Quantcast
Channel: .
Viewing all 95 articles
Browse latest View live

Ziarah Makam Lama 10 : Diburu Resah Di Tanah Teja

$
0
0


PERINGATAN

Para pembaca yang budiman adalah diingatkan segala fakta dan cerita di dalam penulisan ini adalah pendapat peribadi dan ilham penulis sendiri. Para pembaca tidak digalakkan untuk mempercayai segala apa yang terkandung didalam penulisan ini dan haruslah membuat rujukan sejarah. Penulis hanya menulis berdasarkan ilham dan gerak rasa disamping meminjam beberapa fakta penting sejarah sebagai bahan asas dan adalah dijelaskan segala fakta-fakta yang penulis beri TIDAK SEMESTINYA BENAR dan TIDAK SEMESTINYA TIDAK BENAR. Jika terdapat kesalahan fakta pada artikel ini mohon ia diperbetulkan dan dimurnikan bagi mengelakkan prejudis dan prasangka buruk.

Runsing Hari Akhir




Petang itu .... ia benar... petang itu hati saya bagai ditarik-ditarik oleh tali yang ketat. Esok saya sekeluarga akan ke Gemas. Hujung kehidupan saya sebagai seorang lelaki bujang sudah sampai ke akhirnya. Malam esok saya bakal menjadi seorang suami. Ini adalah petang yang amat membebankan jiwa dan hati saya.

Ketika kaum keluarga sibuk menyiapkan barangan keperluan khusus untuk majlis akad nikah saya esok, saya pula lebih selesa duduk mengelamun di luar rumah tanpa tujuan. Berbagai - bagai perkara masuk ke kepala membuatkan hati bertambah runsing. 

Benar ... kehidupan saya sebagai seorang lelaki bujang adalah sesuatu yang amat menyeronokkan. Bekerja tetap dan memiliki sumber kewangan sendiri membuatkan saya bebas dan rebel. Saya bebas kemana sahaja mengikut kemahuan tanpa sebarang rasa gentar. Jiwa perantau dan pengembara bebas di dalam jiwa saya, dan itulah diri saya yang sebenarnya. Menikmati keindahan dunia ciptaan Tuhan serta mencari seberapa banyak pengalaman dan cerita sepanjang perjalanan membuatkan saya matang dengan segala muslihat kehidupan. Ia seterusnya menjadikan saya seorang pencerita yang agak baik bagi yang ingin mendengar dan bertanya.

Tetapi itu dahululah ... esok segala-galanya akan berubah. Saya akan menjadi seorang suami kepada seorang wanita yang amat saya cintai. Dunia saya yang mendatang pastinya tidak akan sama dengan dunia-dunia lama yang pernah saya lalui dengan rasa bangga. Saya terus mengelamun tanpa henti ... gusar hati ini mampukah diri saya menjadi seorang suami yang baik ? ... Ia satu persoalan yang sangat penyakitkan hati dan perasaan.

Dikejutkan

Lamunan pekat saya dikejutkan oleh jeritan adik perempuan saya dari  dalam rumah. Dia mahu menggunakan suis elektrik yang telah saya gunakan untuk mengecas bateri kamera. Saya segera bergegas masuk ke rumah dan mencabut terus alat pengecas berkenaan dari kamera yang sangat-sangat berjasa dalam kehidupan saya itu. Kuasa baterinya sudah agak penuh. Saya membawanya keluar. Memang kamera berjenama Nikon itu sangat berjasa kepada saya. Ia tidak pernah sekali pun ponteng dalam memberikan perkhidmatannya kepada saya ketika di dalam perjalanan mahupun ketika majlis-majlis tertentu. Walaupun sudah agak ketinggalan zaman namun pada saya ia masih tetap unggul sama seperti hari pertama saya membelinya.


Model Nikon P100 kebanggaan saya

Saya melihat koleksi-koleksi gambar yang masih terdapat di dalam memori kamera berkenaan. Salah satu kelemahan saya ialah saya tidak suka memadamkan gambar-gambar lama yang terdapat di dalam kemera saya ini walaupun gambar-gambar berkenaan telah dipindahkan ke dalam komputer riba mahupun alat storan. Ini menyebabkan kad memori kamera yang bersaiz 4 gigabit itu kadang kala penuh dengan gambar sehingga saya perlu memadamkannya dari kemera satu persatu dan hal ini bagaikan menjadi satu kelaziman pula bagi saya.

Ketika melihat kembali gambar-gambar sewaktu melakukan perjalanan pertama dan kedua ke makam-makam bersejarah di sekitar daerah Hilir Perak dan Perak tengah beberapa hari yang lalu secara tiba-tiba hati saya berdetik kencang. Rasanya saya perlu melakukan satu lagi perjalanan pada petang ini. Ada sesuatu yang bagaikan memanggil saya untuk merungkai rasa resah hati ini.  Tetapi ke mana harus saya tujui langkah saya ini ? ... hati saya bungkam tanpa jawapan. 

Saya melihat satu persatu gambar-gambar yang terdapat di dalam memori kamera saya. Akhirnya ia terhenti di gambar batu tanda makam Almarhum Raja Kechil Tengah Ahmad di Kampung Pulau Besar Kampung Gajah. Saya meneliti setiap gambar-gambar yang pernah saya ambil di makam berkenaan. Kehilangan dan status baginda yang misteri membuatkan saya merasa perlu mencari cerita dan ilham tentang baginda. Tambahan pula dalam 110 tahun kebelakangan ini, sultan-sultan pemerintah negeri Perak adalah datang dari benih keturunan baginda. Saya yakin ada cerita yang boleh saya cari disebalik hal perlanjutan warisan keturunan baginda dalam pemerintahan Perak ini.

Ke Kota Bharu Gopeng

Dua orang putera Almarhum Raja Kechil Tengah Ahmad ini berjaya menjejaki hieraki takhta kesultanan Melayu Perak. Salah seorang daripadanya telah berjaya menjadi sultan Perak ke-23 dengan gelar Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah. Manakala seorang lagi putera baginda pula yang bernama Raja Alang Iskandar pula telah dilantik menjadi Raja Bendahara. Saya telah mengulas cerita berkenaan dengan Almarhum Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah ini tidak lama dahulu ( sila rujuk entri ini : Misteri Batu Nisan Acheh Di Pulau Juar ). Bagi memuaskan hati, saya mengambil keputusan untuk mencari makam putera kedua Almarhum Raja Ahmad iaitu Raja Bendahara Alang Iskandar. Saya pasti ada cerita yang boleh saya temui di makamnya... insyaAllah.

Makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar terletak di pekan Kota Bharu dalam mukim Teja tidak jauh dari bandar Gopeng. Saya pernah mengulas cerita berkenaan pekan Kota Bharu ini dalam siri perjalanan saya ke pekan-pekan lama sekitar negeri Perak dalam tahun 2010 ( rujuk entri ini : Kembara Melihat Pekan-Pekan Lama 3 : Pekan Kota Bharu ). Sayangnya sewaktu kunjungan kali pertama saya ini tidak pula saya terfikir untuk menziarahi makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar ini. Mungkin kerana objektif saya pada ketika itu yang berbeza dengan kunjungan kali ini.

Saya melihat jam di dinding rumah yang menunjukkan angka 2.20 minit petang. Saya mula berkira-kira jarak dan masa yang akan saya ambil untuk ke makam berkenaan. Cuaca juga agak baik dan tidak terlalu panas. Akhirnya setelah berfikir sejenak, saya mengambil keputusan untuk ke Kota Bharu. Emak yang melihat saya tergopoh-gapah bersiap terus bertanya kemana arah tujuan saya pada petang ini ... dengan selamba saya berkata saya mahu ke kubur ... hehehe.

Emak membebel sebentar dengan jawapan saya. Saya tahu beliau risau tambahan pula esok saya akan menjadi pengantin. Beliau mengingatkan saya bahawa saya masih berdarah manis. Saya diam dan tersenyum. InsyaAllah segalanya akan baik-baik sahaja.

Perjalanan lancar tanpa sebarang masalah. Dengan kelajuan yang sederhana saya yakin saya boleh sampai ke Kota Bharu dalam jam empat petang. Satu sahaja masalah yang perlu saya selesaikan iaitu mencari makam almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar ini. Jujurnya saya tidak tahu di manakah letaknya makam baginda. Namun demikian saya yakin pasti saya akan berjumpa dengan makam baginda walaupun perlu bersusah-susah sedikit. Alhamdulillah saya tiba ke pekan Kota Bharu tepat pada masa yang saya jangkakan.

Sebaik sahaja sampai ke pekan Kota Bharu yang sunyi saya terus mula mencari makam yang dimaksudkan. Pada pandangan saya pasti makam berkenaan terletak tidak jauh atau  di dalam kampung-kampung Melayu sekitar pekan Kota Bharu. Sayangnya saya tidak berjumpa langsung dengan kepuk makam. Ini membuatkan saya menjadi bingung. Mahu ditanya pada penduduk kampung terasa segan. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk terus sahaja menyusuri jalan utama tanpa arah tujuan.

Cerita Kota Bharu

Semakin jauh saya bergerak dari pekan Kota Bharu semakin kurang rumah-rumah penduduk kampung. Suasana petang yang meredup membuatkan saya semakin tidak keruan. Nampaknya impian saya untuk mencari makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar semakin pudar.



Pekan Kota Bharu sebenarnya sudah wujud sejak ratusan tahun yang lalu. Menurut Datuk Dr Haji Dzulkarnain bin Haji Abdul Rahman iaitu pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia cawangan negeri Perak, pekan Kota Bharu ini sudah wujud sejak dari awal abad ke-17 lagi.  Kedudukannya yang terletak di persisir Sungai Kinta ( dahulu dipanggil Sungai Kenta ) , menjadikannya sebagai sebuah pusat perdagangan yang agak sibuk. Malahan dikatakan landasan keretapi pertama di negara kita sebenarnya pernah dibina di pekan ini dan bukannya di Johor. Sayangnya maklumat sejarah berkenaan landasan keretapi ini agak kabur dan kesan peninggalannya juga mungkin telah lenyap ditelan zaman.

Dari komen seorang pengunjung blog ini, ketika era penjajahan khabarnya pihak Inggeris pernah merancang untuk menjadikan Kota Bharu sebagai pusat pentadbiran utama daerah Kinta. Sayangnya perancangan pihak Inggeris untuk menjadikan Kota Bharu sebagai " Capital Of Kinta Valley"tidak menjadi kenyataan akibat dari kedudukan pekan ini yang terdedah kepada bahaya banjir dari Sungai Kinta. Akhirnya Batu Gajah yang terpilih menjadi pusat pentadbiran daerah Kinta atas sebab kedudukan Batu Gajah yang terletak agak tinggi ( changkat ).

Umum mengetahui bahawa Lembah Kinta suatu ketika dahulu merupakan kawasan utama pengeluaran bijih timah dunia. Kota Bharu juga sebahagian dari sejarah penting kesan perlombongan di Lembah Kinta ini. Oleh itu adalah tidak menghairankan jika kita mudah melihat kawasan bekas-bekas lombong bijih timah di kiri dan kanan jalan pekan ini. Sungai Kinta yang mengalir dalam kawasan Kota Bharu ini membawa sejuta rahmad apabila alirannya juga turut membawa bijih timah yang bernilai tinggi suatu ketika dahulu.


Kepuk Makam Yang Tinggi


Saya tetap meneruskan tunggangan motosikal saya dengan mata saya sentiasa melilau memerhatikan kiri dan kanan jalan jika terserempak dengan kawasan perkuburan. Semakin jauh ke hadapan semakin gundah hati saya. Jam di tangan sudah mula hampir ke angka lima petang. Selain dari mengejar masa, saya juga perlu bersolat Asar.  Mungkin jauh di hadapan ada surau yang boleh saya singgahi untuk bersolat Asar.


Saya melintasi kawasan perkuburan yang terletak kiri dan kanan jalan. Hairan saya sendiri, bagaimana boleh terdapat dua kawasan perkuburan yang berbeza tempat namun berdekatan. Saya berhenti sejenak di pinggir jalan. Dari jauh saya terlihat satu binaan bertangga yang agak tinggi bewarna putih dan hitam. Saya memandang pula ke arah kawasan perkuburan di sebelah kanan jalan. Untungnya, ada papan tanda yang menunjukkan bahawa kawasan makam sebelah kanan berkenaan adalah khusus untuk kaum kerabat Orang Kaya Besar Seri Maharaja Diraja Tengku Syed Jaafar.  Jika tidak silap saya jawatan Orang Kaya Besar Seri Maharaja Diraja adalah jawatan penting dalam hieraki susunan pembesar negeri Perak. Jawatan ini merupakan yang kedua tertinggi dalam susunan pembesar berempat selepas jawatan  Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja.



Saya yakin kini saya telah menemui kepuk makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar. Saya terus menunggang motosikal saya melalui jalan yang agak sunyi. Kawasan perkuburan ini agak sunyi. Hati saya agak berdebar-debar juga ketika mula memasuki kawasan perkuburan. Di sebelah kiri kawasan perkuburan ini terdapat liputan hutan kecil yang memberikan suasana redup namun agak menyeramkan. Saya meletakkan motosikal dengan berhati-hati. Saya memandang sekeliling mencari jika ada manusia lain di sekitar kawasan makam. Nampaknya saya hanya bersendirian di sini.


Laluan ke makam 

Sebuah pondok yang uzur memberikan lagi suasana kusam di kawasan perkuburan ini. Mungkin ia dibina untuk dijadikan sebagai pondok wakaf bagi para penziarah. Saya mula memasuki kawasan kepuk makam. Inilah kali pertama saya berjumpa dengan kepuk makam yang agak tinggi dari tanah. Malahan untuk ke makam yang utama saya perlu mendaki beberapa anak tangga kecil. Makam ini amat terjaga malah ia adalah antara kepuk makam tercantik yang pernah saya lihat dalam siri ziarah saya ke makam-makam lama. Tetapi pastilah makam ini terjaga cantik kerana sultan-sultan Perak 110 tahun kebelakangan ini adalah dari benih warisan baginda. Malahan tidak keterlaluan dikatakan bahawa kaum kerabat diraja Perak dewasa ini ini kebanyakannya adalah dari warisan baginda. DYMM Sultan Azlan Shah yang sedang berkerajaan sekarang ini juga adalah generasi ke-5 Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar ini.


Pondok tinggal berdekatan kawasan makam


Anak tangga untuk ke makam utama

Saperti biasa yang sering saya lakukan, saya tidak akan terus masuk atau naik terus ke atas kepuk makam. Sebaliknya saya lebih selesa berlegar-legar dahulu di sekitar kawasan makam bagi melihat suasana dan ciri-ciri binaan sesebuah kepuk makam. Sebuah papan tanda yang menerangkan tentang Almarhum berdiri tegak betul-betul di hadapan luar pagar kepuk makam. Maklumat yang diberikan agak jelas secara tidak langsung berupaya memperincikan sejarah Almarhum kepada para penziarah.


Papan tanda makam

Terdapat juga makam-makam lain di sekitar kawasan kepuk makam. Namun ia agak tersorok dari pandangan mata akibat dilindungi oleh belukar kecil yang merimbun. Saya mula memasuki kawasan kepuk makam. Binaanya sangat berseni dan indah. Catnya yang bewarna putih dan corak-coraknya yang dicat hitam menambahkan lagi serinya. Sebatang tiang bendera juga menghiasi kawasan kepuk makam ini. Saya mendaki beberapa anak tangga yang terdapat pada kepuk makam. Makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar  terletak di tingkat yang paling atas manakala di bahagian bawah pula terdapat beberapa makam yang ditandai dengan batu nisan dari jenis granit. Mungkin makam-makam berkenaan adalah makam ahli keluarga terdekat Almarhum.


Antara makam lain sekepuk dengan 
makam Almarhum Raja Alang Iskandar



Sesuatu yang unik ialah batu nisan makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar ini adalah sama dengan batu nisan sultan-sultan Perak yang pernah saya ziarahi. Uniknya inilah kali pertama saya menziarahi makam seorang raja bergelar dan bukannya seorang Sultan. Kain yang menutupi batu nisan makam ini masih lagi cantik dan tidak dimakan masa. Jauh berbeza dengan kain-kain penutup batu nisan makam-makam sultan yang pernah saya ziarahi sebelum ini.Lantai kawasan makam ini juga dihiasi jubin dan bukannya dari tanah. Sememangnya makam ini amat dijaga dengan begitu teliti.





Al-Fatihah untuk Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar

Cerita Lama Yang Berselerakan

Seperti yang telah saya jelaskan sebelum ini, Raja Bendahara Alang Iskandar ialah putera kepada Almarhum Raja Ahmad yang dikatakan ghaib atau mangkat akibat terjatuh di Sungai Terus tidak jauh dari Kampung Gajah. Identiti Raja Ahmad ini agak misteri sehingga dalam entri saya sebelum ini, saya pernah menyatakan bahawa baginda ialah dari warisan lain yang masuk dalam sistem pemerintahan negeri Perak ini. Namun itu adalah sekadar teori semata-mata dan hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui tentang segalanya tentang baginda.

Seperti yang tercatat di dalam sejarah, seorang putera Raja Ahmad ini iaitu Raja Ngah Jaafar telah berperang dengan sultan Perak ke-22 iaitu Sultan Abdullah Muhammad Shah I. Dalam peperangan ini Sultan Abdullah Muhammad Shah I telah tewas.  Anehnya beberapa tahun selepas itu orang-orang besar Perak telah melantik Raja Ngah Jaafar menjadi sultan Perak ke-23 dengan gelar Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah dan memecat terus Sultan Abdullah Muhammad Shah I dari takhta. Akhirnya Sultan Abdullah Muhammad Shah I mangkat di Durian Sebatang tidak lama selepas itu.

Saya melihat dari aspek berbeza berkenaan dengan peperangan antara Sultan Abdullah Muhammad Shah I dengan Raja Ngah Jaafar ini. Sebilangan ahli sejarah menyatakan ia adalah peperangan saudara bagi merebut takhta namun saya lebih melihatnya sebagai satu perebutan kuasa antara garis keturunan dari kerabat yang berbeza. Ianya juga saling berkait rapat dengan suku-suku tertentu yang begitu dominan dalam hieraki pembesar negeri Perak ketika itu. Tambahan pula Sultan Abdullah Muhammad Shah 1 dan Raja Ngah Jaafar, kedua-duanya bukan putera sultan sebaliknya hanyalah putera kepada Raja bergelar. 

Peperangan antara Sultan Abdullah Muhammad Shah I dengan Raja Ngah Jaafar inilah seterusnya membawa kepada masalah perebutan takhta yang lebih rumit pada masa depan sehingga akhirnya pihak Inggeris telah campur tangan dalam bidang kuasa pentadbiran negeri Perak.

Dengan perlantikan Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah Ibni Raja Kechil Tengah Ahmad ini maka baginda kini mempunyai autoriti yang kuat dalam pemerintahan Perak. Tambahan pula baginda mempunyai sokongan yang kuat dari para pembesar Perak ketika itu. Bonus kepada kekuasaan Sultan Jaafar Safiuddin pula ialah adindanya iaitu Raja Alang Iskandar memegang jawatan sebagai Raja Bendahara. 

Saya agak kurang jelas dengan perlantikan Raja Alang Iskandar ini sebagai Raja Bendahara ini. Fakta yang saya temui di internet agak kabur dan berserabut. Ada yang menyatakan baginda telah dilantik menjadi Raja Bendahara oleh Sultan Abdullah Muhammad Shah pada tahun 1851. Namun demikian seperti yang tertera pada papan tanda makam Sultan Abdullah Muhammad Shah di Durian Sebatang, pada tahun 1851 yang menjadi Raja Bendahara pada ketika itu ialah Raja Ngah Jaafar. 


Ada juga yang menyatakan baginda dilantik menjadi Raja Bendahara pada tahun 1841. Atau mungkin juga baginda diangkat menjadi Raja Bendahara menggantikan kekandanya yang berjaya menduduki takhta kerajaan tanpa memegang ( melangkah ) jawatan Raja Muda.Hal ini mungkin benar kerana hasil rujukan saya di laman Royal Ark, jelas menunjukkan Raja Alang Iskandar hanya pernah memegang jawatan sebagai Raja Bendahara sahaja tanpa pernah memegang jawatan raja-raja bergelar yang lain. Tambahan pula, Raja Lop Yusof iaitu anakanda kepada Sultan Abdullah Muhammad Shah 1 telah dinafikan kedudukannya dalam hieraki jawatan Raja Bergelar Perak walaupun beliau layak atas alasan tidak disukai oleh pembesar. 



Raja Lop Yusof Ibni Sultan Abdullah Muhammad Shah 1
( seterusnya menjadi sultan Perak ke 27 )

Raja Bendahara berada dalam hieraki ketiga dalam kuasa pemerintahan negeri Perak selepas sultan dan raja muda. Yang agak ganjil disini ialah baginda tidak memilih untuk bersemayam di tebing Sungai Perak seperti yang sering dilakukan oleh mana-mana raja bergelar atau bakal sultan sebaliknya baginda memilih untuk bersemayam di Teja yang terletak di pertengahan Sungai Kinta yang berkualakan Sungai Perak. Pasti ia mempunyai rahsianya yang tersendiri. 


Saya melihat dari sudut berbeza berkenaan dengan kawasan pentadbiran Raja Bendahara Alang Iskandar ini. Jika kita meninjau kepada peristiwa kejatuhan atau pemecatan Sultan Abdullah Muhammad Shah 1, ternyata kesannya masih terus berlarutan walaupun Raja Ngah Jaafar telah dilantik menjadi sultan. Mengikut ceritanya, kebanyakan rakyat negeri Perak masih lagi tidak mengiktiraf perlantikan Raja Ngah Jaafar sebagai sultan. Hanya selepas Sultan Abdullah Muhammad 1 mangkat barulah baginda diiktiraf sebagai sultan Perak. Lebih mengeruhkan lagi keadaan, putera Sultan Abdullah Muhammad Shah 1 iaitu Raja Lop Yusof masih lagi memegang jawatan raja bergelar dan masih mempunyai kuasa serta pengaruh di kawasan Senggang dan Sayong. Ini sudah pasti akan menimbulkan pelbagai masalah kepada baginda sekiranya Raja Lop Yusof akan menyerang baginda. Baginda memilih untuk bersemayam di Pasir Panjang tidak jauh dari Kampung Gajah. 



Oleh yang demikian, baginda memerlukan sokongan dari kerabat diraja yang lain bagi menguatkan pengaruh dan kekuasaannya. Raja Ngah Ali yang memegang jawatan sebagai Raja Muda ketika pemerintahan Sultan Abdullah Muhammad Shah 1 dikekalkan dan berkuasa di Sayong. Ini secara tidak langsung berupaya melumpuhkan kekuasaan Raja Lop Yusof di kawasan berkenaan dan hal ini terbukti apabila Raja Ngah Ali di lantik menjadi sultan Perak ke-24 dengan gelar Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah, baginda telah memecat terus Raja Lop Yusof dari sebarang jawatan Raja Bergelar negeri Perak walaupun Raja Lop Yusof layak untuk jawatan tersebut.

Kajian peta menunjukkan kawasan kekuasaan Raja Lop Yusof di Senggang
( berbulatan merah ) yang diapit oleh kawasan kekuasaan
Raja Muda Ngah Ali di Sayong ( berbulatan biru ) dan Raja Ismail di Belanja
( berbulatan unggu ). Kawasan kekuasaan Sultan Jaafar pula berbulatan hijau
terletak tidak jauh dari kawasan kekuasaan Raja Bendahara Alang Iskandar
 (berbulatan hitan )... adakah ini satu muslihat yang sangat bijak ?

Raja Alang Iskandar pula yang menjadi Raja Bendahara memilih untuk berkuasa di Teja tidak jauh dari kuala Sungai Kinta. Kuala Sungai Kinta terletak tidak jauh dari Kampung Gajah. Jika tidak silap dalam perkiraan saya kuala sungai ini agak bertentangan dengan kawasan mukim Bandar. Jadi kedudukan kawasan pemerintahan Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah adalah tidak jauh dari kawasan kuasa adindanya. Malahan, sekiranya berlaku serangan pasti Raja Bendahara Alang Iskandar dan para pengikutnya tidak mengambil masa yang lama untuk memberi bantuan kepada Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah ini. Ini hanyalah sekadar satu teori sahaja. Kesahihannya hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. 

Raja Bendahara Alang Iskandar Yang Berwibawa

Tidak banyak cerita yang boleh saya korek berkenaan dengan Raja Alang Iskandar ini di internet. Selain itu rujukan buku yang ada pada saya juga agak terhad. Cuma jika dilihat kepada beberapa catatan di internet jelas menunjukkan baginda merupakan seorang tokoh yang sangat berwibawa. Baginda berkuasa mengutip cukai dan hasil mahsul di kawasan Teja ini sehingga baginda diberi gelaran Bendahara Teja.

Baginda merupakan zuriat ke-12 anak-anak raja yang memegang gelaran Raja Bendahara. Jawatan Raja Bendahara ini mula wujud pada ketika pemerintahan Sultan Iskandar Dzulkarnain Ibni Sultan Muhammad Shah Aminullah ( sultan Perak ke-12 ) setelah penyandang akhir jawatan bendahara ini dari keluarga Megat Terawis menyerahkan jawatan tersebut kepada baginda setelah berlakunya satu perbalahan berkenaan pembinaan istana. Sultan Iskandar Dzulkarnain telah bertindak menyerahkan jawatan bendahara tersebut kepada adindanya yang bernama Raja Alauddin Ibni Sultan Muhammad Shah Aminullah ( seterusnya menjadi sultan Perak ke-17 dengan gelar Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda ). Bermula dari perlantikan Raja Alauddin inilah bermulanya senarai zuriat anak-anak raja memegang jawatan Raja Bendahara sehinggalah pada tahun 1958 Sultan Sultan Yussuf Izzuddin Shah ( Sultan Perak ke-32 ), memulangkan jawatan bendahara ini kepada orang kebanyakan setelah penyandang terakhir jawatan ini iaitu Raja Abdul Rashid Ibni Sultan Idris Shah mangkat.


Almarhum Raja Abdul Rashid Ibni Sultan Idris Shah
penyandang jawatan Raja Bendahara terakhir Perak Darul Ridzuan
( kredit foto : Maharum Bugis Shah )

Baginda mengutip hasil dan khazanah serta cukai di atas segala barang-barang yang masuk dan keluar di Kuala Sungai Kinta. Kutipan itu dilakukan setahun sekali, iaitu kutipan keluarga yang dinamakan "BENAN KELUAR". Baginda menghantar seorang suruhannya dari keturunan Orang Kelar yang berasal dari Lambor bernama Alang Laut Bin Tok Monen atau Tok Nara, pergi ke kampung - kampung mengutip cukai 50 sen sekeluarga dengan membawa "BAUR" iaitu Keris Kuasa Raja. Lanjutan daripada itu Alang Laut digelar Panglima Teja iaitu Orang Besar Enam Belas dan penolongnya Tok Muda Lahab (Tok Rusa). Jadi berkemungkinan gelaran  Panglima Teja yang merupakan orang besar-16 Perak mungkin mula wujud ketika period baginda menjadi Raja Bendahara.


Saya memegang batu nisan makam yang berbalut cantik ini. Fikiran saya sibuk memikirkan tentang mukim Teja yang menjadi kawasan kuasa Raja Bendahara Alang Iskandar ini. Aneh saya sendiri memikirkan bagaimana baginda boleh memilih untuk bersemayam di sini. Jika tidak silap saya hanya seorang sahaja sultan Perak yang pernah bersemayam di kawasan lingkungan Sungai Kinta ini iaitu Sultan Iskandar Dzulkarnain yang telah saya ceritakan dalam dua perenggan di atas. Baginda memutuskan untuk berkerajaan di Pulau Indera Sakti yang terletak di pertemuan kuala Sungai Kinta dan Sungai Perak. Sungguh pun begitu baginda masih tetap tidak"jauh duduk" dari Sungai Perak.

Kepuk makam yang indah

Namun demikian dalam sejarah panjang kesultanan Perak, memang diakui terdapat gelaran-gelaran raja yang kini sudah tidak digunakan lagi seperti Raja Di Baruh, Raja Di Hulu dan lain-lain lagi. Saya sendiri masih lagi mencari fakta berkenaan kawasan kekuasaan mereka ini. Kenapa dan bagaimana jawatan ini dimansuhkan tidak pula saya ketahui. Jawatan raja bergelar terakhir yang dimansuhkan ialah Raja Bendahara dan sehingga kini hanya tinggal tujuh jawatan sahaja dalam hieraki kesultanan Melayu Perak.

Raja Alang Iskandar mangkat pada tahun 1861 sewaktu kekandanya Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah masih lagi bertakhta dan dimakamkan di Kuala Teja. Baginda digelar Marhum Teja. Kemangkatan baginda telah menyebabkan Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah melantik Raja Ismail Ibni Saiyid Shaikh Al-Khairat sebagai Raja Bendahara yang baru dan berkuasa di kawasan Belanja. Perlantikan ini juga pasti mempunyai muslihatnya yang tersendiri kerana Belanja dapat dijadikan kawasan penampan dari pengaruh Raja Lop Yusuf yang sememangnya masih berjuang menuntut haknya ke atas takhta. Raja Ismail ini sebenarnya hanyalah waris sebelah tanah sahaja iaitu bermaksud mewarisi darah raja kesultanan Perak dari sebelah ibunya. Manakala ayahandanya pula adalah dari kerabat diraja Siak. Ini adalah satu tindakan berani dari Sultan Jaafar Safiuddin Muzaffar Shah yang seterusnya kelak bakal menimbulkan lebih keributan dalam perebutan takhta kesultanan Perak.


Mencungkil Rahsia


Ketika duduk-duduk meninjau makam ini secara tiba-tiba fikiran saya mula menerawang memikirkan sesuatu. Saya mula mendapat gerak rasa bahawa ada rahsia di sebalik semua sejarah yang pernah berlaku dahulu. Saya mula mengerti kenapa Raja Lop Yusuf berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan kekuasaan warisan keturunannya keatas takhta negeri Perak. Jawapannya ada dan ia adalah seperti yang saya sangkakan sejak menziarahi batu tanda makam Raja Kechil Tengah Ahmad dahulu bahawa terdapat aliran warisan baru yang masuk ke dalam sistem hieraki takhta kesultanan Perak. Kini saya sudah semakin menjumpai jawapannya.


Jika kita meninjau warna bendera negeri Perak yang ada pada hari ini, maksud disebalik warna bendera itu sebenarnya mempunyai sebab yang tertentu. Umum mengetahui bahawa warna putih melambangkan warna rasmi sultan pemerintah Perak, warna kuning pula diertikan sebagai warna rasmi Raja Muda, manakala warna hitam khusus melambangkan warna rasmi Raja Bendahara ( selepas gelaran Raja Bendahara dihapuskan, Raja Di-Hilir menggunakan pula warna hitam ini sebagai warna rasmi. Ini dapat kita lihat melalui warna pakaian istiadat yang dikenakan oleh Duli-duli yang saya sebutkan tadi.


Rahsia bendera negeri Perak

Namun demikian, secara tersiratnya warna-warna berkenaan melambangkan pecahan warisan bagi tiga cabang kekuasaan yang berbeza bagi takhta negeri Perak. Warna putih melambangkan waris Acheh. Warna kuning pula melambangkan waris Melaka dan warna hitam pula melambangkan waris Bugis. Namun bagaimana ini boleh berlaku sedangkan kesultanan Perak dikatakan memiliki titisan darah kesultanan Melaka yang sah ? .... jadi bagaimana ada warisan lain yang masuk merajai negeri Perak ini ? ... resah saya semakin membara pula di tanah Teja ini. Fikiran saya mula mencerna beberapa fakta dan teori berkenaan dengan hal ini. 


Saya amat meyakini, bahawa bermulanya permasalahan ini atau dengan lebih tepatnya bagaimana ada warisan lain yang masuk ke dalam sistem pemerintahan Perak ini bermula dari pergeseran antara Sultan Abdullah Muhammad Shah 1 dengan Raja Ngah Jaafar. Hal ini dikuatkan lagi dengan tindakan Raja Muda ketika itu iaitu Raja Ngah Ali ( seterusnya menjadi sultan Perak ke-24 dengan gelar Sultan Ali Inayat Shah ) yang tidak masuk campur dalam permasalahan ini sebaliknya baginda mengambil sikap berkecuali ( terdapat juga pendapat sebenarnya baginda menyebelahi Raja Ngah Jaafar ). Jadi adakah kewujudan watak tiga orang duli-duli ini dapat menggambarkan kedudukan mereka mewakili darah keturunan Acheh, Melaka dan Bugis ? Agak menerik juga untuk menilai perkara ini dan saya yakin ia punya ceritanya yang tersendiri.


Mengikut sejarahnya, bendera negeri Perak mula diperkenalkan ketika period Raja Lop Yusof ketika itu menjawat jawatan Raja Muda menjadi pemangku sultan Perak atau kira-kira dalam tahun 1879. Peristiwa Perang Perak yang berlaku akibat dari pembunuhan residen Inggeris pertama Perak rupa-rupanya memberi peluang kepada baginda untuk menerajui takhta. Uniknya, selepas peristiwa Perang Perak itu negeri Perak sebenarnya tidak bersultan dan Raja Lop Yusof terus menjadi pemangku sultan Perak selama lebih kurang 10 tahun sehingga tahun 1886. Sayangnya baginda tidak lama di atas takhta iaitu hanya kira-kira satu tahun sahaja dan mangkat pada tahun 1887. Baginda merupakan sultan Perak terakhir yang bersemayam dan dimakamkan di tebing sebelah kanan sungai Perak selaras dengan perjanjian lama antara sultan Perak pertama dengan Tok Temong. Selepas dari itu .... semua sultan Perak disemadikan di tebing kiri sungai Perak atau di Bukit Chandan.

Ketika Sultan Yusuf Syarifudin Muzaffar Shah memerintah, yang menjadi Raja Muda ialah Raja Idris Ibni Raja Bendahara Alang Iskandar manakala Raja Bendahara pula ialah Raja Usman Ibni Sultan Ali. Jika diperhatikan dengan jelas, saya meyakini inilah jawapan penting kepada maksud bendera negeri Perak. Perhatikan gelaran hujung yang digunapakai oleh Sultan Yusuf yang berakhir dengan nama Muzaffar ... adakah ia membawa bukti baginda mewakili kerabat Melaka ? 

Perhatikan pula nama hujungan ayahanda Raja Bendahara Usman iaitu Sultan Ali Al-Mukammil Inayat Shah. Baginda meletakkan nama Al-Mukammil. Jika tidak silap saya terdapat sultan-sultan Aceh yang lahir dari keluarga Al-Mukammil ini. Adakah Raja Bendahara Usman dianggap mewakili kerabat diraja Acheh ? 

Dan yang akhir sekali ialah Raja Muda Idris Ibni Raja Bendahara Alang Iskandar ( seterusnya sultan Perak ke- 28 ) ... adakah baginda mewakili kerabat diraja Bugis ?. Hal inilah mungkin menjadikan telahan saya di makam Almarhum Raja Kechil Tengah Ahmad sebelum ini benar. Hari ini saya berada di makam Raja Bendahara Alang Iskandar pula .. maka telahan tersebut bagaikan telah dijawab. Wallahualambissawab.

Namun demikian, sebagai pilihan kepada penyelesaian hal ini, saya lebih selesa untuk menyatakan bahawa percampuran dan perkahwinan dari beberapa kerabat berlainan warisan ini sedikit sebanyak menyelamatkan jiwa Melaka yang diwarisi oleh kesultanan Melayu Perak. Sejarah menunjukkan bahawa apabila munculnya Sultan Muzaffar Shah II dari Siak menjadi sultan Perak ke-10, maka aliran warisan Melaka dalam darah sultan-sultan seterusnya adalah dari benih sebelah pihak perempuan. Ianya terus berlanjutan dan tidak mustahil .... benih Melaka sebelah lelaki muncul semula pada masa depan tetapi dalam jenama keluarga yang lain .... wallahualambissawab.

Meneruskan Perjalanan

Saya akhirnya mengambil keputusan untuk bergerak pulang. Sebelum pulang sempat saya meninjau-ninjau makam-makam yang terdapat disekitar makam. Ternyata suasana petang yang meredup membuatkan hati saya menjadi kecut untuk berlama-lama disini. Tambahan pula saya hanya berseorangan di sini ... fikiran-fikiran yang negatif sangat sukat dibuang dari dalam kepala.

Saya meyakini apa yang terlintas dalam fikiran semasa berada di makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar ini adalah terlahir dari ilham dan kajian ringkas saya. Tambahan pula sungai Kinta yang mengalir tidak jauh dari makam ini bukanlah asing bagi keluarga dari sebelah ayah saya. Kampung Jong Buruk (kini telah ditinggalkan sepi ) yang terletak di kuala Sungai Kinta adalah tempat asal keturunan saya. Pasti kampung ini satu ketika dahulu merupakan kawasan pegangan kuasa Raja Bendahara Alang Iskandar ini. Bapa moyang saya pernah diceritakan pernah menjadi orang kepercayaan sultan dan berkuasa di kampung berkenaan. Jika tidak silap saya, moyang saya berketurunan Bugis. Oleh itu tidak hairanlah suatu ketika dahulu masih ada Raja Muda yang bersemayam di Teluk Intan apabila pergi menuba ikan di sungai Kinta mahupun di sungai Perak pasti akan singgah di Kampung Jong Buruk ini. Namun sesuatu yang pasti .... 100 tahun kebelakangan ini penyandang Raja Muda semuanya dari keturunan almarhum Raja Kechil Tengah Ahmad dan anakandanya Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar ini. Ia seolah-olah membeli semula sebuah cerita lama yang telah ditinggalkan.

Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar Ibni Raja Kechil Tengah Ahmad ... suatu watak yang luarbiasa dalam sejarah kesultanan Melayu Perak. Kini ... hampir 160 tahun kemangkatannya, kuasa warisan baginda tidak pernah luntur dalam hieraki pemerintahan kesultanan Perak. Dan dalam 160 tahun itulah ..... cabang-cabang warisan lain ada yang hilang tanpa cerita. Biarlah ia terus menjadi cerita dalam rahsia bagi yang mengerti. Saya pula akan terus mencari pengertiannya hingga berjumpa pengakhirannya.

