Gementar juga hati saya ketika sampai ke kawasan makam ini. Terasa dunia bagaikan terhenti disini. Suasana sunyi dan saya tidak boleh menipu diri saya sendiri ... memang ada perasaan takut yang menyelinap dihati. Namun saya tetap meneruskan langkah dengan debaran. Kedudukan bangunan kepuk makam yang agak terselindung disebalik rimbunan pohon - pohon menjadikan ia agak misteri.
Kawasan makam Sultan Perak ke-16 Sultan Mahmud Shah
Saya memberikan salam sebelum memasuki kawasan makam. Usai sahaja memberi salam ... secara tiba-tiba pendengaran saya diganggu oleh suara seekor burung yang begitu galak berbunyi. Saya tidak pasti burung dari jenis apa namun bunyinya agak nyaring dan menyeramkan. Saya terus teringat pesan orang-orang lama yang menyatakan supaya jangan diteruskan langkah sekiranya terdengar bunyi burung yang nyaring disesebuah kawasan kerana berkemungkinan burung tersebut terlihat sesuatu yang ghaib berhampiran dengan kita. Saya memberhentikan langkah. Hati saya mula kecut. Tambahan pula saya bersendirian disebuah makam seorang sultan yang berdaulat. Saya membaca beberapa ayat-ayat suci Al-Quran yang selalu saya amalkan bagi menguatkan semangat saya. Alhamdulillah usaha saya dipermudahkan. Suara burung itu terus senyap dan keyakinan saya mula timbul.
Saya terus sahaja ke kawasan kepuk makam. Ah... sedihnya hati melihat kawasan makam yang tidak berjaga. Semak samun menghiasi hampir keseluruhan kawasan makam. Jauh berbeza keadaan makam ini jika hendak dibandingkan dengan makam Raja Ahmad yang baru sahaja saya ziarahi. Batu nisan makam ini juga berlumut dan tanahnya agak becak. Balutan kain kuning pada batu nisannya juga sudah hampir tidak kelihatan. Cuma kelihatan lilitan kain kuning yang kecil sahaja yang tinggal bagi menunjukkan pemilik makam ini ialah seorang Sultan yang berdaulat.
Banggunan kepuk makam
Makam ini ialah makam milik Almarhum Sultan Mahmud Shah ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah. Baginda ialah Sultan pemerintah Perak ke -16 dan memerintah dari tahun 1765 hingga tahun 1773. Nama asal baginda ialah Raja Kimas dan baginda merupakan adinda kepada Sultan Perak ke-15 iaitu Sultan Iskandar Zurkarnain. Pada ketika pemerintahan bagindalah lahirnya kesultanan Selangor. Putera Bugis yang bernama Raja Lumu telah ditabalkan sebagai sultan Selangor yang pertama oleh baginda dengan gelar Sultan Sallehuddin Shah. Ada pendapat menyatakan Sultan Mahmud Shah ini mempunyai darah keturunan Bugis. Kesahihannya saya hanya mampu menyatakan hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui.
Sultan Mahmud Shah hanya memerintah negeri perak selama lapan tahun. Baginda mangkat di Pasir Pulai Indera Mulia dan dimakamkan di Pulau Besar dengan gelar Marhum Muda. Terdapat juga beberapa makam lain berhampiran dengan kepuk makam baginda. Saya meninjau-ninjau juga disekitar makam ini sekiranya terdapat batu nisan Acheh. Nampaknya tiada batu nisan Acheh disini. Ada sesuatu yang menarik minat saya di makam ini iaitu kewujudan sebatang tiang bendera yang masih kukuh walaupun berkarat. Apa kegunaan dan bila tiang bendara ini digunakan memang saya tidak tahu.
Saya sebenarnya merasa agak terkilan dengan keadaan makam ini yang kelihatan tidak dijaga dengan baik. Saya meninjau carian internet bagi mencari warisan keturunan baginda yang menjadi Sultan Perak. Jawapannya ringkas memang tidak ada warisan baginda yang menduduki takhta kesultanan Perak selepas baginda. Kemana agaknya menghilang waris-waris baginda .... saya dapat merasakan pasti ada cerita tersembunyi disebalik semua ini. Ketika menyentuh batu nisan makam ini yang dingin fikiran saya menjadi kosong. Hilang segala ketakutan yang menerpa diri saya sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke makam ini.
Saya sempat juga membersihkan sedikit semak-semak liar yang menjejaskan pemandangan makam. Saya berharap akan ada nanti pihak-pihak yang akan membersihkan makam ini. Menyesal juga dihati ini kerana tidak membawa kain kuning untuk dibalut pada batu nisannya. Saya berharap suatu ketika nanti saya akan kembali semula ke makam ini bagi mencari semula cerita warisnya yang hilang !
Hampir 20 minit saya dimakam ini, saya mula melangkah untuk pulang. Sebelum menghidupkan motosikal, saya memandang makam ini dengan tajam. Terasa seolah - olah ada mata-mata asing sedang memerhatikan saya. Saya membaca Al-Fatihah dan menyedekahkannya buat kali kedua kepada roh almarhum Sultan Mahmud Shah... insyaAllah suatu masa nanti saya akan kembali disini. Itu janji saya.
Saya meninggalkan makam Sultan Mahmud Shah ini dengan hati yang rawan. Ini kali pertama saya merasa takut ketika berkunjung ke kawasan makam. Jarang saya merasa sedemikian .... apakah pemilik makam tidak menyukai kehadiran saya atau adakah ada rahsia besar yang tersimpan kukuh bersembunyi disebalik kepuk makam usang berkenaan... hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui dan saya terus bergerak pulang dengan sejuta satu persoalan yang tidak terungkai !