat mengimbau bahawa kubur nenda terletak dikawasan yang agak tinggi. Baru sahaja saya melangkah masuk ke tempat kawasan kubur nenda saya diserang oleh sekumpulan serangga yang kelihatannya seperti peneyengat. Pada mulanya saya tidak ambil peduli, namun setelah disengat di pergelangan tangan barulah saya berundur. Sakitnya hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Betul juga kata orang tua yang saya temui tadi, saya akan berhalangan sedikit untuk ke kubur nenda.

Nenda bersemadi disini

Selain dari nenda saya yang bernama Ismail, turut dikebumikan disini ialah moyang saya yang bernama Haji Yusuf Bin Tok Ege bersama isterinya yang bernama Ngah Sijah. Dari kata ayah juga menyatakan beberapa orang adik beradik nenda juga turut dikebumikan disini. Saya masih ingat kubur nenda dan kerabatnya terletak berhampiran dan bersebelahan. Saya cuba masuk ke kawasan kubur nenda untuk kali kedua dan seperti tadi saya diserang semula oleh penyengat tadi malah disengat pula di kepala. Rasa berdenyut-denyut kepala saya dibuatnya. Kelam kabut saya berlari menyelamatkan diri dan saya sedar ada juga beberapa makam yang terpaksa saya langkah dengan terpaksa !

Selepas beberapa ketika, saya nekad untuk pergi lebih rapat ke kubur nenda. Hasilnya bibir saya pula disengat dan saya jatuh tertonggeng dalam kawasan kubur. Dengan bersusah payah saya kembali ke tempat saya melatakkan motosikal. Saya menyumpah didalam hati kenapa nasib saya begitu sial hari ini. Mulut saya mula bengkak dan ketika meraba poket untuk mengambil kunci motosikal, ianya telah tiada dalam poket saya.... saya panik. Habis beg dan poket saya selongkar namun hasilnya sia-sia. Rasanya pasti kunci saya tercicir sewaktu saya berlari menyelamatkan diri dari disengat penyengat itu tadi ! Matilah saya kali ini jerit hati saya.

Takut Dan Muntah !

Ketika itulah saya mula diserang ketakutan yang teramat sangat. Tidak pernah saya berkeadaan seperti itu sewaktu pergi melawat kawasan perkuburan lama. Apabila memandang kawasan perkuburan itu, saya merasakan seolah-olah penghuninya sedang mentertawakan saya. Saya mula menangis ketakutan ditambah pula dengan kesakitan akibat disengat tebuan sebanyak tiga kali membuatkan saya bertambah takut. Saya juga risau bagaimana caranya hendak pulang sekiranya kunci motosikal saya tidak ada. Keadaan makin kelam dan secara tiba-tiba saya muntah. Segala apa yang ada didalam perut saya terkeluar dengan sendirinya. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui apa yang saya rasa ketika itu.

Selepas muntah saya tersandar di tepi motosikal saya. Fikiran saya buntu dan tertekan. Setelah hampir sepuluh minit berkeadaan demikian baru saya teringat untuk beristifar dan mengucap dua kalimah syahadah. Barulah hati dan perasaan saya tenteram semula. Saya mula membaca beberapa surah yang memang menjadi amalan saya sewaktu didalam kesusahan. Di dalam hati, saya bermohon kepada Allah SWT agar memudahkan segala urusan saya disini. Perasaan takut yang pada mulanya menguasai diri saya mulai hilang dan saya kembali yakin dengan diri walaupun sakit akibat disengat tadi masih berdenyut.

Mencari Kunci

Saya masuk semula kedalam kawasan kubur untuk mencari kunci motosikal saya yang hilang. Dengan keadaan yang bersemak ia semakin menyukarkan. Secara tiba-tiba kaki saya terpijak sesuatu dan ia mengeluarkan bunyi yang bergemercing. Apabila diangkat kaki saya terlihat kunci motosikal saya. Syukur pada Allah SWT yang memudahkan pencarian saya. Letaknya kunci itu berhampiran dengan sebatang nisan yang sudah terangkat oleh sebuah busut. Pelik juga getus hati saya. Namun senyuman mula terukir di bibir saya. Kini saya mula terfikir untuk mencari pula batu nisan Acheh. Manalah tahu jika ada dijumpai disini. Namun saya hampa. Tidak ada batu nisan Acheh disini. Hanya sebatang nisan patah sahaja yang kelihatan seperti iras-iras batu nisan Acheh namun saya agak skeptikal.