Sampai sahaja di simpang jalan ... saya terpandang papan tanda kawasan perkuburan di hadapan .... Ermmm ...  Orang Kaya Besar Seri Maharaja Diraja ... satu gelaran yang membuatkan saya terus menunggang motosikal ke arah kawasan pemakaman itu. Dan petang yang semakin tua itu sekali lagi gagal menghalang perasaan ingin tahu saya ... benar ... perasaan ingin tahu itu terus membuatkan saya resah di Tanah Teja yang bersejarah ini.......... 


Bersambung ...














Mengenang Suatu Masa Yang Telah Berlalu 6

$
0
0
Hafez J.Malim 
Si Penggoreng Ayam



Sesekali Bercerita

Lama sungguh rasanya saya tidak menulis catatan berkenaan dengan siri 'Mengenang Suatu Masa Yang Telah Berlalu' . Memang diakui dua tahun kebelakangan ini, amat jarang saya mempunyai masa yang berkualiti untuk menulis di blog perkongsian ini. Sehingga ada beberapa teman yang sering membaca blog ini seakan-akan menganggap, yang saya kini sudah mahu'tutup kedai' dalam menjadi penulis blog. 

Ketawa besar saya apabila diusik sedemikian rupa. Blog INDAHRASAJMALIM ini bukan blog berpaksikan keuntungan. Ia hanya sekadar perkongsian bicara antara saya dan pembaca dan pastinya segala tuntutan penulisan itu tidak dapat saya penuhi pada setiap masa. Selain dari kekangan masa dan tenaga, perkara pokok yang pastinya mengganggu saya dalam penulisan ialah kekurangan idea dan cerita. Maka tertinggallah blog ini sepi tanpa ada cerita yang terbaru. Sesuatu yang tidak pernah saya jangkakan ketika pertama kali menjadi penulis blog kira-kira enam tahun yang lalu.

Hari ini secara tiba-tiba saya terasa begitu kepingin untuk menulis. Sayangnya saya tidak punya idea yang segar untuk dicoretkan. Lama saya berfikir dan akhirnya timbul niat untuk menambahkan lagi suatu cerita berkenaan dengan pengalaman diri menempuh kehidupan yang lalu. Sudahnya saya kembali memetik papan kekunci komputer riba ini untuk berkongsi segala keriangan masa muda yang pastinya tidak lagi dapat dilalui kini.

Ya ... saya dapat mengingatinya kembali di awal bulan September 2008 sejurus setelah saya bergraduat dari Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) Tanjong Malim atau tepatnya pada hari pertama bulan Ramadhan pada tahun berkenaan .... saya menjadi pekerja di restoran Kentucky Fried Chicken ( KFC ) Tapah.


Kenangan semasa bergraduasi

Amarah Ketika Menjual Santan

Usai sahaja menamatkan urusan latihan mengajar di SMK Sungai Besar, Selangor pada April 2008, maka secara teknikalnya berakhirlah sudah pengajian saya dalam bidang Pendidikan Khas di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim. Saya kembali semula ke Bidor dan bekerja semula di pasar Bidor sebagai penjual santan kelapa. Dalam usia 24 tahun pada ketika itu, saya meniti semula laluan kenangan bekerja di pasar sama seperti pada tahun-tahun selepas menduduki peperiksaan SPM ( 2001 ) dan STPM ( 2003 ). 


Saya menjalankan program latihan mengajar
di PPKI SMK Sungai Besar dari bulan 
Januari hingga April tahun 2008.

Keadaan sudah agak berubah ketika ini, tahun 2008 saya sudah menjangkau usia 24 tahun dan rasa kematangan rasanya sudah mula terlihat pada diri. Menunggu untuk bergraduasi dan penempatan guru-guru baru pula masih belum diketahui bila masanya, sedangkan poket pula semakin menipis. Mahu tidak mahu saya perlu juga ke pasar untuk mencari duit poket. Tambahan pula untuk bergraduasi memerlukan juga duit modalnya untuk menyewa jubah dan menempah gambar. Ketika teman-teman lain mengambil inisiatif bekerja di kilang atau menjadi guru sandaran, saya memilih semula untuk ke pasar Bidor ... menjual santan.

Bekerja menjual santan ini ada pasang dan surutnya. Sesekali kerjanya berat dan pembeli agak ramai. Sesekali pembeli agak berkurangan dan saya dapatlah mengular meronda-ronda di pekan Bidor yang serba kecil itu. Gaji yang diterima ketika itu pun sudah agak besar dan dapatlah saya menampung hidup sebagai orang muda. Sayangnya saya tidak berlama-lama bekerja di pasar. Akibat dari suatu insiden yang menyebabkan berlakunya pertengkaran saya dengan opah ( tuan kedai santan ) telah menyebabkan saya diberhentikan kerja. Itulah amarah orang muda yang merasa dirinya sentiasa betul dan akhirnya memakan diri sendiri ..... saya kembali menjadi penganggur.

Mujur juga saya sempat menyimpan sedikit duit hasil bekerja di pasar. Dengan sedikit duit simpanan tersebut dapat juga membantu membiayai pembayaran  sewaktu konvokesyen saya di UPSI pada tahun 2008. Selepas konvokesyen, segala duit simpanan saya telah habis dan dapat saya rasakan betapa peritnya kehidupan tidak berduit dalam usia sedemikian. Mahu mengharapkan ayah terasa pula malu. Mahu tidak mahu saya perlu keluar mencari kerja. 

Rezeki Akhir Syaban


Restoran KFC Tapah terkini, tempat
saya mencari rezeki dahulu.

Agaknya memang sudah menjadi rezeki saya, ketika meronda-ronda di pekan Tapah saya ternampak iklan kekosongan jawatan di restoran KFC. Pada mulanya terasa segan di hati untuk mencuba nasib memohon kerja di restoran berkenaan. Namun dalam keadaan terpaksa saya mencuba juga menelefon nombor yang tertera dan memohon untuk bekerja. Panggilan saya dijawab dan diminta untuk datang ke restoran tersebut pada keesokan harinya.

Sayangnya ketika kehadiran saya keesokan harinya suasana di restoran berkenaan begitu sesak dengan pelanggan dan saya diminta untuk datang pada keesokan harinya pula oleh pengurus restoran KFC berkenaan. Sewaktu pulang dari restoran berkenaan, saya sudah mula merasakan tawar hati untuk bekerja disitu. Mungkin bukan rezeki saya agaknya. Nampaknya saya perlu mencari tempat kerja lain.

Namun esoknya baru sahaja saya mahu keluar mencari kerja secara tiba-tiba telefot bimbit saya berbunyi. Rupa-rupanya pengurus KFC berkenaan telah menghubungi saya dan menawarkan saya untuk bekerja di restoran KFC berkenaan. Tanpa berlengah saya menaiki motor kapcai buruk saya ke Tapah dan Alhamdulillah ... malam esoknya saya sudah boleh mula bekerja. Ya ... bekerja di hari pertama di dalam bulan Ramadhan.

Saya diberikan sehelai baju bewarna merah hati, sebuah topi dan sehelai apron. Seluar hitam dan kasut hitam pula saya perlu sediakan sendiri. Tugasan saya di bahagian dapur. Menggoreng ayam dan menyediakan perapan ayam. Saya masih ingat lagi gaji saya ditetapkan RM2.80 untuk satu jam bekerja. 

Mula Bekerja



Hari pertama di tempat kerja saya tidak melakukan apa-apa. Sekadar memerhati dan melihat teman-teman baru bekerja. Untuk seminggu saya ditetapkan bekerja pada waktu malam bermula dari jam 7.00 malam sehingga jam 11.30 malam. Apabila difikirkan kembali berapalah sangat gaji yang dapat saya terima jika bekerja hanya empat jam sehari namun saya menerimanya sebagai suatu pengalaman hidup.

Saya mula membiasakan diri dengan suasana bekerja. Paling menarik ia adalah pengalaman bekerja pertama saya di bulan puasa. Setiap hari pada jam 6.30 petang, emak akan menyediakan bekal untuk saya berbuka puasa di tempat kerja. Anehnya, tidak pula saya terliur dengan aroma ayam goreng KFC yang enak itu sejak bekerja walaupun sebelum ini memang sangat menyukai hidangan ayam goreng berkenaan. Agaknya mungkin rasa kebertanggungjawaban itu membuatkan selera terhadapnya hilang serta merta. Jujur saya katakan, saya tidak pernah mencuri-curi menikmati ayam goreng yang dimasak oleh saya.

Namun yang pastinya, hampir setahun selepas berhenti kerja dari restoran KFC, saya seakan-akan tidak boleh mencium bau atau memakan ayam KFC. Pelik ... namun itulah realitinya. Ia bagaikan menjemukan saya !

Suasana Bekerja Yang Menyeronokkan

Semakin hari saya mula menikmati suasana bekerja. Perhubungan saya dengan teman-teman sekerja juga semakin baik. Selari dengan masa, jam kerja saya juga mula dipertingkatkan. Sesekali saya akan mula masuk berkerja pada jam 3 petang atau jam 5 petang. Sesuatu yang menarik ialah pada ketika itu, jika kita bekerja melebihi empat jam maka kita layak untuk mendapat satu set hidangan sebagai makanan waktu rehat. Maka dapatlah saya berbuka puasa dengan ayam goreng KFC dan emak tidak perlu menyediakan bekalan untuk saya.

Sesuatu yang perlu masyarakat ketahui ialah apabila bekerja dengan sebuah organisasi yang menyediakan makanan berkualiti kepada pelanggan seperti KFC ini,  soal kebersihan, kualiti dan peraturan yang ketat amat dititikberatkan. Untuk menghasilkan ayam goreng yang berkualiti ia haruslah disediakan mengikut prosedur yang betul dan selamat. Dari aspek meratakan tepung, memerap dan meletakkan ayam di dalam "bucket"semuanya haruslah disediakan mengikut prosedur. Malahan susunan potongan ayam juga adalah mengikut apa yang telah ditetapkan oleh prosedur. Ini menjadikan rasa dan kualiti ayam yang dihasilkan enak malahan menjadi kesukaan ramai sampai bila-bila.

Sesekali, pemantau yang ditugaskan untuk memantau kualiti restoran KFC akan hadir bagi melihat kualiti kerja kami. Alhamdulillah, sepanjang saya bekerja hanya dua kali sahaja saya ditegur atas kualiti kerja saya dan saya mengambil teguran itu sebagai suatu yang positif. 

Saya juga sesekali akan diberikan latihan yang khusus oleh jurulatih yang berpengalaman di pusat latihan KFC. Jika tidak silap dalam ingatan saya menghadiri kursus sebanyak tiga kali di Ipoh khusus untuk mempertingkatkan kemahiran diri sebagai seorang pekerja KFC. Paling menyeronokkan perjalanan ke kursus ini selalunya secara beramai-ramai dan kami menaiki bas untuk ke Ipoh. Menikmati perjalanan beramai-ramai menaiki bas .... alangkah seronoknya ! 

Ada juga sekali kami terus meronda bandaraya Ipoh dan bermain boling dengan seragam KFC. Itulah kali pertama dalam sejarah hidup saya bermain boling. 

Teman-Teman Sekerja

Berkerja dalam komuniti yang kecil mengeratkan perhubungan saya dengan teman-teman sekerja. Perhubungan kami agak rapat walaupun baru sahaja mengenali antara satu sama lain. Pergaulan antara lelaki dan perempuan agak begitu rapat malah ada yang mampu menjalin hubungan cinta disini ( kecuali saya ). 

Teman sekerja yang paling rapat dengan saya bernama Bal. Jauh lebih muda dari saya namun beliau sudah dua tahun lebih bekerja di restoran berkenaan. Seorang yang berbadan besar namun dipenuhi dengan sifat lucah yang melampau. Anehnya, sifat lucahnya itu bagaikan berjangkit dengan diri saya malahan menjadi semakin teruk. Apabila bekerja bersama kami selalunya akan bergurau senda dan akan mencarut dengan semahunya hati. Pengurus restoran pula sesekali ada juga menegur kelakuan kami. Namun lama-kelamaan dipekakkannya telinga mendengar carutan kami.

Kebetulan pada ketika itu filem "MAN LAKSA" arahan pengarah Mamat Khalid sering dimainkan dalam siaran ASTRO. Saya dan Bal sememangnya sangat berminat dengan filem bercorak muzikal ini. Saban masa kami menyebut ayat-ayat yang diucapkan di dalam filem ini sehingga ia menjadi satu bahan lelucon yang sangat menghiburkan. Boleh dikatakan hampir semua lagu di dalam filem ini dapat kami hafal setiap liriknya dan yang paling utama pastinya lagu duet Allahyarham Ahmad Jais dan Allahyarhamah Kartina Dahari iaitu Budi Setahun Segunung Intan. Lagu itu bagaikan lagu wajib untuk dinyanyikan semasa bekerja.


Poster filem Man Laksa arahan 
Mamat Khalid yang menjadi kegilaan 
saya dan Bal.

Allahyarham Datuk Ahmad Jais

Allahyarhamah Kartina Dahari,
rakan duet Datuk Ahmad Jais dalam
lagu Budi Setahun Segunung Intan.


Selepas sahaja menyelesaikan tugasan mengemas dan menutup kedai, lazimnya kami akan duduk dahulu melepak di Restoran Ramli. Sekadar menikmati minum malam dan nasi lemaknya yang enak. Biasanya dari duduk-duduk yang sebentar itu melarat kepada jam 1 pagi. Maka itulah rutin seharian yang dilalui oleh saya. Namun semuanya dirasakan menggembirakan !.

Jarak pekan Tapah ke Bidor tidaklah begitu jauh atau dalam lingkungan 10 kilometer sahaja. Pulang bersendirian pada waktu tengah malam sesekali agak menggerunkan diri. Terbayang cerita-cerita yang pernah didengari dari teman-teman tentang pontianak dan langsuir yang dikatakan sering mengganggu pengguna jalan raya persekutuan dari Tapah ke Bidor. Namun semua cerita itu saya buang jauh-jauh dari ingatan sementelah pula saya bekerja pada bulan Ramadhan. Selepas sahaja Syawal menjelma sekali lagi cerita-cerita seram itu bermain di fikiran. Namun Alhamdulillah, sepanjang pulang lewat malam ke rumah tidak pula saya diganggu oleh entiti-entiti yang selalu diceritakan orang itu.


Langsuir ... orang Perak menggelarkan
hantu ini dengan panggilan Langsuyor.

Bekerja Di Hari Raya

Saya bekerja di pada awal puasa dan melalui suasana Ramadhan tanpa sebarang masalah. Namun sesuatu yang agak menyedihkan gaji kami masuk agak lewat menjelang Syawal. Saya sudah mula berkira-kira untuk tidak membeli sebarang keperluan untuk hari raya memandangkan saya perlu bekerja pada hari raya nanti.

Namun, pada suatu hari semasa saya menghantar ayah untuk bekerja ayah telah memberikan saya RM150 untuk saya melengkapkan keperluan hari raya saya. Terasa begitu sedih dan malu apabila mengenangkan dalam usia 24 tahun saya masih mengharapkan ayah untuk melengkapkan keperluan hari raya saya. Terasa diri ini begitu tidak berguna pada ketika itu. Walaupun berat hati untuk menerima pemberian ayah itu namun saya tetap mengambilnya. Memang saya tidak dapat menipu diri saya ... saya amat teringin untuk memiliki sehelai seluar jeans yang baru khusus untuk hari raya.

Kebetulan hari itu ialah hari cuti mingguan saya dengan segera saya ke Pasaraya Ekonomi Tapah untuk membeli sehelai seluar jeans yang murah. Saya masih ingat lagi harga seluar jeans berkenaan ialah RM49.90 dan jenamanya sudah saya lupa. Namun yang pastinya ia langsung tidak berjenama dan kusam. Selepas itu saya membeli beberapa helai seluar dalam dan sehelai baju. Bakinya saya simpan untuk diberi kepada adik-adik sebagai duit raya.


Dalam usia 24 tahun, saya masih mengharapkan
bantuan dari ayah untuk membeli 
sehelai seluar jeans untuk dipakai di hari raya !.

Saya diminta untuk bekerja pada hari raya dan tidak dibenarkan bercuti sehingga hari raya keempat. Inilah pengalaman pertama saya bekerja pada hari raya. Tidak pasti bagaimana perasaannya ketika itu namun tawaran RM120 tunai yang ditawarkan oleh pihak majikan kepada mana-mana pekerja yang bekerja sepanjang hari raya membuatkan saya kembali bersemangat untuk bekerja. Ini ditambah dengan nilai gaji bagi setiap jam digandakan menjadi tiga kali ganda keranakita bekerja pada hari cuti  umum. 

Pada mulanya saya menyangkakan bekerja pada hari raya pastinya sesuatu yang sangat mudah dan menyenangkan. Jangkaan saya pasti orang-orang Melayu tidak akan singgah ke KFC kerana pada hari raya perut mereka sudah terisi dengan juadah hari raya seperti lemang, dodol dan sebagainya. Rupa-rupanya telahan saya itu tidak tepat. Hari raya bermakna adalah hari bagi anak-anak menghabiskan duit raya mereka menikmati hidangan ayam goreng yang enak di KFC. 


Hari raya di KFC ... kesesakan yang hebat !
( gambar : Google )

Saya memasuki kerja pada jam 12 tengahhari dan berlanjutan sehingga jam 11 malam. Maka pada setiap jam pelanggan sentiasa penuh di restoran KFC berkenaan. Itulah suasana hari raya di KFC. Ada kanak-kanak yang saya lihat tiga kali memasuki KFC dalam sehari. Bayangkan betapa kemaruknya kanak-kanak terhadap KFC pada ketika itu. Walaupun begitu penat namun suasana adalah menyeronokkan.

Tidur Tanpa Alas

Pulang bekerja pada lewat malam tidaklah begitu sukar bagi saya kerana saya memang sejak dari zaman remaja lagi sudah terbiasa tidur lewat malam. Namun kini saya sudah tidak betah lagi tidur di atas tilam atau alas. Kadangkala keletihan membuatkan saya melupakan segala keselesaan dan mudah sahaja merebahkan badan di atas lantai bilik. Lama kelamaan keadaan itu berlarutan dan saya merasa lebih selesa tidur di atas lantai.

Pada ketika inilah saya mula merasakan diri bagaikan sudah berjauhan dari rumah.  Fikiran saya pada ketika itu bagaikan dapat merasakan bahawa suatu ketika nanti pasti saya akan berjauhan dari kediaman yang membesarkan saya sejak kecil ini. Telahan saya tepat, kerana selepas itu saya dihantar oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk berkhidmat di SMK Kapit Sarawak selama hampir lima tahun. 

Gaji pertama yang saya terima agak lumayan dan hampir mencecah angka RM1000. Itu satu jumlah yang agak banyak. Sayangnya ia bagaikan begitu mudah untuk dihabiskan dan tidak banyak yang dapat saya simpan. 

Panggilan Menjadi Guru

Tidak lama selepas itu surat panggilan penempatan saya sebagai guru telah diterima. Saya perlu melapor diri pada bulan November tahun 2008. Jika tidak silap saya, saya bekerja di KFC Tapah selama hampir tiga bulan dan gaji terakhir yang saya terima berjumlah RM650. Dengan duit itu ( ditambah dengan bantuan dari ayah ) ia menjadi bekal belanja saya selama hampir sebulan lebih di Sarawak tanpa gaji.

Namun apa yang menyedihkan, saya tidak lagi menyimpan gambar-gambar kenangan sewaktu bekerja di restoran KFC berkenaan. Lebih memilukan, saya juga putus perhubungan dengan teman-teman sekerja dahulu. Apa yang tinggal kini ialah suatu kenangan yang terus berbekas di hati saya selain dari pengalaman hidup yang amat bernilai. 

Walaupun sudah hampir 8 tahun segala yang diceritakan ini berlaku namun kesan kenangannya masih tidak pernah saya lupakan. Sesekali pulang ke kampung dan melalui restoran KFC ini terasa seolah-olah masih berbekas segala kenangan yang tercoret disini. Teman-teman sekerja dahulu rasanya mungkin sudah tidak lagi bekerja disitu. Jika adapun pasti sukar untuk mereka mengingati saya lagi.

Sesekali apabila menikmati ayam goreng KFC, mudah sahaja saya tersenyum mengingati saat-saat manis saya sebagai seorang pekerja restoran KFC. Terasa diri yang bertopi dan berapron sedang memegang spatula, menggaul dan meratakan tepung pada ayam yang segar. Kemudian duduk di depan mesin perapan ayam dan menunggu ayam siap dimasak. Pasti seluar hitam saya panuh dengan kekotoran tepung dan paling saya tidak sukai menyusun daging ayam segar di dalam bilik sejuk beku.

Penutup

Inilah pekerjaan terakhir yang saya lakukan sebelum menjadi seorang guru. Selepas dari itu saya hanyalah seorang guru dan insyaAllah akan kekal sebagai guru sehingga saya pencen kelak. Ini bermakna secara tidak langsung catatan dalam siri mengenang Suatu Masa Yang Telah Berlalu di dalam blog perkongsian ini sudah sampai ke penamatnya.

Alhamdulillah selama tiga tahun siri ini keluar dalam 6 siri ianya telah dibaca oleh hampir 1500 orang pembaca. Jumlahnya kecil namun sekurang-kurangnya apa yang pernah saya kerjakan dari masa kanak-kanak sehingga usia muda saya dapat dikongsikan dengan para pembaca semua. Mungkin ramai pembaca yang memiliki pengalaman kerja yang jauh lebih mencabar dari apa yang pernah saya kerjakan. Apa yang penting ialah bagaimana kita menjadikan sesuatu pekerjaan itu benar-benar bermanfaat untuk diri kita di masa depan.

Syukur ... Allah memberikan saya peluang untuk bekerja dan menikmati pengalaman-pengalaman yang menarik sepanjang kehidupan saya. Banyak yang saya pelajari dari setiap pengalaman tersebut. Teman-teman baru dikenali dan boleh dikatakan semuanya kini hanya tinggal wajah untuk dikenang kerana banyak yang membawa haluan masing-masing termasuklah diri saya. Ada juga yang sudah berpulang menemui Pencipta yang abadi dan ada yang terlantar sakit menunggu masa.

InsyaAllah saya tetap akan mengenang semua manusia-manusia yang pernah singgah sebentar di dalam hidup saya ini. Saya tidak pernah lupa.... mungkin pekerjaan kita dahulu kotor, hina, jijik dan meloyakan bagi sesetengah insan yang duduk di atas. Tetapi percayalah kita adalah sebahagian dari pembina negara kita ini. Terima kasih semua.

Saya tidak akan berhenti mengenang setiap masa yang telah berlalu itu kerana masa lalu adalah buku sejarah yang membenarkan apa yang telah kita bina hari ini ... ayuh kita mengenang suatu masa yang telah berlalu ... ia tidak akan pernah menjemukan ~!


KENANG-KENANGAN MERDEKA ( HORMAT UNTUK MEREKA YANG MENGHILANG ) 1

$
0
0
Prolog 

Berapa banyak nyawa yang mati dalam keadaan bergelimpangan dalam memerdekakan negara kita yang tercinta ini ?. Kenapa perlu ada  rasa kebanggaan apabila menyebutkan kemerdekaan yang ada pada hari ini direbut hanya dengan menggunakan kuasa diplomasi dan kuasa sebatang pena ?.

Fikiran-fikiran seperti ini seringkali mengganggu gugat hati dan perasaan saya. Apakah sejarah yang saya baca sehari-hari itu benar atau ia ditulis bagi mengenang mereka-mereka yang tertentu sahaja ?. Atau ia ditulis sebagai satu tanda bahawa apa yang berlaku pada hari silam adalah milik sekelompok tertentu sahaja ?.

Ada rasa kemuyskilan bermain di fikiran apabila terfikir tentang semua hal yang terkait dengan frasa MERDEKA ini. Ia satu frasa yang begitu bertenaga. Diucap dengan pekikan dan intonasi yang berani. Namun sejauh mana kita sebagai generasi baru berusaha mengenang mereka-mereka yang sebenarnya jauh lebih kehadapan dalam mencari kata-kata merdeka itu?. Atau kita lebih selesa menerima segala fakta-fakta sejarah yang tertulis sama sejak dulu itu dengan seenaknya ?. 

Mungkin penulisan ini tidak punya apa-apa yang menarik untuk dikongsikan. Saya cuba melihat sesuatu yang berbeza dalam pensejarahan kemerdekaan. Ia mungkin dalam bentuk kenang-kenangan yang berbeza tetapi mungkin lebih adil buat semua yang bernostalgia dengan takrifan merdeka. Ia sebagai tanda hormat bagi memperingati para leluhur kita yang terdahulu. Juga sebagai tanda ... mereka tetap dalam ingatan sejarah kebangsaan.

Sengaja saya memilih lima tajuk penulisan ( lima siri ) yang sebenarnya punya cerita besar dalam perjuangan kemerdekaan negara kita ini. Mereka yang tertulis dalam penulisan ini punya jiwa besar namun jasa dan sumbangan mereka bagaikan hilang begitu sahaja dalam lipatan sejarah. Penulisan ringkas ini mungkin tidak mencukupi bagi mengenang dan mengangkat ketokohan mereka. Namun ia adalah sebagai satu usaha kecil dalam memberikan satu sisi cerita sejarah yang agak berbeza tentang perjuangan kemerdekaan yang tidak kunjung padam sehinggalah detik 31 Ogos itu tercapai dengan megahnya.

Cikgu Haji Buyong Bin Adil - Bapa Pensejarahan Malaysia


Haji Buyong Bin Adil


Nama Haji Buyong Adil begitu menonjol dalam kajian berkenaan dengan pensejarahan Malaysia. Adalah begitu mustahil bagi setiap pengkaji sejarah untuk tidak mengambil rujukan dari buku-buku karangan beliau, sebelum menghasilkan sesuatu kajian sejarah. Hal ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana susuk yang bernama Haji Buyong Bin Adil ini adalah individu awal selain dari Allahyarham Cikgu Abdul Hadi Bin Haji Hassan ( 1906-1937 ) yang menghasilkan buku-buku kajian sejarah berkaitan dengan negeri-negeri di seluruh Malaysia sejak dari zaman sebelum merdeka lagi.

Haji Buyong Adil adalah salah satu contoh guru-guru Melayu terawal yang memberikan seluruh jiwa dan raganya demi pembanggunan pendidikan anak Melayu. Dilahirkan di Telok Anson, Perak pada tahun 1907. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Bandar Teluk Anson sebelum beliau lulus Darjah V ( darjah tertinggi di sekolah Melayu pada ketika itu ). Pada tahun 1924 beliau menjadi penuntut Sultan Idris Training College ( SITC ) Tanjong Malim dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1926.

SITC Tanjong Malim

Pada tahun 1927, beliau kembali ke semula ke Tanjong Malim bagi menjadi seorang tenaga pengajar di SITC. Perkhidmatannya di SITC berjalan dengan begitu lama iaitu hampir selama 15 tahun. Oleh itu adalah tidak menghairankan jika dalam tempoh itu hampir ribuan guru-guru Melayu yang menuntut ilmu keguruan di SITC mendapat tunjuk ajar dari beliau terutama dalam hal pensejarahan negara. Namun sesuatu yang pasti dalam setiap ajarannya terselit juga nilai-nilai yang berteraskan semangat nasionalis. Maka adalah tidak menghairankan jika bekas-bekas pelajar SITC seringkali meletakkan nama Haji Buyong Adil sebaris dengan dua lagi tokoh unggul SITC iaitu Allahyarham Tan Sri Pendeta Za'ba dan Allayarham Cikgu Harun Mohamad Amin ( Harun Aminurashid ).

Allahyarham Cikgu Harun Mohamad Amin
( Harun Aminurashid )

Allahyarham Tan Sri Zainal Abidin Bin Ahmad
( Tuan Pendeta Za'ba )

Menurut Shaharom Husain dalam buku memoirnya Selingkar Kenangan Abadi ( 1996 ), Cikgu Buyong Adil mengajar matapelajaran sejarah dan senaman. Selain itu beliau juga menjadi penyunting majalah Chendera Mata ( majalah rasmi tahunan SITC ) serta menjadi guru pengawas kutubkhanah maktab.

Majalah Chendera Mata iaitu majalah
rasmi tahunan SITC
( sumber gambar : eisantique2.blogspot.com


Sebagai seorang lulusan Sultan Idris Training College ( SITC ) beliau adalah salah seorang yang mempunyai semangat nasionalis yang tinggi. Dalam setiap pengajarannya diselitkan sekali dengan unsur-unsur nasihat berunsurkan kesedaran kepada bakal-bakal guru betapa peri pentingnya kemajuan bangsa Melayu yang sekian lama terjajah. Hal ini selanjutnya dinyatakan oleh Shaharom Hussin lagi "Buyong Adil, sebagaimana gurunya Abdul Hadi Hassan, menggunakan pelajaran sejarah dan karangannya dalam Chendera Mata sebagai alat menanamkan semangat kebangsaan kepada penuntut. Masa mengajar, beliau selalu menggambarkan kebesaran dan kewibawaan bangsa Melayu sebelum kedatangan penjajah barat. Di samping itu, beliau memberikan pendapat dan ulasan terhadap kelemahan dan kesilapan bangsa Melayu sendiri hingga menyebabkan kuasa barat dan bangsa asing dapat menguasai politik, ekonomi dan sosial. Di samping menanamkan rasa kebanggaan terhadap pahlawan dan tokoh pejuang kebangsaan, beliau mengharapkan akan muncul beberapa tokoh di kalangan bangsa Melayu untuk memimpin memajukan bangsa Melayu.



Allahyarham Cikgu Shaharom Husain
yang pernah menjadi anak murid kepada 
Cikgu Buyong Adil semasa di SITC. 

Apa yang diimpikan oleh Cikgu Buyong Adil itu benar-benar menjadi kenyataan. Hasil didikannya di SITC telah melahirkan begitu ramai tokoh pejuang politik Melayu yang unggul. Antara bekas penuntut SITC yang pernah menjadi pelajar kepada beliau ialah Ibrahim Haji Yaakub ( Pengasas Kesatuan Melayu Muda - KMM ), Shaharom Husain ( sasterawan dan budayawan sejarah Johor ), Tan Sri Datuk Senu Abdul Rahman ( ketua pemuda UMNO ke-4 ), Tan Sri Abdul Rahman Talib ( menteri pelajaran Persekutuan Tanah Melayu 1960 ), Syed Nasir Ismail ( pejuang bahasa Melayu dan pengarah Dewan Bahasa Pustaka), Pengeran Md.Yusuf Haji Abdul Rahim dan lain-lainnya yang tidak dapat disebutkan namanya. Kesemua tokoh-tokoh ini telah memberikan sumbangan yang begitu besar dalam pergerakan kemerdekaan dan kemajuan persekutuan Tanah Melayu malahan melewati Singapura dan Brunei.

Ibrahim Yaacob
( Pengasas Kesatuan Melayu Muda )

Tan Sri Datuk Senu Bin Abdul Rahman

Tan Sri Abdul Rahman Bin Talib
( Pada tahun 1960 dilantik sebagai Menteri Pelajaran
Persekutuan Tanah Melayu )

Tun Syed Nasir Bin Syed Ismail



Ketika riwayat sejarah negara kita banyak dijalankan oleh penulis serta pengkaji Inggeris, Cikgu Buyong Adil dan gurunya Abdul Hadi Bin Haji Hassan tampil kehadapan bagi menghasilkan buku Sejarah Alam Melayu I, II, III, IV dan V ( Cikgu Buyong Adil memantapkan edisi Sejarah Alam Melayu IV dan V dengan memfokuskan sejarah Negeri-negeri Selat dan Sejarah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ) yang menjadi rujukan maklumat utama bagi guru-guru Melayu di SITC ( malahan ke seluruh Malaya ) pada dekad-dekad sebelum merdeka. Walaupun buku ini banyak bersumberkan dari penulis-penulis Inggeris namun inilah bakti awal yang diusahakan oleh seorang anak Melayu bernama Buyong Adil untuk pensejarahan bangsanya. Bakti yang akan dikenang sampai bila-bila ... insyaAllah.

Perkhidmatan Cikgu Buyong Adil di SITC tamat pada tahun 1942 ketika hampir dengan pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Ada cerita yang menarik berkaitan dengan hal penamatan kerjayanya di SITC. Menurut Shaharom Husain menjelang pendudukan Jepun,  Cikgu Buyong Adil yang berpangkat Leftenan Muda dalam Pasukan Tentera Sukarela Jalan Kaki Melayu ( MVI ) telah dituduh oleh R.P.S Walker ( Pengetua SITC ), bersubahat dengan Ibrahim Yaakub ( Yang Dipertua Kesatuan Melayu Muda - KMM ) yang sangat antikan British. 

Hal ini berlaku ekoran dari kunjungan hormat Ibrahim Yaakub sebagai bekas murid ke rumah Cikgu Buyong Adil. Kunjungan itu tidaklah lebih dari kunjungan hormat serta perbincangan ringkas namun ia disalah ertikan oleh R.P.S Walker yang menganggap Cikgu Buyong Adil sebagai salah seorang yang boleh disangsikan kesetiaannya. Ini mungkin atas andaian pada ketika itu KMM dikatakan bekerjasama dengan penjajah Jepun dalam menentang Inggeris. Ekoran dari itu, Cikgu Buyong Adil dilucutkan pakaian seragam Leftenan Mudanya dan tidak ikut bersama pegawai, guru, dan penuntut MVI berjuang mempertahankan Tanah Melayu dari serangan Jepun.

Cikgu Buyong Adil seterusnya ditukarkan menjadi guru besar di Sekolah Melayu Tanjong Malim dan sejak itu tidak ada lagi nama Buyong Adil di SITC. Hilang sudah ajaran-ajaran yang penuh dengan semangat kebangsaan untuk guru-guru Melayu yang bersemangat kebangsaaan.

Ketika zaman pendudukan Jepun, Cikgu Buyong Adil telah mengikuti kursus perguruan Jepun di Tokyo Shihan Gakko di Kajang Selangor. Dari tahun 1946 hingga 1950, beliau menjadi guru besar di Sekolah Melayu Jalan Pasir  Puteh, Ipoh. Pada ketika inilah beliau mula terlibat dengan aktif dalam hal-hal politik apabila menyertai Perikatan Melayu Perak ( PKP ) yang ditubuhkan oleh orang-orang Melayu Perak bagi menentang Malayan Union pada 22 Februari 1948. Namun demikian, apabila UMNO mula melebarkan sayapnya ke Perak, Perikatan Melayu Perak dibubarkan dan bergabung sekali dalam tubuh badan UMNO yang bersifat kebangsaan itu. Pada mesyuarat UMNO Perak yang pertama di Madrasah Paloh Ipoh, Cikgu Buyong Adil telah dilantik menjadi pegawai penerangan UMNO Perak yang pertama.

Sifat penentangannya terhadap Inggeris dan kedudukannya dalam UMNO telah menyebabkan pihak British bertindak menukarkannya ke Singapura bagi menjawat jawatan sebagai Ketua Siaran Radio Sekolah-Sekolah Melayu. Namun di Singapura, beliau terus aktif dalam kegiatan politik apabila menyertai Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura ( KGMS ) yang bersifat anti penjajahan. Beliau bersara dari perkhidmatan kerajaan pada tahun 1962. Namun demikian pada tahun 1964, kerajaan Singapura telah melantik beliau sebagai salah seorang ahli dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Singapura. Pada ketika inilah beliau kembali semula menjadi seorang sejarawan apabila menyusun semula buku Sejarah Johor, Sejarah Selangor, Sejarah Perak dan Sejarah Pahang.

Buku sejarah Pahang karya Haji Buyong Adil

Beliau bertugas dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Singapura sehingga tahun 1969. Setelah kembali semula ke Malaysia beliau dipelawa oleh Tun Haji Abdul Razak untuk menyumbang bakti sebagai Penyelidik Sejarah di Dewan Bahasa dan Pustaka ( DBP ). Di DBP beliau terus giat menghasilkan siri buku kajian sejarah negeri-negeri Melayu seperti Sejarah Sarawak, Sejarah Perlis, Sejarah Negeri Sembilan, Sejarah Melaka, Sejarah Kedah, Sejarah Terengganu, Sejarah Kelantan dan beberapa buku yang lain. Apa yang menarik disini ialah walaupun muncul buku-buku sejarah lain yang ditulis oleh mereka-mereka yang jauh lebih hebat dan bergelar profesor sekalipun, hasil karya sejarah Cikgu Buyong Adil tetap akan dianggap sebagai rujukan paling penting dan utama sampai bila-bila.

Kenangan Cikgu Buyong Adil
semasa berkhidmat DBP.
( sumber gambar : harith sidek.blogspot.com )

Tokoh sejarah negara ini akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1976 dalam usia 69 tahun. Sasterawan Negara Abdullah Hussain mengenang Cikgu Buyong Adil sebagai " buku rujukan" yang paling terbaik sebarang masalah sejarah malah beliau sempat menulis sebuah artikel khusus untuk mengenang jasa dan sumbangan Cikgu Buyong Adil di dalam majalah Sarina keluaran Oktober 1976.

Bagi mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham Cikgu Buyong Adil, sebuah sekolah di pekan Tapah telah dinamakan dengan namanya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Buyong Adil. Saya turut menumpang bangga kerana pernah menuntut di SMK Buyong Adil ini pada tahun 2002 hingga 2003. 

Logo SMK Buyong Adil Tapah
Saya pernah bersekolah disini pada 
tahun 2002 dan 2003

Menjejaki tahun 2015 ini bermakna sudah 39 tahun Allahyarham Cikgu Buyong Adil meninggalkan kita. Namun hasil penulisannya tetap kekal abadi dalam pensejarahan negara kita yang tercinta ini. Beliau mungkin bukan pejuang yang terkehadapan dalam kemerdekaan namun ditangannya telah lahir beribu pejuang-pejuang kemerdekaan yang masuk ke ceruk-ceruk pelusuk negara kita mendidik dan menanamkan semangat kebangsaan dalam jiwa anak bangsa Melayu. Terima kasih Cikgu Buyong Adil .... bapa pensejarahan Malaysia !