Ketika meraduk semak mencari nisan Acheh itu saya terpandang sebuah kubur yang berkepuk dan bernisan cantik. Bentuk nisannya agak unik dan berbeza dengan nisan-nisan utama yang berada disini. Sekali lagi saya dihantui dengan seribu satu persoalan, siapakah yang dikebumikan disini. Rasa hati saya kuat menyatakan bahawa ada seseorang yang sangat penting dan berpengaruh dikebumikan disini. Ah...pasti ada rahsia besar yang disembunyikan selama beratus tahun. Nisan yang patah juga turut saya jumpa. Anehnya nisan itu berbentuk sama dengan nisan di makam sultan-sultan Perak yang pernah saya ulas di blog ini.


Siapa empunya makam bernisan cantik ini?

Nisan patah

Selepas disengat tiga kali, saya memang tidak berani lagi untuk ke kubur nenda. Ada rasa kesal bersarang dihati kerana tidak dapat membersihkan makam nenda. InsyaAllah saya akan kembali semula nanti. Saya hanya memandang dari jauh sahaja kawasan makam nenda. Saya tahu, sudah lama nenda tidak diziarahi oleh anak cucunya. Saya meninggalkan kawasan makam lama ini dengan hati yang berbaur duka. Masih terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata lelaki tua tadi yang saya akan menempuh halangan. Ternyata apa yang dikatakannya tepat sekali.

Saya tidak terus bergerak pulang sebaliknya saya meneroka kawasan Teluk Penadah dengan lebih lanjut. Saya melewati kawasan kebun kelapa sawit dan beberapa buah rumah tinggal yang tidak berpenghuni. Masih kelihatan lagi perabot lama yang ditinggalkan. Akhirnya saya sampai ke penghujung jalan. Sayup kelihatan sebuah jeti lama yang sudah dimamah masa. Saya masih ingat lagi, disinilah kali pertama 22 tahun yang lalu kaki saya menjejak Teluk Penadah. Sayang .... kini ia telah tertinggal sunyi dan tidak digunakan lagi. Nun di seberang sungai masih boleh dilihat kawasan penambang lama dari arah Kampung Permatang Pelanduk. Segalanya bagaikan mahu bercerita kepada saya betapa meriahnya kehidupan disini dahulu.



Jeti lama Teluk Penadah

Dari arah Kampung Permatang Pelanduk

Berhampiran dengan jeti Teluk Penadah terdapat sebuah surau lama yang juga telah ditinggalkan. Keadaannya begitu uzur malah ada beberapa bahagian surau ini sudah runtuh menyembah bumi. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan kampung ini untuk beberapa tahun yang akan datang. Hampir semua penduduknya sudah tiada. Adakah ia akan menjadi kampung tinggal yang tidak berpenghuni dan cerita tantangnya akan kekal sebagai satu khazanah sejarah ? .... saya sendiri tidak mampu menjawabnya. 

Surau yang hampir runtuh

Dari cerita orang-orang lama, mukim Bandar yang menempatkan beberapa buah kampung suatu ketika dahulu merupakan kawasan yang sibuk. Segala aktiviti perniagaan dan keagamaan dijalankan disini. Gelaran Haji pada moyang saya yang hidup lebih kurang 140 tahun yang lalu menunjukkan bahawa penduduk di sini bukan calang-calang orangnya. Sebagai catatan tambahan, nenda saya Ismail Bin Haji Yusuf meninggal dunia di Kampung Jong Buruk di persisir Sungai Kinta dan jenazahnya dibawa menghilir Sungai Kinta dan dikebumikan di sini, Teluk Penadah yang terletak di sebelah tebing kiri Sungai Perak. Bagaikan ada satu rahsia besar yang aneh sedangkan bapa kepada moyang saya yang bernama Tok Ege dikebumikan di Kampung Jong Buruk. Khabarnya Tok Ege salah seorang pembesar yang menjadi kepercayaan Sultan ketika itu. Benar atau tidak hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui.

Pandangan Dari Teman Yang Jauh

Saya singgah sebentar di beberapa buah rumah tinggal yang masih utuh. Rumah-rumah berkenaan bagaikan mempunyai penghuni yang tidak terlihat. Sewaktu melihat beberapa keping gambar di komputer, saya terlihat bagaikan ada satu susuk tubuh sedang memerhatikan saya dari tingkap sebuah rumah. Berderau darah saya melihatnya. Kalaulah benar susuk itu dari alam lain tidak mengapalah ... mungkin ada rindu dihatinya melihat kehadiran saya. Hehehehe

Ada mata yang memandang di balik tingkap

Sepi

Saya bergerak meninggalkan Teluk Penadah dengan seribu satu kenangan yang sukar dijelaskan. Saya tidak mengikut jalan yang saya lalui semasa datang tadi sebaliknya mengikuti jalan kampung yang terus sampai ke Pasir Salak. Seorang pakcik yang saya jumpa  berhampiran kawasan perkuburan Masjid Kampung Bandar menyuruh saya mengikut jalan itu. Anehnya saya sehingga kini tidak dapat mengecam dan mengingati wajahnya. Sepanjang perjalanan saya menahan kesakitan akibat disengat tadi. Lucu juga melihat bibir saya yang membengkak di cermin sisi motosikal.

Hahahaha bengkak di bibir

Alhamdulillah walaupun menghadapi sedikit cabaran dalam menjejaki makam nenda namun saya tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya saya dapat menunaikan niat di hati ini sejak sekian lama. InsyaAllah saya akan kembali lagi melawat makam nenda di lain masa dan ketika. Saya tidak terus pulang, sebaliknya terus menjejaki beberapa makam dan tempat-tempat bersejarah disekitar daerah kecil Kampung Gajah. InsyaAllah akan saya ulas dalam siri yang akan datang.

Saya sampai ke Bidor pada jam 6 petang. Terkejut emak dan ayah melihat bibir saya yang membengkak. Ayah ketawa besar apabila diberitahu saya berjaya merintis jalan untuk dirinya kembali semula ke Teluk Penadah. Saya mula berkira-kira untuk ke Teluk Penadah nanti bersama ayah dan bapa saudara saya jika diizinkan Allah SWT nanti. Malam itu sebelum tidur sempat juga saya menghadiahkan Al-Fatihah kepada nenda di Teluk Penadah. Risau juga hati ini jika tidur saya diganggu oleh mimpi-mimpi ngeri. Alhamdulillah sehingga pagi saya tidur dengan nyenyaknya..... TAMAT

Catatan Tambahan

Kepada semua ahli keluarga dan kaum kerabat Allahyarham Tok Ege ( Jong Buruk ), Allahyarham Haji Yusuf Bin Tok Ige dan isterinya Allahyarhamah Ngah Sijah berserta kaum kerabat Allahyarham Haji Mat Amin Bin Tok Ege sekiranya terbaca artikel ini, saya bermohon untuk kita menghubungkan silaturrahim yang selama ini terputus. Hubungilah saya samaada anda meninggalkan komen di blog ini ataupun di akaun FACEBOOK saya sudah cukup memadai. Banyak sejarah keluarga kita yang kini semakin terhakis dan perlu dicari gali semula. Semoga dengan usaha kecil ini akan memudahkan kita dimasa akan datang InsyaAllah.






Catatan Sebuah Buku : Anak Apak Memoir Politik Kewartawanan

$
0
0

Siapa Subky Latif ? .... Sejujurnya bagi saya, Subky Latif adalah seorang yang berjiwa besar dan wajar dikenang sebagai tokoh politik dan wartawan yang hebat. Beliau tertonjol sebagai seorang ahli politik yang muncul dari kalangan wartawan sama seperti Tan Sri Zainuddin Maidin dan cuma bintangnya sahaja yang kurang menyerlah walaupun mempunyai ideologi yang jelas berkenaan politik kepartian yang diwakilinya. 

Haji Subky Abdul Latif
( kredit untuk : siasahdaily.blogspot.com )

Saya mula mendengar nama Subky Latif sejak masih di sekolah rendah lagi. Jika tidak silap saya, wajahnya pernah menjadi penghias muka hadapan bagi majalah Sarina atau Mastika ( dahulunya majalah Sarina dan Mastika banyak menumpukan artikel bercorak politik dan kemasyarakatan ) pada akhir tahun 1970an. Kebetulan pula saya terjumpa majalah berkenaan yang menjadi koleksi ayah sejak zaman mudanya dirumah dan membaca kisahnya. Jadi tidak hairanlah nama besar ini begitu lekat diminda saya. Sering juga saya sesekali membaca tulisannya di Harakah dan walaupun berbeza aliran politik, saya amat menghormati pendiriannya dan meminati gaya penulisannya. Inilah yang membuatkan saya tidak melepaskan peluang untuk membeli buku memoir beliau di kedai buku MPH Batu Pahat. Diakui ... saya begitu seronok membaca memoirnya.



Memoir setebal 437 halaman ini memperlihatkan Subky Latif sebagai seorang penulis yang hebat. Ini adalah tidak mengahirankan kerana pengalaman dari kehidupan masa lalu, kerjayanya sebagai wartawan dan aktivis politik memberikan beliau satu kelebihan untuk bercerita kisah dirinya. Bermula dari kisah kelahirannya sehinggalah cerita - cerita menarik yang pernah dilaluinya, semuanya diadunkan menjadi sebuah cerita yang menarik untuk direnung dan diteladani.