SEKINCHAN

$
0
0


Dan pada jiwa yang telah lama
meninggalkan aku termanggu
ia telah membina suatu benteng batu
pada pohon-pohon hati
hingga ia menjadi layu
dibunuh dengan kejam.

Dengan air mata yang merosak
segala bait-bait bahasa
aku coretkan
tempat ini telah melelahkan jiwa
bila kulihat bayangmu
menari-nari di jalanan
sambil melemparkan senyum
di sebalik rimbun padi yang menguning.

Tetapi aku tanpa sedar
terus menerpa bayangmu yang menipis
lalu aku jatuh bergelimpangan
ia bukan suatu masa yang dahulu
ketika diriku yang celaka meneroka
setiap ruang-ruang cinta
yang kau jual dengan janji yang menggoda
sedang ia sekadar ilusi yang ghairah
dan aku tewas akhirnya
menunggu mati.

Esok, lusa dan nanti
aku mungkin kesini lagi
sekadar mengenang
aku pernah diludah disini !

Sepetang Yang Manis Di Pekan Layang-Layang

$
0
0

Pekan Layang-Layang Suatu Nama Yang Unik

Bagi saya semenjak dari kecil sehinggalah ke dewasa ini bila disebut perkataan Layang-Layang maka apa yang terlintas di fikiran hanyalah sejenis permainan tradisi seakan-akan wau yang sangat terkenal bagi kanak-kanak dalam dekad-dekad yang telah berlalu dahulu. Namun tidaklah pula saya menjangka rupa-rupanya jauh di selatan Semenanjung Malaysia ini wujud sebuah pekan kecil yang menggunakan nama Layang-Layang.

Kedudukan arah pekan Layang-Layang 
di dalam negeri Johor Darul Takzim.

Perkenalan saya dengan pekan Layang-Layang ini agak lewat dimana ianya mula saya dengari ketika saya mula berjinak-jinak dengan aktiviti menjejaki stesen keretapi lama kira-kira enam tahun dahulu. Ketika itu saya hanya berkunjung ke stesen-stesen keretapi lama di sekitar Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan sedikit di negeri Johor sekiranya terdapat kesempatan masa. Namun tidaklah pula saya menjangkakan untuk ke stesen keretapi Layang-Layang. Ini adalah kerana jarak dan masa seakan-akan tidak memberikan saya peluang untuk ke pekan ini. Dan lama-kelamaan ia terus hilang dari ingatan sehinggalah saya kemudiannya berpindah tempat kerja dari Kapit Sarawak ke Batu Pahat, Johor Darul Takzim.

Di Batu Pahat, kehidupan saya disesakkan dengan beban kerja dan kerenah hidup berkeluarga yang begitu rencam. Namun jika ada kesempatan dapat juga saya melakukan beberapa perjalanan kecil ke pekan-pekan lama di negeri Johor yang pada perkiraan saya mempunyai nilai-nilai estetika dan klasik. Fokus sasaran saya ialah pekan-pekan lama yang terletak dalam jajaran landasan keretapi selatan Semenanjung Malaysia. Hal ini adalah kerana pekan-pekan yang terdapat di jajaran landasan keretapi Semenanjung ini masih bersifat unik dan kekal dalam bentuk asalnya. Saya pernah meneroka ke pekan Batu Anam, pekan Buloh Kasap dan pekan Renggam, ternyata ianya mempunyai keunikan yang tersendiri dan mempunyai aura kolonial yang agak kuat berbeza dengan pekan-pekan lain di Johor yang terletak jauh dari landasan keretapi.

Pekan Renggam

Pekan Batu Anam

Hasil dari perjalanan saya ke pekan Renggam tidak lama dahulu, saya telah menetapkan sasaran untuk ke pekan Layang-Layang pula. Semasa perjalanan ke Renggam dahulu, saya tidak dapat meneruskan perjalanan ke Layang-Layang akibat dari masalah cuaca dan masa yang tidak mengizinkan. Ini telah menyebabkan perasaan ingin tahu saya kepada keadaan pekan Layang-Layang menjadi semakin mebuak-buak dan akhirnya pada suatu petang saya mengambil keputusan untuk melakukan perjalanan bersendirian ke pekan Layang-Layang ini dengan menaiki motosikal kapcai baru saya. Dalam diri hanya berdoa agar segalanya dipermudahkan dan cuaca akan membantu saya dalam perjalanan kecil ini... insyaAllah.

Panorama Indah Sepanjang Jalan

Dari Batu Pahat saya menunggang motosikal saya ke bandar Kluang. Alhamdulillah sejak tiga tahun kebelakangan ini saya seringkali juga ke bandar Kluang ini untuk menikmati keenakan kopi dan roti bakar di stesen keretapinya yang terkenal itu. Begitulah juga untuk perjalanan kali ini, saya tetap juga singgah ke stesen keretapi Kluang dan menikmati keenakan kopi dan roti bakarnya.

Roti bakar yang enak di stesen keretapi Kluang

Sebenarnya terasa begitu lama saya tidak melakukan perjalanan bersendirian menaiki motosikal seperti ini. Timbul rasa kerinduan pada zaman-zaman bujang dahulu dimana saya akan bermotosikal ke mana sahaja mengikut kemahuan hati. Tetapi itulah ... ini bukan lagi masa lalu yang dirasa begitu berharga itu. Segalanya sudah berubah dan saya perlu menerimanya sebagai satu pusingan roda kehidupan yang sentiasa berputar hinggalah penamat nyawa saya.

Saya memerhatikan landasan tua di luar stesen keretapi Kluang ini. Khabarnya nanti projek landasan berkembar akan mula dilaksanakan di jajaran landasan selatan Semenanjung ini. Sayu hati ini apabila mengenangkan nasib yang bakal menimpa stesen keretapi tua ini. Adakah ia akan dikekalkan sebagai warisan keramat bandar Kluang atau bakal menerima nasib dirobohkan seperti stesen-stesen tua yang lain di jajaran pantai barat Semenanjung ? Semuanya bagai menusuk-nusuk ke jiwa saya. Adakah suasana klasik seperti ini dapat saya lihat lagi nanti ? Ah .... saya bagaikan mahu mati apabila mengenangkan semua itu !

Mencari Stesen Keretapi Mengkibol

Stesen keretapi Mengkibol

Usai menikmati secawan kopi dan dan sepotong roti di stesen keretapi Kluang, saya meneruskan perjalanan ke pekan Layang-Layang. Alhamdulillah, cuaca begitu baik pada hari ini. Tidaklah terlalu panas. Seperti perjalanan ke Renggam dahulu, saya berusaha sekali lagi untuk menjejaki stesen keretapi Mengkibol. Sayangnya, simpang untuk ke stesen keretapi berkenaan masih tidak dapat saya temukan. Sewaktu melakukan perjalanan menaiki keretapi dari Kluang ke Johor Bharu tidak lama dahulu, saya dapat melihat stesen keretapi ini dari dalam keretapi yang bergerak perlahan. Ia sebuah stesen kecil yang penuh dengan sifat klasik. Inilah yang membingungkan saya. Puas saya memasuki beberapa simpang namun tidak berjumpa dengan stesen keretapi Mengkibol. Tetapi itulah bodohnya saya ... ego tidak mahu bertanya kepada masyarakat tempatan. Kesudahannya ... saya yang melepas. Sesuatu yang perlu saya kikis dari jiwa saya selepas ini !.

Puas berpusing-pusing akhirnya saya mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke pekan Layang-Layang. Tidak mengapalah, mungkin suatu masa nanti saya akan berkesempatan untuk ke stesen keretapi tua Mengkibol ini. Dari Kluang saya melalui pekan Renggam yang catatan berkenaan pekan ini pernah menghiasi blog ini tidak lama dahulu. Alhamdulillah, respon pembaca terhadap catatan berkenaan pekan Renggam agak memberansangkan. Pekan Renggam menjadi satu batu asas kepada saya untuk mencungkil keunikan pekan-pekan lama yang terdapat di negeri Johor ini. Secara tidak langsung ia memberikan tambahan cerita untuk dikongsikan di dalam blog ini.

Selepas sahaja melewati lintasan rata landasan keretapi di pekan Renggam maka bermulalah perjalanan yang mengasyikkan saya ke pekan Layang-Layang. Melalui jalan yang agak lengang dengan panorama di kiri dan kanan jalan hanyalah ladang kelapa sawit yang menghijau. Sesekali saya dapat melihat rumah-rumah ladang yang mempunyai ciri-ciri binaan yang dibina sejaka zaman kolonial lagi. Masa seakan-akan berhenti disini. Dunia yang terlihat bagaikan menghadiahkan saya dengan pemandangan klasik yang pernah kita rasai dalam tahun 1970an sehingga penghujung tahun 1980an. Tidak keterlaluan untuk saya nyatakan ada rasa ketenangan meresap ke dalam diri ketika ini. Terasa seolah-olah mahu berlama-lama disini. Merasai suatu detik yang sukar dinyatakan oleh bahasa. Saya amat merindui suasana lama seperti ini !

Lintasan rata landasan keretapi di pekan Renggam

Saya lebih selesa menunggang motosikal dalam kelajuan yang perlahan. Cuaca yang meredup dan keadaan jalan yang baik membuatkan saya merasa lebih segar dalam perjalanan. Sesekali saya berselisih dengan beberapa kenderaan lain yang datang dari arah pekan Layang-Layang. Dahulu ketika masih kecil, saya masih teringat suasana jalan lama persekutuan yang begitu mengasyikkan.

Jika mahu ke Kuala Lumpur, perjalanan akan memakan masa yang agak lama. Dari pekan kelahiran saya iaitu Bidor, saya akan melalui pekan-pekan kecil yang mendamaikan seperti Sungkai, Slim River, Pekan Trolak, Tanjong Malim, Hulu Selangor, Rasa dan sebagainya. Di kiri dan kanan jalan hanyalah deretan pokok kelapa sawit dan getah yang menghijau. Sesekali bertemu dengan kampung-kampung tradisi dan hutan-hutan yang merimbun.... namun kini masihkan kita mampu menikmati pemandangan seperti itu ? Masa sebenarnya telah membunuh segala musim kenangan yang pernah kita lalui itu. Tertinggallah kita untuk terus mengenang saat-saat indah itu walaupun ia semakin terhakis dari ingatan.

Selamat Datang Ke Pekan Layang -Layang

Papan tanda pekan Layang-Layang

Setelah hampir 30 minit menunggang motosikal akhirnya saya mula memasuki kawasan pekan Layang-Layang. Saya disambut oleh papan tanda pekan Layang-Layang yang sudah semakin diselimuti oleh dedaun liar. Saya berhenti sebentar di tepi papan tanda ini. Rasanya tidak jauh ke depan saya pasti akan berjumpa dengan pekan Layang-Layang.

Usai mengambil gambar papan tanda tersebut saya meneruskan perjalanan ke hadapan menuju ke pakan Layang-Layang. Terasa tekak begitu dahaga. Kepekatan kopi yang diteguk di stesen keretapi Kluang tadi seolah-olah masih melekat di tekak dan ia menambahkan lagi rasa dahaga. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk singgah dahulu ke sederetan rumah kedai yang terletak di pinggir jalan. Mungkin terdapat kedai runcit disitu.

Telahan saya tepat kerana terdapat sebuah kedai runcit disitu. Saya membeli sebotol air mineral kecil. Pekedai runcit India itu tersenyum melihat saya meneguk air itu dengan segera di hadapannya. Dengan tidak semena-mena pekedai runcit itu menegur saya dan menyuruh saya membaca doa dahulu. Aduh ..... malu sendiri saya dibuatnya. Sesekali di dalam perjalanan seperti ini banyak pengajaran dan ilmu yang boleh kita perolehi secara tidak langsung. Hal-hal seperti inilah yang memberikan aroma kemanisan bagi setiap perjalanan yang saya lalui.

Deretan rumah kedai yang sunyi

Saya tidak pula terus bergerak sebaliknya saya berdiri dahulu di hadapan kedai runcit berkenaan. Saya memerhatikan sekeliling. Di seberang jalan raya dapat dilihat rumah-rumah penduduk. Saya melihat di sepanjang rumah kedai sederetan itu. Ternyata kebanyakan kedai-kedai disitu tidak beroperasi. Hanya ada beberapa buah sahaja kedai yang beroperasi termasuk kedai runcit yang saya singgahi ini. Suasana terasa benar-benar sepi. Tidak lama kemudian muncul beberapa orang pelajar sekolah perempuan yang menaiki motosikal singgah di kedai runcit berkenaan. Nampaknya mereka juga sama seperti saya membeli air untuk melepaskan dahaga.

Saya memandang kepada salah seorang daripada mereka. Ah.... manis wajahnya yang bertudung itu. Usia mereka dalam lingkungan 17 tahun atau dalam tingkatan lima. Agaknya mungkin menyedari saya melihatnya, gadis berkenaan melemparkan senyuman yang aneh kepada saya. Senyuman mengejek atau senyuman yang ikhlas ? ... tidaklah dapat saya mengagaknya. Namun sempat juga beliau melambaikan tangannya kepada saya sewaktu meninggalkan kedai runcit berkenaan bersama teman-temannya. Saya melambai membalasnya tanpa sedar. Ah ..... saya sudah terlalu tua untuk hal-hal seperti itu. Tetapi lumrahlah .... saya memang seorang lelaki !

Dari kedai runcit berkenaan saya meneruskan perjalanan menuju ke pekan Layang-Layang. Tidak lama kemudian saya disambut oleh sebuah pekan kecil yang tenang. Pekan Layang-Layang sebenarnya jauh dari apa yang pernah saya bayangkan. Pekan ini lebih kecil dari pekan Renggam. Saya melalui pekan ini perlahan-lahan dan melihat rumah-rumah kedai kayunya yang klasik. Dari pengamatan saya, kewujudan pekan ini adalah didasari oleh pembukaan ladang-ladang getah dan kelapa sawit yang bermula sejak dari zaman penjajahan lagi. Selain itu, faktor perkampungan  baru Cina juga menjadi sebab utama kewujudan pekan ini dan hal ini dapat dilihat melalui penguasaan yang jelas dalam bidang perniagaan di pekan ini yang dikuasai oleh etnik Cina.

Suasana di pekan Layang-Layang

Rumah kedai lama

Kebanyakan dari rumah-rumah kedai di pekan ini ditutup. Keadaannya tenang dan sepi. Beberapa orang warga emas duduk bersidai di kaki lima kedai. Walaupun hanya merupakan sebuah pekan yang kecil namun ia adalah sebuah pekan yang agak lengkap. Sebuah pejabat pos kecil dengan binaan gaya lama berdiri kukuh di pinggir pekan ini. Sekurang-kurangnya ia dapat memenuhi keperluan panduduk untuk menyelesaikan bayaran bil-bil utiliti serta mendapatkan perkhidmatan dari kerajaan khususnya seperti pembaharuan cukai jalan kenderaan dan lesen memandu.

Bangunan pejabat pos pekan Layang-Layang

Tidak jauh dari pejabat pos pekan Layang-Layang terdapat sederetan rumah kedai yang menempatkan beberapa buah kedai yang dimiliki oleh orang Melayu. Sayangnya kebanyakan dari kedai-kedai ini menutup operasi. Hairan saya sendiri kenapa kebanyakan kedai di pekan ini menutup operasinya agak awal. Satu perkara yang menarik disini ialah kewujudan sebuah taman kecil yang mungkin menjadi tempat penduduk setempat untuk berekreasi. Walaupun kecil ia memberikan suatu nilai tambah kepada keunikan pekan Layang-Layang.

Sederetan kedai-kedai yang dimiliki oleh orang Melayu

Sebuah taman kecil di dalam 
sebuah pekan kecil yang tenang

Sebuah balai polis bagi menjaga ketenteraman awam di pekan ini juga telah dibina oleh kerajaan. Pekan ini juga dilengkapi dengan sebuah klinik kesihatan bagi memberikan akses penjagaan kesihatan kepada masyarakat. Saya yakin kedai-kedai yang terdapat di pekan ini adalah mencukupi bagi memenuhi keperluan harian masyarakat setempat. Bandar besar yang terhampir dengan pekan ini adalah Kluang dan Simpang Renggam.

Balai polis pekan Layang-Layang

Klinik kesihatan di pekan Layang-Layang

Stesen Keretapi Pekan Layang-Layang

Dari pekan Layang-Layang saya membelok ke kiri menuju ke stesen keretapi pekan Layang-Layang. Ianya terletak kira-kira 400 meter dari pekan Layang-Layang. Saya disambut oleh suasana yang sunyi ketika berada di stesen keretapi pekan Layang-Layang ini. Saya meletakkan motosikal saya di kawasan stesen. Di sebelah stesen keretapi ini terdapat kedai menjual makanan. Terdapat sebuah keluarga yang sedang enak menikmati makanan di situ.

Saya mengambil keputusan untuk singgah dahulu di kedai makan berkenaan. Mungkin saya boleh mendapatkan sesuatu di situ. Sebenarnya kedai makan berkenaan terletak dalam sebuah banggunan yang terasing dari stesen keratapi. Namun jika dilihat dari bentuknya, jelas ia adalah banggunan yang dibina untuk kegunaan KTMB. Cuma mungkin fungsinya berubah dan dijadikan kedai makan. Saya duduk tidak jauh dari meja sekeluarga yang sedang menjamu selera itu. Seorang perempuan separuh umur menghampiri saya untuk mengambil pesanan.

Kedai makan di stesen keretapi Layang-Layang

Popia goreng di kedai ini menyelerakan saya !

Pada mulanya, saya tidak mahu menikmati makanan di sini namun apabila melihat anak-anak keluarga di meja depan yang begitu berselera menjamah makanan membuatkan nafsu makan saya membuak-buak. Kesudahannya, saya menempah sepinggan nasi goreng ayam setelah melihat bibir berminyak anak perempuan keluarga berkenaan yang bersusah payah menjilat pinggan hidangannya hingga licin. Di kepala saya cuma satu .... agaknya terlalu sedap.

Saya memerhatikan suasana di kedai makan berkenaan. Terdapat iklan yang menyatakan tentang keenakan popia goreng yang dihasilkannya. Terasa menyesal pula tidak memesan popia goreng yang dikatakan enak itu. Beberapa orang lelaki Cina masuk ke kedai dan memesan popia berkenaan. Ada yang membeli bungkus dan ada yang makan disitu. Dari cara mereka menikmati popia berkenaan betullah agaknya popia berkenaan sedap dan enak. Kecur pula air liur saya. Namun apa lagi yang boleh saya lakukan ... nasi goreng ayam telahpun sampai ke meja saya.

Saya tidak mampu menghabiskan
 juadah nasi goreng ayam ini 

Itulah kata orang ... nafsu apabila tidak dikawal oleh iman maka jadilah kita seperti daun-daun kering yang ditiup angin. Sudah saya sebutkan tadi, saya sudah menikmati hidangan roti bakar di stesen keretapi Kluang dan pastinya perut saya masih kenyang. Maka makanlah sekadar yang termampu malahan bolehlah dikatakan hanya suku sahaja nasi berkenaan yang dapat saya habiskan. Terasa begitu membazir. Sewaktu mahu membayar harga makanan, hairan makcik yang mengambil pesanan saya tadi. Lantas beliau bertanya adakah rasa nasi goreng ayam itu tidak enak ? .... saya hanya mampu tersenyum dan menjawab mulut saya terkena penyakit ulser yang tidak membolehkan saya makan makanan yang pedas. Saya berbohong .............

Saya berjalan kaki ke stesen keretapi pekan Layang-Layang selepas membayar harga makanan. Saya memerhatikan topi keledar saya yang tidak dikunci di bawah tempat duduk motosikal. Risau juga hati topi keledar itu dicuri orang. Terasa begitu sayang dengan topi keledar merah yang digilap seminggu sekali itu sehinggakan isteri saya sering kali memerli saya supaya tidur sahaja dengan topi keledar itu setiap malam. Keyakinan saya tinggi bahawa topi keledar berkenaan tidak akan dicuri orang.

Sebahagian dari pemandangan 
di stesen keretapi Layang-Layang

Saya memerhatikan susasana stesen keretapi kecil ini. Suasananya tenang dan sunyi. Inilah keunikan jajaran landasan keretapi bagi kawasan selatan Semenanjung Malaysia ini. Ia masih mengekalkan identiti asal dan tidak banyak yang berubah. Stesen keretapi kecil ini sebenarnya adalah cerminan dan identiti bagi pekan-pekan kecil seperti pekan Layang-Layang ini. Saya yakin suatu masa dahulu stesen keretapi ini begitu penting kepada para penduduk setempat untuk bergerak ke bandar Kluang atau ke Johor Bharu.

Platform utama stesen keretapi pekan Layang-Layang

Bangunan utama stesen ini diperbuat dari batu dan simen. Pada pandangan saya stesen ini lebih kecil sedikit daripada stesen keretapi pekan Renggam. Sewaktu melakukan perjalanan menaiki keretapi ke Johor Bharu tidak lama dahulu, keretapi yang saya naiki telah berhenti dengan agak lama di stesen ini bagi tujuan perselisihan keretapi yang datang dari arah Johor Bharu. Ini membuktikan bahawa kedudukan dan peranan stesen kecil ini tetap juga penting terutama bagi tujuan perselisihan antara keretapi.

Sewaktu melakukan perjalanan menaiki keretapi
ke Johor Bharu, keretapi yang saya naiki berhenti sebentar
di stesen keretapi Layang-Layang bagi tujuan
perselisihan antara keretapi.

Saya meniti kawasan platform utama stesen ini. Terasa begitu asyik disini. Kawasan persekitaran stesen keretapi ini dijaga dengan begitu baik dan ditanam dengan pepohon bunga bagi menambahkan serinya. Saya memerhatikan ke sebarang landasan terdapat beberapa pohon kelapa dan pisang. Teringat saya kepada suasana di stesen keretapi Segamat yang pernah saya jejaki dahulu. Masihkah ada lagi pohon kelapa yang menghiasi latar belakang suasana stesen keretapi Segamat itu ? ... saya berdoa semoga ia masih ada.

Terasa tenang berada disini

Ketika memerhatikan suasana stesen keretapi berkenaan saya ditegur oleh salah seorang kakitangan stesen yang begitu ramah. Kesempatan ini saya gunakan untuk meminta kebenaran mengambil gambar persekitaran stesen berkenaan. Kebelakangan ini saya agak risau untuk mengambil gambar di kawasan stesen keretapi. Terdapat larangan untuk merakamkan gambar di kawasan stesen keretapi. Namun tidak pula saya dapat memastikan kenapa larangan seperti itu dikuatkuasakan.

Seperti biasa perkara pertama yang menjadi keutamaan saya apabila berada di stesen keretapi ialah untuk mengambil gambar papan tanda stesen. Alhamdulillah, disini saya masih berkesempatan untuk melihat papan tanda lama bewarna putih itu. Papan tanda ini walaupun agak lama namun masih teguh dalam menghadapi cabaran cuaca yang tidak menentu. Inilah keunikan sebenar papan tanda lama seperti ini.

Papan tanda lama stesen keretapi Layang-Layang

Saya menuju ke kawasan utama bangunan stesen keretapi ini. Kerusi-kerusi bagi penumpang menunggu kosong sahaja. Nampak seperti kerusi dari era tahun 90an. Padanan yang begitu sesuai bagi sebuah stesen kecil yang bernuasa klasik seperti ini. Dari pembacaan saya pada jadual perjalanan keretapi di papan kenyataan stesen, adalah jelas masih terdapat keretapi yang berhenti dan mengambil dan menurunkan penumpang disini. Namun kekerapannya cuma dua kali sehari iaitu pada jam 8.56 malam untuk perjalanan  ke utara dan pada jam 6.11 pagi untuk perjalanan ke selatan.

Kerusi-kerusi lama buat penumpang
menunggu keretapi

Masih ramaikah penumpang naik dan turun keretapi
dari stesen tua ini?

Jadual perjalanan keretapi yang singgah ke stesen ini

Saya duduk melihat landasan keretapi di hadapan. Ini petang yang sangat menenangkan. Saya bungkam sendirian mengenangkan nasib yang bakal berlaku kepada stesen ini tahun hadapan apabila projek landasan berkembar elektrik akan mula dilaksanakan pada jajaran landasan kawasan selatan. Adakah stesen ini akan dikekalkan atau ia bakal dirobohkan ?.... Ah... saya sebenarnya masih terkesan dengan kehilangan stesen-stesen keretapi di jajaran pantai barat terutamanya di negeri Perak. Ia membuatkan saya begitu beremosi di stesen keretapi pekan Layang-Layang ini. Namun sebagai seorang yang waras sejujurnya saya sudah mula dapat menerima setiap pembaharuan dan tidak semestinya perkara yang baharu itu akan merosakkan segalanya yang bersifat lama itu.

Terasa enak duduk disini sehingga saya terlupa hari semakin petang dan saya perlu bergerak pulang ke Batu Pahat. Seronok mengelamun memikirkan tentang kenangan-kenangan lalu yang begitu indah dan tentu lebih indah jika isteri saya juga turut bersama ketika ini. Ketika mahu melangkah pulang, saya ditegur lagi oleh kakitangan stesen tadi. Sempat juga kami berbual sebentar. Menurutnya tidak lama dahulu pernah berlaku satu kebakaran besar yang melibatkan banyak rumah penduduk di kawasan berhampiran stesen ini. Semenjak kebakaran itu kawasan berkenaan ditumbuhi semak samun.

Pekan Layang-Layang dari arah stesen keretapo

Saya melihat motosikal saya dan bersyukur kerana topi keledar saya masih di tempatnya. Sebelum bergerak, sempat juga saya melambaikan tangan kepada kakitangan stesen keretapi yang begitu ramah itu tadi. Saya meneruskan perjalanan jauh ke hadapan mencari masjid untuk bersolat Asar. Tidak lama selepas itu saya singgah di masjid jamek pekan Layang-Layang untuk bersolat. Usai bersolat saya bergerak ke hadapan lagi dan dari kejauhan dapat dilihat binaan rumah-rumah kedai baru di kiri jalan. Nampaknya pekan Layang-Layang akan berwajah baru dan saya yakin inilah permulaan era baru untuk pekan Layang-Layang. Rumah-rumah kedai disini lengkap dengan segala kemudahan termasuk dengan perkhidmatan perbankan. Secara tidak langsung peranan pekan lama Layang-Layang pasti sedikit demi sedikit akan terhakis dan mati tanpa sedar.

Masjid jamek pekan Layang-Layang

Saya mengambil keputusan untuk berpatah semula untuk bergerak pulang. Saya masuk semula ke simpang pekan Layang-Layang yang tenang itu. Melaluinya mungkin untuk yang terakhir kalinya. Denyutan nadi pekan ini masih utuh seperti masa mudanya. Namun esok dan lusa adalah tidak pasti denyutannya akan terus berjalan .... saya melihatnya dengan harapan bahawa semuanya akan tetap akan ada sama seperti hari ini ... insyaAllah.

Jambatan Keretapi Yang Istimewa

Panorama indah sebuah jambatan besi 
landasan keretapi

Dalam perjalanan pulang saya singgah dahulu untuk melihat keunikan sebuah jambatan keretapi yang begitu istimewa ciri-ciri binaannya. Besar kemungkinan jambatan ini telah dibina sejak dari zaman penjajahan British lagi di Malaysia. Jika kita perhatikan dengan secara lebih teliti, kebanyakan jambatan landasan keretapi yang terdapat disemenanjung Malaysia ini diperbuat dari bahan keluli. Hanya bahagian tapaknya sahaja yang diperbuat dari batu batan yang disusun cantik.

Terdapat sebatang jalan melalui di bawah 
jambatan besi tersebut.


Bayangkan bagaimana suasana ketika
keretapi melalui di atas jambatan ini.

Bagaimanapun binaan dan susunan batu bata yang menjadi tapak kepada jambatan keluli adalah begitu mengagumkan. Ianya disusun dengan teliti dan kemas sehingga ia menjadi begitu kukuh dan tahan sehingga kini. Adalah tidak menghairankan berat keretapi yang menjangkau beribu-ribu tan itu dapat ditampung oleh jambatan keretapi seperti ini. Ia sebenarnya adalah satu teknologi kejuruteraan yang begitu hebat bagi zaman itu malahan pada perkiraan saya sehingga ke hari ini.


Perhatikan susunan batu bata yang menjadi
tapak kepada jambatan keluli... ia disusun kemas dan
kukuh !

Namun ... mampukah jambatan ini untuk kekal ketika landasan keretapi berkembar sudah mula mengeluarkan ngaumannya ? ... saya berharap jambatan ini terus kekal sebagai saksi kepada peri pentingnya perkhidmatan keretapi di Malaysia dari dahulu sehingga kini.

Sebuah hasil kejuruteraan yang hebat pada
abad yang lalu

Saya tidak mahu berlama-lama di jambatan ini. Saya tidak mahu memikirkan tentang nasibnya di tahun 2016 nanti. Biarlah catatan ini nanti mungkin menjadi catatan terakhir tantang kewujudan sebuah jambatan keluli dan sebuah stesen keretapi kecil di sebuah pekan yang semakin sepi dan usang. Mungkin nanti akan ada yang bernostalgia dengan kesemua ini ketika ia sudah tiada ditelan zaman yang berubah. Ia tetap akan meninggalkan kita.

Saya bergerak pulang dan berharap dapat kesini semula nanti. Bukan sekadar untuk membeli semula kenangan tetapi untuk berdakapan kembali dengan sebuah pekan yang masih berdenyut nadinya walaupun ke penghujung.

Penutup

Begitu sukar untuk menulis catatan berkenaan dengan pekan Layang-Layang ini. Semuanya bagaikan bersatu dalam keadaan yang bungkam. Masa semakin mencemburui kehidupan pekan Layang-Layang dan stesen keretapinya yang pikun itu. Nun di tahun 2016, terdengar dengan jelas gelak ketawa kemodenan yang semakin galak. Mampukah kita menolak semua itu ?

Ini adalah perjalanan yang begitu membekas di jiwa saya. Ia membeli semula saat-saat manis pada suatu masa yang telah lama berlalu. Mungkin bagi mereka di luar sana, tidak ada apa-apa yang boleh diberikan oleh sebuah pekan kecil bernama Layang-Layang ini. Namun bagi yang merindui nostalgia petang yang damai di sebuah pekan kecil yang tenang ... maka di sinilah tempatnya.

Ia sebuah pekan dengan sebuah stesen keretapi tua yang berjalan dengan senyuman yang tidak pernah pudar dek zaman. Saya mengerti ... ia sedang membilang detik-detik penamatnya ketika jantung hatinya sebuah stesen keretapi tua yang pikun dibunuh dengan kejam oleh kemodenan.... ia mengerti jasanya akan berakhir. Pekan Layang-Layang .... saya menikmati petang yang manis di dadamu !

CERITA-CERITA MALAM ( Bahagian 1 )

$
0
0
Melewati usia sebegini, banyak sekali kenangan-kenangan masa lalu yang semakin terhakis dari dalam ingatan aku. Itu sudah lumrahnya kehidupan. Semakin jauh aku belayar meneroka kehidupan maka acapkali juga ingatan-ingatan masa lalu itu akan hanyut sekali ditelan ombak kelupaan.

Ia sesekali menjadi kesal yang berpanjangan kepada aku. Namun apabila sesekali teringat atau terjumpa semula dengan sesuatu yang berupaya mengembalikan tugu kenangan itu ... ingatanku mula berputar dan ia mula mengalun semula lagu-lagu indah kehidupan masa silam itu. Ah... tiket ke alam kenangan itu sudah mula ku beli. Aku perlu menikmati persembahan kenangan itu dengan segera. Ia pasti tidak akan memualkan perutku sebaliknya akan menyegarkan semula diri aku yang semakin lesu dan tidak bermaya ini !

Malam-Malam Yang Berjela

Kehidupan memberikan kita kejadian malam yang harus kita lalui dengan rasa yang rencam. Sedari kecil sehingga menutup mata kita tetap akan melalui detik-detik yang bernama malam ini tanpa ponteng. Tidak kira bagaimana kita menerima kehadiran malam ia tetap punya cerita yang tersendiri dalam kehidupan kita. Begitu juga dengan aku.... malam punya cerita yang menarik untuk aku kenangi.

Pada tahun 1984 aku lahir ke dunia pada suatu pagi yang masih pekat dengan gelap malamnya. Aku tidak terlahir di hospital sebagaimana adik beradikku yang lain. Pada rumah tua yang kecil itulah tempat aku meneriak panjang melihat dunia pertama kalinya. Kata ayah ketika itu hampir keseluruhan keluarga berada di rumah tua itu membantu dan menantikan aku lahir ke dunia. Ia mungkin momen sejarah akhir bagi kelahiran secara tradisonal di kampung aku kerana selepas itu kebanyakan kelahiran akan dijalankan di hospital Tapah. Aku masih dapat mengingati arwah opah Nobah yang menjadi bidan tradisional menyambut kelahiranku. Kata emak ... penuh bawah tangga dapur rumah tua itu dengan air ludahannya. Katanya ... ada hantu raya bertenggek ingin mengganggu saat-saat ibu berkorban melahirkan aku. Wallahualam.

Agaknya beginikah rupa hantu raya ?

Menjelang usiaku hampir boleh berfikir, malam seringkali menjadi sesuatu yang sangat memberikan aku sejuta satu pertanyaan. Berdiri di hadapan pintu rumah ketika hari senja membuatkan aku selalu merasa kegelapan yang menakutkan. Aku bimbang malam yang gelap itu akan mencuri ayah, emak dan opahku yang tua berkedut itu.

Rumah tua opah di sebelah kiri

Ketika opah sudah mula menghalau ayam dan itiknya masuk ke reban ia menarik aku untuk memerhatikan dengan suatu sudut yang berbeza. Opah ... adalah suatu dunia yang sangat erat dengan hari kecilku. Aku menobatkan diriku sebagai cucu kesayangannya dan roti canai dari air tangannya begitu melekat di lidahku. Akhirnya di tahun 1993, opah pergi meninggalkan aku dan malam sebelum pengebumiannya aku duduk di sisi jenazahnya hingga ke lewat malam. Benar ... dalam usia kecilku, itulah pengalaman pertama aku menerima sesebuah kematian. Ia telah memisahkan aku dengan suatu kenangan yang berat. Hingga kini aku masih mengingati wajah opah dalam balutan kafannya !

Dan malam-malam yang berjela itu sendirinya terus membawa aku mengembara melintasi setiap juntaian usia. Tanpa aku sedar aku semakin mampu menjadi seorang anak kecil yang boleh berfikir dengan sendirinya. Ini adalah zaman keemasan yang begitu meriah dengan cerita. Di kampung yang lampu jalannya boleh dikira dengan jari serta pohon-pohon yang masih merimbun, ia telah memberikan suatu nuansa ngeri serta cerita-cerita seram yang tidak berkesudahan.

Pergi mengaji dengan kilauan lampu suluh bersama sepupu sepapat begitu mengujakan. Masih teringat pesanan opah ... baca sahaja surah"qulauzubirabbinnas"( An-Nas ) jika merasa diri dalam ketakutan. Itu pesanan yang kupegang hingga kini walau saban masa abang dan adik sepupuku berlari kencang meninggalkan aku berlari anak ketika kami melewati hutan kecil di tanah Haji Baharom bersebelahan rumah Pak Anjang yang gelap itu. Dan .... pesanan opah itu aku rasakan begitu relevan kerana aku tidak pernah pula diganggu gugat oleh hantu jembalang itu hingga kini.

Ayah ... lelaki yang penuh dengan kejutan. Dunianya ialah kami keluarga yang dibinanya dari segala kudratnya yang gagah. Seorang lelaki yang kushuk dengan solatnya berbanding dengan aku yang selalu lihai. Jarang sekali aku tidak menemukan ayah di waktu malam ketika masa kecilku. Ayah menjadi tembok yang kukuh yang pada tanggapanku menjadi pelindung aku dan adik-adik juga emak dari sepi malam yang misteri itu.

Sesekali ayah membawaku keluar dari rumah kecil itu. Menuju ke pohon manggis dan durian Andak yang besar sepemeluk itu. Ia mengajak aku menyuluh burung jampuk. Aku tidak mengenali bagaimana burung jampuk itu walaupun disuluh tepat ke arahnya. Kata ayah burung jampuk itu sama sahaja dengan burung hantu. Aku mengangguk yakin walaupun bayang burung jampuk itu tidak dapat kulihat benar. Tetapi itulah, beberapa hari selepas opah meninggal aku melihat burung besar duduk diam di atas bumbung rumah. Lama aku memandangnya sebelum ia terbang laju. Aku termanggu ..... kotak fikiran kanak-kanakku hanya memikirkan satu... opah datang melihat aku yang merinduinya dan malam itu aku menjadi lebih menyendiri !

Agaknya inikah burung jampuk itu ?

Ayah juga menjadi perwira malam aku bagi menentang ketakutan yang menebal pada pokok kekabu besar di sebelah tandas usang yang terletak jauh di belakang rumah tua. Rumah kampung kecil opah tandasnya di luar. Ia adalah satu ciri tipikal rumah kampung era lama yang memisahkan rumah dengan tandas. Membuang air di waktu malam adalah suatu perkara yang sangat menyiksakan jiwa kanak-kanakku. Tambahan pula jika ia berlaku ketika jam menunjukkan angka 1 hingga 4 pagi. Kata orang ia waktu hantu jembalang syaitan durjana bermaharajalela di muka bumi. Mahu ditahan apalah dayaku dan cara yang paling mudah bangun mengejutkan ayah di kelambu sebelah mengajaknya menemani aku ke tandas tepi pokok kekabu yang menurut opah begitu angker.

Pokok kekabu

Ayah tidak pernah menolak,. Dengan sebaldi air dan dua lampu suluh kami berdua berjalan kaki ke tandas luar itulah. Pastinya aku membuang segala apa yang diperutku dengan pintu tandas yang terbuka. Ayah ... lelaki budiman itu lantas membuat unggun api menerangi suasana malam. Ia bukti pada suatu kasih sayang yang sukar terlupakan dek akalku. Pokok kekabu angker itu lama sudah mati ketika zaman remajaku dan tandas usang itu juga turut roboh lama selepas aku berpindah ke rumah baru. Uniknya hingga usia ku kini kekabu yang opah kutip di bawah pohon kekabu angker itu tetap menjadi isi bantalku dan kubawa ia ke tempat permastautinku sekarang. Dan ia tidak pernah dimakan zaman... ia juga tidak dimakan oleh keangkeran pohon kekabu tua itu !

Malam yang berjela itu terus hadir dan tetap menyambut aku yang terus mengulit masa. Kampung kecil itu semakin dimasuki arus kemodenan. Lampu jalannya kini sudah semakin banyak. Tetapi ia tetap punya cerita yang lain. Ia tentang suatu zaman yang membuat aku menjadi lebih berani. Tidak ada aktiviti yang lebih menyeronokkan bagi anak-anak kampung pada waktu malam melainkan belajar dan berlatih bermain Rebana Perak.

Rebana Perak... hiburan waktu remaja

Itulah yang dilakukan setiap saban malam minggu tanpa jemu. Jika ada majlis perkahwinan maka kami akan bermain Rebana Perak sehingga larut malam. Usai bermain, aku tidak terus pulang ke rumah sebaliknya tidur sahaja di rumah Andak hingga ke pagi. Esoknya apabila sahaja terdengar andak mula mengetuk dinding .... cuci sahaja muka dan jika ada nasi lemak berbungkus surat khabar dan daun pisang Makcik Beh yang berharga cuma RM 0.20 itu di atas meja makan, maka adalah rezeki sarapan pagi aku. Jika tidak ada kayuh sahaja basikal pulang ke rumah. Singgah di mana-mana kedai belilah sarapan pagi. Di kedai orang Kelantan dekat dengan gerai benteng tepi jalan besar masih ada nasi lemak berharga RM 0.30 untuk sarapanku. Isinya cuma nasi, sambal ikan bilis, timun dan seperempat telur rebus. Cukup untuk mengenyangkan perut kecilku.

Nasi lemak Cik Beh lebih kurang begini rupa bungkusnya.
Harganya cuma RM 0.20 sen.

Ayah membeli rumah baru di kawasan perumahan kos rendah yang jaraknya beberapa kilometer dari rumah tua milik opah di kampung. Opah dengan sifatnya sebagai seorang tua lebih selesa tinggal seorang diri di rumah tua itu. Namun ayah tidak pernah hilang seri petangnya jika tidak menjengah opah saban masa dan ketika. Aku juga begitu, hujung minggu aku bermalam di rumah tua itu dan lebih menyeronokkan ada abang dan kakak sepupuku bersekali menemani opah. Seronok tidur beramai-ramai dan pastinya ia menimbulkan suasana yang bising. Sesekali opah akan marah dan ia akan reda pabila bunyi dengkuran kami mula kedengaran. Sesekali aku rindu dengan kenangan-kenangan seperti itu. Abang dan kakak sepupuku juga sudah berjauhan dari aku. Punya kehidupan mereka yang tersendiri. Tidak pasti pula adakah mereka juga masih punya ingatan manis tentang bermalam di rumah opah ini sama sepertiku. Aku masih yakin, serba sedikit mereka punya ingatan itu walaupun ia sudah dibalut oleh suasana masa yang menekan.

Malam-malam yang pekat dan berbintang sejuta itu sebenarnya telah menjadikan zaman remajaku begitu berani dan tangkas. Boleh sahaja aku berbasikal seorang diri memasuki atau keluar dari kampung tua itu pada lewat malam. Walaupun beberapa kawasan"digazetkan"sebagai keras oleh masyarakat kampung namun ia langsung tidak mampu menakutkan aku. Cerita-cerita langsuir yang bertenggek di atas jambatan Sungai Barah, hantu pocong yang berloncatan di bekas dewan lama sebelah rumah pakcik Kontot serta rumah hijau yang menyimpan tempat mandian mayat penduduk kampung yang terletak tidak jauh dari tapak bekas dewan lama itu langsung tidak menimbulkan ketakutan kepadaku. Peliknya bagaimana boleh muncul keberanian yang serupa itu sedangkan masa kecilku dihujani dengan seribu satu macam cerita tahyul yang tidak berkesudahan tentang tempat-tempat yang kumaksudkan tadi.

Sungai Barah yang jambatanya dikatakan
selalu dijadikan tempat bertenggek Langsuir.

Sayangnya, keberanian itu tidak berpanjangan. Ia bertukar menjadi ketakutan yang sangat mendalam malahan begitu merosakkan diri aku untuk suatu tempoh hampir setahun lamanya. Ia sesuatu yang sangat melucukan apabila aku yang tanpa sengaja menonton filem seram Indonesia berjudul Malam Satu Soro lakonan Suzanna yang sangat seksi itu. Filem itu begitu membekas dalam ingatan aku dan watak hantu yang bernama sundel bolong telah menyebabkan aku menjadi lelaki yang penakut. Hampir setahun aku tidak berani berbasikal seorang diri ke kampung pada waktu malam. Dan ketakutan itu membawa pula ke rumah apabila air kecil yang kutahan dari dibuang semasa tidur dilepaskan sahaja di atas tilam hingga menimbulkan kemarahan emak. Alangkah teruknya semasa itu dan alangkah susahnya melupakan bayangan sundel bolong yang menakutkan itu. Sesekali teringat mahu sahaja aku ketawa semahunya hati. Lama kufikir ... apakah yang akan terjadi kepada aku sekiranya ketakutan itu terus ada dalam diri hingga kini ? ......... aku tidak mampu menjawabnya.

Aktres Suzanna yang melakonkan watak sundelbolong
dalam filem Malam Satu Soro. Jujurnya sehingga kini
saya begitu mengagumi kecantikannya!.

Filem Malam Satu Suro dan sundel bolongnya.

Itu zaman peralihan kanak-kanak ke remaja ku yang tidak punya apa-apa meskipun teman-teman sudah mula berjinak-jinak untuk mempunyai kekasih tetapi aku tetap menyendiri. Namun sesekali ada juga timbul rasa ingin berteman dalam diri walaupun sedar diri tidak punya apa-apa kelebihan. Malam adalah detik yang menyeronokkan bagi sesiapa yang menempuh alam remaja di era-90an. Zaman remajaku ialah berkaitan dengan duit syiling dan telefon awam. Tetapi semua manusia yang hidup di zamanku itu berkeadaan sepertiku. Dunia yang membawa kami untuk berkumpul dan melepak di sesuatu tempat yang mempunyai telefon awam. Itu ialah zaman di mana kecanggihan telefon bimbit belum membadai kehidupan kita. Pada telefon awam itulah aku beserta teman-teman mencipta ilusi cinta dengan menelefon sesiapa sahaja gadis yang dirasakan mahu bersembang melayan kami.

Jenisan telefon awam anak muda tahun
90an.

Lucunya bila sahaja bapa si gadis yang menjawab telefon maka dengan segera diletak gagang telefon awam tersebut. Betapa tahap kematangan aku yang begitu cetek ketika itu. Mujur juga ... ketika usiaku menjangkau 16 tahun secara tiba-tiba aku berpeluang merasa enaknya apa yang dipanggil "cinta monyet" itu. Ia berlaku dengan sendiri dan aku sendiri tidak pasti bagaimana seorang gadis manis yang kupanggil Jue itu boleh menajdikan aku kekasihnya. Bermulalah satu keseronokan bercinta yang pelik ... yang terluahkan di telefon awam dan ia juga diakhiri di telefon awam juga pabila gadis itu mengucapkan selamat tinggal kepadaku pada suatu malam yang sangat aneh. Uniknya aku tidak pula menangis atau merasa terkilan. Dan ia terus berlangsung dengan aku mencipta beberapa kali ilusi cinta monyet dengan gadis satu sekolah denganku. Seperti yang pertama kalinya juga ...ia dimulakan di telefon awam diakhiri di telefon awam !

Aku terus melalui usia remajaku dengan detik-detik malam yang tidak pernah hilang ceritanya. Kampung kecil itu yang masih rimbun dengan khazanah alamnya sentiasa menjanjikan keseronokan kepada kehidupan malam kami. Musim durian yang ditunggu-tunggu sentiasa memberikan kami peluang untuk menikmati keenakan durian penduduk kampung secara percuma. Syaratnya perlu sahaja tabah dan berani menyelinap masuk ke kebun durian milik sesiapa sahaja dan ganjarannya pasti lumayan. Biasanya kebun yang menjadi mangsa ialah kebun pakcik Mat Tempoyak yang duriannya begitu enak dan harum. Jika tidak ke kebun Mat Tempoyak, di sebelah rumah tua opah yang sudah tidak berpenghuni tersergam hampir 10 batang pokok durian milik Wan Nyah dan Nyah Kodin yang ada bau-bau bacang persaudaraan denganku. Tetapi kata teman-temanku duriannya agak kurang sedap.

Secara peribadi, saya lebih selesa menyatakan
bahawa durian yang diperoleh melalui hasil
curian adalah durian yang paling enak
di dunia.

Sayangnya jika tidak salah dalam ingatanku, hampir empat tahun musim durian berlangsung ketika masyarakat Islam sedang menunaikan ibadah puasa. Alangkah peritnya melalui ibadah puasa dengan bauan durian yang bergelimpangan di serata pelusuk kampung. Bagi yang kaki kelepet ... puasanya hanya tinggal kenangan sahaja. Aku sendiri juga turut terjebak tambahan pula abang-abang sepupuku ada membina pondok menunggu durian di tanah milik Andak di belakang rumah Enda itu. Ya ... disitulah markasnya, disitulah tempat bermalam sekaligus menjadi tempat operasi mencuri durian penduduk kampung. Peliknya, kami tidak pernah takut pada nyamuk malahan gigitan nyamuk itu langsung tidak memberi kesan langsung pada antibodi badan kami. Benar ... aku langsung tidak pernah demam pada masa remajaku.

Itu cerita musim durian di bulan puasa dan ia tetap punya cerita-cerita selingan yang tidak kurang lucu dan kuat nuansa kenangannya. Ia tentang keseronokan bermain meriam yang ditentang oleh kepercayaan sesetengah penduduk kampung berkenaan dengan semangat pokok durian. Semasa aku kecil, selalu aku ditegur oleh ibu atau bapa saudaraku agar tidak menakik kulit pokok durian atau membakar di kawasan perdu pokok durian. Alasannya bimbang pokok durian itu merajuk dan akan mengeluarkan buah yang " mangkor" mengikut dialek orang Perak. Biasanya orang-orang tua sekiranya pokok durian mereka tidak mengeluarkan buah yang baik pada tahun berkenaan akan menggelarkan pokok durian mereka sebagai sedang"membuang buruk". Aku sendiri pelik dengan istilah itu dan paling tidak kusukai ialah punca muasal kepada kejadian pokok durian merajuk, mangkor dan buang buruk itu pula sering dipersalahkan kepada kami.... atas sebab seperti yang kuceritakan tadi.

Tetapi bila difikirkan kembali mungkin boleh jadi benar juga kenyataan dari orang-orang tua itu. Hal inilah yang berlaku apabila kami menjadikan kebun durian penduduk kampung sebagai lokasi bermain meriam besi. Masakan tidak, meriam yang diperbuat dari palong besi seberat hampir 50 kilogram itu akan diusung oleh kesemua rakan-rakanku di sekeliling kampung. Singgah sahaja di mana-mana lokasi yang dirasakan selamat dan berbunyilah meriam palong besi itu tanpa segan. Aku tidak tahu benar atau tidak kerana memang durian di kampung semuanya tidak menjadi tahun itu. Heboh kedengaran terdapat kesan air "kabat" di pangkal pohon durian kebun penduduk kampung. Kami menggeleng kepala sahaja apabila ditanya siapa pelakunya. Tetapi setakat pengetahuanku ... sambil bermain meriam maka bersambillah kami mencuri durian. Tidak pula kurasakan durian mereka tidak enak atau mangkor. Semuanya enak dan hilang apabila bertukar menjadi najis keesokannya. Aku benar-benar menikmatinya !

Kisah meriam palong besi itu tidak habis begitu sahaja. Ledakannya yang bermaharajalela di sekitar kampung telah menyebabkan beberapa orang tua di kampungku dimasukkan ke hospital. Mulanya ada timbul ura-ura untuk menghentikan letupan meriam untuk beberapa hari namun ia hanya tinggal sebagai ura-ura sahaja apabila ia menjadi lebih rebel dan berani. Pernah aku mendengar cerita abang sepupuku dan kawan-kawannya membawa memikul meriam palong besi itu ke kawasan klinik kesihatan Bidor dan menghalakan letupan ke arah pub Michikawa yang terletak bersebelahan perkuburan Islam Bidor. Bila aku tanyakan tujuannya ... kononnya mengejutkan orang-orang yang berdansa di pub berkenaan.

Sebuah meriam palong besi yang kecil

Namun pada suatu malam yang pekat menjelang hari raya riwayat meriam palong besi itu berakhir apabila ia dimasukkan ke dalam trak polis apabila lokasi persembunyiannya ditemui. Lebih sadis lagi seorang lelaki ( yang duriannya kami curi serta beliau baru sahaja keluar dari hospital akibat bunyi letupan meriam besi itu ) tanpa rasa bersalah memegang bahu salah seorang abang sepupuku sambil bertanya " siapa yang buat report polis agaknya kan ?"dan ia menjadi cerita yang sangat menggelikan hati untuk beberapa hari lamanya !

Tidak ada hiburan malam di pekan Bidor ketika usia belasan tahunku. Selain dari pusat snooker di tepi Sungai Bidor itu, yang ada hanyalah pusat kafe internet yang tidak dibuka hingga larut malam. Itupun jarang-jarang sekali aku ke sana kerana poketku yang jarang berisi. Dahulu harga yang dikenakan untuk perkhidmatan penggunaan internet selama satu jam ialah bernilai RM4. Bagi anak golongan berpendapatan rendah seperti aku ini, nilai RM 4 itu adalah terlalu besar.

Seminggu sekali di pekan Bidor diadakan pasar malam yang pada pandanganku begitu meriah dan menyeronokkan. Jika tidak salah dalam ingatanku, semasa dalam tahun 1990an, pasar malam di pekan Bidor diadakan di Jalan Persatuan tidak jauh dari Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Bidor. Disitulah juga diadakan pasar lambak yang diadakan pada hari Sabtu pada sebelah siang. Namun demikian dalam tahun 1993, pasar lambak siang di Bidor ditiadakan atas sebab yang aku sendiri tidak pasti.

Dalam tahun 1993, lokasi tapak pasar malam Bidor dipindahkan ke kawasan Pasar Awam Bidor sebelum berpindah sekali lagi ke lokasi hari ini iaitu di Jalan Sungkai. Ya ... di pasar malam itulah tempat hiburan yang paling nikmat sekali bagiku ketika usia belasan tahun. Malahan bagi remaja-remaja seusiaku, malam hari Rabu itulah yang akan kami nanti-nantikan dengan penuh sabar. Di situlah tempat melaram dan bergaul yang paling menyeronokkan. Hampir seluruh pelusuk penduduk pekan Bidor akan berkumpul di pasar malam tersebut.

Biasanya semasa tiba hari Rabu yang dinantikan itu, masing-masing diantara kami di sekolah akan berdoa supaya pada hari berkenaan hujan tidak turun. Itu harapan yang paling menggunung dan hujan adalah musuh yang paling ditakuti oleh kami pada hari berkenaan. Di kepala sendiri sudah terbayang rakan-rakan wanita di sekolah kami yang pastinya berubah 100 peratus, dari yang bertudung kepada tidak bertudung, dari yang tidak bersolek kepada yang bersolek tebal dan yang paling penting dari yang berbuah dada kecil secara tiba-tiba menjadi lebih besar pada malam berkenaan.

Tidak sukar untuk ke pasar malam pada ketika itu. Jalan raya masih tidak terlalu sibuk dan pastinya kami berbasikal beramai-ramai untuk ke pasar malam berkenaan. Risikonya cuma satu... kehilangan basikal. Namun syukurlah basikal burukku tidak pernah pula dicuri orang. Aku dan teman-teman akan meronda ke seluruh laluan pasar malam berkenaan tanpa membeli apa-apapun. Jika terjumpa teman-teman yang lain maka akan saling bertegur sapa dan bergurau senda. Paling menyeronokkan ialah apabila terjumpa gadis-gadis satu sekolah yang berjiwa genit. Aduhai jika mahu diceritakan kenakalan dahulu pasti agak sukar disini. Namun tidaklah aku pernah berlaku jahat kepada teman-teman gadisku. Alhamdulillah, mereka-mereka yang dahulunya genit dan nakal itu kebanyakannya kini sudah berubah dan berumah tangga. Semuanya terus tinggal sebagai kenangan dan pastinya apabila terjumpa sesekali di pinggiran jalan ... kami akan mengenang masa itu. Ia suatu masa yang amat bernilai dan pastinya ia adalah sebahagian dari sejarah hidup malamku !



BERSAMBUNG

CERITA-CERITA MALAM ( Bahagian 2 )

$
0
0
Malam itu terus berjalan melewati setiap kenangan yang mendewasakan aku. Cerita - cerita malam terus membuatkan senyuman selalu terukir di wajahmu. Menjelang penamat usia belasan tahunku, aku berazam untuk tinggal di asrama. Bersekolah di SMK Buyong Adil Tapah menyebabkan aku perlu untuk tinggal di asrama ekoran dari jarak pekan Bidor ke Tapah yang agak jauh. Peliknya sekolahku itu tidak mempunyai asrama lelaki dan aku beserta beberapa orang temanku yang kebanyakannya berasal dari FELDA Gunung Besout, Sungkai dan Trolak terpaksa pula penumpang di asrama lelaki SMK Hamid Khan yang terletak tidak jauh dari sekolahku. Duduk di asrama memang menyeronokkan dan pastinya cerita-cerita malam tentang kehidupan di asrama mula menyelinap masuk ke celah-celah diari kehidupanku.

Menjadi pelajar dengan usia paling tertinggi di asrama adalah perkara yang sangat menyeronokkan. Hampir kesemua penghuni asrama menghormati kami lantaran kami ialah pelajar tingkatan enam. Memiliki dorm sendiri yang hanya boleh diakses atau diduduki oleh pelajar-pelajar yang dipercayai sahaja. Namun masih juga ada beberapa pelajar tingkatan 1,2,3 dan 5 yang tetap tinggal bersekali di dorm kami atas alasan menjimatkan ruang. Jujurnya kami pelajar tingkatan 6 pasti memiliki 4 locker pakaian yang dibawa masuk secara haram ke dalam dorm berbanding pelajar lain yang hanya memilki sebuah locker pakaian sahaja. Juga satu keistimewan yang tiada di dorm lain ialah hanya di dorm kami sahaja boleh mendengar radio.

Radio itulah yang menyeronokkan malam-malam kami. Itulah hiburan yang paling enak penyeri kehidupan kami. Masih teringat lagi aku dengan rancangan pilihan lagu yang paling terkenal ketika itu iaitu rancangan Pilihan Bersama di Radio Muzik yang tidak salah dalam ingatanku bersiaran hingga jam 12 tengah malam. Rancangan berkenaan menyediakan pilihan lagu-lagu semasa yang popular ketika itu dan ia dipilih oleh pendengar radio itu sendiri. Jika ada lagu yang popular maka kami akan menyanyikannya beramai-ramai.

Rancangan Pilihan Bersama sangat popular
suatu ketika dahulu pada penghujung tahun 1990an.

Pernah juga aku dan teman-teman mencuba nasib menghantar lagu permintaan sayangnya tidak pula pernah mendengar nama kami disebutkan oleh dejay radio berkenaan sebagai pendengar yang bertuah untuk dipilih lagu pilihannya. Kini ia tetap kekal sebagai satu kenangan sahaja. Rancangan Pilihan Bersama yang terkenal suatu ketika dahulu itu juga sudah tidak ada wujud kini. Aku juga kini sudah amat jarang mendengar radio di rumah apatah lagi mendengar radio pada waktu malam. Aku merindui suasana yang dahulu ... alangkah indahnya masa yang telah berlalu itu.

Tipulah jika di asrama tidak ada masalah rokok. Tetapi aku bukan perokok walaupun berkawan dengan kawan-kawan yang hampir semuanya kaki rokok. Di hujung kawasan tempat menyidai  pakaian tidak jauh dari tandas lama yang dikatakan begitu angker itulah lokasi paling strategik untuk kegiatan itu. Seringkali juga aku mengikuti teman-temanku yang sesetengahnya berjawatan imam surau asrama, pengawas asrama dan balaci warden menghisap rokok di tempat itu. Ada sekali jika tidak silap dalam ingatanku, "port" kebanggaan perokok asrama putera itu diserbu oleh ketua warden. Mujur juga malam itu aku tidak berapa sihat dan terbaring sahaja di atas katil. Jika tidak ... aduhai Allah sahaja yang tahu apa yang akan terjadi.

Cerita-cerita seram memang tidak pernah hilang dari benak warga asrama kecil itu. Aku sendiri sesekali gerun mendengar kisah-kisah seram yang pada pandanganku baunya sama dengan cerita seram di mana-mana sahaja asrama era 90an. Tetapi di asrama ini juga punya kisahnya yang tersendiri iaitu tentang suatu tiang dinding yang dikatakan dahulu pernah mengeluarkan darah. Kononnya tiang berkenaan dihuni oleh makhluk halus dan atas usaha seorang ustaz, makhluk berkenaan telah berjaya dihalau dari tiang berkenaan. Sebagai satu usaha untuk mengelakkan makluk berkenaan kembali semula ke tiang berkenaan, beberapa potongan ayat Al-Quran dan kalimah Allah dan Muhammad yang diperbuat dari zink dilekatkan pada tiang atau dinding berkenaan.

Cerita ini tersebar untuk setiap generasi pelajar di asrama berkenaan dan pastinya jalan ceritanya telah ditokok tambah tanpa tapisan. Pada mulanya aku tidak mengambil pusing sangat dengan cerita berkenaan tiang berkenaan sehinggalah pada suatu hari seorang temanku yang kami panggil Jelmol menunjukkan aku kedudukan tiang berkenaan di dorm kami !. Dapat kulihat kalimah Allah dan Muhammad di kiri dan kanan dinding berkenaan. Juga sebahagian dari ayat Al-Quran yang telah kabur tulisannya. Paling tidak kusukai ialah kedudukan tiang berkenaan betul-betul terletak tidak jauh dari hadapan katilku. Namun aku agak kagum dengan Jelmol, beliau tidak pernah ada rasa takut dan katil beliau sendiri memang terletak betul-betul di bawah tiang berkenaan.

Perkara yang paling tidak kusukai ialah apabila terjaga secara mengejut di tengah malam. Ketika suasana asrama sunyi dan semua penghuninya tidur nyenyak. Aku di masa remaja punya sedikit kesusahan untuk tidur semula apabila terjaga dari tidur di tengah malam. Hal ini sesekali membuatkan aku menjadi ketakutan apabila terpandang pada dinding berkenaan. Situasi ini berlarutan untuk beberapa bulan lamanya. Namun apabila sudah semakin biasa dengan kehidupan asrama berkenaan, ketakutan berkenaan semakin hari semakin hilang dan aku sendiri pernah bermalam berdua sahaja dengan Jelmol di dorm berkenaan ketika semua pelajar sudah pulang bercuti dan kami terpaksa kekal di asrama berkenaan kerana memepunyai tugasan di sekolah.

Hasil dari cerita-cerita seram malam inilah yang menyebabkan kebanyakan pelajar khususnya yang baru dalam tingkatan satu amat takut untuk pergi membuang air di tandas pada waktu tengah malam. Bagi yang bernasib baik dapatlah mengejutkan teman baik untuk menemani ke tandas. Bagi yang tidak bernasib baik, cuma ada dua sahaja pilihan... lepaskan sahaja di katil atau di longkang koridor hadapan dorm. Esok pagi pasti bau hancing akan menerpa ke hidung kami dan kebiasaannya amat sukar menentukan pelakunya. Pernah juga kami dikejutkan dengan penemuan seluar dalam yang dipenuhi dengan najis di dalam longkang berkenaan. Namun pelakunya sudah boleh diteka kerana kebanyakan pelajar tingkatan satu akan menulis nama pada seluar dalam mereka. Seperti biasa... pasti ia akan menjadi bahan cerita jenaka yang mengambil masa yang lama untuk hilang dari ingatan warga asrama berkenaan.

Aku tidaklah menyatakan diri aku ini sebagai seorang yang baik. Sesekali belangku sebagai abang senior tetap juga ada. Biasanya aku akan meminta pelajar tingkatan satu mengurut badanku dan atau cukup sahaja menolong menjemur pakaian basuhanku. Namun yang pasti kebanyakan pelajar tingkatan bawahan pasti akan mencuba mengejutkan aku dari tidur untuk menemani mereka ke tandas pada waktu malam. Aku pula tidak sampai hati melihat pelajar-pelajar cilik ini menahan diri untuk ke tandas akibat dari perasaan ketakutan itu. Tambahan pula kebanyakan dari pelajar-pelajar tingkatan bawahan ini mempunyai kakak yang manis yang bersekolah sekali dengan kami. Namun kerana kebaikan ku inilah pada suatu malam keberanianku benar-benar teruji.

Aku tidur di bahagian bawah katil dua tingkat dan diatasnya menempatkan Izad, pelajar tingkatan satu yang memiliki 3 orang kakak yang pada pandanganku sangat-sangat cantik. Seringkali juga aku dan kakaknya yang kedua itu saling berkirim salam namun tidaklah lebih dari itu. Pernah juga Izad meminta aku berkirim gambar kepada kakaknya namun permintaannya itu tidak pernah kuturuti. Sebenarnya ketika di tingkatan enam aku merasa agak rendah diri untuk berkenalan dengan mana-mana gadis. Bukan tidak ada yang berminat denganku namun apabila memikirkan soal diri dan kemahuan untuk berjaya, keinginan untuk berkasih-kasihan itu aku tahan sahaja dalam diri.

Pada suatu malam yang dingin aku dikejutkan oleh Izad yang memintaku menemaninya ke tandas. Buka sahaja mata tanpa banyak bicara aku mengikutinya ke tandas. Kata Izat perutnya sakit. Kasihan pula kulihat wajahnya yang berkerut itu. Ketika melalui katil Jelmol, terlintas di fikiranku untuk mengejutnya dan mengikutiku menemani Izad ke tandas. Tetapi apabila memikirkan dengkurannya yang kuat itu, cadangan itu aku buang jauh-jauh. Biarlah Jelmol tidur dengan seenaknya. Sampai ke tandas Izad dengan segera masuk ke tandas dan aku menunggunya seorang diri di luar. Lama aku menunggu dan Izad tidak pula keluar-keluar dari tandas berkenaan. Aku mengetuk pintu tandas berkenaan memanggil nama Izad namun senyap tiada sahutan dari dalam.

Suasana malam yang sepi dengan bunyi unggas dan lolongan anjing membuatkan aku menjadi seram sendiri. Aku mencuba untuk mengetuk pintu bilik air tersebut namun tidak ada jawaban dari dalam. Pada perkiraanku waktu berkenaan hampir memasuki jam 3 pagi. Waktu yang selalu ku kenang sebagai waktu permainan hantu syaitan yang meliar. Aku bergegas pulang semula ke katilku. Alangkah terkejutnya aku Ijad sedang seronok lena di katilnya tanpa sebarang gangguan. Siapakah gerangan yang bersama dengan ku ke tandas sebentar tadi ?. Aku berbaring semula di katilku. Fikiranku buntu dan seperti biasanya mataku mula sukar untuk tidur.

Debaran jantungku semakin kencang dan ini ditambah pula apabila pandanganku jatuh ke pangkal tiang berdarah yang begitu berlagenda di asramaku itu. Allahuakbar ... jujur untuk aku katakan inilah kali pertama aku merasa ketakutan yang maha hebat. Aku berselubung  di dalam selimutku yang tebal. Aku seperti dapat merasakan bagaikan ada seseorang sedang berada rapat dengan aku ketika itu namun kelibatnya tidak kelihatan.

Aku tidak sedar bila aku terlena. Cuma ketika bangun dari tidur aku merasakan tubuhku sedikit longlai. Aku masuk ke bilik air dan melihat tandas yang dimasuki oleh "Ijad" pada malam tadi terbuka pintunya. Aku tidak pernah menceritakan hal yang kualami ini kepada teman-teman seasrama denganku. Aku bimbang ia akan menjadi buah mulut dan akan lebih menakutkan penghuninya. Peliknya selepas kejadian itu, aku menjadi lebih berani malahan tandas yang telah mengenakan aku pada malam itu menjadi tempat utama kepadaku untuk melepaskan hajat walaupun di tengah malam. Pada pandangan aku, mungkin kejadian itu sebagai salam perkenalan dari makhluk yang tidak mampu kulihat itu kepada diri aku. Aku tahu ... ia sekadar memberi peringatan kepadaku untuk lebih berhati-hati dalam kehidupan di dunia yang penuh rahsia ini.

Gambar kenangan ketika di asrama dalam tahun 2013.
Duduk di belakang dari kiri Azli, Hafez J.Malim dan Jelmol.
Duduk di hadapan dari kiri Syamil, Faizal dan Pakdin.
Katil di sebelah kanan ialah katil penulis semasa kejadian
disakat oleh " Ijad". 

Keluar pada waktu malam atau istilah popularnyanya "fly" adalah sesuatu yang paling hebat dilakukan oleh para penghuni asrama. Amat sukar untuk melakukannya namun bagi pelajar tingkatan enam yang jumlahnya cuma beberapa kerat ini ia adalah suatu yang sangat enteng dan mudah. Walaupun perbuatan itu adalah merupakan satu kesalahan yang berat namun bagi kami ia adalah satu keseronokan yang tiada taranya. Tiada istilah takut kepada kami kerana semuanya dilakukan dengan terancang dan penuh ketelitian. Jika tidak salah dalam ingatan aku antara teman-teman seasrama yang sering fly bersama aku ialah Faizal, Jelmol, Mamak dan beberapa orang pelajar tingkatan lima. 

Tujuan keluar pada waktu malam itu adalah lebih kepada faktor mencari makanan. Duduk di asrama kecil yang makanannya serba serbi berkongsi sebenarnya agak memberikan kesan kepada diriku. Tambahan pula aku adalah dari jenis yang agak memilih makanan. Semua benda aku tidak makan kecuali ayam. Jika tiada lauk ayam maka tidaklah aku makan di kantin asrama sebaliknya aku akan makan apa sahaja yang ada di dalam almari pakaianku ... selalunya mee segera. Sesekali ada juga seorang cikgu yang sudah aku lupa namanya datang ke asrama pada waktu malam untuk berjual nasi lemak. Jualannya memang tidak menghampakan kerana memang selalu habis diborong oleh warga asrama yang kelaparan termasuklah aku.

Hal keluar malam ini sebenarnya punya banyak cerita kenangan yang sangat sukar untuk aku lupakan. Pekan Tapah dalam 13 tahun dahulu bukanlah seperti yang terlihat pada hari ini. Ia merupakan sebuah pekan mati dan tidak banyak kedai dibuka pada waktu malam. Kebetulan pula pada ketika itu terdapat sebuah kedai yang menjual roti canai pada waktu malam dan letak kedai berkenaan bersebelahan sahaja dengan stesen bas Tapah. Itulah tempat utama yang kami tujui sekiranya melakukan aktiviti keluar malam ini. Harga bagi sekeping roti canai cuma RM 0.50 sen sahaja ketika itu dan ia adalah dalam kemampuan kewangan kami.



Usai menikmati roti canai, kami akan melepak dahulu di bangku kayu bertingkat yang terletak di gelanggang tenis Tapah. Tidak ada apa yang dilakukan melainkan berbual kosong atau berbaring sahaja disitu. Seronok menikmati alam persahabatan ketika itu. Tanpa keluarga disisi, cuma teman-temanlah yang menjadi penguat diri. Kini sebahagian dari teman-teman di asrama sudah jarang-jarang kutemui. Perhubungan juga sudah semakin menipis walaupun sesekali dapat juga kulihat mereka di media sosial seperti Facebook. Ada juga yang sudah berpulang menemui Ilahi. Al-Fatihah untuk sahabatku Mamak ( Mohd Syukri Bin Kaja Maidin ).

Untuk Mamak, ada secebis kenangan yang tidak dapat aku lupakan sehingga kini. Terasa sebak apabila mengenangkan betapa kecilnya kehidupan kami ketika itu. Hidup berbulan-bulan di asrama menyebabkan aku dan beberapa teman tingkatan enam begitu kepingin untuk menikmati keenakan sate. Maka dirancang satu aktiviti keluar malam yang akan dilakukan ketika warden dan sebahagian warga asrama keluar untuk satu lawatan yang aku sudah lupa kemana hala tujunya. Mamak dilantik sebagai ketua dan beliau berjanji untuk membelanja kami makan sate sekali ganda dari apa yang mampu kami kongsikan. Maksudnya jika aku cuma mampu membayar untuk lima cucuk sate sahaja maka beliau akan menambahkan lima cucuk sate lagi sebagai satu dorongan untuk kami keluar malam.



Jika tidak salah dalam ingatan kami keluar berlima yang terdiri dari aku, Mamak, Faizal, Jelmol dan Azli. Kami berjaya keluar dengan mudah kerana pada ketika itu pengawal keselamatan berada jauh dari pintu pagar utama asrama. Tambahan pula pengawal keselamatan tua itu memang selalu lihai dalam tugasannya. Kami menuju ke Taman Malaysia kerana disitu terdapat kedai yang berjualan sate. Betapa enaknya menikmati sate yang rasanya sudah berbulan-bulan tidak kujamah itu.

Taman Malaysia Tapah... tempat kami cuba 
menikmati keenakan sate.

Ketika sedang enak menikmati sate yang berjumlah 50 cucuk itu secara tiba-tiba aku terlihat sebuah kereta bewarna perak yang begitu familiar dalam penglihatanku. Tidak syak lagi itu ialah kereta warden asrama. Hampir terkeluar semula sate-sate yang telah kami telan itu. Mahu menangis melihat sate-sate yang masih tertinggal di dalam pinggan yang pada perkiraanku masih banyak. Tanpa berlengah kami perlu segera angkat kaki. Jika dapat dilihat oleh warden alangkah dashatnya dendaan yang akan kami terima nanti. Alhamdulillah kami dapat melepaskan diri namun jauh di dalam hati alngkah sedihnya mengenangkan sate yang masih tersisa. Nampaknya bukan rezeki kami malam itu.

Bergerak berjalan kaki untuk pulang ke asrama juga merupakan satu perkara yang sangat sukar. Tambahan pula jalan menuju ke asrama tidak mempunyai lampu jalan. Baru sahaja kami memasuki simpang ke asrama, terasa bagai ada sinar lampu kereta di belakang kami. Pada waktu malam sebegini jika ada kereta yang masuk ke asrama pastinya ia adalah milik warden. Sebaik sahaja melihat silauan lampu keretanya kami bertempiaran lari ke kiri dan kanan jalan berkenaan. Aku masih ingat lagi aku bersempunyi dan meniarapa di tepi sebatang pokok. Lebih melucukan, Mamak terjun ke dalam parit kecil di kanan jalan. Habis lenjun seluarnya !.

Terasa malam berkenaan begitu sial. Kusangka ia akan berakhir begitu sahaja sebaliknya ia berlanjutan lagi apabila warden tidak terus memasuki asrama sebaliknya duduk berbual dahalu dengan pengawal keselamatan. Pada perkiraan aku, pastinya beliau sudah dapat mengesan kehilangan kami di asrama pada malam berkenaan. Tidak disangka beliau dan warga asrama akan pulang lebih awal ke asrama. Mahu tidak mahu, kami perlu mengambil keputusan untuk masuk ke asrama terlebih dahulu dari warden. Alangkah siksanya bergerak secara meniarap di padang sekolah semata-mata untuk mengelakkan dari dikesan oleh warden dan pengawal keselamatan yang sedang rancak berbual. Kami terpaksa melompat pagar dan seterusnya masuk ke dorm. Ada yang ke bilik air dan ada yang terus mencuci pakaian seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Ketika warden memasuki dorm kami, beliau hanya tersenyum memandang kami. Kami hanya membuat bodoh sahaja seolah-olah memang kami berada di dorm sejak dari azali lagi. Alhamdulillah lakonan kami berjaya.

Malam sepi yang meliar itu tetap juga sesekali memberikan aku dan teman-teman idea nakal untuk mengganggu teman-teman asrama yang dianggap barua warden. Ijad ... pelajar tingkatan satu yang tidur di atas katil dua tingkat ku sering menjadi mangsa yang dipergunakan bagi membantu melicinkan kerja-kerja jahat kami. Dengn cadar kain putih yang kami ambil ( curi ) dari stor asrama, rambut palsu dan warna air, wajah Ijad yang tidak berdosa itu bertukar menjadi begitu menggerunkan. Menambahkan lagi kegerunan itu, Ijad akan dijulang oleh seorang kawanku yang akak besar tubuhnya. Mereka berdua kemudiannya kami balut dengan cadar putih dan disimbah dengan warna merah. Jika dipandang dari jauh memang agak menggerunkan sesiapa sahaja yang melihat susuk ciptaan kami itu.

Kiranya adalah sebegini rupa hantu ciptaan kami
di asrama.

Namun demikian masalah yang paling sukar diatasi ialah bagaimana mahu mengejutkan individu yang menjadi sasaran untuk disakat. Hal ini adalah kerana kebanyakan penghuni asrama adalah dari jenis tidur mati. Mahu tidak mahu salah seorang teman harus bersedia untuk melakukan kejutan dengan cara menampar pipi"suspek" sekuat hati dan paling penting hantu buatan kami harus berdiri mendiamkan diri di hadapannya apabila beliau sedar dari tidur.

Lucu melihat tangisan dan jeritan teman yang disakat. Ada yang berani dan hanya meletakkan muka di bawah bantal sahaja. Esoknya heboh di asrama dan sekolah tentang kehadiran makhluk halus yang menakutkan itu. Maka pada malam Jumaat diadakan majlis bacaan doa selamat yang disambung dengan iringan solat hajat supaya segala mara bencana dapat dielakkan. Bagi pelaku-pelakunya hanya saling memandang sesama sendiri sambil tersenyum sinis. Paling tidak dapat diterima ialah insan yang menagis tersedu-sedu disakat oleh kami bercerita besar di seluruh penjuru asrama bahawa bacaan ayat-ayat sucinya berjaya menghalau hantu ciptaan kami yang cuma mengganggunya. Lusanya .... beliau mengangis lagi !