Subky Latif hidup dan membesar dalam banyak era yang semestinya mempunyai sejarah yang tersendiri. Beliau sempat merasai perih getirnya hidup zaman pendudukan Jepun, tahun-tahun perjuangan menentang Malayan Union, darurat, menjadi salah seorang saksi kemerdekaan di stadium merdeka dan malah pernah  menjadi aktivis GPMS bersama Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi. Di sini secara tidak langsung saya dapat melihat suasana lama yang pernah dilaluinya dahulu melalui memoir ini.



Subky Latif juga menceritakan bagaimana pertembungan ideologi politik orang-orang Melayu yang dilihat dengan mata kepalanya sendiri. Justeru itu tidak hairanlah nama-nama besar politik Malaysia pada suatu ketika dahulu disebutkan dengan jelas seperti Allahyarham Ahmad Boestamam, Pak Sako, Dato' Panglima Bukit Gantang dan ramai lagi yang tidak sempat saya nukilkan. Juga diceritkan pertembungan hebat antara parti Perikatan dengan Parti PAS, parti Negara, dan Parti Kebangsaan Perak ( NAP ) dalam pilihanraya umum sebelum merdeka dan selepas merdeka . Beliau mengulas dengan jujur hal ini tanpa terikat dengan ikatan politik. Inilah uniknya Subky Latif di dalam memoir ini. Kekuatannya ialah daya ingatannya yang tajam dalam menghuraikan fakta tanpa membebankan pembaca dengan bahasa yang berselirat.

Allahyarham Dato' Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab

Allahyarham Abdullah Sani Bin Raja Kechil
( Ahmad Boestamam )

Sesuatu yang jelas ialah Subky Latif bukanlah insan yang berminat dengan politik namun berupaya memahami politik dengan sejelasnya sejak dari zaman remajanya. Hal ini dapat dilihat pada pra katanya pada memoir ini yang menyatakan adalah lebih senang hidup sebagai orang yang memahami politik tetapi tidak terlibat dalam sebarang aktiviti politik supaya kita disenangi oleh semua dan dapat diterima oleh semua. Walaupun hidup dalam suasana keagamaan dan abangnya juga merupakan salah seorang ADUN PAS di Perak, adalah tidak jelas anutan politiknya di masa muda. Hanya selepas PAS kalah teruk di Kelantan pada hujung tahun 1970an barulah jelas parti politik yang dijuangkannya.

Pengalamannya sebagai wartawan juga agak unik. Utusan Melayu yang menjadi "lubuk ikan" kelahiran wartawan-wartawan Melayu juga menjadi bahan cerita yang cukup unik dalam memoir ini. Sukar juga untuk menjadi wartawan pada ketika itu. Di Utusan Melayu, Subky Latif berjaya menjadi wartawan yang hebat malah dihormati sehingga kini. Sebagai catatan tambahan selain dari berkhidmat di Utusan Melayu, Subky Latif juga merupakan pengasas kepada akhbar Suara Rakyat, Suara Merdeka, Watan dan Harakah. 


Tidak lengkap bagi sesebuah memoir jika tidak diletakkan gambar-gambar kenangan penulisnya. Subky Latif juga turut meletakkan beberapa gambar lamanya didalam memoir ini. Walaupun jumlahnya tidak banyak namun ia sekurang-kurangnya membantu kita untuk lebih memahami setiap latar perjuangannya dalam bidang kewartawanan mahupun politik.

Saya meletakkan memoir ini sebagai antara yang terbaik untuk dibaca oleh semua golongan masyarakat tidak kira peringkat usia. Ia sebuah memoir yang mudah difahami tanpa penceritaan yang meleret-leret. Dengan harga RM 25 dan diterbitkan oleh Kemilau Publika, memoir ini sememangnya satu khazanah persuratan Melayu yang tinggi nilainya. Pada saya kelahiran memoir ini seterusnya memberikan reputasi tambahan kepada Subky Latif sebagai seorang tokoh penulis, wartawan dan aktivis politik. Dan saya juga teringin menjadi sepertinya walaupun berbeza arah dokongan politik !



Sumber Rujukan Untuk Ulasan Memoir ini

  1. http://hafizahiszahanid.blogspot.com/2012/09/membaca-anak-apak.html
  2. http://orebule.blogspot.com/2012/05/anak-apak-jatuh-ke-riba.html
  3. http://sahalasb.blogspot.com/2012/01/sudahkah-anda-membaca-buku-anak-apak.html
  4. http://msomelayu.blogspot.com/2011/12/catatan-rasa.html
  5. http://ms.wikipedia.org/wiki/Subky_Abdul_Latif
Viewing all 95 articles
Browse latest View live