Tahun 2013 aku dalam tingkatan enam atas di SMK Buyong Adil. Tamat sahaja tahun berkenaan setelah menduduki peperiksaan STPM maka tamatlah kehidupan aku sebagai seorang pelajar sekolah. Terasa begitu berat untuk meninggalkan alam persekolahan yang menjadi sebahagian besar cerita dalam kehidupanku. Selepas itu kehidupan aku agak statik. Bekerja menjual santan kelapa di pasar awam Bidor dan melayani keseronokan bermain bola sepak pada sebelah petang. Kehidupan malam tidaklah begitu menyeronokkan ketika ini. Teman-teman seperjuangan kebanyakannya menyambung pengajian ke institusi-institusi pengajian tinggi awam dan ada pula yang sudah bekerja di sektor awam mahupun swasta. Aku selalu menganggap sela masa antara tahun 2003 menuju ke tahun 2004 sebagai suatu tempoh yang membekukan aku.

Mujur juga masih ada teman-teman sekampung yang setia dengan kehidupan di pekan Bidor itu. Ketika ini aku sudah mula menjadi kutu embun duduk di simpang jalan masuk ke kampung. Mereka-mereka inilah yang menemani aku pada tempoh berkenaan. Sesekali kami bermain rebana namun tidaklah serancak dahulu malahan ahli pasukan rebana Perak kami juga semakin berkurangan. Jemputan untuk bermain masih ada namun ada juga yang terpaksa ditolak kerana ketiadaan ahli untuk bermain rebana.

Alhamdulillah ... memasuki usia 20 tahun, aku diterima memasuki kursus perguruan di Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim setelah keputusan STPM ku agak cemerlang. Maka bermulalah satu babak baru dalam kehidupan seharianku. Ia juga memerikan lebih banyak cerita malam yang tidak pernah berkesudahan itu. Aku tetap mengenangnya sekadar yang termampu. Aku tidak pernah lupa ......



bersambung








SELAMAT TINGGAL SAID ZAHARI

$
0
0


AL-FATIHAH 
BUAT ALLAHYARHAM SAID ZAHARI
SEMOGA TENANG DI ALAM SANA.

TERIMA KASIH ATAU TELADAN BERPEDOMAN
DALAM PERJUANGAN MU
YANG BEGITU BERANI ITU.

SALUT UNTUK SAID ZAHARI
SALUT UNTUK MEREKA YANG BERJUANG !

SELAMAT JALAN SAID ZAHARI.
KITA JUMPA DI SANA NANTI.

Rindu Berlabuh Di Pekan Johol

$
0
0


Saya singgah ke pekan ini ketika nuansa hari yang meredup. Namun dalam suasana yang meredup itu masih tetap terasa bahang kepanasan mentari. Rumah-rumah kedai tua yang tersergam sunyi itu kelihatannya berbalam-balam disinari cahaya matahari. Ia tertinggal sunyi dan sepi. Sesekali kenderaan yang lalu lalang dihadapannya menerbangkan debu-debu yang berselerakan. Saya melihatnya dengan jelas... ya saya melihatnya !

Sepanjang kehidupan saya, inilah kali pertama saya berkenalan pekan ini walaupun pernah mendengar namanya sedari zaman persekolahan lagi. Saya sendiri tidak pernah tergamit untuk melihat dan mendengar bahasa pekan tua ini. Namun takdir itu tidak pernah mengutus surat memberitahu bahawa pada hari ini saya akan menziarahi pekan tua yang pikun dan uzur ini. Ia suatu takdir yang aneh .... membuatkan saya berfikir betapa dalam usia sebegini, saya masih berkesempatan bertemu dengan sebuah pekan tua yang seolah-olah memberitahu ..." aku masih hidup " 

Negeri Sembilan Darul Khusus

Ah... sekali lagi saya perlu menulis tentang takdir. Dari takdir yang diberi Tuhan itulah saya hidup seperti yang terlihat hari ini. Dan dari takdir itulah, jodoh pertemuan menjemput saya untuk menyunting bunga dari negeri adat perpatih Negeri Sembilan Darul Khusus. Ia suatu kelansungan hidup yang tidak pernah saya fikirkan. Betapa seorang lelaki yang hidup dengan jiwa gelandangan, merantau hidup dan berjalan kaki ke pedalaman Sarawak, menulis dan menjejak tanah air bersendirian secara total memilih untuk berumah tangga dengan gadis yang dilimpahi oleh adat sukunya. Ia seterusnya merubah sifat diri .... menjadi lebih tersusun dan lurus. Ia membentuk keperibadian baru. Untuk seorang lelaki seperti saya ... ia menyembunyikan sifat asal pada pandangan manusia di persekitaran baru saya.

Di Negeri Sembilan yang mentakdirkan saya menjadi seorang menantu di dalam keluarga besar, saya menjadi lebih berkeyakinan. Tahun demi tahun kelansungan hidup menjadikan saya selesa. Dari jajaran keretapi dan himpunan pekan-pekan lamanya kembali mahu menjadikan saya sebagai seorang pencerita. Benar.. terlalu banyak bahan cerita yang ada di negeri penuh adat ini. Sekurang-kurangnya dalam diari hidup saya, ada rasa sayang yang tumpah buat negeri ini. Saya kini semakin yakin... mampu untuk meneroka lebih banyak cerita dan mungkin takdir di masa depan ... mati di negeri ini !.

Dari Air Mawang ke Johol


Kedudukan pekan Johol dalam daerah Kuala Pilah
Negeri Sembilan ( dalam bulatan merah ).

Jika sesekali ke Rembau dari Gemas, seringkali saya melalui suatu simpang jalan yang boleh membawa kita ke pekan Air Mawang. Ada suatu perasaan yang menarik hati saya untuk singgah berkunjung ke pekan ini suatu hari nanti. Seringkali juga saya bertanya kepada isteri dan ipar duai berkenaan status pekan Air Mawang ini. Jawapannya ... sebuah pekan kecil. Keinginan yang membuak itu tidak pula memberikan saya masa untuk menjelajah pekan ini. Sehinggalah pada suatu hari ketika pulang ke Gemas, takdir yang tidak disangka-sangka itu memberi salam untuk saya ke pekan ini. Dengan anak dan isteri yang begitu gembira dengan suasana kampung, saya menghidupkan enjin kereta dan dengan hati yang senang ... saya memandu ke arah pekan Air Mawang.

Dari Gemas, saya akan melalui pekan Gemencheh yang agak sibuk dengan aktiviti penduduknya. Pernah juga saya terfikir untuk mengulas berkenaan dengan pekan Gemencheh ini dahulu. Namun apabila melihatkan kepesatan pembanggunan yang semakin deras dalam batang tubuh pekan ini, hasrat itu saya batalkan begitu sahaja.

Dari Gemencheh, saya memandu menghala ke arah Tampin. Suasana jalan tidaklah begitu sibuk. Jalan Persekutuan yang dibina sejak dari zaman penjajahan Inggeris ini tidak banyak yang berubah. Ia menjadi saksi kepada banyak peristiwa penting negara dan salah satunya pasti ketika serangan Jepun terhadap Tanah Melayu 70 tahun dahulu. Dengan kebun getah, kelapa sawit dan kampung-kampung tradisi Melayu di kiri kanan jalan, terasa perjalanan begitu menyeronokkan. Jujur untuk saya katakan, bermula dari Rembau hingga ke Gemas, suasana lama masih boleh dirasakan.

Jalanan yang sunyi ke pekan Air Mawang

Sebelum sampai ke Tampin terdapat suatu simpang yang akan membawa saya ke pakan Air Mawang. Terasa agak sunyi melalui jalan ini. Sesekali saya berselisih dengan kenderaan lain namun jumlahnya tidaklah begitu banyak. Jalan-jalan dalam seperti ini walaupun agak lengang namun seringkali menjadi alternatif yang sangat baik kepada pengguna jalan raya persekutuan dari arah Rembau ke Gemas yang terperangkap di dalam kesesakan jalan raya apabila tibanya musim cuti sekolah dan perayaan. Jujur untuk saya katakan... suasana jalan rayanya mengingatkan kita kembali pada suasana jalan raya era 1980an sehingga ke pertengahan tahun 1990an.

Pekan Air Mawang Yang Menghampakan

Tidak lama kemudian saya melalui satu simpang jalan yang membawa saya terus ke pekan Air Mawang. Ada sesuatu yang tidak menyeronokkan bagi hati saya apabila tiba ke pekan kecil ini. Walaupun keadaan pekan ini masih boleh ditakrifkan sebagai sebuah pekan kecil namun keadaannya agak sibuk. Saya pernah terbaca satu artikel di internet yang menyatakan bahawa telah berlaku satu kebakaran yang agak besar hingga meranapkan dua deret rumah kedai kayu yang terdapat di pekan ini. Benarlah agaknya ... ia sekaligus membunuh terus citra klasik yang terdapat di pekan Air Mawang ini. Jujur untuk saya katakan ada rasa hampa yang bersarang di fikiran saya pada ketika ini.

Kebakaran yang memusnahkan deretan kedai kayu
di pekan Air Mawang pada tahun 2014.
( sumber gambar : Google )

Saya hanya singgah sebentar di pinggir jalan sambil memerhatikan suasana pekan ini dari dalam kereta. Terasa begitu tawar hati untuk mengambil gambar keadaan pekan ini. Bukan rezeki saya agaknya kali ini. Saya termenung sendiri, tidak tahu kemanakah arah yang patut untuk saya tujui. Balik semula ke rumah mertua tanpa ada sebarang hasil bagaikan menambahkan lagi perasaan kesal di hati. Saya memandang ke hadapan ... teruskan sahaja memandu. Mungkin ada takdir yang terbaik untuk saya pada hari ini siapalah yang tahu. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan !.

Saya terlihat papan tanda jalan yang saya lalui ini akan membawa saya ke pekan Kuala Pilah. Tidak mengapalah, lebih baik sahaja saya ke Kuala Pilah. Tambahan pula saya sendiri tidak pernah menjejakkan kaki ke pekan berkenaan. Ini didorong juga oleh gamitan kenangan seorang gadis yang pernah suatu ketika dahulu pernah bermain-main di hati saya. Kebetulan asal gadis itu dari Kuala Pilah. Ah... tidak tersangka kenangan itu menusuk semula ke ruang ingatan. Pedulikanlah ... ia bukan jodoh saya dan ianya langsung tidak pernah merosakkan hati serta perasaan saya.

Sebuah Masjid Bewarna Biru

Entah bagaiman ketika memandu saya terpandang sebuah masjid kayu bewarna biru di kiri jalan. Ada sesuatu yang menggamit saya untuk singgah sebentar di masjid ini. Saya jarang untuk singgah berhenti di surau atau masjid sekiranya melakukan perjalanan selain dari untuk menunaikan solat. Sebagai tempat beribadat, saya seboleh-bolehnya cuba untuk tidak mengulas dan menceritakan tentang keunikan sesuatu masjid atau surau yang pernah saya jejaki melainkan hanya mengambil gambar sekilas lalu sahaja. Namun untuk masjid ini bagaikan ada pengecualian. Singgahlah dahulu di luar masjid ini. Ada rasa yang tenang apabila menjejakkan kaki di hadapannya !.

Masjid Tengah Kampung Pasit
Johol, Kuala Pilah Negeri Sembilan.

Masjid yang saya maksudkan itu ialah Masjid Tengah Kampung Pasit, Johol. Keunikan masjid ini terletak pada binaan asasnya yang diperbuat dari kayu. Walaupun terdapat renovasi terkini dengan tambahan struktur simen dan jubin namun keaslian tradisi masjid ini masih boleh dilihat. Satu perkara unik yang menambahkan lagi keunikan masjid ini ialah di hadapan masjid ini terdapat sebuah beduk panjang yang diperbuat dari kayu. Namun saya tidaklah mengambil tahu dari kayu apakah beduk ini diperbuat. Saiz beduk ini agak besar dan panjang. Rasanya inilah kali pertama saya melihat beduk yang besar dan panjang sebegini. Jika dilihat dari keadaaannya, saya tidak pasti sama ada ia masih digunakan lagi atau tidak.

Beduk panjang yang terdapat di
 Masjid Tengah Kampung Pasit
Johol, Kuala Pilah Negeri Sembilan.

Saya tidak memasuki masjid ini. Cukup hanya berlegar-legar sahaja di luarnya. Cantik binaan tangga masjid ini. Apabila terpandang sahaja beduk panjang masjid ini terus sahaja ingatan saya menerpa pada surau tua kampung saya yang kini sudah diruntuhkan bagi membina surau baharu yang lebih moden dan selesa. Dahulu adalah menjadi suatu kebanggan kepada kami andai diberikan peluang untuk mengetuk "kerantung" sebelum azan solat dialunkan. Kerantung juga dibunyikan apabila berlakunya kecemasan atau sebagai tanda terdapat kematian dalam kalangan warga kampung. Namun semua itu kini hanya tinggal kenangan yang abadi. Saya tidak pernah lupa bunyi kerantung yang sayup ketika opah saya menutup mata 23 tahun dahulu. Semuanya membuatkan mata saya mudah untuk berair.

Beduk panjang ini juga mengingatkan saya kepada surau tua bewarna biru yang terletak tidak jauh dari makam Allahyarham datuk saya di Kampung Teluk Penadah, mukim Bandar dalam daerah Kampung Gajah. Kampung yang suatu ketika dahulu meriah kini tertinggal sepi dan surau tua itu semakin uzur. Kerantung besarnya masih tergantung kukuh. Tidak ketahuan bilakah ianya akan tertelan dek zaman. Aduhai ... memang takdir persinggahan saya ke masjid ini benar-benar bersebab. Ia membuatkan saya rindu pada semua kenangan lama saya. Ia juga seolah-olah memberitahu ... saya sudah lama tidak menziarahi makam datuk !

Kerantung lama surau di Kampung Teluk Penadah
mukim Bandar Kampung Gajah.

Saya tidak mahu berlama-lama di masjid ini. Ternyata persinggahan yang sebentar ini telah memberikan kesan yang begitu mendalam kepada diri saya. Alangkah betapa cepatnya masa berlalu dan kini saya semakin berjauhan dengan kampung halaman kelahiran saya. Ada rasa rindu yang halus menusuk ke sukma jiwa saya ketika ini.

Saya mahu segera sampai ke pekan Kuala Pilah. Agak pelik saya langsung tidak terfikir berkenaan dengan pekan Johol. Apa yang ada di dalam kepala saya ialah Johol mungkin nama mukim dan tidak mempunyai pekannya yang tersendiri. Namun demikian, kedudukan Johol dalam daerah Kuala Pilah ini agak unik kerana wilayah ini mempunyai pemerintahnya yang tersendiri yang digelar Undang Luak Johol. Malahan Gemas yang menjadi tempat tinggal keluarga mertua juga merupakan salah satu wilayah dalam pegangan Undang Luak Johol ini. Selain dari Gemas kawasan yang menjadi sebahagian dari kawasan luak Johol ialah Air Kuning Selatan, Gemencheh, Pasir Besar, Palong, Dangi dan Selaru. Maka oleh itu adalah tidak menghairankan jika semasa solat Jumaat di masjid-masjid yang terletak dalam kawasan luak adat Johol, bacaan doa semasa khutbah akan turut dibacakan khusus untuk Undang Luak Johol dan kepada DYMM Yamtuan Besar Negeri Sembilan.

Pekan Johol Yang Sunyi

Tidak lama selepas itu saya mula memasuki pekan Johol. Saya disambut oleh deretan rumah kedai kayu tua di kiri jalan. Kelihatannya deretan rumah kedai kayu berkenaan sudah ditinggalkan sepi. Saya mula merasa teruja dan meneruskan pemanduan lebih jauh ke depan. Nah di hadapan saya terbentang sebuah pekan lama yang tetap kekal dengan suasana yang tenang. Tiada hiruk pikuk dan kesesakan. Semuanya begitu mendamaikan.

Saya mengambil keputusan untuk mencuba bergerak lebih jauh ke hadapan kerana sasaran asal saya ialah mahu ke pekan Kuala Pilah. Namun setelah beberapa kilometer melalui pekan Johol ini, saya terus membatalkan niat saya ke pekan Kuala Pilah sebaliknya berpatah semula ke pekan Johol. Allahuakbar... baru sahaja sebentar tadi saya berasa kecewa ketika berada di pekan Air Mawang. Namun kini segalanya bertukar menjadi satu perasaan yang gembira. Inilah agaknya yang dikatakan takdir. Betapalah dalam mengejar semangat wawasan 2020 tidak lama lagi... saya masih dapat melihat sebuah pekan yang masih terpelihara keaslian kewujudannya !.

Selamat datang ke pekan Johol.

Saya melihat jam di tangan, nampaknya saya sudah kelewatan untuk solat Zohor. Setelah berfikir sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk menunaikan solat Zohor di masjid jamek pekan Johol yang terletak tidak jauh dari pekan ini. Masjid moden bewarna kuning itu seakan-akan menjadi simbol kepada keagungan Islam di pekan ini sejaka kesekian lamanya. Usai bersolat, saya meninjau keadaan dan suasana masjid berkenaan dan ternyata ia sebuah masjid yang agak lengkap dan moden.

 Masjid jamek pekan Johol dari seberang jalan raya.

Menara masjid jamek pekan Johol.

Saya memerhatikan di seberang jalan dari arah masjid. Ternyata jarak masjid ini dengan deretan rumah kedai kayu lama pekan Johol adalah saling bertentangan. Sudahnya, saya mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja meneroka keunikan pekan tua ini. Alangkah lamanya saya tidak melakukan hal seperti ini. Berjalan kaki sambil mengambil gambar keunikan yang terdapat di sesebuah pekan lama. Terasa muda dan bersemangat kembali walaupun cuaca sedang panas membara.

Rumah Kedai Usang

Saya bergerak ke arah banggunan rumah kedai yang terdapat di seberang jalan. Banggunan rumah kedai yang diperbuat dari batu nampaknya masih dihuni dan terdapat perniagaan yang dijalankan. Sayangnya kebanyakan kedai-kedai berkenaan tutup dan cuma ada sebuah bengkel sahaja yang dibuka. Ketika melalui di hadapan bengkel berkenaan, ternyata terdapat pelanggan di dalamnya. Saya hanya tersenyum memandang mereka.

Rumah kedai dua tingkat batu yang mungkin dibina
sebelum perang dunia ke-2.

Bersebelahan dengan bangunan rumah kedai batu tersebut, wujud pula deretan rumah kedai kayu dua tingkat yang kelihatannya semakin dimamah masa. Seperti halnya dengan rumah kedai batu tadi, tidak ada premis perniagaan yang dibuka. Saya memerhatikan bangunan rumah kedai berkenaan dengan sayu. Atap zink yang memayungi rumah kedai ini banyak yang sudah tercabut. Tingkap-tingkapnya terbuka dan rongak. Betapalah masa telah menjadikan ia begitu tua dan uzur. Tidak dapat dibayangkan suatu ketika dahulu, pasti disinilah tempat keriangan warga desa setiap kali membeli belah. Namun kenapa semuanya kini telah tiada dan ditinggalkan ? ... semuanya terus menyelongkar setiap ruang fikiran saya.

Sunyi dan sepi


Saya melalui kaki lima rumah kedai kayu tua ini. Ada rasa keterasingan disini. Tiang-tiangnya masih kukuh dan ternyata masih ada rumah kedai berkenaan yang masih digunakan. Ini dapat dilihat melalui keadaan kaki lima yang terurus dengan baik. Beberapa kerusi kayu lama menghiasi suasana kaki lima ini. Saya berhenti sebentar duduk di kerusi panjang berkenaan. Sebaik sahaja punggung berlabuh di atasnya terdengar bunyi berkeriut dari kerusi berkenaan, ternyata ia juga semakin dimama masa dan zaman.

Kerusi kayu panjang lama

Saya memerhatikan suasana jalan raya dari arah kaki lima rumah kedai kayu lama ini. Beberapa kenderaan lalu dengan pantas di hadapannya. Tiada kepedulian langsung dengan kewujudannya yang tua berkedut itu. Seekor anjing bewarna putih berlari anak di pinggir jalan. Tidak ketahuan apa pencariannya. Saya tersenyum sendiri. Agak lama saya duduk di sini. Terasa ada satu tenaga halus yang menusuk ke jiwa. Sebelum wujudnya pasaraya besar, sebelum wujudnya istilah supermarket, sebelum adanya Seven Eleven dan sebagainya, inilah syurga membeli belah sebenar masyarakat. Saya pasti ramai yang masih mengingati suasana lama kedai runcit dalam era 1960an membawa ke akhir 1980an.

Dengan deretan balang kaca berisi gula-gula, tin-tin berisi biskut pelbagai rasa, makanan ringan atau keropok tergantung dan paling menyeronokkan jika terdapat permainan tikam-tikam. Ia bagaikan suatu bonus yang sangat mengujakan. Masuk ke dalam guni-guni besar yang berisi beras, tepung dan sebagainya berdiri dengan megah. Sebut sahaja berapa kati yang ingin kita beli, sepantas kilat ia dibungkus kemas di dalam balutan kertas yang diikat kemas dengan tali. Dahulu memang pengguna adalah raja ... dan pekedai akan meladeni kita semahunya hati siap barangan boleh sahaja dihantar ke rumah sebagai satu servis tambahan.

Suasana kedai runcit lama

Koleksi tikam-tikam lama dalam
koleksi penulis.

Di kedai-kedai runcit pekan kecil ini semuanya ada.... dahulu kita boleh sahaja membeli minyak gas@minyak api dengan membawa botol kicap kosong sahaja. Pada masa kecil saya, air lemonid atau istilah kampungnya ayor gas, adalah minuman berkasta tinggi yang hanya dapat diminum sesekali sahaja. Itupun jika bernasib baik andai ayah membelinya sekadar sebotol dua dan dikongsi bersama adik beradik.

Orang Perak memanggilnya ayor geh ( gas ), ayor lemenit 
atau oren bodoh.

Itu belum dikira laici di dalam tin yang dirasakan begitu mewah ketika itu. Terasa begitu sukar untuk keluarga kami menikmati walaupun hanya satu tin. Kini apabila saya membelikan laici dalam tin untuk anak-anak, terasa betapa bersyukurnya diri ini kepada Allah SWT yang memberikan nikmat rezeki dan kehidupan yang sebaiknya untuk saya dan keluarga.

Betapa sukarnya dahulu untuk menikmati 
laici dalam tin.

Membeli tuala wanita adalah satu taboo yang sangat aneh pada ketika itu jika pembelian itu dilakukan oleh kaum lelaki. Lazimnya tuala wanita pada ketika itu dibeli di kedai-kedai ubat cina atau sinsei. Ada juga yang dijual di kedai-kedai runcit. Kotak tuala wanita berjenama Sanita ( rasanya jenama ini sudah pupus di Malaysia ) bewarna hijau kuning itu akan dibalut dengan kertas surat khabar dengan kemasnya. Seolah-olah ia adalah simbol kehormatan yang maha tinggi. Tetapi, bandingkan dengan kehidupan kini. Adakah semuanya sama malahan lelaki yang membeli tuala wanita tidak lagi dianggap taboo dalam masyarakat dan model iklannya silih berganti dari yang tidak bertudung, bertudung, gemuk, kurus, artis, ustazah dan sebagainya. Semuanya membuatkan saya tersenyum sendiri. Ah... betapa manisnya kehidupan masa lalu di pekan kecil yang tenang.

Tuala wanita berjenama Sanita yang popular
pada suatu ketika dahulu.
( sumber : Google )

Terus Berjalan Kaki

Saya seterusnya berjalan kaki menyusur pinggir jalan yang lengang.Secara mudahnya, pekan Johol adalah pekan yang terletak di kiri kanan jalan. Bangunan rumah kedainya adalah contoh kepada ciri-ciri tipikal pekan-pekan lama yang banyak terdapat di negara kita. Cumanya disini, bangunan rumah kedai kayu juga tetap wujud dan diimbangi oleh rumah-rumah kedai batu yang pada dasarnya mungkin dibina pada era sebelum perang dunia kedua. Walaupun demikian wujud juga banggunan dalam kategori moden di pekan kecil ini. Namun tidaklah pula ia mampu menutup terus wajah sebenar pekan Johol yang klasik ini.

Deretan rumah kedai moden yang terdapat di pekan Johol.

Saya melewati deretan rumah kedai batu yang sepi. Kebanyakan pintu kedai-kedainya tertutup. Dilihat secara sepintas lalu sektor perniagaan di pekan ini pasti dikuasai oleh peniaga-peniaga Cina. Bangunan kedai ini dibina pada tahun 1919, Ini adalah berdasarkan ukiran tahun 1919 yang terdapat pada dinding atas salah sebuah rumah kedai ini. Saya juga dapat melihat beberapa kerosakan pada bahagian atas rumah kedai ini. Terdapat juga rumah kedai yang sudah diubahsuai terutama pada bahagian tingkap dimana daun tingkap kayu diganti dengan tingkap kaca yang lebih tahan dan lasak. Tetapi saya masih tetap tersenyum kerana daun-daun tingkap kayu lama yang begitu tinggi ciri estetikanya itu tetap dapat dilihat tertutup kemas dan ada pula yang telah terlopong. Begitulah masa mencuri setiap perkara-perkara yang pernah bermain di mata kita suatu ketika dahulu. Sampai masanya ia akan hilang sendiri tanpa kita sedari. Hingga sampai suatu masa kita akan mengenang masa-masa tersebut .... lalu kita akan merasa rindu. Itu adalah satu nikmat yang tiada taranya !

Tertera angka 1919 di bahagian atas deretan rumah 
kedai ini.

Di hadapan rumah kedai lama ini, atau lebih tepatnya di seberang jalan wujud pula deretan rumah kedai yang kelihatannya lebih moden ciri-cirinya. Saya terlihat sebuah kedai runcit yang masih dibuka. Terasa juga dahaga pada ketika itu dan saya mengambil keputusan untuk singgah di kedai runcit berkenaan untuk membeli air. Kedainya masih kelihatan sibuk dan barang dagangannya juga agak banyak. Agaknya tuan kedai berbangsa Cina itu keanehan melihat saya tersenyum-senyum memandangnya ketika mahu membayar harga minuman yang saya beli.

"Awak dari mana ?"tegurnya bersahaja.

"Oh ... saya dari Gemas, sahaja mahu singgah tengok-tengok ini pekan. Banyak sunyi". Tutur saya membalas tegurannya itu tadi.

"Betullah itu. Memang ini pekan sudah mati. Tapi dulu tak macam ni. Dulu banyak orang dekat sini. Sekarang semua muda punya orang sudah Seremban pergi". Nampaknya ramah juga pekedai ini berbual dengan saya. Telor bahasa pasarnya agak pekat. Tiasa bunyian loghat Negeri Sembilan langsung.

Jujurnya saya amat jarang berkesempatan untuk berbual atau menemuramah penduduk tempatan secara formal apabila singgah ke mana-mana pekan kecil. Saya lebih selesa mengambil pendekatan berbual secara tidak langsung seperti ini. Ia sekaligus dapat memberikan lebih penjelasan yang bersifat jujur tanpa ada tapisan.

"Itulah, tadi saya lalu ini pekan terus mahu berhenti mahu tengok-tengok. Mana tahu boleh cari barang-barang lama. Mahu simpan buat collection". Saya mula memancing cerita.

"Aiya semua barang lama sudah jual ma... itu hari sudah ada orang Kuala Lumpur sudah datang angkat signboard lama sama itu botol oren lama. Saya sudah jual murah-murah".

Saya tersenyum sendiri. Memang pekan-pekan kecil seperti ini menjadi tumpuan kepada pemburu barang-barang retro dan antik. Papan-papan tanda lama, botol-botol soda lama dan pelbagai barang vintaj mempunyai harga yang begitu tinggi di pasaran. Maka tidak hairanlah, ada yang sanggup berhabis ribuan ringgit semata-mata untuk mendapatkan barang-barang lama ini. Saya juga sedikit sebanyak terpengaruh dengan hobi ini. Namun tidaklah pula menghabiskan masa dan wang bagi memburu sesetengah barangan yang sememangnya begitu rare. Cukuplah jika barang tersebut mempunyai kenangan dan nilai sentimental kepada diri saya. Ia sudah cukup membuatkan saya berbahagia .... walaupun ia sekadar sebuah kotak rokok !

Saya meminta diri untuk terus berjalan meneroka keunikan pekan Johol. Sebelum saya melangkah keluar, tuan kedai itu memanggil saya. Saya berpatah semula ke arahnya. Dia memberi saya sekeping button patches Coca Cola sempena Kejohanan Piala Dunia Remaja tahun 1997 di Malaysia. Saya masih di tingkatan 1 pada tahun berkenaan dan pasti nama besar yang masih saya ingati dalam skuad Malaysia di kejohanan tersebut ialah Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Khalid Jamlus. Tersenyum saya sendiri. Tidak tersangka kunjungan dan perbualan ringkas bersamanya membolehkan saya mendapat cenderahati yang agak unik ini. Usai mengucapkan terima kasih saya bergerak menyeberangi jalan di hadapan kedainya.

Satu pemberian yang tidak disangka-sangka.

Apam Balik Pekan Johol

Di seberang jalan di hadapan rumah kedai yang sunyi terdapat seorang penjaja yang menjual kuih apam balik. Saya bergerak menghampirinya dan membeli sekeping apam balik yang berharga RM2. Sempat juga berbual pendek dengannya. Dia sendiri dapat meneka saya adalah orang luar di pekan itu. Saya hanya mampu mengangguk setuju.

Penjaja apam balik di pekan Johol

Saya memerhatikan lelaki tua penjual apam balik tersebut menyediakan apam baliknya. Terlihat suatu kecekapan yang terlahir dari kebiasaan dan pengalamannya yang tidak surut padam itu. Dari perbualan ringkas saya dengannya ternyata beliau juga mengakui kelesuan yang ada di pekan Johol ini. Menurutnya lagi suatu ketika dahulu pekan ini agak sibuk namun kini semuanya itu hanya tinggal sebagai kenangan. Saya bertanya kepadanya bagaimana kondisi perniagaan apam baliknya kebelakangan ini. Jawapannya mudah .... rezekinya tetap ada !

Radio buruk menemaninya sepanjang hari

Lagu Dunia Hatiku nyanyian Allahyarham Datuk Ahmad Jais berkumandang dari radio kecil yang terletak dari atas rak kaca. Pasti ia dari siaran radio Klasik Nasional. Beberapa buah kereta melewati jalan raya di hadapan kedainya. Tidak ada yang singgah membeli apam baliknya. Kedainya mudah dan ringkas dan hanya diteduhi oleh payung besar yang uzur. Cukup melindungi dari panas dan hujan. Usai siap membungkuskan apam balik yang dipesan beliau terus sahaja menyiapkan apam balik lain dengan tekun. Saya tidak mahu mengganggu kerjanya. Semoga beliau terus kuat dalam usianya. Pasti saya tidak dapat melupakan kedai apam baliknya yang menjadi penyeri klasik pekan Johol ini.


Satu pemandangan yang klasik !

Stesen Pam Minyak Kecil

Saya meneruskan perjalanan berjalan kaki merentasi pekan Johol dalam suasana panas tengah hari yang mula membahang. Peluh sudah mula membasahi tubuh saya tanpa sedar. Dengan bungkusan apam balik dijinjing bersama kamera, terasa perjalanan berjalan kaki ini begitu payah sekali. Masa benar-benar telah mencuri segala kudrat masa muda saya dahulu. Alangkah lelahnya reaksi tubuh ini menerima tugasan berjalan kaki seperti ini. Usia kini sudah mula menarik setiap kekuatan diri yang suatu ketika dahulu pernah saya megah-megahkan. Bukan mahu mendabik dada, saya memang lelaki pejalan kaki yang teruji benar suatu ketika dahulu. Saya pernah mudik ke hulu Sungai Rajang, bermalam di hutan Balleh, meneroka keunikan Long Busang dan pelbagai perjalanan yang pernah saya lalui dulu tanpa kompromi. Namun kini semua itu hanyalah satu kenang-kenangan indah sahaja. Kini saya bukan lagi lelaki yang terlihat seperti itu......

Secara tiba-tiba pandangan saya tertumpu ke seberang jalan. Bagaikan tidak percaya, di hadapan saya kini wujud sebuah stesen pam minyak kecil yang benar-benar unik. Sebuah bangunan kecil dengan dua pam minyak bewarna kuning ( warna rasmi syarikat minyak berkenaan ) dan diapit pula oleh banggunan rumah kedai kayu yang uzur. Jujurnya, inilah kali pertama saya menemui stesen pam minyak sekecil ini di semenanjung Malaysia. Ketika berada di Sarawak dahulu pernah juga saya menjumpai stesen pam minyak seperti ini jika tidak silap saya di Bintanggor dan Daro. 

Stesen pam minyak kecil di pekan Johol

Jika diperhatikan sepintas lalu saiznya seakan-akan sama sahaja dengan pondok perhentian bas. Pada pandangan saya, bangunan stesen pam minyak kecil ini punya keunikannya yang tersendiri. Diperbuat dari binaan simen manakala atapnya dari susunan genting. Terdapat bentuk ukiran kayu tajam di bahagian bumbungnya yang seakan-akan memberitahu wujud pengharuh senibina Melayu. Paling saya gemari ialah keadaan tingkapnya yang jelas begitu klasik dengan jenis daun tingkap kayu lama. Buat pertama kalinya saya jatuh cinta dengan sebuah stesen pam minyak. Sungguh saya benar-benar teruja di sini. Masa seolah-olah terhenti memberikan saya ribuan angan dan kenangan yang tidak terhingga !.

Tidak ada kereta atau motosikal yang singgah untuk mengisi minyak. Semuanya terasa sunyi dan bungkam. Terasa agak gementar juga untuk mengambil gambar stesen minyak ini. Risau ada yang berpandangan negatif tentang perbuatan saya itu. Ah... pedulikan lah tanggapan sesiapa jua pun tentang saya. Saya bukan melakukan kejahatan. Saya cuma membantu mengimbau memori lama... khusus untuk mereka yang mahu mengenangkannya. Mungkin catatan kecil ini mampu membuatkan ada diri yang tersenyum sendiri. Itu dunia yang sangat saya idam-idamkan.

Hampir 10 minit saya berdiri memandang stesen minyak kecil ini. Terasa begitu seronok melihat sebuah stesen minyak kecil di sebuah pekan yang sepi. Cukuplah stesen minyak kecil ini bagi memenuhi keperluan penduduk pekan Johol. Namun jauh disudut hati saya, biarlah stesen minyak ini kekal unik untuk selama-lamanya di pekan kecil ini. Ia suatu perlambangan yang cukup jelas .... melangkapkan sebuah panorama indah sebuah pekan yang tidak dimamah zaman.

Saya singgah sebentar duduk melepaskan lelah di sebuah perhentian bas tidak jauh dari pejabat pos pekan Johol. Sambil meneguk minuman, mata saya meliar memerhatikan suasana di persekitaran saya. Masih ada bas yang singgah mengambil dan menurunkan penumpang di pekan ini. Rasanya stesen bas mungkin tidak wujud disini lantaran kedudukannya yang tidak jauh dengan bandar Kuala Pilah.

Secara tiba-tiba pandangan mata saya tertumpah pada sebuah tong sampah bewarna kuning yang terletak di penjuru kiri perhentian bas berkenaan. Saya tersenyum sendiri apabila melihat tong sampah berkenaan. Mungkin bagi kebanyakan orang, tiada apa yang istimewa dengan tong sampah berkenaan namun bagi saya ia adalah begitu unik.Tong sampah bewarna kuning dan merah ini adalah contoh ciri-ciri tipikal tong sampah yang sering digunakan oleh pihak berkuasa tempatan pada akhir tahun 1980an hingga ke akhir tahun 1990an. Sukar lagi untuk melihat tong sampah dari jenisan seperti ini kerana kebanyakan tong sampah yang digunakan kini lebih terarah kepada konsep kitar semula.

Saya masih ingat lagi ketika masih di sekolah menengah, saya dan teman-teman sering mengopek pelekat berlogokan pembuangan sampah di hadapan tong sampah ini hanya untuk dilekatkan kembali pada pintu kereta guru-guru sekolah yang dirasakan agak buas kepada kami. Itulah .... terasa seronok mengenangkan semua yang telah berlaku itu. Masih terasa bisa rotan yang dilibas dipunggung akibat tertangkap oleh guru disiplin akibat dari perbuatan itu tadi. Hahahahaha.


Dengan tong sampah pun boleh dicari
setiap kenangan !

Seperti biasa jika singgah ke pekan-pekan kecil saya suka mencari dan singgah di pejabat posnya. Lazimnya di pekan-pekan kecil seperti Johol ini, binaan bangunan pejabat posnya agak unik dan sesekali punyai ciri-ciri klasik. Bagi pejabat pos pekan Johol ini, ia adalah sebuah bangunan moden yang diapit oleh deretan rumah kedai kayu di kiri dan kanan kawasanya. Jika dilihat secara sepintas lalu, bangunan pejabat pos ini sebenarnya agak berbeza. Ia cuma  dibina setingkat sahaja dan tidak dibina dua tingkat seperti mana pejabat-pejabat pos yang pernah saya jejaki terutamanya di negeri Perak. Ruang parkir di hadapan pejabat pos ini agak luas. Pasti inilah sahaja tempat sehenti bagi warga Johol dalam mendapatkan akses pembayaran bil-bil setempat juga urusan-urusan lain seperti pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu. 



Saya kemudiannya menurkan perjalanan jauh ke hadapan. Tidak ada apa lagi yang menarik perhatian saya selepas itu. Peluh yang menitik membasahkan baju saya. Setelah berfikir sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk berpatah semula ke arah kereta saya diparkir di hdapan masjid tadi. Tersenyum saya sendiri melihat jarak yang perlu saya tempuhi untuk sampai ke masjid jamek pekan Johol. 

Sempat juga saya merakamkan beberapa gambar panorama pekan Johol ketika berpatah semula ini. Saya melangkah perlahan menyusuri jalannya yang sunyi itu. Sisa-sia kudrat masa muda saya rupanya masih berkekalan rupanya dalam diri. Saya melihat rumah-rumah kedai tua di kiri dan kanan jalan bagaikan sedang tersenyum dengan diri saya. Mereka seolah-olah ingin menjemput saya untuk singgah sekali lagi pada suatu masa yang lain. Saya melihat lorong-lorong kecil yang melalui sisi rumah-rumah kedai berkenaan bagaikan mengucapkan selamat jalan yang mesra kepada diri saya. Alangkah indahnya pekan tua ini... alangkah tenangnya disini.


Sunyi


Setelah hampir 15 minit berjalan kaki akhirnya saya sampai ke kereta saya. Dengan segera saya menghidupkan enjin dan pendingin hawa kereta. Terasa segar sedikit tubuh badan saya apabila tersentuh dengan hawa yang dingin. Jam sudah menunjukkan angka 3.30 minit petang. Nampaknya saat perpisahan saya dengan pekan Johol sudah sampai ke kemuncaknya.

Saya membawa haluan kereta saya ke arah pekan Johol semula. Terasa begitu berat hati untuk meninggalkan pekan tua ini. Saya mahu melihatnya sekali lagi walaupun dari dalam kereta. Melewati semula rumah-rumah kedainya yang sunyi membuatkan saya mahu menangis. Agaknya berapakah lama lagi hayat bagi sebuah pekan kecil yang usang dan kusam seperti ini ? Saya sedar, pekan Johol tidak selamanya akan kekal dalam nuansa seperti ini untuk hari-hari depan. Mustahil baginya mengelak aura-aura kemodenan yang begitu kuat mengikis sifat-sifat klasiknya selama ini.

Ketika melewati pakcik tua penjual apam balik tadi, kelihatannya beliau sedang duduk berteleku sendiri. Apakah yang sedang difikirkannya. Dia lelaki tua yang tabah mencari rezeki di dalam sebuah pekan tua yang tidak punya apa-apa lagi. Keduanya-duanya sama ... berjuang untuk terus hidup.

Selamat Tinggal Pekan Johol.

Sayup-sayup kereta saya mula meninggalkan pekan Johol menghala ke arah Kuala Pilah. Dari cermin sisi saya melihat pekan Johol semakin jauh mengecil tertinggal jauh di belakang. Saya memandangnya berkali-kali tanpa ada rasa jemu. Saya melihat ia melambai tangannya kepada saya. Mengucapkan rasa hiba yang tidak dimengertikan. Saya hanya mampu menahan hiba. Saya akan kembali lagi kesini selagi ia terus kekal dengan rasa yang romantik ini.

Di pekan Johol, saya melabuhkan sejuta rindu pada rumah-rumah kedainya yang tua berkedut itu. Nuansa kenangan bagaikan berputar dengan semahunya hati disini. Ia tidak pernah menipu untuk menyatakan masa usangnya itu akan mampu membunuhnya. Ia tetap melawan bagi memberikan sejuta satu kenangan kepada anak-anaknya. Pekan Johol.....benar untuk saya nyatakan ... saya benar-benar rindu !.





















RUSUH

$
0
0


Aku tidak mahu menjadi itu dan ini
menyatakan salah dan benar
di hadapan penguasa yang korup
sedang engkau memakan babi keangkuhan
menunjuk setiap harta berkoyan
disuap di mulut anak isterimu
tanpa rasa berdosa.

Aku mahu menjadi manusia liar
yang melantak setiap hidangan
dengan kudrat dan usaha
biar anak-anakku buncit dan bercacing
dan darah mereka yang merah itu
suci dengan air mata aku
sang ayah yang merusuh.

Ini bukan lagi dunia yang sejati
untuk berpetualang menjejak kenangan
ia telah dibunuh
disembelih dan dibakar
lalu dimakan lahap
seolah-olah hidup di dalam kematian
ngeri dan ngeri.

Dunia ini telah meninggalkan aku
menjadi seorang yang bersendiri
lalu aku menjadi seorang perajuk
juga menjadi seorang perusuh 
gelandangan yang tidak beerti.

Ingin aku sebutkan
Mati itu bukan permainan 
anak-anakku !



KENANG-KENANGAN MERDEKA ( HORMAT UNTUK MEREKA YANG MENGHILANG ) 2

$
0
0
KERDIPAN BINTANG 
SULTAN IDRIS TRAINING COLLEGE FOR MALAY TEACHERS ( SITC )
" KITA YANG MELUPAKAN MEREKA "

Abdul Hafez Bin Jahauddin ( Hafez J.Malim )
Batu Pahat, Johor



Ketika kali pertama menjejakkan kaki menjadi mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) Tanjong Malim kira-kira 12 tahun yang lalu, perkara pertama yang mengujakan hati saya ialah keindahan senibina banggunan Suluh Budiman yang menjadi warisan abadi SITC kepada UPSI. Kekaguman itu bukan semberono tetapi lahir dari pandangan yang ikhlas. Sebagai seorang lelaki yang agak berminat dengan ilmu pertukangan, saya agak terpegun dengan dinding bangunan ini yang menggerutu. Pelbagai persoalan lahir di kepala pada ketika itu, bagaimana pekerja-pekerja yang membina bangunan Suluh Budiman ini, menghasilkan tampalan "plaster" dinding dalam bentuk bergerutu itu. Semuanya itu terus kekal dalam kenangan dan ingatan saya hingga kini.

Bangunan Suluh Budiman yang dindingnya
bergerutu.

Agaknya apa yang saya fikirkan berkenaan dengan dinding bangunan Suluh Budiman yang bergerutu itu mungkin telah lama difikirkan oleh anak-anak kandung sejak dari zaman SITC lagi. Hal ini saya temukan dalam buku tulisan Allahyarham Tan Sri Awang Had Salleh berjudul Warna-Warna Pengalaman Seorang Guru yang menyatakan kekagumannya juga terhadap dinding bangunan Suluh Budiman yang bergerutu itu. Nampaknya saya tidak berseorangan dalam hal ini.

Allahyarham Tan Sri Awang Had Salleh
Tokoh pendidik juga anak kandung SITC
( 1951-1953 )

Duduk dan tinggal belajar di UPSI menjadikan saya begitu kemaruk dengan sejarahnya yang panjang. Saya mencari dan membaca buku-buku yang punya perkaitan dengan sejarah kewujudan SITC, MPSI, IPSI dan UPSI. Senarai nama anak-anak kandung yang terkenal juga dicari hingga akhirnya saya menyimpan hasrat pada suatu masa nanti mahu menghasilkan satu penulisan khusus bagi mengenang jasa dan sumbangan institusi ini suatu ketika dahulu. Namun hingga ke saat ini, citra penulisan berkenaan masih lagi tidak tertunai oleh diri. Ternyata saya belum punya ikhtiar dan ilmu untuk penulisan seumpama itu. Saya amat menyesali dengan sikap dan kelemahan saya itu.

Entah mengapa hari ini saya cuba untuk menulis tentang SITC yang rasanya sudah banyak kali dibicarakan oleh ramai ilmuwan serta masyarakat di luar sana. Ia cuma penulisan picisan yang sekadarnya dari seorang anak kandung Suluh Budiman yang menyanjung tinggi ibu kandungan. Saya mencuba seadanya ... dari fikiran yang berbeza. Seperti mana yang pernah saya cuba perjuangkan satu ketika dahulu !

HARI - HARI SELEPAS MERDEKA - PENGETUA MELAYU PERTAMA MPSI

Ketika salah sebuah kolej kediaman yang disewakan UPSI di Hulu Bernam untuk para pelajarnya dijenamakan dengan nama Kolej Ungku Omar, saya mendengus panjang. Ya ... siapalah saya yang ketika itu mahasiswa kecil penentang golongan feudal aspirasi kampus untuk didengari pendapat dan suaranya. Saya lebih selesa andai nama bangunan atau kolej kediaman di UPSI pada ketika itu dijenamakan dengan nama tokoh-tokoh penting keluaran SITC seperti Tun Ghaffar Baba, Cikgu Buyong Adil atau sesiapa sahaja yang punya karektor dan sumbangan hebat pada zamannya. 

Agak janggal apabila tiga kolej kediaman besar UPSI dijenamakan dengan nama tiga tokoh besar yang punya kaitan dengan SITC iaitu Allahyarham Tan Sri Pendita Zainal Abidin Bin Ahmad ( Za'ba ), Allahyarham Cikgu Harun Bin Mohd Amin ( Harun Aminurashid ) dan Allahyarham Aminuddin Baki namun yang satu ini pula dijenamakan pula dengan nama tokoh besar yang bukan dari SITC, MPSI, IPSI dan UPSI itu sendiri. 

Hal yang sama juga berlaku apabila empat asrama kediaman warisan IPSI di hilangkan jejak asal namanya. Bagi bekas pelajar IPSI mungkin masih mengingati asrama Ibu Zain, asrama OT Dussek ( Pengetua SITC pertama ) dan asrama Datuk Zainal ( Pengetua Melayu pertama MPSI selepas merdeka 1958-1960 ) yang kini telah tinggal kenangan sahaja. Kesemuanya hilang dan disatukan dengan Kolej Kediaman Harun Aminurashid ketika saya menuntut di UPSI. Saya mungkin boleh menerima kehilangan nama OT Dussek dan Ibu Zain yang pada pandangan saya nama-nama mereka sering dikumandangkan oleh sejarah. Soalnya bagaimana dengan nama Datuk Zainal Abidin Bin Ali  yang mencatat sejarah menjadi pengetua Melayu pertama MPSI ?... adakah generasi pada hari ini dapat mengenal jasa dan sumbangannya?

Datuk Zainal Abidin Bin Ali
 Guru SITC - 1924- 1932, 
Penolong pengetua Melayu SITC - 1950-1952,
Pengetua MPSI -1958 - 1960 
( Anak Melayu pertama yang menjadi pengetua di MPSI )

Kini generasi baru UPSI, adakah kita kenal dengan tokoh-tokoh hebat kelahiran SITC ataupun MPSI ?. Ya benar hari-hari mereka telah lama berlalu. Sejarah mereka mungkin terlalu kecil bagi pensejarahan negara kita. Namun ada sisi lain yang perlu kita ketahui ... mereka adalah penyumbang terawal kepada kemerdekaan yang dilaung dengan penuh semangat di Stadium Merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957 yang bersejarah itu


ANAK NAKAL DARI SITC - IBRAHIM HAJI YAAKOB


Ibrahim Haji Yaakob ( SITC 1928-1931 )

Orang Melayu pada zaman penjajahan dilingkungi oleh semangat kenegerian yang menebal. Hal ini menjejaskan sama sekali penyatuan orang-orang Melayu dalam kelahiran semangat kebangsaan yang bersatu. Ini disesakkan lagi dengan kewujudan istilah orang Melayu asal, orang Melayu bangsa dagang, orang Melayu darah keturunan Arab dan orang Melayu darah keturunan India yang sekaligus seolah-olah membezakan antara ras rumpun Melayu itu. Perpecahan itu amat ketara dan persatuan-persatuan Melayu yang ditubuhkan dalam tahun-tahun 1920an hingga 1930an lebih bersifat kenegerian. Golongan bangsawan Melayu pula amat sedikit yang berupaya untuk membela nasib orang-orang Melayu. Itulah nasib Melayu ketika itu. Melukut di negerinya sendiri.

Keadaan ini mula hilang satu persatu apabila wujudnya sebuah institusi pendidikan yang khusus bagi melatih guru-guru sekolah Melayu pada tahun 1922 iaitu Sultan Idris Training College di Tanjong Malim Perak. Di sini, bakal-bakal guru dari seluruh semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Boneo Utara dan Brunei disatukan di bawah satu bumbung. Pergaulan bakal-bakal guru yang dari pelbagai negeri inilah yang mula mewujudkan satu ikatan kebangsaan Melayu terawal yang mungkin tidak dapat dilihat secara mata kasarnya pada ketika itu. Memetik karangan dari Adi Mas yang saya kutip dari majalah Chenderamata MPSI bilangan 65 tahun 1973, beliau menyatakan :

" Dalam tahun 1929, lahirlah secara haram dua buah badan politik dalam maktab perguruan itu, ia lahir di tengah-tengah semangat nasionalisma yang berapi-api. Dua badan politik haram itu diberi nama Ikatan Semenanjung Borneo dan Ikatan Pemuda Pelajar. Dua badan tersebut lahirnya bekerja dan bercakap  mengenai kebajikan dan pelajaran tetapi pada batinnya bergerak mengembangkan sayapnya keluar maktab meniupkan semangat nasional anti kolonial Inggeris".

Jadi adalah jelas, sebelum orang-orang Melayu bersatu menentang Malayan Union pada tahun 1946, sudah wujud gerakan yang lebih awal dalam penghujung tahun 1920an. Secara tidak langsung tembok semangat kenegerian yang menebal di kalangan bangsa Melayu pada ketika itu sudah mula dirobohkan sedikit demi sedikit bermula di SITC ini.

Siapakah manusia yang berperanan besar dalam menggerakkan dua pertubuhan haram di dalam batang tubuh SITC ini ? Mereka ini ialah manusia yang berjiwa besar yang mencuba untuk menanamkan semangat kebangsaan dalam diri bangsa Melayu itu. Dicatatkan disini oleh Adi Mas yang meninggal dunia pada tahun 1973 :

"Ibrahim Haji Yaakob yang ketika itu sebagai penuntut 1929 merupakan tokoh utama di samping kawan-kawannya seperti Hasan Bin Haji Manan, Abdul Karim Rashid sebagai tenaga pendorong menggerakkan dua badan politik haram dalam maktab tersebut".

Dan ketika kita di bulan Ogos yang menjadi lambang kepada kemerdekaan negara kita yang mulia ini, pernahkah kita mengenang nama-nama yang tertulis di atas ?. Mereka pelopor kepada permulaan semangat nasionalis yang bersifat kebangsaan. Hasil yang disuburkan oleh mereka ini kelak melahirkan satu golongan pemuda Melayu yang lebih berani dalam menyatakan perjuangan menentang penjajahan. Sayangnya adakah kita pernah mengenang wira-wira ini dalam kita merayakan momen kemerdekaan saban tahun ? 

Ibrahim Haji Yaakob disifatkan oleh sesetengah sejarawan sebagai seorang yang oppurtunis, pengecut dan pro-Indonesia. Ia seolah-olah menyebabkan jasa dan sumbangannya bagaikan hilang begitu sahaja terkubur sepi di makamnya di Indonesia. Beliau menggerakkan sebuah persatuan yang lebih besar dan bersifat kebangsaan bernama Kesatuan Melayu Muda ( KMM ) pada tahun 1940 bersama dengan beberapa orang tokoh besar lagi seperti Mustapha Hussein dan Ishak Haji Muhammad ( Pak Sako ).

Peranan yang dimainkan oleh KMM ini amat besar sekali sepanjang lipatan sejarah negara kita. Secara teknikalnya, KMM ini adalah lubuk asas kepada penubuhan parti-parti politik Melayu selepas itu seperti Partai Kebangsaan Melayu Malaya ( PKMM-PEKEMAM ), Angkatan Pemuda Insaf ( API ) dan Pertubuhan Kebangsaaan Melayu Bersatu ( PEKEMBAR ) atau UMNO. Di dalam batang tubuh ketiga-tiga parti besar orang-orang Melayu ini sebenarnya mengalir darah KMM. Hal ini tidaklah berlebihan kerana ahli-ahli kedua parti terbesar Melayu ( API sebahagian dari PKMM ) sebelum merdeka ini adalah patriot-patriot yang memulakan langkah politik mereka dari KMM lagi. Untuk lebih realistik lagi kebanyakan penggerak-penggerak awal politik kebangsaan peringkat akar umbi ini adalah dari kalangan guru-guru Melayu lepasan SITC.


Patai Kebangsaan Melayu Malaya

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ( PEKEMBAR )


Sewaktu serangan Jepun ke atas Tanah Melayu, KMM bekerjasama dengan Jepun dalam menyingkirkan Inggeris. Ramai berpendapat, KMM lah punca segala kerosakan yang berlaku kepada negara kita semasa pendudukan Jepun. Soalnya disini, pernahkah kita berfikir apakah reaksi Jepun terhadap orang-orang Melayu sekiranya tidak ada KMM yang menjadi "pemudahcara"Jepun menyerang dan menakluki Tanah Melayu ?

Peta kempen serangan Jepun ke atas Tanah Melayu

Menurut Ibrahim Haji Yakoob dalam penulisannya sempena Perayaan Jubli Emas SITC dan MPSI ( tercatat dalam Majalah Chenderamata bil 65 tahun 1973 ),  beliau mencatatkan yang beliau telah menjalankan tugasan yang sangat sukar bagi keselamatan orang-orang Melayu. Disini saya coretkan tanpa merubah sedikit pun penulisan beliau.

"Perjalanan berkeliling Malaya itu sambil mengembangkan K.M.M., pertengahan tahun 1941 saya balik ke Singapura lalu menjadi Ketua Pengarang dan Managing Director s.k ( surat khabar ) Warta Malaya. Pada waktu inilah saya melakukan satu pekerjaan yang sangat sukar antara hidup dan mati, iaitu sebagai orang politik yang terpaksa melakukan satu pekerjaan yang perkerjaan double agent antara C.I.D Inggeris, Jepun dan Komunis, agar sebagai Ketua Agung K.M.M yang berkewajipan berusaha menyelamatkan bangsa Melayu, pentinglah dapat ikut mempunyai kedudukan "bargaining position"antara perebutan kekusasaan yang sedang ada pada waktu itu, sedangkan Inggeris dan Komunis sesudah pecah Perang Dunia di Eropah, telah berbaik-baik bertukar information menentang facist".

Hal inilah juga pada pandangan saya yang menyebabkan Ibrahim Haji Yaakob mengambil jalan pintas bersekutu dengan Jepun tanpa pengetahuan ahli-ahli KMM. Beliau sudah mengetahui nasib orang Melayu berada di hujung tanduk. " Perhubungannya dengan Jepun dibuat bagi menyelamatkan orang Melayu dari bahaya China dan Thai yang mahu menjajah Malaya " ( Ibrahim Yaakob. Chenderamata 1973 ). Beliau punya pelbagai rahsia baik dari pihak Inggeris, Jepun dan juga komunis.

Perlakuan KMM inilah yang menjadikan Jepun lebih bersikap lunak dengan orang-orang Melayu. Banyak orang-orang besar Melayu yang menjadi tawanan Jepun dapat dibebaskan oleh KMM. Malahan tokoh-tokoh bangsawan terutama dari kerabat diraja juga diselamatkan oleh K.M.M sewaktu Jepun berjaya menawan Malaya. Dilihat dari pebagai sudut Ibrahim dan K.M.M jelas gagal apabila kesatuan ini juga diharamkan kelak oleh Jepun namun untuk peranan awalnya, ia tetap berjaya menyelamatkan status tuan tanah bangsa Melayu ke atas negerinya sendiri.

Orang-orang Melayu juga diberikan lebih peranan mentadbir jauh dari apa yang pernah diberikan oleh British. Memang benar zaman Jepun itu amat mencabar namun ia memberikan banyak rahmad yang tidak terhingga kepada semangat nasionalisma bangsa Melayu khasnya.

Namun pernahkah jasa Ibrahim Haji Yaakob ini dikenang oleh kita sebagai rakyat Malaysia ?. Banyak sekali ahli sejarah Malaysia melabelkan beliau sebagai seorang yang radikal dan berhaluan kiri. Kebiasaannya pelabelan ini menyebabkan mereka terhindar jauh dari cerita sejarah besar kemerdekaan negara kita. Terima kasih Universiti Kebangsaan Malaysia kerana manamakan salah sebuah kolej kediaman yang terdapat di universiti tersebut dengan nama Kolej Kediaman Ibrahim Yaakob. Namun di manakah kubur tempat tokoh ini menghembuskan nafasnya yang terakhir ?


Nun di pulau Jawa Indonesia tempat terakhir tokoh besar SITC ini di dunia. Usai sahaja Jepun menyerah kalah, beliau melarikan diri ke Indonesia dan meneruskan perjuangan politiknya di sana. Kalangan ahli politik dan sejarawan menganggap beliau pengecut dan penakut. Meninggalkan ribuan teman-teman yang kosong tanpa pembelaan dalam vakum dua minggu yang mencabar antara komunis dan kebangsaaan Melayu.

Tetapi bagi saya sesiapa juga akan melakukan seperti beliau mencari perlindungan yang lebih selamat. Harus diingat, beliau menjadi mata dan telinga Inggeris, Komunis dan Jepun sebelum perang dunia kedua berlaku dan akhirnya beliau memilih menyebelahi Jepun. Apakah Inggeris dan komunis akan membiarkan bapa nasionalis KMM ini akan terus hidup selepas itu ? jalan yang terbaik teruskan perjuangan di bumi yang mampu melindunginya.... Indonesia.

Di sana beliau dikenang sebagai pahlawan nasional. Makamnya dipelihara dan kekal disana. Sebutir bintang SITC tertinggal jauh dari tanah kelahirannya. Terima kasih Ibrahim Haji Yaakob ... sejarahmu tetap akan dikenang sebagai pelopor nasionalisma Melayu terawal. Turut bersamanya di Indonesia ialah seorang lagi bekas pelajar SITC iaitu Cikgu Abdul Karim Rashid. Beliau turut membawa diri ke Indonesia pada tahun 1945 setelah bebas dari tahanan Inggeris.

Abdul Karim Rashid ( SITC 1929-1932 )
Turut mengikuti Ibrahim Yaakob ke Indonesia

Batu nisan pusara Ibrahim Haji Yaakob yang terletak di
Indonesia. Di sana beliau lebih dikenali sebagai
Drs Iskandar Kamel. Perhatikan ringkasan nama IBHY
terut diletakkan sekali pada tulisan batu nisan pusara.
Al-Fatihah buat bapa nasionalisma Malaya sebenar !

Soalnya ... kenapa kita tidak selesa meletakkan namanya sebagai hero sebenar negara kita ? Pulang dan bawa jasadnya kemari. Ini tanah tumpah darahnya juga ....... habis.

ANAK KANDUNG TERAGUNG SITC - TUN GHAFFAR BABA



Bagi sesiapa yang pernah membaca novel berjudul Maktab Ibu Kandung karya Shaari Isa pasti akan terkesan dengan apa yang diceritakan oleh penulisnya dalam novel berkenaan. Pada muka hadapannya tertulis dedikasi penulis buku berkenaan kepada ANAK KANDUNG TERAGUNG yang lahir dari perut SITC itu sendiri. Satu susuk besar dalam perjuangan politik Melayu sebelum dan selepas merdeka siapa lagi kalau bukan Allahyarham Tun Ghafar Baba mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia ( 1987-1993 ).

Novel Maktab Ibu Kandung karya
Shaari Isa.

Soalnya kenapa beliau dianggap yang teragung ? Jawapannya mudah ... dalam ribuan jasad yang pernah mengutip ilmu di SITC, MPSI, IPSI dan UPSI, cuma beliau sahaja yang pernah mencapai tahap kedua tertinggi dalam hieraki pentadbiran negara kita iaitu sebagai Timbalan Perdana Menteri. Bagi guru-guru Melayu ... itulah pencapaian paling besar seorang guru dan memang hanya Tun Ghaffar sahaja guru Melayu yang pernah menjawat jawatan itu. Yang lain tidak pernah  dan bukan terdiri dari kaum guru.

Sebelum mencapai ke tahap itu, sejarah Tun Ghaffar Baba amat panjang. Novel Maktab Ibu Kandung itu sendiri adalah satu catatan sebenar tentang perjuangan Tun Ghaffar Baba yang bukan calang-calang orangnya. Tun Ghaffar mendaki dari bawah ke atas bagi menduduki hieraki tertinggi dalam politik kepartian. Namun sejarah masa silamnya amat hebat. Beliau pemimpin pelajar terawal yang mencabar keegoan penjajah British apabila secara terhormat melakukan demonstrasi pelajar di SITC pada tahun 1949. Walaupun demontrasi dibuat secara aman ia sebenarnya telah mencetuskan semangat nasionalisma yang lebih besar pada tahun yang berikutnya.

Mengikut buku Wira Negara Tun Abdul Ghafar Baba terbitan Arkib Negara Malaysia tahun 2008, dicatatkan Tun Ghafar mengetuai mogok secara aman terhadap pihak pentadbiran SITC ekoran dari tuntutan kenaikan sara hidup pelajar SITC dinaikkan dari $3.00 kepada $30.00 tidak dilayan oleh pengetua SITC yang bernama L.D Whitfield. Menariknya di dalam buku tersebut disertakan juga salinan surat yang dikirim oleh Tun Ghafar kepada tuan pengetua SITC berkenaan yang menuntut kenaikan elaun kepada pelajar SITC. Tuntutan berkenaan tidak dilayan, maka mogok secara aman tercetus di SITC pada tahun 1948.


Surat kiriman Tun Ghafar kepada
pengetua SITC memohon 
pertambahan elaun pelajar di SITC

Ketika mogok dijalankan, para pelajar SITC tidak bercukur, memakai pakaian lama yang koyak-rabak dan memakai terompah kayu ke kelas. Mereka juga bersepakat jika ditanya dengan alasan bahawa pembayaran elaun yang dibuat tidak mencukupi ( Wira Negara Tun Abdul Ghafar Baba terbitan Arkib Negara Malaysia, 2008).

Akhirnya, pihak pentadbiran akur dengan tuntutan pelajar dengan menaikkan elaun sara hidup daripada $3.00 kepada $15.00. Walaupun gagal mendapat jumlah penuh iaitu $30.00, namun secara tidak langsung mogok ini telah mengharumkan nama Tun Ghafar di kalangan pelajar SITC dan tidak hairanlah beliau dipilih menjadi Ketua Pelajar SITC apabila beliau berada di tahun ketiga pengajian ( Wira Negara Tun Abdul Ghafar Baba terbitan Arkib Negara Malaysia 2008 ).

Rasanya inilah kali pertama dalam sejarah dunia pendidikan moden di Malaya pada ketika itu berlakunya demonstrasi dari golongan pelajar dan yang lebih manisnya berlaku di SITC .... lubuk penghasilan utama gerakan nasionalisma Melayu !.

Apa yang menjadikan gerakan demonstrasi ini begitu menarik ialah kemampuan pelatih guru-guru muda Melayu dari pelbagai negeri bersatu dalam satu pasukan menggempur kerajaan penjajah Inggeris.

Berikutan dengan mogok kali pertama yang diketuai oleh Tun Ghafar itu, ia seterusnya mencetuskan satu lagi mogok yang lebih besar selepas itu iaitupada tarikh 20 Disember 1949 ( Tun Ghafar sudah menamatkan pengajiannya di SITC pada ketika mogok kedua ini berlaku ).

Menurut Allahyarham Shaharom Husain dalam memoirnya Selingkar Kenangan Abadi terbitan Penerbit UKM tahun 1996, demonstrasi ini pada awalnya lebih bertujuan mendesak kerajaan Inggeris menyediakan sebuah khutub khannah ( perpustakaan ) bagi kegunaan para pelajar maktab. Lebih menarik lagi sebelum peristiwa mogok besar ini berlaku, Tun Ghafar terlebih dahulu berperanan mengadakan sendiri perpustakaan mini di setiap rumah penuntut yang buku-bukunya dibeli dari pungutan wang dari setiap seorang penuntut ( Shaharom Husain, Selingkar Kenangan Abadi, Penerbit UKM 1996 ). Jadi adalah jelas, pengaruh Tun Ghafar walaupun sudah tiada lagi belajar di SITC namun berbekas di hati pelajar juniornya.

Ini seterusnya disusuli oleh gerakan "Kami Bukan Tukang Kad" tidak lama selepas itu yang benar-benar menggemparkan Tanah Melayu. Tindakan kerajaan Inggeris  melalui pengetua Inggeris SITC yang mengusir keluar semua 145 penuntut tahun dua telah mencetuskan reaksi segera apabila hampir kesemua pelatih guru-guru Melayu tahun pertama dan ketiga bertindak meninggalkan SITC. dan pulang ke kampung.

Kegemparan besar telah berlaku di seluruh Malaya akibat dari peristiwa demontrasi dan tindakan meninggalkan maktab oleh kumpulan pelatih guru-guru Melayu berkenaan. Sekali lagi selepas era Ibrahim Haji Yaakob, seorang lagi anak kandung "nakal" telah dilahirkan oleh Ibu Kandung Suluh Budiman. Dan tokoh besar penvetus api awal gerakan itu tidak lain ialah Ghaffar Baba yang kelak bakal memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan bangsa Melayu selepas merdeka. Allahyarham Tun Ghaffar Baba disifatkan pentadbir maktab sebagai penuntut yang agresif selalu menentang pegawai-pegawai di maktab.

Memetik penulisan bekas pengetua Melayu MPSI yang pertama iaitu Allahyarham Datuk Zainal Abidin Bin Ali bertarikh 6 Julai 1973, di dalam majalah Chenderamata keluaran 65 ( 1973 ) menyatakan peristiwa demonstrasi dan mogok di SITC berkenaan mempunyai hikmahnya yang tersendiri, kerana ia menjadi titik tolak kepada perubahan dasar pendidikan penjajah Inggeris di SITC dan ke seluruh negara amnya.

Paling manis kesemua penuntut SITC yang "mengangkat kaki"dari SITC diterima semula untuk memasuki maktab. Satu kejayaan manis yang kedua bagi orang-orang Melayu selepas menundukkan Malayan Union 4 tahun sebelum itu.

Satu catatan tambahan, moleklah saya mengenang peranan Allahyarham Dato Onn Jaafaf ketika berlakunya siasatan terhadap peristiwa mogok pelajar di SITC. Shaharom Husain melalui memoirnya menjelaskan bagaimana usaha Dato Onn yang membela dan menjawab serta mencelah setiap soalan yang diberikan oleh penyiasat terhadap guru-guru yang mengajar di SITC. Beliau tidak mahu guru-guru Melayu di SITC dipersalahkan ekoran dari mogok tersebut dan berusaha membela mereka. Semoga Allah SWT merahmati roh Allahyarham Dato Onn Jaafar.

Selepas dari itu, Allahyarham Tun Ghaffar terus cergas dalam organisasi politik dan menyertai Partai Kebangsaan Melayu Malaya ( PKMM ) yang akhirnya diharamkan oleh penjajah British selepas sahaja darurat diishtiharkan di Tanah Melayu. Beliau menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ( PEKEMBAR/UMNO ) dan dilantik menjadi Ketua Menteri Melaka, menteri kabinet persekutuan dan akhirnya menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke-6 ketika di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri. Paling menarik beliau kekal untuk tidak menerima gelar dan pingat persekutuan atau negeri dan hanya menggunakan gelar Encik pada pangkal namanya walaupun sudah bergelar orang nombor dua kerajaan. Beliau kekal dengan sifat sederhana dan merendah diri.

Sewaktu rombongan rundingan kemerdekaan yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman pulang dari London, Tunku Abdul Rahman memilih untuk mengumumkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu di padang Bandar Hilir Melaka sebagai satu simbolik disitu kali pertama bumi Melayu dijajah dan disitulah kali pertama tarikh merdeka diishtiharkan. Pada ketika inilah susuk Tun Ghaffar mula mencuri perhatian apabila beliau menjadi pengerusi pengelola kepada upacara pengunguman tarikh kemerdekaan negara kita yang jatuh pada tanggal 31 Ogos 1957. Gambar kenangan peristiwa di Bandar Hilir itu tidak akan pernah hilang dalam lipatan sejarah negara kita. Ia tetap akan dikenang sampai bila-bila. InsyaAllah.

Sejarah tidak akan pernah melupakan
gambar ini.


Tun Ghafar memberikan ucapan sewaktu sambutan rombongan
merdeka di bandar Hilir Melaka.

Tun Ghafar sebagai pengerusi penganjur
sambutan rombongan kemerdekaan di padang
Bandar Hilir, Melaka.

Sebagai satu catatan tambahan, Tunku Abdul Rahman telah memberi penghormatan kepada Tun Ghafar untuk membaca Watikah Kemerdekaan Melaka di dalam Persekutuan Tanah Melayu dan mereka bentuk bendera negeri Melaka ( walaupun terdapat sedikit perbezaan ) yang digunapakai hingga ke hari ini.

Pada tarikh 23 April 2006, Tun Ghafar dipanggil pulang menghadap ilahi. seorang patriot bangsa yang tidak pernah bercuti dalam perjuangannya sehingga ke akhir hayat. Memetik sebuah sajak yang didendangkan oleh tokoh budayawan dan bekas anak kandung SITC, Allahyarham Tan Sri Aziz Tapa yang berbunyi :

Telok Mas Pantai Ketapang,
Anak ketam berjari-jari,
Hilang emas boleh ku tukang,
Hilang Tun Ghafar mana nak cari.


Allahyarham Tun Ghafar Baba bukan sembarangan manusia... beliau contoh manusia yang tidak berahi dan gelojoh kepada kuasa dan kehormatan tetapi kuasa dan kehormatan itulah yang berahi dan gelojoh kepada beliau. Dan beliau memilih menjadi satu susuk yang bersederhana dengan kuasa dan kehormatan itu.  

Al-Fatihah buat anak kandung suluh budiman teragung .... Allahyarham Tun Ghafar Baba.

Makam Allahyarham Y.A.B Tun Ghafar Baba di
Makam Pahlawan, Masjid Negara Kuala Lumpur.

Penutup.

Menyorot kegemilangan SITC bererti kita membuka semula cerita-cerita agung manusiawi yang pernah wujud bersamanya. Institusi tua ini bukan melahirkan seorang dua tokoh hebat malahan ribuan manusia unggul pernah dilahirkan olehnya. Cuma sejarahnya mungkin ada yang mekar dan mungkin juga begitu banyak sekali yang dipendam zaman

Bukalah buku sejarah carilah nama guru-guru tua keluaran SITC yang bersemangat waja dalam menanamkan semangat anti penjajahan di dalam dada bakal-bakal guru serta anak-anak Melayu. Jika selama ini kita banyak mendengar nama Cikgu Harun Mohamad Amin, Cikgu Za'ba, Cikgu Buyong Adil dan Cikgu Kapten Yazid, maka carilah pula nama-nama lain yang sejarahnya pasti ada dalam setiap kisah pembinaan negara yang tercinta ini.

Alhamdulillah, singkapan terhadap beberapa tokoh ini mungkin masih belum mencukupi untuk memperihalkan keagungan tokoh-tokoh besar keluaran SITC yang berjuntaian. Namun cukuplah sekadar usaha awal dalam melengkapkan satu koleksi penulisan saya dalam mengenang ketokohan mereka. InsyaAllah penulisan seperti ini tidak akan berhenti dan akan sentiasa ada di dalam blog perkongsian ini.



Al-Fatihah untuk mereka yang berpulang terlebih dahulu.
InsyaAllah kita akan menyusul mereka.

"PENGETAHUAN SULUH BUDIMAN"







HUJAN DI KOTA KU

$
0
0
Aku duduk bersilang kaki
di perhentian bas kecil
pada sebuah kota yang serabut
ketika hujan yang membuat aku
benar-benar lelah.

Seorang anak sekolah
menghampiri dan bertanya
"abang punya pemetik api?"

Kupandang wajahnya yang muda
gagah dan penuh semangat itu
ku katakan
"maaf saya tidak merokok".

Ah...wajahnya berubah dan mengomel
"aduh tak merokok lah pulak !"

Aku melihat seorang anak sekolah
yang bangsanya sama dengan aku
bapaku dan datuk nenekku...
sedang lihai
mengepit rokok yang tak bernyala.

Jadah apanya bapamu berkuli
dan ibumu yang setia
seperti anjing mengawan itu
memberikan kamu wang belanja
sedang kamu semahunya hati
meliwat rezeki bapa dan ibumu
pada sebatang rokok yang menikmat itu.

Aku memandang mu lagi
resah gelisah yang rusuh
benar-benar inzal di wajahmu
dan rokok sebatang itu
bagaikan Tuhan
memanggil dan mengajak kamu
beribadat pada candu
yang sejengkal itu.

Seorang pemuda yang kehujanan
singgah duduk bersilang kaki
di sebelah aku yang kecewa
di poket bajunya punya pemetik api.

Anak sekolah mengorak senyum
nikmat yang anggun
sedang menantinya
berjimak rasa hanya pada
masa yang sebentar.

Aku melihat kepul-kepul asap
berkeliling
dan bentuknya menjadi seperti babi
ketawa dalam keadaan yang aneh
aku tertunduk resah
kaki kuturunkan ke lantai
hujan yang makin merumput
di kota ini bagaikan mahu
memujuk aku yang semakin lelah.

Ah... nun di seberang jalan
seorang kakak bertudung
tersenyum bagaikan pelacur
yang dipuaskan nafsunya
depan dan belakang
keluar dari kedai nombor
dan akhirnya aku memilih untuk basah !

Mata dan hatiku
kini makin sakit !

Dunia di kota ini
benar-benar telah membuatkan aku
menjadi seganjil-ganjil manusia.


Hafez J.Malim
2 Mac 2017

KENANG-KENANGAN MERDEKA ( HORMAT KEPADA MEREKA YANG MENGHILANG ) 3

$
0
0
MENGENANG CIKGU ABDUL HADI HAJI HASSAN 
" PATRIOT BESAR YANG TERASING"

 Abdul Hafez Bin Jahauddin
Batu Pahat, Johor.

Hak Cipta Terpelihara
Pustaka Persuratan Melayu Baru, Batu Pahat Johor.



Allahyarham Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan
( 1900 - 1937 )

Tidak ramai generasi selepas merdeka pada hari ini yang mengenali susuk tubuh yang bernama Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan. Jarang sekali malah hampir tidak ada catatan yang ampuh bagi memperihalkan kewibawaan dan ketokohan beliau di akhbar, majalah atau di kaca televisyen sepanjang kita menyambut hari kemerdekaan negara setiap tahun.

Penulisan akademik terhadap sumbangan beliau juga amat kurang hingga membataskan namanya untuk diletakkan sebagai hero besar dalam perjalanan epik kemerdekaan negara pada tanggal 31 Ogos 1957 yang bersejarah itu. Maka oleh itu, ruang lingkup sejarah kemerdekaan negara kita akan terus-terusan  berbicara berkenaan manusia-manusia yang berada di dalam"rombongan kapal kemerdekaan "itu sahaja sampai bila-bila.

Rombongan kemerdekaan ke London tahun 1956 yang
menaiki kapal MV Asia dari Singapura.

Dan itulah hakikat sejarah yang perlu kita telan seenaknya. Perjalanan kebebasan yang panjang itu akhirnya dimenangi oleh mereka-mereka berperanan paling akhir dalam "perang diplomasi" kemerdekaan paling unik dalam sejarah dunia. Maka bagi pendahulu perjalanan kemerdekaan itu, tertinggallah mereka atau terkubur atas jalan yang telah mereka rintiskan. Ada yang namanya sempat diabadikan di dalam buku-buku sejarah. Ada yang hilang luput ditelan masa dan kemodenan. Hanya doa dan iringan surah Al-Fatihah sahaja yang dapat diberi sebagai tanda kenang-kenangan kepada roh para pejuang kemerdekaan yang namanya hilang begitu sahaja dari lipatan sejarah negara yang tercinta ini.

Itulah yang cuba saya coretkan dalam siri penulisan Kenang-Kenangan Merdeka di dalam blog perkongsian ini. Penulisan yang bukan bersifat akademik malahan kekurangan bahan rujukan yang sempurna. Namun pada saya, ia sudah cukup istimewa dalam memberikan satu bahan cerita khusus bagi mengenang mereka yang punya peranan besar dalam sejarah perjuangan kemerdekaan negara kita ini. Mungkin ia adalah satu penulisan picisan yang tidak punya nilai akademik. Tetapi bagi saya ia sudah cukup "sempurna" untuk menyatakan mereka masih dalam ingatan dan kenang-kenangan kami, anak merdeka.

Khusus untuk meraikan hari kemerdekaan negara persekutuan Malaysia yang tercinta ini, saya coretkan kenang-kenangan buat Allahyarham Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan. Suatu susuk besar yang berperanan paling awal dalam pembentukan semangat kebangsaan Melayu. Ia jauh lebih awal  .... ketika bangsa Melayu itu sendiri belum kenal istilah MERDEKA yang ditempik sorakkan oleh kita pada tanggal 31 Ogos sepanjang 60 tahun ini. Dan untuk lebih memilukan ... inilah susuk yang tidak sempat melihat detik kemerdekaan itu walaupun beliau adalah generasi Melayu terawal yang mengimpikan istilah MERDEKA itu buat tanah tumpah darahnya ini.

Bagi yang bernostalgia dengan istilah MERDEKA... kita harus mengenang beliau... Cukuplah untuk suatu masa yang sebentar.... tiada paksaan untuk anda !

Sebuah Buku Yang Bersejarah


Sejarah Alam Melayu karya Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan
( Kitab keramat penyubur semangat nasionalisme Melayu )

Beberapa hari yang lalu saya telah membuat pembelian sebuah kitab atau buku lama ( perkiraan saya sesuai diistilahkan buku langka ) secara atas talian pada harga yang agak tinggi. Sebenarnya sudah lama saya berkeinginan untuk memiliki kitab berkenaan, atas dasar ia punya nilai sejarah dan sumbangan yang berharga dalam perjalanan kemerdekaan negara kita ini. Namun harganya di atas talian memang agak tinggi tambahan pula ia seringkali diburu oleh pengumpul barangan antik, buku-buku lama malahan ahli akademik juga mencarinya.

Kitab atau buku yang saya maksudkan itu adalah Kitab Sejarah Alam Melayu. Ada sesuatu yang penting untuk diungkapkan berkenaan dengan buku ini. Ia bukan sekadar sebuah buku sejarah malahan lebih dari itu. Mungkin isi kandungannya tidak sehebat buku-buku sejarah moden yang dikarang oleh tokoh-tokoh ilmuwan bertaraf profesor yang lebih akademik dan ilmiah sifatnya.

Namun buku ini ada kelebihannya yang tersendiri, malahan jauh mengatasi karya-karya akademik terkini. Inilah buku yang menjadi "kitab keramat" penghasilan kebangkitan nasionalisma orang-orang Melayu sebelum merdeka. Dan susuk yang berperanan dalam menghasilkan kitab Sejarah Alam Melayu ini adalah Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan yang kelak akan memainkan peranan besar dalam penghasilan ribuan nasionalis agung di negara kita.

Siapa Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan ?

Melaka sebagai sebuah negeri yang menjadi tempat terawal bermulanya penjajahan di alam Melayu sangat bertuah, kerana di situlah kelak lahirnya seorang tokoh guru Melayu terawal yang memainkan peranan penting dalam sejarah perjuangan kemerdekaan negara ini iaitu Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan.

Beliau lahir di Kampung Batang Tiga, Melaka dalam tahun 1900 ( Shaharom Husain, Selingkar Kenangan Abadi, 1996 ). Ramlah Adam pula melalui buku Maktab Melayu Melaka 1900 -1922 pula menuliskan tahun Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan meninggal dunia ialah pada tahun 1937 dalam usia 31 tahun ( dengan perkiraan sendiri beliau lahir pada tahun 1906 ).

Saya lebih selesa untuk menerima tahun kelahiran Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan ialah pada tahun 1900. Ini diperkuatkan lagi melalui rencana berjudul Bermulanya Nasionalisma yang ditulis oleh Allahyarham Adi Mas  di majalah Cenderamata MPSI tahun 1973 yang menyatakan Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan lahir pada tahun 1900.

Masjid Batang Tiga, Melaka dibina pada tahun 1917.
Batang Tiga merupakan tempat kelahiran 
Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan pada tahun 1900.
( sumber gambar : Google )

Tidak jelas perihal kedua ibu dan bapa kepada Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan ini. Bapanya bernama Haji Hasaan dan ibunya bernama Makhdum Binti Muhammad Amin. Namun jika dilihat pada gelaran Haji pada pangkal nama bapanya, besar kemungkinan keluarganya terdiri dari golongan yang agak berada pada masa itu di Kampung Batang Tiga. 

Beliau mula memasuki alam persekolah di Sekolah Melayu Batang Tiga.  Beliau kemudiannya dilantik pula menjadi guru pelatih di sekolah yang sama sebelum dipindahkan ke Sekolah Bukit Rambai, Melaka pada tahun 1913 ( Ramlah Adam, 1991 ). 

Pada tahun 1915, beliau kembali semula ke Sekolah Melayu Batang Tiga sebagai guru penolong. Sekolah Melayu Batang Tiga ini sudah tidak lagi wujud kerana telah digabungkan sekali dengan Sekolah Melayu Lereh pada tahun 1930. Inilah keunikan sistem pendidikan pada masa itu, dalam usia 12 tahun seseorang murid yang cerdas itu boleh sahaja dilantik sebagai guru pelatih di sekolah Melayu. Ia mungkin sebagai satu persediaan awal sebelum mereka diberikan peluang untuk menuntut di Maktab Melayu Melaka yang telah ditubuhkan pada tahun 1900.

Sekolah Kebangsaan Bukit Rambai, dahulunya dikenali
sebagai Sekolah Melayu Bukit Rambai.
 Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan
pernah menjadi guru pelatih di sekolah ini 
dari tahun 1913 hingga 1915.

Pada tahun 1917, Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan telah terpilih untuk mengikuti latihan perguruan di Maktab Melayu Melaka yang merupakan salah satu dari dua institusi latihan guru terawal di Tanah Melayu selain dari Maktab Melayu Matang di Perak.Kedua-dua institusi latihan guru ini akhirnya ditutup pada tahun 1922 selepas sahaja Sultan Idris Training College ( SITC ) dibuka di Tanjong Malim. 

Beliau menamatkan pengajiannya di Maktab Melayu Melaka pada bulai Mei 1919 dengan mendapat Sijil Pertama dan "Hadiah Mohd Jaafar" untuk pelajaran Bahasa Melayu ( Ramlah Adam, 1991 ). Pada pandangan saya dalam keadaan sistem pendidikan Melayu ketika itu, pencapaian Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan sudah dikira satu pencapaian yang hebat. Ini secara tidak langsung memperlihatkan ketokohan dan wibawa beliau sebagai seorang guru Melayu kelak.

Gambar guru dan pelajar di Maktab Melayu Melaka
pada tahun 1916

Menurut Ramlah Adam menerusi bukunya Maktab Melayu Melaka 1900-1922, penuntut yang mendapat Sijil Pertama mempunyai peluang untuk menjadi guru di maktab tersebut. Ini merupakan penghormatan yang tinggi untuk para pelajar yang tekun dan rajin dalam pelajaran mereka. Oleh itu adalah tidak menghairankan jika Cikgu Abdul Hadi seterusnya telah dilantik menjadi guru di Maktab Melayu Melaka bagi mengajar ilmu Tawarikh dan Bahasa Melayu pada November 1921.

Namun demikian, sebelum beliau menjadi tenaga pengajar di Maktab Melayu Melaka, beliau terlebih dahulu menjadi guru di Sekolah Tanjung Keling, Melaka ( sekolah ini ditutup pada tahun 1930 setelah digabungkan dengan Sekolah Melayu Lereh ). Pada tahun 1921, beliau telah dilantik menjadi guru besar di Sekolah Latihan Maktab Melayu Melaka sebelum bertukar ke Sekolah Melayu Lereh pada tahun yang sama. Ini bermakna dalam tahun 1921 itu, Cikgu Abdul Hadi telah mengalami tiga kali pertukaran tempat mengajar !.

Banggunan lama Sekolah Melayu Lereh yang ditubuhkan
pada tahun 1905. Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan pernah mengajar 
di sini pada tahun 1921.

Di Maktab Melayu Melaka, Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan mengajar matapelajaran Tawarikh dan Bahasa Melayu kepada bakal-bakal guru. Masalah utama yang dihadapi oleh bakal-bakal guru di maktab ini adalah kekurangan buku rujukan. Buku rujukan utama yang digunakan untuk matapelajaran tawarikh adalah History Of Malaya karangan R.J Wilkinson. Selain itu bahan-bahan pengajaran juga dikutip dari buku-buku Inggeris ( Ramlah Adam, 1996 ) 

Maka oleh sebab itu adalah tidak menghairankan jika hal ini kelak telah menyebabkan Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan merasa terpanggil untuk menulis buku Sejarah Alam Melayu yang kelak akan menjadi rujukan utama orang-orang Melayu sebelum merdeka. Ia mungkin atas kesedaran beliau betapa peri pentingnya sejarah bagi menaikkan semula martabat bangsa Melayu yang terjajah. Dan pasti misinya jauh ke hadapan .... melahirkan ungkapan merdeka pada jiwa anak bangsa Melayu !.

SITC Tanjong Malim

SITC Tanjong Malim
( Ibu Kandung Suluh Budiman )

Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan cuma berkesempatan mengajar di Maktab Melayu Melaka lebih kurang dalam satu tahun lebih lamanya. Pada tahun 1922, Maktab Melayu Melaka telah ditutup berikutan dengan pembukaan Sultan Idris Training College For Malay Teacher ( SITC ) di Tanjong Malim, Perak. Turut ditutup ialah Maktab Melayu Matang di Taiping, Perak.

Maka bermulah satu lembaran baru dalam sejarah dunia pendidikan orang-orang Melayu apabila sebuah "universiti" paling agung dalam sistem pendidikan vernakular Melayu pada masa itu telah ditubuhkan oleh penjajah Inggeris. Di SITC, pelajar lepasan sekolah Melayu dari seluruh Tanah Melayu, Brunei, Singapura dan Sarawak dihimpunkan sekali khusus untuk mendapatkan ilmu keguruan. Secara tidak langsung, disinilah tembok kenegerian mula terhapus dan semangat kebangsaan mula tertanam di dalam diri anak bangsa Melayu buat pertama kalinya.

Dengan penutupan Maktab Melayu Melaka, Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan seterusnya berpindah untuk mengajar di SITC. Turut bersamanya dari Maktab Melayu Melaka ke SITC adalah beberapa orang guru lain seperti Cikgu Ahmad Bakhtiar ( guru besar SITC, 1952-1959 ), Cikgu Abdul Rahman Haji Mahyuddin ( guru besar SITC, 1947 - 1952 ), Cikgu Mohd Hashim Haji Taib ( penolong guru besar Melayu SITC seterusnya guru besar SITC, 1922 - 1940 ) serta penuntut-penuntut Maktab Melayu Melaka itu sendiri.

Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan ( duduk tiga dari kanan ) 
bersama guru-guru SITC yang lain. Turut kelihatan dalam 
gambar ialah Cikgu Ahmad Bin Abdullah@Ahmad Bakhtiar
( duduk kanan sekali ) dan
 Cikgu Mohd Hashim Haji Taib ( duduk kelima dari kanan ).
( sumber rujukan gambar : Memoir Shaharom Husain 
Selingkar Kenangan Abadi, UKM 1996 )

Cikgu Ahmad Bin Abdullah @ Ahmad Bakhtiar
( Guru dan Guru Besar SITC )

Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan merupakan kumpulan guru pertama yang ditugaskan menjadi tenaga pengajar di SITC. Tempoh perkhidmatannya di SITC menjangkau hampir 7 tahun bermula dari tahun 1922 sehingga tahun 1929. Sepanjang tempoh tujuh tahun perkhidmatannya di SITC, beliau banyak melahirkan tokoh-tokoh pemimpin yang kelak memainkan peranan yang penting dalam perjuangan kemerdekaan negara kita.

Dengan jumlah pelajar yang jauh lebih besar, Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan melihat di sinilah tempat semaian paling sesuai bagi menyuburkan cita-cita dan semangat kebangsaan Melayunya. Di SITC, beliau mengajar matapelajaran tawarikh serta Bahasa Melayu sama seperti ketika beliau mengajar di Maktab Melayu Melaka.

Mengambil sedikit rujukan dari atas talian berkaitan dengan perkhidmatannya di SITC maka saya coretkan satu rencana yang ditulis oleh penyunting Majalah Chenderamata ( majalah rasmi SITC ) bilangan 29 tahun 1937, yang berbunyi :

''Selama di kolej ini, Cikgu itu terkenal sebagai seorang guru tawarikh yang sangat usaha, bahkan bolehlah dikatakan Cikgu itu dahulu ' Bapa Ilmu Tawarikh' di kolej ini. Kecenderungannya dalam perkara Bahasa Melayu demikian jua, dan dia jualah seorang dari pegawai-pegawai yang berpangkat 2nd Lieutenant dalam pasukan Volunteer di kolej pada masa permulaan pasukan itu diadakan dahulu".

Di SITC inilah juga, Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan mula memperlihatkan sikap yang agak bias terhadap penjajahan Inggeris. Hal ini mungkin berpunca dari minatnya terhadap amalan membaca. Minatnya terhadap dunia pembacaan itu meluas dan beliau mula mendapatkan bahan-bahan bacaan dari Indonesia ekoran dari bahan bacaan berbahasa Melayu pada ketika itu agak terhad.

Mengikut kata-kata dari salah seorang muridnya yang bernama Tuan Haji Ahmad Bin Haji Abdul Samad ( SITC - 1923-1925 ), beliau menyatakan Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan yang tinggal di bilik guru Rumah A, mempunyai sedikit masa untuk tidur pada waktu malam. Pada waktu pagi didapati puntung rokok bersepah di lantai kerana masa malamnya digunakan untuk membaca dan mengarang.

Saya juga memetik penulisan Sasterawan Negara Abdullah Hussain dalam buku biografi Harun Aminurashid Pembangkit Semangat Kemerdekaan ( DBP, 1982 ) yang jelas menyatakan kekaguman Harun Aminurashid terhadap gurunya Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan. Menurutnya Cikgu Abdul Hadi ialah seorang yang kuat membaca. Kebanyakan bahan buku-buku bacaannya  ialah buku-buku sejarah baik yang dalam bahasa Inggeris mahupun di dalam bahasa Indonesia.

Pendedahan yang berterusan terhadap bahan bacaan Indonesia inilah kelak yang mula menimbulkan pemikiran konsep Melayu Raya terhadap diri Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan. Ramlah Adam melalui bukunya berjudul Gerakan Radikalisme Di Malaysia ( DBP, 2004 ) menyatakan idea dan konsep asas Melayu Raya atau Indonesia Raya ini telah dicetuskan oleh Abdul Hadi Haji Hassan melalui buku-bukunya yang bertajuk Kitab Sejarah Alam Melayu Penggal 1,2 dan 3.

Hal ini terbukti melalui kenyataan salah seorang muridnya yang terulung iaitu Cikgu Buyong Adil ( SITC, 1924-1926 ) dalam temubualnya dengan tokoh pendidik Awang Had Salleh ( SITC, 1951-1954 ) yang menyatakan :

"Cikgu Abdul Hadi banyak menggunakan bahan-bahan dari Indonesia sebagai rujukan dalam menyusun buku-buku sejarahnya itu, sehingga akhirnya sebahagian besar karya-karyanya dipengaruhi oleh konsep 'Nusantara' dan dari pemikiran yang sempit, pelajar tiba-tiba terdedah kepada kesedaran nasional yang meliputi wilayah yang lebih luas, berkongsi wira Nusantara (bukan tanpa alasan) sebagai diri mereka sendiri.( Abdullah Hussain, 1982 ).

Semasa mengajar Tawarikh atau sejarah, beliau gemar untuk menceritakan berkenaan keagungan sejarah kerajaan-kerajaan Melayu lama kepada para pelajarnya. Melalui penulisan Kitab Sejarah Alam Melayu Penggal 1,2 dan 3, Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan bukan sahaja mengajar sejarah tetapi menanamkan semangat jati diri Melayu kepada para pelajarnya. Hal inilah kelak akan melahirkan tokoh-tokoh besar yang bersemangat kebangsaan dan menyokong gagasan Melayu Raya seperti Ibrahim Haji Yaacob dan Harun Bin Muhammad Amin ( Harun Aminurashid ).

Inilah unik dan pentingnya kitab keramat'Sejarah Alam Melayu'karangan Cikgu Abdul Hadi Hassan. Ia ditulis bukan sekadar sebagai buku rujukan pelajar malahan ia menjadi satu pedoman kepada orang-orang Melayu khususnya guru-guru Melayu untuk menginsafi kekurangan diri hingga terjajah sebegitu lama.

Ketika orang-orang Melayu buta dan teraba-raba mencari identiti diri, sejarah keagungan bangsanya hilang entah kemana, tiba-tiba muncul seorang anak Melayu dari Melaka yang mengarang dan menceritakan peri hebatnya sejarah bangsa Melayu itu dahulu. Membuatkan anak-anak Melayu mula bersemangat kebangsaan. Dan dari semangat kebangsaan yang meluap itu, muncul pejuang-pejuang bangsa yang berjuang untuk memerdekakan tanah air tercinta ini. Inilah sumbangan bakti yang tidak ternilai yang perlu dikenang oleh orang-orang Melayu sehingga kini. Kita terhutang budi yang terlalu besar terhadap jasa Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan dan kitab Sejarah Alam Melayunya itu.

Pengaruh Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan Terhadap Pelajar SITC.
Cikgu Harun Bin Muhammad Amin @ Harun Aminurashid

Harun Aminurashid, seorang tokoh guru, wartawan dan politikus Melayu adalah salah seorang pelajar kepada Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan. Beliau mengikuti pengajian di SITC dari tahun 1924 hingga 1926. Adalah dipercayai gaya dan pemikiran Harun Aminurashid sangat dipengaruhi oleh Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan.

Harun Muhamad Amin ( Harun Aminurashid )
SITC ( 1924 - 1926 ), Guru SITC ( 1927 - 1939 ). 


Menurut Abdullah Hussain dalam buku biografi Harun Amunurashid Pembangkit Semangat Kemerdekaan ( DBP;1982 ), Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan telah berhasil menimbulkan kesedaran di dalam hati sanubari Harun Aminurashid tentang erti bangsa dan negara sehingga dalam masa yang singkat timbul keinsafannya akan kepentingan sejarah dengan maksud bahawa mengenal sejarah beerti mengenal diri sendiri.

Kekaguman Harun Aminurashid terhadap Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan ini terbawa-bawa kepada caranya ia berpakaian. Ia mengikutnya ketika dilantik menjadi salah seorang guru di SITC , berpakaian lengkap, necis dan selalu berdasi. Selain itu, kebanyakan buku-buku yang dimiliki oleh Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan diserahkan kepada Harun Aminurashid kerana beliau suka melihat minat Harun Aminurashid yang gemar membaca.

Harun Aminurashid semasa menjadi
guru di SITC sentiasa segak dan bergaya
sama seperti gurunya Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan.

Harun Aminurashid yang kelaknya juga menjadi guru di SITC. Beliau meneruskan perjuangan Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan untuk menanamkan semangat kebangsaan Melayu dalam diri para pelajarnya. Daripadanya pula lahir lebih ramai tokoh-tokoh nasionalis lain yang kelak bakal memainkan peranan yang penting dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Dicoretkan satu kisah penting berkenaan dengan perkaitan erat antara Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan dan Harun Aminurashid. Akibat dari sikap Harun Aminurashid yang anti penjajahan, maka beliau telah mula ditekan oleh Inggeris sedikit demi sedikit sewaktu mengajar di SITC. Hal ini adalah tidak menghairankan kerana dalam setiap kali pengajarannya, diselitkan dengan ucapan-ucapan yang sangat pedas dan menaikkan semangat kebangsaan kepada para pelajarnya.

Akibat dari tekanan yang berterusan itu telah timbul satu cita-cita dalam diri Harun Aminurashid untuk meninggalkan SITC dan pergi menuntut ilmu di luar negara. Tetapi apabila niatnya itu diketahui oleh Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan, maka ia telah dipanggil  dan dinasihati selama tiga jam lamanya. Saya coretkan sedikit catatan SN Abdullah Hussan berkenaan nasihat yang diberikan oleh Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan kepada Harun Aminurashid:

" Kerana kalau kau benar-benar mahu berkhidmat kepada bangsa dan tanah air, di sinilah tempatnya. Di sini kita boleh membangunkan semangat anak bangsa kita mulai dari sekarang ini. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi dalam masa lima enam tahun lagi ketika kau masih belajar. Jadi lebih baik sahaja tinggal di sini".

Harun Aminurashid menerima teguran Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan itu dan keberaniannya terhadap penjajah semakin bertambah. Akhirnya seperti mana Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan yang kelak dipindahkan dari SITC ke Kelantan, begitulah juga yang berlaku kepada Harun Aminurashid apabila beliau dipindahkan dari SITC ke Brunei bagi menyandang jawatan Supretendan Of Education pada tahun 1940.

Perpindahannya ke Brunei ini kelak bakal memberi makna yang istimewa kepada anak-anak negeri Brunei. Menurut Pehin OK Laila Wangsa Haji Mohd Salleh bin Haji Masri ( SITC - ), Brunei bernasib baik dan bertuah kerana mendapat Cikgu Harun, kerana dia dapat diterima oleh masyarakat setempat dan pastinya penasihat British ( Residen ) akan pening kepala dengannya ( maksud lainnya kesukaran untuk menghadapi letusan semangat kebangsaan yang bakal terlahir di Brunei nanti ).

Saya memperkirakan nasihat yang diberikan oleh Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan itu berlaku pada tahun 1937. Ia mungkin berlaku pada tahun akhir riwayat Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan di dunia ini. Saya mengambil kira tekanan yang diterima oleh Cikgu Harun Aminurashid dari pihak British bermula sekitar dari peristiwa sekumpulan 129 orang pelajar SITC yang berarak di sekitar SITC bagi meraikan hari keputeraan Sultan Perak dengan menyanyikan lagu Putera Melayu yang dicipta oleh Harun Aminurashid. Lagu berkenaan dicipta dalam tahun 1936 atau 1937. Dan selepas itu tekanan terhadap Harun Muhammad Amin mula memuncak.

Antara bekas murid-murid Harun Aminurashid yang bergiat cergas dalam perjuangan kebangsaan adalah seperti Ibrahim Haji Yaakob, Hassan Manan Tan Sri Senu Abdul Rahman, dan Abdul Karim Rashid.

Ibrahim Haji Yaakob



Menurut Ramlah Adam di dalam bukunya Gerakan Radikalisasi Di Malaysia 1938-1965 ( DBP, 2004 ), Ibrahim Haji Yaakob adalah pengikut setia kepada gagasan Melayu Raya yang diilhamkan secara tidak langsung oleh Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan melalui bukunya Sejarah Alam Melayu. Di peringkat awal pertumbuhan semangat kebangsaan di negara kita adalah sukar untuk mengelakkan dari memperihalkan hubungan yang istimewa antara semenanjung Tanah Melayu dengan Indonesia khususnya Sumatera.

Menurut Ramlah Adam ( 2004 ), Idea Melayu Raya atau Indonesia Raya telah dicetuskan melaui sebuah konsep yang dirumuskan oleh Abdul Hadi Haji Hassan melalui buku-bukunya yang bertajuk Kitab Sejarah Alam Melayu Jilid 1, 2 dan 3, yang diterbitkan oleh Malayan Publishing House, Singapura pada tahun 1030an. Abdul Hadi Haji Hassan merupakan pensyarah SITC, Tanjong Malim, ialah guru sejarah yang sangat bangga dengan kerajaan-kerajaan Melayu di Kepulauan Melayu yang wujud sebelum kedatatangan Barat ke rantau ini. Dengan menulis semula keagungan kerajaan-kerajaan tersebut, Abdul Hadi Haji Hassan bukan sahaja memberi ilmu sejarah kepada anak meridnya, tetapi telah memeri suatu jati diri kepada kebangsaan Melayu yang luas iaitu meliputi seluruh Kepulauan Melayu. Inilah yang menggalakkan pelajar SITC yang berminat kepada kebangsaan Melayu, mencari jati diri mereka. Ibrahim Haji Yaacob sudah pasti salah seorang darinya.

Dengan rentetan sejarah dan hubungan sedarah sebangsa yang saling berhubung kait, menyebabkan pemikiran orang-orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu menganggap Indonesia itu adalah satu dalam rumpun Melayu yang besar. Malahan tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan merasakan istilah "bebas dari belenggu penjajahan" itu bermakna pembebasan bangsa Melayu yang keseluruhannya atau kebebasan bersama Tanah Melayu dan Indonesia. Hal inilah kelaknya bakal mempengaruhi Ibrahim Haji Yaakob tentang pegangan politiknya terutama yang melibatkan gagasan Melayu Raya, Indonesia Raya dan Konfrontasi Indonesia ke atas penubuhan Malaysia kelaknya.

Gagasan Indonesia Raya atau Melayu Raya ?
( sumber : Carian Google )


Ibrahim Haji Yaakob adalah susuk yang istimewa dalam sejarah panjang perjuangan kemerdekaan negara kita. Pencetus kepada pergerakan awal politik Melayu era moden ini melalui penubuhan Kesatuan Melayu Muda ( KMM ) mungkin dianggap sebagai seorang petualang oleh sesetengah orang atau ahli sejarah. Namun jasa dan peranannya dalam melahirkan ribuan pejuang kemerdekaan yang kelaknya bersarang di dalam banyak parti utama Melayu seperti UMNO, PAS dan PKMM memang amat sukar untuk dilupakan oleh sejarah.

Ibrahim Haji Yaakob menjadi penuntut di SITC pada tahun 1928 hingga tahun 1931. Ini bermakna beliau sempat menerima pengajaran dari Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan untuk satu tahun sahaja ( dalam perkiraannya pada tahun 1928 Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan ditukarkan ke Kelantan ).

Sesuatu yang menarik berkenaan dengan hal ini, Ibrahim sebenarnya sangat bertuah kerana beliau bukan sahaja menerima pengajaran dari Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan sahaja semasa belajar di SITC. Beliau juga menerima pengajaran dari tokoh-tokoh penting era awal semarak semangat nasionalisme di Tanah Melayu seperti Allahyarham Tan Sri Zainal Abidin Bin Ahmad ( Pendeta Za'ba ), Allahyarham Cikgu Harun Bin Muhammad Amin ( Harun Aminurashid ), Allahyarham Cikgu Buyong Adil, Allahyarham Cikgu Ahmad Bakhtiar dan lain-lainnya. Kesemua tokoh guru yang disebutkan tadi mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi dalam diri mereka. Keadaan ini pasti memberikan kesan yang sangat besar terhadap pemikiran politik Ibrahim Yaakob secara tidak langsung.

Hal ini diungkapkan oleh Ramlah Adam ( 2004 ) yang menyatakan Ibrahim Haji Yaacob menghayati tulisan-tulisan dari Abdul Hadi Haji Hassan dan ceramah-ceramah politik kebangsaan Harun Muhammad Amin ( Harun Aminurashid ) dan Buyong Adil ( juga anak murid kepada Cikgu Abdul HadI Haji Hassan ), seterusnya telah membentuk idea Melayu Raya atau Indonesia Raya di hati Ibrahim Haji Yaacob secara senyap-senyap.

Lebih berani, Ibrahim Haji Yaacob telah menubuhkan cawangan Partai Nasional Indonesia ( PNI )  di SITC pada tahun 1928 ( Ramlah Adam, 1991 ) dan boleh dikatakan pada tahun berkenaanlah SITC mula berperanan dengan lebih jitu sebagai pusat penentangan penjajahan. Menurut Ramlah Adam dalam buku Maktab Melayu Melaka 1900-1922 ( DBP,1991 ), Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan dikatakan bertanggungjawab terhadap kewujudan hal ini yang kelak bakal menyebabkan beliau dipindahkan ke Kelantan. Hal ini juga turut diulas oleh Warjio yang jurnalnya saya rujuki di atas talian yang menyatakan pengaruh PNI di SITC telah melahirkan politik revolusioner di Tanah Melayu.

Secara tidak langsung adalah jelas menunjukkan bahawa Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan begitu mempengaruhi corak pemikiran Ibrahim Haji Yaacob dalam sahsiah politiknya kelak. Idea suatu gagasan politik yang besar inilah akhirnya "memerangkap" Ibrahim Yaacob hingga akhirnya beliau terpaksa meneruskan perjuangan politiknya di Indonesia selepas berakhirnya pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Namun untuk melihatnya sebagai seorang pembelot adalah tidak adil, kerana dari asuhannya itu muncul ribuan anak muda Melayu yang kelaknya menjadi penggerak besar gerakan menuntut kemedekaan negara kita.

Mengambil catatan Cikgu Buyong Adil seperti yang tercatat dalam buku Maktab Melayu Melaka 1900-1922 ( Ramlah Adam, 1991 ) yang menyatakan, " Pendeknya, dari asuhan Cikgu Abdul Hadi Bin Haji Hassan di maktab itulah Ibrahim, Yaacob, Karim Rashid dan Hassan Manan, seperti pelajar-pelajar yang lain juga mulai sedar akan fahaman kebangsaan Melayu yang akan mereka perjuangkan kerana hendak mencapai kemerdekaan bangsa dan tanah air mereka".

Ironinya... tiga nama yang tercatat di atas itu adalah pengasas Kesatuan Melayu Muda ( KMM ) yang kelaknya menjadi pertubuhan politik awal orang Melayu menentang penjajahan. Dan sejarah tidak akan menipu tentang ini!.

Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan Dan Kedai AHMY

Amat sukar bagi orang-orang Melayu pada tahun-tahun 1920an dan 1930an untuk mendapatkan bahan bacaan dalam Bahasa Melayu yang berkualiti kerana keterbatasan ekonomi dan taraf pendidikan orang-orang Melayu yang agak rendah pada zaman itu. Bukanlah bermakna tidak ada langsung  buku atau bahan bacaan Melayu yang diterbitkan pada ketika itu namun jumlahnya adalah sangat sedikit.

Untungnya pada ketika itu, industri penerbitan buku dalam bahasa Melayu di Indonesia tumbuh dengan agak pesat. Hal ini didorong oleh pertumbuhan semangat nasionalis yang mula menyala di sana juga atas faktor penubuhan Balai Pustaka. Selain dari Balai Pustaka, terdapat juga penerbitan kecil di Indonesia yang kebanyakannya menerbitkan buku yang diharamkamkan oleh pihak penjajah Belanda.

Balai Pustaka ditubuhkan pada tahun 1907  oleh pihak penjajah Belanda, berjaya untuk menerbitkan banyak bahan bacaan dalam Bahasa Melayu. Bahan-bahan bacaan ini tersebar hingga ke Semenanjung Tanah Melayu dan banyak mempengaruhi arah pemikiran orang-orang Melayu pada ketika itu. Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan banyak berlanggan atau membaca  buku-buku yang diterbitkan  oleh Balai Pustaka ini.

Ketika masih menjadi tenaga pengajar di SITC, Cikgu Abdul Hadi Bin Haji Hassan bersama dengan seorang kerani SITC yang bernama Muhammad Yusof  telah menubuhkan sebuah kedai buku dan alat tulis yang bernama AHMY Bookstore Co di pekan Tanjong Malim. Ramlah Adam dalam bukunya Maktab Melayu Melaka 1900 -1922 menyebut nama kedai ini sebagai AMHY Bookstore Co. Manakala Shaharom Husain dalam memoirnya Selingkar Kenangan Abadi menyebut nama kedai ini sebagai AHMY & Company.

Kedai buku ini menjual buku-buku bacaan pada harga yang murah supaya penuntut SITC ataupun masyarakat setempat dapat membeli dan membaca dengan meluas. Lebih dari itu, Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan juga kadang kala meminjamkan buku-buku ini kepada para pelajarnya. Malah ada buku yang dihadiahkan kepada perpustakaan SITC. Kebanyakan buku-buku yang dijual di kedai buku ini adalah didatangkan dari Indonesia terutama yang diterbitkan oleh Balai Pustaka. Maka sudah pasti pengaruh dan semangat nasionalis rakyat Indonesia tersebar di kalangan penuntut melalui pembacaan buku dari kedai AHMY & Company ini.

Menurut Shaharom Hussain ( 1996 ), kebanyakan penuntut SITC mengenali kedai buku AHMY & Company itu sebagai sebuah kedai biasa, menjual alatan tulis menulis, buku, majalah dan akhbar. Namun bagi diri Shaharom dan rakan-rakannya yang bersemangat kebangsaan, AHMY & Company adalah penyalur penting gerakan kebangsaan atau politik ke dalam SITC kerana melalui kedai buku berkenaan banyak maklumat tentang gerakan politik yang memperjuangkan kemerdekaan Indonesia dan Tanah Melayu amnya.

Dari rujukan di atas talian, terdapat satu jurnal yang bertajuk Warisan Sakral Pergerakan Politik Indonesia-Malaysia : Tinjauan Sejarah Pergerakan yang ditulis oleh Warjio dari Departemen Ilmu Politik, Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik ( Fisipol ) Universitas Sumatera Utara ( USU ), Medan Indonesia. Menurutnya Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan adalah "ejen nasionalis dan ejen reformasi"kerana menjual dan mengedar buku-buku pembangkit semangat nasionalis Indonesia di kedai buku AHMY & Company.

Hal ini dapat dilihat melalui suatu peristiwa di mana Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan terpaksa membakar sebuah buku berjudul Student Indonesia karya Dr. A.Rivai yang diharamkan pihak Belanda di Indonesia. Hal ini berpunca dari tindakan amaran Tuan Pengarah Pelajaran terhadap pengetua SITC iaitu Tuan O.T Dussek bahawa buku berkenaan tidak elok untuk dibaca kerana dipengaruhi oleh faham nasionalis. Berkemungkinan buku berkenaan dihadiahkan oleh kedai buku AHMY & Co milik beliau kepada perpustakaan SITC.

Buku Student Indonesia karya Dr.A.Rivai
yang terpaksa dibakar oleh 
Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan.

Saya sendiri tidak dapat menjejaki tahun bilakah kedai buku AHMY & Company ini ditubuhkan. Berdasarkan kepada tahun perkhidmatan Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan di SITC iaitu dari tahun 1922 hingga 1928, berkemungkinan ia telah wujud sejak dari tahun 1920an di pekan Tanjong Malim. Sayangnya tidak ada gambar atau pelan lama pekan Tanjong Malim ketika itu untuk saya rujuk di manakah letaknya kedudukan kedai buku yang bersejarah ini di pekan Tanjong Malim. Hal ini disebabkan kelemahan saya sendiri dalam mencari rujukan yang betul-betul mantap untuk penulisan ini.

Menurut Shaharom Hussain dalam memoirnya, walaupun Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan telah lama meninggalkan SITC dan meninggal dunia dalam tahun 1937, namun kedai AHMY & Company tetap diteruskan perniagaannya. Berkemungkinan ia diteruskan oleh rakan kongsi Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan iaitu kerani besar SITC, Encik Muhammad Yusuf Bin Muhammad Sharif. Sehingga tahun 1940 iaitu semasa Shaharom Hussain menuntut di SITC atau 12 tahun Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan meninggalkan SITC, kedainya masih terus berjalan hinggalah ditutup apabila meletusnya perang dunia ke-2.

Ditukarkan Ke Kelantan

Akibat dari sifatnya yang keras dalam perjuangan menanamkan semangat kebangsaan kepada para pelajar akhirnya telah membimbangkan pihak kerajaan. Sebagai satu muslihat, pihak kerajaan penjajah Inggeris telah melantik Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan sebagai Penolong Nazir Sekolah-Sekolah Melayu di Kelantan pada tahun 1928. Perkhidmatan Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan di Kelantan berlangsung selama dua tahun sehingga tahun 1930.

Namun demikian, menurut Shaharom Hussain pula Cikgu Abdul Haji Hassan dilantik ke jawatan  Nazir Sekolah-Sekolah Melayu Kelantan pada 1 Oktober 1929 dan bersara pada tahun 1933. Ini bermakna beliau berkhidmat di Kelantan selama hampir lima tahun dan bukannya selama dua tahun seperti yang dikaji oleh Ramlah Adam dalam bukunya Maktab Melayu Melaka 1900-1922 ( DBP:1991 )

Menurut Ramlah Adam dalam bukunya Maktab Melayu Melaka 1900-1922 ( DBP. 1990 ), Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan menjalankan tugasnya dengan tepat dan jujur. Menurutnya lagi, Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan berusaha untuk mendisiplinkan guru sekolah dan penuntutnya yang seringkali memandang sekolah sebagai suatu organisasi yang tidak penting. Ada guru yang bertugas secara sambil lewa dan membuat kerja-kerja lain  seperti menangkap ikan sebelum ke sekolah. Keadaan ini ditanganinya dengan bersungguh-sungguh walaupun seringkali merasa kecewa kerana merasakan sikap orang Melayu di Kelantan yang tidak mementingkan pelajaran.

Beliau juga pernah menghadapi ancaman bunuh dan akan diracun. Walau bagaimanapun beliau tetap meneruskan usaha dalam merubah tahap pendidikan orang-orang Melayu di Kelantan supaya setanding dengan negeri-negeri lain.

Sebagai guru, Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan sentiasa diingati kerana keadaan dirinya yang sentiasa tidak kemas ( berkemungkinan semasa di Kelantan jiwanya tidak tenteram berbeza dengan dirinya yang sentiasa kemas semasa di SITC ). Beliau selalu kesiangan kerana kegemarannya membaca buku hingga lewat malam. Kerap kali beliau ke kelas dengan tidak mandi pagi dan bersikat. Beliau hanya memakai terompah, baju Melayu dan kain pelikat. Rambutnya yang panjang sentiasa terjuntai di dahi dan wajahjnya yang muram itu menambahkan kusut pandangan muridnya. Namun tiada siapa  pun yang menegurnya kerana beliau jarang bercakap kerana sentiasa sibuk menghisap rokok. Tetapi beliau adalah guru yang bersungguh-sungguh ketika mengajar. Dengan nada suaranya yang sangat tinggi, beliau akan mengajar dengan penuh bersemangat sehingga selalu menghentak-hentak meja. Sesiapa yang tidak paham akan dimarahinya dengan panggilan otak udang ( Ramlah Adam, 1991 ).

Sebagai menghargai segala sumbangannya semasa berkhidmat di negeri Kelantan, sebuah sekolah di Kota Bahru dinamakan sempena namanya iaitu Sekolah Kebangsaan Abdul Hadi. Sekolah berkenaan masih lagi wujud hingga kini sebagai suatu kenang-kenangan orang Melayu Kelantan terhadap usaha Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan dalam memajukan pendidikan di negeri ini.

Logo Sekolah Kebangsaan Abdul Hadi.
Namanya diabadikan di sini.

Meninggal Dunia

Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan bersara dari perkhidmatannya pada tahun 1933 ( Shaharom Hussain:1996 ) kerana masalah kesihatannya. Penyakit batuk yang agak teruk seringkali mengganggunya berkemungkinan akibat dari amalan merokok. Isterinya mempercayai penyakit batuk-batunya adalah akibat dari terkena santau ( Ramlah Adam : 1991 ).

Penyakitnya semakin serius dan pada tarikh 25 Julai 1937, Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan telah meninggal dunia di rumahnya sendiri di Tengkera, Melaka. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Bertam, Melaka ( Shaharom Hussain : 1996 ). Ketika meninggal dunia usianya baru menjangkau 37 tahun, suatu usia yang terlalu muda bagi seorang guru Melayu yang gigih sepertinya.

Namun demikian legasinya di SITC masih terus kukuh dan utuh. Bekas-bekas pelajarnya bertebaran ke pelusuk Tanah Melayu dan Borneo. Malahan selepas tamatnya perang dunia kedua, bagi matapelajaran Tawarikh di SITC masih tetap menggunakan kitab agung karangannya iaitu Sejarah Alam Melayu penggal I,II dan III sebagai buku rujukan utama. Shaharom Hussain ( SITC - 1938-1941 )yang menjadi generasi ketiga guru sejarah SITC selepas Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan ( 1920 an ), Cikgu Buyong Adil ( 1930an ) masih tetap menggunakan kitab-kitab berkenaan dalam pengajarannya dan darinya pula lahir tokoh yang menjadi anak kandung teragung SITC iaitu Allahyarham Tun Haji Ghafar Baba.

Allahyarham Cikgu Shaharom Hussain
( Alumni SITC : 1938 - 1941 seterusnya menjadi
guru di SITC pada tahun 1946 hingga 1951 )

Mencari Makam Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan

Didorong oleh perasaan ingin tahu, saya telah melakukan satu perjalanan ringkas ke Melaka khusus bagi menjejaki makam Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan. Berpandukan buku Memoir Selingkar Kenangan Abadi Shaharom Hussain ( UKM : 1996 ) yang menyatakan Cikgu Abdul Hadi dikebumikan di Tanah Perkuburan Bertam, Melaka.

Sela masa hampir 72 tahun selepas Cikgu Abdul Hadi Haji Hasaan meninggal  dunia pasti bukan suatu usaha yang mudah untuk menjejak keberadaan makamnya. Hal ini benar-benar berlaku kepada saya kerana kedudukan Tanah Perkuburan Bertam seperti yang dinyatakan oleh Cikgu Shaharom Hussain itu juga sangat sukar untuk dijejaki. Saya sangat terkeliru dengan nama Bertam dan Bertam Ulu.

Kesilapan saya yang terbesar, adalah beranggapan Tanah Perkuburan Bertam itu adalah berdekaran dengan kampung kelahiran Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan iaitu di Batang Tiga hingga membiarkan penjelasan bahawa rumah terakhir Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan adalah di kawasan Tengkera. Hal ini telah menyebabkan saya kehilangan begitu banyak masa berlegar-legar di kawasan Batang Tiga mencari kawasan perkuburan.

Entah bagaimana saya tergerak hati untuk meninjau kedudukan tempat yang bernama Bertam itu dan menjumpai suatu kawasan yang dinamakan Bertam Ulu. Dengan menggunakan Google Maps saya berjaya sampai ke kawasan berkenaan. Sayangnya saya tidak melihat papan tanda yang menunjukkan arah ke kawasan tanah perkuburan.

Saya berhenti berehat di sebuah perhentian bas yang agak cantik. Suasana petang yang sunyi jelas terpancar di kawasan ini. Entah bagaikan suatu kebetulan yang diberikan Allah SWT, seorang lelaki muda mengalami kerosakan motosikal betul-betul di hadapan pondok tempat saya menumpang rehat. Saya menawarkan pertolongan menolak motorsikalnya dan kebetulan rumahnya tidak jauh dari tempat itu. Semasa di dalam perjalanan itu, saya sempat bertanya di manakah letaknya tanah perkuburan. Alhamdulillah beliau menunjukkan arah ke kawasan tanah perkuburan dan saya terus bergerak ke sana usai membantunya sampai ke rumah.

Suasana tenang ketika saya sampai ke tanah perkuburan Bertam Ulu ini. Fikiran saya bercelaru adakah saya telah benar-benar sampai ke Tanah Perkuburan Bertam seperti yang diungkapkan oleh Shaharom Hussain dalam buku memoirnya. Pada pintu masuk ke tanah perkuburan ini jelas tertulis Tanah Perkuburan Kampung Bertam Ulu, Melaka. Dari luar saya dapat melihat kubur-kubur lam bernisan granit menandakan kawasan perkuburan ini sudah agak lama digunakan. Besar harapan saya untuk menemui kubur milik Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan seterusnya menghadiahkannya dengan bacaan Al-Fatihah.

Papan tanda Tanah Perkuburan 
Kampung Bertam Ulu, Melaka.

Ketika saya melangkah masuk ke dalam kawasan perkuburan, saya terpandang beberapa batu nisan granit lama yang telah tercabut dan diletakkan di tepi pagar. Saya bergegas menghampiri dan mencuba mencari maklumat yang tertulis pada batu nisan berkenaan. Sayangnya tulisan pada batu nisan berkenaan sangat sukar untuk dibaca kerana ia terukir kelam dan telah dimamah masa dan cuaca. Cuma ada satu sahaja nisan yang dapat saya baca pada ukiran tahunnya iaitu pada tahun 1937. Ia seterusnya menyemarakkan semangat saya kerana ia adalah tahun dimana Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan meninggal dunia. Saya berlegar-legar terus mencari kubur dengan batu nisan yang boleh dibaca keterangannya. Sayangnya ia berakhir dengan kehampaan. Majoriti batu nisan granit di sini tidak mempunyai keterangan.


Keadaan di Tanah Perkuburan Bertam Ulu, Melaka.

Dengan hari yang semakin petang dan saya perlu bergerak pulang ke Batu Pahat sebelum malam menjelang, saya pasti saya tidak akan berjaya untuk menjejaki makam Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan hari ini. Mungkin bukan rezeki saya pada hari ini namun sekurangnya saya telah berusaha.

Saya berdiri memandang kawasan perkuburan ini sambil membacakan Al-Fatihah berulang kali khusus disedekahkan kepada roh-roh mereka yang telah berpulang dahulu. Saya ketepikan fikiran nakal saya yang mengganggu jika Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan tidak disemadikan di sini. Cukuplah di mana sahaja kuburnya saya telah berusaha yang sebaiknya untuk perjalanan ini. Semoga rohnya tenang di sana dan Allah SWT mengampunkansegala dosa-dosanya.

Penutup

Sebenarnya penulisan ini telah tertangguh hampir dua tahun lamanya. Saya mula menyusun dan mengumpul maklumat berkenaan dengan Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan sejak dari tahun 2016 lagi dan mula menulis tentangnya pada tahun 2017 khusus untuk meraikan ulangtahun kemerdekaan negara kita yang ke 60 tahun. Sayangnya ia tidak kesampaian dan blog ini terus tertinggal sepi tanpa bahan penceritaan selama hampir tiga tahun.

Kesibukan dan kekangan masa menjadi punca utama saya tidak lagi mudah untuk menulis. Malahan bahan penceritaan dan idea juga sudah hampir kering dan kontang dalam pemikiran saya. Entah mengapa hari ini, saya terpanggil untuk menulis kembali walaupun dalam keadaan yang sukar. Pada fikiran saya moleklah saya menulis bagi mengenang ketokohan Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan dalam perjuangan awal kemerdekaan negara kita ini. Saya risau jika takdirnya esok atau lusa nyawa saya bercerai dari badan dan saya tidak sempat untuk menyelesaikan niat saya dalam mengenang jasa dan sumbangannya walaupun hanya dalam satu penulisan picisan seperti ini.

Benar, tidaklah ada apa-apa yang boleh dibanggakan untuk penulisan seperti ini yang lari dari nilai-nilai akademiknya. Cukuplah ia sebagai suatu karang-karangan dari seorang guru kecil untuk mengenang seorang guru yang cukup besar peranan dan sumbangannya terhadap negara tercinta ini iaitu Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan.

Cikgu Abdul Hadi Bin Haji Hassan mungkin suatu nama yang sudah tertinggal jauh dan dilupakan oleh anak merdeka kini. Apalah yang perlu dikenang bagi seorang manusia yang telah meninggalkan kita lebih dari 70 tahun yang terdahulu. Tetapi bagi saya ia adalah suatu saat yang begitu indah, mengenang jasa mereka yang terdahulu sebagai tanda mereka tetap dalam ingatan dan kenang-kenangan merdeka. Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan mungkin tidak sempat melihat negaranya ini merdeka. Beliau mungkin generasi genius Melayu yang terawal dalam sistem pendidikan moden di Tanah Melayu ini. Sayangnya beliau muncul tdan pergi terlalu awal ketika umat Melayu ketika itu leka dengan alam penjajahan hingga terlupa tentang istilah kebebasan dan keagungan bangsanya. Dan beliau merevolusikan pemikiran anak bangsanya untuk berubah .... beliau berjaya akhirnya walaupun dalam kumpulan pejuang yang terasing.

Terima kasih Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan !

TAMAT



Catatan Sebuah Buku : Meniti Lautan Gelora - Sebuah Memoir Politik Said Zahari

$
0
0

"Suaramu dari penjara Singapura :
'Mereka akan berkembang
Menghancurkan manusia biadab
Dan rakyat nanti
Tiada takut lagi'
Salut untuk Said Zahari
Salut untuk mereka yang berani !"

- Petikan sajak Salut Untuk Said Zahari
karya SN Usman Awang 

Siapakah empunya diri yang disalut ( dibangga atas perjuangan ) oleh sajak di atas ? ... pasti susuk nama itu bukan calang-calang orangnya. Lebih-lebih lagi pencipta sajak itu sendiri juga bukan sembarangan nama dan punya gelar Sasterawan Negara Usman Awang. Masakan tidak sajak ini tercipta jika susuk ilham yang bernama Said Zahari itu tidak punya cerita besar di hari silamnya. 

Ya ... Said Zahari... satu nama besar bukan sahaja untuk Singapura malahan melewati Malaysia. Sejarah Said Zahari ini merentasi zaman dan menurut perkiraan saya, beliau adalah momen-momen akhir yang masih tertinggal bagi suatu ketika yang penuh dengan kecelaruan politik antara fahaman nasionalisma, sosialisma dan komunisme pada tahun-tahun 1940an sehingga 1960an. 

Said Zahari

Benar juga kata seorang tua yang pernah saya temui di pinggir jalan yang sesak dan berdebu. Katanya generasi beliau ( merujuk anak-anak muda tahun 1940an hingga 1950an ) adalah generasi yang penuh dengan sifat perjuangan dan pemberontakan. Tidak kira apa jua fahaman dalam diri semuanya bermatlamatkan satu ... menegakkan sebuah negara yang merdeka. Namun menjelang tahun-tahun 1960an, ianya berkembang pula menjadi satu kemelut yang panjang antara fahaman-fahaman tertentu dan semestinya anak muda era ini pula menjadi jauh lebih fleksibel dalam menentukan jatuh dan bangun sesebuah perjuangan. 

Dan dalam sejarah yang panjang itu ...ternyata yang kuat pasti beroleh kemenangan walaupun dengan cara kotor atau berhemah. Itulah keributan politik yang nyata namun kesannya akan sentiasa dikenang oleh mereka-mereka yang mengalaminya. Saya mengerti selepas membaca buku memoir Said Zahari ini bahawa beliau adalah susuk yang turut serta dalam keributan politik itu. Beliau mungkin tewas atas bidang kuasa lawannya yang jauh lebih kuat. Namun semangat dan perjuangannya tetap menang walaupun dalam bentuk kenangan sejarah yang berbeza.

Siapa Said Zahari ?

Bagi generasi baru seperti saya, nama Said Zahari mungkin bukan satu nama yang besar dan dikenali. Tambahan pula kisahnya tidak ada diceritakan oleh sejarah yang dipelajari sehari-hari di sekolah. Nama Said Zahari mula memuncak apabila berlakunya mogok selama tiga bulan di Utusan Melayu pada tahun 1961 ekoran dari bantahan pekerja terhadap pengambilalihan syarikat berkenaan oleh parti UMNO.



Mogok itu mencatat sejarahnya yang tersendiri kerana para pekerja yang melakukan mogok berkenaan bukan bermogok untuk urusan kenaikan gaji sebaliknya adalah untuk mempertahankan kebebasan akhbar berkenaan dari dikuasai dan menjadi alat-alat suara kepada parti-parti tertentu. Inilah prinsip perjuangan beliau yang akhirnya menyebabkan beliau terusir dari Malaya ( ketika itu ) ke Singapura yang juga tanah kelahirannya.

Said Zahari dilahirkan di Singapura pada tanggal 18 Mei 1928. Beliau berketurunan Jawa. Mendapat pendidikan Inggeris dan Melayu di Singapura. Semasa pendudukan Jepun beliau berpeluang mengikuti kursus Bahasa Jepun di sekolah perguruan Jepun, Sihan Gakko di Singapura selama dua tahun. Selepas pendudukan Jepun, Said Zahari meneruskan pelajaran ke peringkat Senior Cambridge.

Cerita Said Zahari

Ada suatu cerita unik berkenaan dengan beliau yang begitu membekas pada diri saya selepas membaca buku memoir beliau ini. Dalam bab 1, Said Zahari menceritakan kepada para pembaca berkenaan dengan dirinya sewaktu masih kecil yang sering menangis akibat dari penyakit demam panas, kembung perut dan berbagai jenis penyakit lagi.

Seorang jiran terdekat dengan rumah keluarga beliau yang dipanggil Wak Lias mencadangkan agar Said Zahari yang masih kecil itu dibuang secara olok-olok ke dalam tong sampah. Ia mungkin sekadar petua untuk mengubati penyakitnya itu. Anehnya, mungkin berkat ilmu orang dahulu Said Zahari yang masih kecil itu pulih dan menjadi sihat malah tubuhnya semakin montok selepas upacara pembuangan olok-olok itu.



Hal ini begitu mempengaruhi saya sehingga saya sendiri pernah mencadangkan perkara ini kepada isteri untuk dilakukan kepada anak saya sendiri. Sewaktu awal-awal kelahirannya, anak saya sering menangis terutama menjelang waktu Maghrib. Hal ini benar-benar merunsingkan saya dan isteri. Kebetulan pada suatu hari saya membelek-belek buku ini dan teringat cerita awal Said Zahari tentang upacara pembuangan olok-olok tersebut dan mencadangkan upacara ini kepada isteri. Dengan muka yang mencuka, isteri saya memarahi saya kerana mahu melakukan hal seperti itu kepada anak sendiri. Saya mempertahankannya sebagai satu ikhtiar. Namun apabila memikirkan tentang perasaan seorang ibu kepada anak maka hal itu saya batalkan sahaja. Akhirnya anak saya pulih setelah diubati oleh seorang ustaz di Rembau.

Dunia Politik Singapura

Umum mengetahui bahawa politik Singapura suatu ketika dahulu adalah saling berkait rapat dengan politik Tanah Melayu. Percantuman Singapura dalam gagasan Malaysia pada tahun 1963 menambahkan lagi jalan cerita sejarah politik yang agak panas pada ketika itu.

Said Zahari tidak terkecuali dari terbabit dengan politik. Ketika itu kuasa dan kredibiliti seorang wartawan adalah amat hebat. Beliau kembali ke Singapura akibat dari tindakan Tunku Abdul Rahman yang mengharamkan beliau untuk masuk ke Tanah Melayu. Hal ini adalah akinat dari kesan pemogokan yang dilakukan oleh para pekerja Utusan Melayu yang menentang pengambilalihan surat khabar itu oleh UMNO. Di Singapura, beliau  akhirnya memutuskan untuk menggabungkan diri dalam Parti Rakyat Singapura pada tahun 1962 dan akhirnya dilantik menjadi Ketua Umum parti berkenaan.

Antara perkara yang agak unik berkenaan dengan hal kemasukan Said Zahari ke dalam Parti Rakyat Singapura ( PRS ) ini ialah keterlibatan beberapa orang tokoh nasionalis besar Melayu dalam organisasi parti. Antara yang disebut namanya dalam memoir ini ialah Allahyarham Cikgu Harun Aminurashid. Said Zahari dengan jujur memberikan penghargaan yang tinggi kepada Cikgu Harun Aminurashid ini sebagai seorang pejuang politik yang anti penjajah.

Cikgu Harun Aminurashid antara 
nasionalis kental Melayu

Namun demikian, menjadi seorang pemimpin sebuah parti politik seperti Parti Rakyat Singapura bukanlah sesuatu yang mudah. Parti Rakyat Singapura adalah parti berbilang kaum ( multi racial ) dimana terdapat kaum-kaum tertentu akan mendominasi parti berkenaan. Hal inilah yang dialami oleh parti berkenaan apabila sampai suatu ketika berlaku suatu penyimpangan ideologi antara ahli dan pemimpin. Hal ini berlaku adalah akibat dari penyerapan ideologi sosialis yang berkiblatkat Beijing mula berlaku di kalangan ahli sehingga ideologi asas parti iaitu Marhaenisme ( sosiodemokrasi-nasional ) yang diasaskan oleh Ahmad Boestaman mula terpinggir.

Said Zahari sendiri turut merasakan bahawa terdapat penyusupan anasir komunis dalam parti berkenaan dan agak sukar untuk menafikannya. Hubungan baik parti ini dengan sebuah lagi parti politik kiri Singapura iaitu Barisan Sosialis secara tidak langsung bagaikan menimbulkan suatu kesan yang agak berat di mata pihak pemerintah terutamanya kepada Lee Kuan Yew yang ketika itu menjadi setiausaha agung Parti Tindakan Rakyat ( PAP ).

Antara Nasionalis, Komunis, Anti-Komunis, Soasialisma dan Marhaenisme

Dekad-dekad awal 1950an dan awal 1960an adalah satu tempoh sukar bagi negara Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura. Selain dari perjuangan menentang penjajahan British, rakyat juga terpaksa berhadapan dengan ancaman pengaruh komunis tidak kira dari segi perjuangan bersenjata mahupun ideologi. Perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya ( PKM ) yang menyebabkan berlakunya tempoh darurat di Tanah Melayu akhirnya menyebabkan Said Zahari dan partinya berada di dalam keadaan yang tertekan.

Parti Rakyat Singapura bukanlah sebuah organisasi parti yang besar dan kuat. Ia diakui sendiri oleh Said Zahari. Penyimpangan ideologi asal kepada ideologi yang banyak dipengharuhi oleh sosialisme Beijing ( ala- Mao ) sedikit sebanyak telah menyebabkan parti itu dicop sebagai berhaluan komunis. Ditambah pula dengan keadaan semasa ketika itu yang sememangnya panas dengan penentangan terhadap ideologi komunis maka pastinya parti-parti yang dianggap kiri seperti Parti Rakyat Singapura bagaikan menjadi ancaman kepada pihak pemerintah.

Namun demikian sejauh manapun Parti Rakyat Singapura cuma melarikan diri dari bayangan komunis, maka itulah yang sukar dielakkan oleh parti ini. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, penyimpangan ideologi telah" menjahanamkan " parti ini pada pilihanraya umum Singapura pada tahun 1959. Didalam pilihanraya ini keempat-empat calon Parti Rakyat Singapura telah kalah teruk malah hilang wang deposit mereka. Hal ini adalah sesuatu yang aneh kerana pada awal kempen kelihatannya sambutan yang diterima begitu menggalakkan namun sehingga ke akhir kempen segalanya berubah apabila ahli-ahli parti yang gigih berkempen mula mengendurkan peranan mereka sehingga menyebabkan ketewasan calon-calon parti.

Menurut Said Zahari hal ini adalah berpunca dari arahan dari tindakan seorang individu yang dianggap sebagai wakil Parti Komunis Malaya ( PKM ) yang digelar dengan panggilan Plen ( plenipotentary ), telah memberikan arahan kepada kader-kader Parti Rakyat Singapura ( PRS ) untuk menghentikan sokongan kepada parti. Akibat dari kekalahan pilihanraya ini amatlah besar kerana secara tidak langsung sekiranya benar berlaku jelas menunjukkan bahawa PRS sudah dijangkiti oleh kuman-kuman komunis. Ianya juga menyebabkan berlakunya saling ketidakpercayaan antara ahli parti terutama ahli berbangsa Melayu dengan ahli berbangsa Cina.

Arahan dari plen ini sebenarnya hanyalah menguntungkan Lee Kuan Yew dan partinya. PKM menganggap kemenangan besar PAP pasti akan merubah pendirian Lee Kuan Yew terhadap PKM. Lee Kuan Yew yang ternyata lebih bijak bertindak dengan lebih agresif selepas itu apabila pada tahun 1961 bertindak melancarkan serangan terhadap anasir-anasir komunis di dalam PAP malahan seterusnya membuat kejutan untuk menyertai gagasan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Lee Kuan Yew

PKM yang berhempas pulas untuk berjuang di Persekutuan Tanah Melayu kini semakin terhimpit. Harapan mereka untuk menguasai pulau Singapura juga kini makin jauh akibat dari percantuman yang tidak diduga itu. Lee Kuan Yew kini mendapat sokongan dari British dan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman. yang sememangnya pro barat dan anti komunis dan golongan kiri.

Kemuncak kepada peristiwa ini ialah berlakunya penangkapan besar-besaran terhadap pemimpin politik berhaluan kiri Singapura dan dicampakkan ke penjara atau dibuang negeri ke Malaya. Hal ini seterusnya melumpuhkan terus parti-parti kiri seperti Barisan Sosialis dan Parti Rakyat Singapura untuk terus bersaing dengan parti PAP di dalam pilihanraya yang diadakan selepas itu.

Said Zahari Ditangkap

Agak unik berkenaan penangkapan Said Zahari ialah ianya berlaku selepas sahaja beliau memegang jawatan sebagai ketua umum Parti Rakyat Singapura ( PRS ). Saya melihat hal penangkapan ini adalah saling berkait rapat dengan perjalanan politik di tiga buah negara iaitu di Tanah Melayu, Singapura dan Brunei.

Parti Rakyat Malaya yang diasaskan oleh Ahmad Boestamam pada tahun 1955. Uniknya pergerakan parti ini bukan sahaja aktif di Malaya namun ia juga mengalir ke pulau Singapura ( membentuk Parti Rakyat Singapura ) dan Brunei ( membentuk Parti Rakyat Brunei ). Pemimpin-pemimpin parti ini di ketiga-tiga buah negara adalah saling kenal mengenali malahan bersahabat baik. Di Malaya, Parti Rakyat Malaya adalah begitu kuat dan berpengaruh malahan moleh dikatakan pesaing yang agak hebat bagi parti pemerintah yang ditunjangi UMNO.

Ramai yang beranggapan Parti Rakyat adalah sebuah organisasi yang berideologikan sosialis ( sesetengah pihak memanggilnya parti berhaluan kiri ). Saya sebenarnya sudah mengkaji dengan agak lama berkaitan dengan fahaman pengasas parti ini iaitu Ahmad Boestamam. Untuk menyatakan beliau adalah seorang sosialis tulen adalah satu perkara yang sangat sukar. Ini adalah kerana pembabitan beliau dalam perjuangan kemerdekaan negara adalah begitu panjang dan diakui jalur kehidupan beliau dipenuhi dengan aktiviti keluar dan masuk penjara.

Saya meyakini sebenarnya Ahmad Boestamam adalah nasionalis tulen yang membawa gaya dan fahamannya yang tersendiri dalam ideologi politiknya. Hal ini menjadi bertambah nyata apabila di dalam buku ini , Said Zahari menyatakan bahawa ideologi asas Parti Rakyat Singapura adalah Marhaenisme dan bukannya sosialisme. Justeru bagaimana sejarah boleh memproklamirkan Ahmad Boestamam sebagai golongan kiri ?. Bukankah tidak adil bagi seorang tokoh besar seperti Ahmad Bostamam dinyatakan dengan satu sisi yang agak janggal sedangkan sejarah perjuangan terlalu besar bagi sebuah negara seperti Malaysia.

Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 bagaikan satu bencana bagi Parti Rakyat di ketiga-tiga buah negara. Di Malaya, Parti Rakyat Malaya ( PRM ) yang diketuai oleh Ahmad Bostamam membantah dengan sekeras-kerasnya idea penubuhan Malaysia ini. Agak sukar untuk menyatakan kenapa dan apakah sebabnya parti ini membantah keras. Sejarah hanya menyatakan bahawa PRM lebih selesa bergabung dengan Indonesia bagi membentuk Indonesia Raya. Kesudahannya... Ahmad Boestamam dan ramai lagi pemimpin parti ini telah ditangkap dan dihumban ke dalam penjara.

Di Brunei pula, idea percantuman di dalam negara Malaysia telah mendapat respon yang sangat baik dari sultan namun demikian ianya mendapat tentangan dari pemimpin dan ahli Parti Rakyat Brunei ( PRB ) yang diketuai oleh A.M Azahari. Hal ini seterusnya telah menyebabkan berlakunya pemberontan Brunei yang akhirnya telah menyebabkan Brunei menarik diri dalam gagasan Malaysia.

Allahyarham A.M Azahari

Di Singapura pula, Parti Rakyat Singapura ( PRS ) yang baru sahaja mendapat ketua barunya iaitu Said Zahari berhadapan dengan pelbagai cabaran. Melihat kepada pendirian dua adik-beradik PRS iaitu PRM dan PRB yang menentang penubuhan Malaysia, bagaiman pula pendirian PRS dalam hal ini ?. Dalam hal ini adalah jelas parti-parti berhaluan kiri Singapura seperti Barisan Sosialis dan PRS sendiri menetang idea penggabungan itu kerana pada pandangan mereka pengabungan itu adalah lebih menguntungkan British dari rakyat di wilayah-wilayah yang berkaitan.

Inilah beban yang akhirnya memakan diri Saiz Zahari. Pembentukan Malaysia secara dasarnya lebih kepada suatu permainan politik yang sukar dimengertikan. Penubuhan Malaysia secara tidak langsung memberikan kemerdekaan yang luar biasa sifatnya kepada Singapura, Sarawak dan Boneo Utara ( Sabah ). Ia juga secara psikologinya menghapuskan terus impian Presiden Indonesia ketika itu iatu Soekarno dalam membentuk kesatuan Indonesia Raya.

Yang paling nyatanya adalah faktor KOMUNIS yang dikatakan punca untama pembentukan Malaysia. Maka akibat dari faktor komunis inilah parti-parti aliran kiri terus disalah tafsirkan ideologi mereka. Ia bertambah parah apabila sebahagian parti-parti ini membantah idea percantuman Malaysia. Soekarno pula terperangkap dalam permainan licik Partai Komunis Indonesia ( PKI ) sehingga menyebabkan beliau akhirnya tersingkir dari jawatan presiden Indonesia. Akhirnya seperti biasa yang kuat dan berkuasa akan menang dan yang tewas akan terhumban ke dalam penjara dunia yang perit dan hitam.

Akhirnya Said Zahari ditangkap pada tanggal 2 Februari 1963. Penangkapan beliau diikuti dengan penangkapan beberapa orang lagi aktivis lagi menerusi satu operasi besar-besaran di seluruh Singapura yang dinamakan Operation Cold Store. Dari penangkapan inilah Said Zahari terus terkurung dalam tahanan yang akhirnya memakan masa selama 17 tahun. Dan itulah sejarah yang benar dan tidak menipu kita semua namun Said Zahari telah melaluinya dengan tenang.

Dibenarkan Memasuki Malaysia Semula

Selepas sahaja peristiwa pemogokan pekerja Utusan Melayu, kerjaaan Malaysia dibawah pentadbiran YAM Tunku Abdul Rahman telah mengharamkan Said Zahari dari memasuki Malaysia. Hal ini seterusnya berterusan dalam pentadbiran Tun Haji Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.

Namun demikian larangan memasuki Malaysia ini akhirnya terbatal setelah Perdana Menteri Malaysia keempat iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad menarik semula larangan terhadap Said Zahari bagi memasuki Malaysia pada tahun 1989.

Tun Mahathir Mohamad yang akhirnya yang
membenarkan semula Said Zahari ke Malaysia.

Seorang Pemimpin Berjiwa Besar



Salah satu penceritaan Said Zahari yang amat terkesan di jiwa saya ialah berkenaan dengan hemah seorang negarawan besar iaitu Tunku Abdul Rahman. Bagi sesetengah masyarakat Malaysia, pasti kita hanya mengenali latar Tunku sebagai seorang tokoh yang membebaskan negara Malaysia ini dari cengkaman penjajahan. Ada juga dikalangan individu yang mengecam Tunku sebagai seorang yang begitu pro-barat namun walaubagaimana pun andaian kita terhadap Tunku, adalah diakui beliau adalah seorang pemimpin berjiwa besar.

Said Zahari menulis satu kisah yang didapatinya dari setiausaha politik Tunku Abdul Rahman yang bernama Yap Chin Kwee berkenaan dengan keputusan Tunku Abdul Rahman yang bertegas tidak mahu bersetuju dengan rancangan pihak British yang mahu meletupkan kapal perang mereka sendiri di perairan Selat Melaka. Pada ketika itu Malaysia sedang berhadapan dengan konfrantasi dari Indonesia. Pasti jika kapal perang itu diletupkan akan menimbulkan andaian bahawa angkatan tentera Indonesia yang melakukan perbuatan tersebut dan dalam masa yang sama ia akan menimbulkan perang besar antara Malaysia dan Indonesia.

Malaysia yang ketika itu masih lagi bergantung harap kepada Perjanjian Pertahanan Inggeris Malaysia ( Anglo-Malaysian Defence Agreement ) dalam menghadapi suasana konfrontasi pasti akan mendapat bantuan dari Britain, Australia dan New Zealand sekiranya perang itu benar-benar berlaku. Menurutnya lagi seorang pegawai tinggi tentera British telah memberitahu kepada Tunku tentang rancangan jahat British itu dan menurut perkiraannya sekiranya perang itu berlaku,  perikatan tentera British, New Zealand, Australia dan Malaysia akan tidak mengambil masa yang lama untuk menghancurkan seluruh kekuatan tentera Indonesia.

Tunku lantas berang dan membantah sekeras-kerasnya rancangan jahat itu. Tunku  juga menegaskan bahawa kami ( merujuk kepada rakyat Malaysia ) mempunyai ikatan darah dan keturunan  yang sangat kuat dengan rakyat Indonesia. Ini adalah mesej jelas bahawa Tunku Abdul Rahman mengetahui bahawa sampai bila-bila pun walaupun berselisih fahaman, Indonesia dan Malaysia adalah adik beradik !

Tetapi atas alasan apakah Tunku Abdul Rahman berpendirian sedemikian ? ... inilah nilah hemah seorang Negrawan besar yang jarang diungkapkan oleh sejarah, Tunku Abdul Rahman menolak cadangan tersebut dan menegaskan konfrontasi itu adalah pertelingkahan beliau dengan rejim presiden Soekarno sahaja dan bukannya dengan rakyat Indonesia. Tunku Abdul Rahman dengan jelas menyatakan bahawa beliau tidak mahu melihat negara atau bangsa Indonesia dihancurkan oleh kuasa-kuasa Barat atas nama Malaysia, konfrantasi mahupun tiada konfrantasi.

Hal ini seterusnya dapat dilihat menerusi tangisan Tunku Abdul Rahman sewaktu beliau telah diusung dan dipaksa oleh sekumpulan pemuda yang menamakan diri mereka Malaysian Peoples Action Front untuk memijak lambang negara Indonesia iaitu Bhineka Tunggal Ika. Tunku Abdul Rahman yang tidak rela melakukannya dengan titisan air mata yang berjurai berkata,

            " Bukan ini yang yang saya mahu kamu semua lakukan ".

Tetapi pemuda-pemuda yang semacam sudah hilang akal itu terus menginjakkan-nginjakkan kaki Tunku Abdul Rahman keatas lambang Bhineka Tunggal Ika itu walaupun Tunku Abdul Rahman tidak merelakannya. Air mata Tunku mengalir hebat ketika ini tanda ketidakrelaannya atas perbuatan yang tidak bermaruah itu.

Itulah Tunku Abdul Rahman ... pemimpin yang tiada galang gantinya. Saya berasa bertuah kerana dapat mengetahui kisah ini melalui pembacaan memoir Said Zahari ini. Ia secara tidak langsung memberikan wajah dan cerita baru kepada diri saya berkenaan dengan idea pembentukan Malaysia. Ia juga adalah cerminan betapa eratnya hubungan persaudaraan antara bangsa Indonesia dan bangsa Malaysia. Ianya tidak akan terputus kerana kedua-dua negara ini adalah adik dan abang yang punya hubungan darah dan saling melengkapi antara satu sama lain sampai bila-bila !.

( sumber : http://jourlitersweet.blogspot.com/ )

Penutup

Bagi generasi muda, mungkin apabila melihat buku ini kita akan merasa luwes atau sekadar membelek-belek kulit luarannya sahaja. Bagi saya ia adalah satu naskah yang sangat hebat dan baik untuk kita baca dan ambil isinya. Said Zahari adalah seorang pencerita sejarah yang sangat baik. Ia juga memberikan kita satu pilihan yang lain dalam mentafsirkan sejarah negara kita.

Seperti yang diucapkan oleh tokoh wartawan negara Tan Sri Zainuddin Maidin dalam mengenang Said Zahari ...

          " Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan penulisan Pak Said, kita tidak dapat menafikan bahawa Pak Said adalah sebahagian daripada sejarah Utusan dan Utusan adalah sebahagian daripada sejarah Malaysia. Sama ada mereka berhaluan kiri atau kanan , orang seperti Pak Said menjadikan Utusan itu hebat".

Dan saya melihat orang-orang seperti Said Zahari adalah idola yang harus dikenang sampai bila-bila. Maka benarlah kata Usman Awang terhadap Said Zahari dalam sajak besarnya ini.....

Berapa banyakkah darah mengalir
Tulang yang patah tak terhitung
Bertaburan di lantai bisu ini
di Pulau Singapura
Di mana-mana di bumi ini
Ribuan penjara dan
Jutaan si Berani.
Atas nama 'keselamatan umum'
Penuhlah penjara ngeri melindungi
Keselamatan mereka segelintir jumlahnya;
Atas nama 'undang-undang'
Rakyat dirompak dan dicandui
Sambil meneriakkan 'demokrasi'.
Di mana-mana di bumi ini
Si penjenayahlah yang memulakan perang
Penjara dibinanya untuk mengancam;
Tapi di mana-mana di bumi ini
Sekalian rakyat bersuara bertindak
tiada tangan menahan ombak
Lojika rakyat lojika sejarah manusia
Saudara
Telah tiga ribu hari rebah
Rebah di kaki pemerintah yang goyah
Keyakinan dan keberanian mengheretmu lagi
Ribuan hari berdiri di penjara ngeri.
Suaramu dari penjara Singapura:
'Mereka akan berkembang
Menghancurkan manusia biadab
Dan rakyat nanti
Tiada takut lagi' Salut untuk Said Zahari
Salut untuk mereka yang berani !"

Usman Awang
Kampung Tunku
Petaling Jaya
Selangor Darul Ehsan
September 1999

Dan saya mempersetujuinya dengan teguh................. 

SALUT UNTUK SAID ZAHARI 
SALUT UNTUK MEREKA YANG BERANI !










Article 0

$
0
0

 Sesuatu Yang Perlahan


Untuk suatu masa yang kian jauh
ia membina tembok rindu dan asyik
hingga aku menjadi pelupa
itu bukan nuansa yang ku kecap
di hari ini ... suatu hari yang bising.

Ia terus berjalan
sendu lesu dan perlahan
lalu membisik kecil
pada telingaku yang makin tuli
" kelak nanti kamu juga akan pergi
menuruti aku yang ketuaan ini
dan pada hari itu
kamu menjadi sunyi
asing dan tidak bermakna
pada binatang buas
yang bernama kemodenan " !

Hafez J.Malim
11 Mac 2020


Pekan Temoh, Perak dalam kenang-kenangan dan ingatan usia.


Viewing all 95 articles
Browse latest View live